Khamis, 13 Oktober 2011

HIMPUNAN SEJUTA UMAT BERTUKAR DEMO TERHADAP MAIS, JAIS

Semua manusia akan menerima bahawa sebarang masalah hendaklah diselesaikan pada puncanya. Sakit kepala, caranya makan ubat sakit kepala. Sakit perut, caranya makan ubat sakit perut. Jika sakit perut, makan ubat sakit kepala, makanya sakit kepala tetap berlaku dan sakit perut pula tidak dapat diubat.

Isu murtad di Malaysia ini, didakwa berpunca dari empat sasaran, iaitu orang miskin, anak muda, pesakit kronik dan golongan intelek. Dari keempat sasaran ini, kita akan dapati ia berpunca dari dua perkara penting, iaitu kewangan dan pendidikan.

Ekoran itu, penyelesaian yang paling baik adalah dengan menyelesaikan kedua-dua perkara ini. Ternyata, perkara ini boleh diselesaikan oleh orang islam itu sendiri. ini kerana, di Malaysia badan-badan agama Islam mendapat pembiayaan dari dana kerajaan, tidak seperti persatuan-persatuan agama selain Islam.

BOB LOQMAN KENA TANGKAP

Hampir seminggu yang lepas, Negeri Selangor digegarkan dengan penangkapan seorang artis yang sedang hebat giat dalam dakwah, iaitu saudara Bob Loqman. Seperti yang diketahui ramai, beliau antara tokoh yang mendapat sambutan anak muda. Makanya dengan kehadiran beliau, sedikit sebanyak memberi kesan dalam usaha mendekatkan anak muda kepada Islam.

Sedihnya, ketika kelebihan ini dimanfaatkan oleh umat Islam di Selangor, iaitu menerusi ceramah dan tazkirah yang beliau sampaikan di surau dan masjid, pihak JAIS pula telah mengambil keputusan untuk menangkap beliau dan menyekat beliau dari meneruskan usaha dakwah ini. Jika difikirkan dengan tenang dan jiwa yang dingin, pasti kita akan menilai betapa tidak selarasnya usaha jabatan agama Islam itu dengan tanggungjawab yang diwajibkan oleh islam kepada umatnya.

AGENDA LAWAN AGENDA

Di Malaysia juga dibisingkan dengan isu sebilangan umat Islam yang telah hadir di salah sebuah gereja di Damansara Utama. Dakwaan yang masih lagi dalam kesamaran adalah, didakwa bahawa umat Islam yang hadir itu diusahakan untuk dimurtadkan. Tetapi secara pasti, umat Islam yang hadir itu adalah untuk menerima jemputan pihak gereja dalam satu majlis makan malam yang dianjurkan oleh mereka.

Mengadakan majlis makan malam adalah satu amalan yang baik. Ia tidak boleh dilarang dari sesiapa sahaja dari melakukannya. Malahan, Islam amat menekankan kepentingan melakukan amalan baik ini. Penekanan islam itu, tidak tertumpu kepada orang islam sahaja, malahan ditumpukan juga kepada orang bukan Islam.

Menghalang orang bukan Islam dari melakukan kebaikan merupakan satu kesalahan yang cukup dibenci dalam Islam. Ini kerana, Islam amat melarang umat Islam menyuruh manusia lain dari melakukan kejahatan dan keburukan. 

Namun begitu, ada dakwaan yang masih lagi kesamaran bahawa pihak gereja mengadakan majlis makan malam itu mempunyai agenda untuk memurtadkan umat Islam. Makanya, isu ini dibesarkan.

Secara logiknya pun, mana mungkin sesebuah pergerakan itu tidak mempunyai agenda untuk keuntungan mereka. Seseorang yang berniaga, mempunyai agenda untuk mendapat keuntungan dalam perniagaan. Seseorang yang bekerja di jabatan kerajaan, mempunyai agenda untuk mahu mendapat gaji. Begitulah seterusnya.

Begitujuga bagi mereka yang menganut agama. Penganut kristian mengadakan majlis makan malam, sudah pasti mempunyai agenda untuk menarik penganut-penganut lain kepada agama mereka. Peliknya, agenda menarik non muslim kepada islam ini tidak difikirkan oleh sebilangan besar penganut Islam, khususnya pihak MAIS dan JAIS. Makanya tidak hairan, mereka tidak mengadakan majlis seperti yang dilakukan oleh pihak gereja tersebut. 

GEREJA ATAU MAIS YANG SALAH?

Diberitakan bahawa umat Islam yang hadir dalam majlis makan malam anjuran pihak gereja itu adalah mereka yang sememangnya berada dalam kesusahan kewangan dan sakit. Dikhabarkan juga bahawa sebelum mereka berkawan dengan pihak gereja, mereka telah berusaha dengan sesungguh yang mungkin untuk mendapat bantuan dari pihak MAIS dan JAIS. 

Namun menyedihkan, usaha mereka hampa. Ekoran itu, apabila pihak gereja menghulur bantuan, mereka terus menyambutnya dengan hati yang cukup terbuka.

Jika ini yang berlaku, adalah satu perkara yang cukup menyedihkan bagi setiap penganut yang beragama Islam. Jika difikirkan balik, sekiranya pihak MAIS dan JAIS memudahkan urusan ini, sudah pasti mereka tidak akan menyambut huluran bantuan dari pihak gereja. Malahan, jika pihak JAIS dan MAIS menunaikan tugas dengan baik, sudah pasti mereka tidak akan ke gereja, sebaliknya tidak hairan, golongan non Muslim pula akan berkawan rapat dengan jabatan agama Islam itu, seterusnya sedikit demi sedikit, mereka akan melihat kebaikan Islam.

PENZINA MENYALAHKAN SYAITAN

Apabila menilai perkara ini, amat memelikkan jika ada pihak hendak mengadakan himpunan sejuta umat untuk mempertahankan aqidah umat Islam. Sepatutnya, himpunan itu perlu bertukar kepada demonstrasi di hadapan pejabat MAIS dan JAIS yang tidak serius hendak selesaikan punca-punca kepada berlakunya murtad.

Ekoran itu, menyalahkan pihak gereja dengan sebab berusaha memurtadkan orang Islam, walhal orang Islam itu hendak ke gereja disebabkan mereka tidak mendapat bantuan dan layanan yang selayaknya dari pihak MAIS dan JAIS, sama seperti seseorang yang menyalahkan syaitan apabila dia berzina. 

Sekian


Isnin, 10 Oktober 2011

ROGOL : HUDUD ATAU TAKZIR?

[1]

Manhaj [method] istinbat hanafi dan syafie tidak sama. Antara method yang tidak sama itu adalah tentang dalam membandingkan perkara yang ada nas [mansus] dengan perkara yang tiada nas [maskut]. 

Ia dinamakan juga sebagai qias. Tetapi, dalam beberapa keadaan, ia tidak dinamakan sebagai qias, iaitu apabila perkara yang tiada nas [maskut] itu melebihi berbanding perkara yang ada nas [mansus]. Ia dikenali dengan berbagai gelaran fiqh. Ada menamakannya sebagai fahw al-Khitab, mafhum muwafaqat, qias awla, dalalah al-dalalah, dalalah al-nas dan seumpamanya.

Dalam mazhab syafie, bentuk ini dikenali sebagai qias awla. Ekoran itu, dalam mazhab beliau, tidak boleh digunakan kaedah ini dalam perkara al-sawabit [perkara yang tidak boleh diijtihadkan kerana ia tidak menerima pertukaran]. Antara perkara sawabit ini adalah perkara ibadat, hukum jinayah syariah, faraid dan seumpamanya. Ini kerana, kaedah umum menyatakan bahawa “tiada qias dalam perkara ibadat”. [Walaupun kaedah ini menyebut tentang perkara ibadat, tetapi perkara selain ibadat yang mempunyai sifat sawabit juga termasuk dalam maksud kaedah ini]

Keadaan ini berbeda dengan mazhab hanafi. Dalam aliran mazhab mereka, bentuk ini dikenali sebagai dalalah al-dilalah. Atau nama yang biasa digunakan adalah dalalah al-nas. 

Kaedah ini seiras-iras dengan qias awla dalam mazhab syafie, tetapi dari beberapa sudut, ia ada perbedaan. Dalam qias awla, illat [punca hukum] memerlukan kepada pengkajian yang mendalam, sedangkan dalam dalalah al-nas, memadai diketahui dengan pengertian bahasa.

Bagi contoh perkara ini adalah seperti nas mengatakan larangan berkata “oh” sahaja kepada ibu bapa. Sedangkan memukul ibu bapa tidak termaktub dalam al-Quran. Dalam mazhab syafie, pengharaman memukul ibu bapa dengan dengan merujuk kepada memukul dan mengatakan ‘oh’ itu mengandungi maksud ‘aza’, iaitu mengakiti. Ia terhasil dari kajian yang mendalam. Sedangkan dalam mazhab hanafi, larangan memukul dengan membandingkan dengan nas yang melarang mengatakan ‘oh’ itu difahami sekadar penggunaan bahasa sahaja.

Dari sudut penerimaan dalam penggunaan antara qias awla dan dalalah al-nas pula, ia agak berbeda sedikit. Ini kerana, dengan istilah qias awla, ia tidak boleh dibandingkan dalam perkara sawabit, sedangkan ia boleh berlaku dalam dalalah al-nas.

[2]

Dalam isu rogol, ada sebilangan ulama menyatakan ia dibawah hukum hudud. Dan sebilangan yang lain menyatakan ia dibawah hukum ta’zir. Perkara ini dikhilafi oleh ulama, kerana jenayah rogol ini tidak termaktub dalam nas [maskut], sedangkan yang termaktub dalam nas adalah zina [mansus].

Golongan yang mengatakan rogol dibawah hudud, sebenarnya mereka menggunakan teori mazhab hanafi yang menggunakan kaedah dalalah an-nas. Ini kerana, rogol dibandingkan dengan hudud dengan sama-sama mengandungi maksud melakukan persetubuhan haram. Ia difahami melalui uruf bahasa sahaja.

Sedangkan dalam mazhab syafie, ia tidak semudah untuk mengadaptasikan hukum rogol dengan merujuk kepada hukum zina dengan semata-mata mengatakan ia adalah persetubuhan haram. Ini kerana, antara zina dan rogol, ia mengandungi banyak perbedaan. Antaranya adalah, zina dilakukan dalam keadaan suka sama suka, sedangkan rogol dalam keadaan paksaan; zina tidak melibatkan kepada mangsa, sedangkan rogol wujud mangsa yang tidak bersalah dan sebagainya.

Disamping itu juga, hudud itu dikatakan wujud melalui nas yang muhkam, sedangkan rogol tidak termaktub dalam nas. Dan lagi, hudud adalah perkara sawabit; yang ia tidak boleh terhasil dari kaedah qias dan seumpama dengannya.

Ekoran itu, dalam manhaj mazhab syafie, ia tidak boleh diletakkan dibawah hudud, tetapi diletak dibawah takzir. 

[3]

Di Malaysia, berlaku polemic dalam menentukan status hukum rogol, apakah ia dibawah hudud atau dibawah ta’zir. Perkara ini, perlu diselesaikan di meja rundingan ilmuan. 

Disamping itu juga, mengadaptasikan hukum itu hendaklah berasaskan kepada kemaslahatan rakyat setempat, sepertimana umum menggunakan syarat geran kepada tanah yang diteroka dengan merujuk kepada mazhab hanafi, sedangkan dalam mazhab syafie [umum rakyat Malaysia bermazhab syafie] tidak mensyaratkan geran bagi tanah yang diteroka. Mengambil cara mazhab hanafi dalam menentukan hak milik tanah dengan geran mempunyai kemaslahatan masyarakat Malaysia berbanding mengambil cara mazhab syafie.

Jika dalam kes tanah diteroka pun, dijadikan mazhab hanafi sebagai cara yang diguna pakai kerana ia lebih memberi maslahah kepada rakyat setempat, maka begitujuga dalam isu penentuan hukum rogol di Malaysia.

Secara peribadi, aku lebih bersetuju mengatakan hukum rogol ini tidak diletakkan dibawah hukum hudud, tetapi diletakkan dibawah hukum ta’zir, kerana ia banyak memberi kemaslahatan kepada rakyat Malaysia. Jika diletakkan dibawah hudud, ia memberi polemic yang kedua, iaitu dalam menentukan pembuktian dengan merujuk kepada empat orang saksi, yang sudah pasti mangsa rogol sukar mendapat hak pembelaan.

Namun begitu, ia bukan bermakna mangsa rogol boleh menuduh orang sesuka hati sehingga boleh tersebar kezaliman. Penentuan takzir itu pun, hendaklah dibawah kerangka maqasid ammah, iaitu mencapai keadilan dan menolak dari berlaku kezaliman di atas muka bumi Allah SWT.

Sekian

Wallahu ‘Alam


[BERGAMBAR] AQIDAH ANDA SELAMAT DI SINI


Ini adalah tempat yang cukup terbaik untuk umat Islam mendidik diri agar aqidah tidak tergelincir....



Semua mereka yang berada di sini, aqidah mereka sudah kukuh, tidak perlu dibimbangi lagi.



Untuk melihat tazkirah dan motivasi bergambar agar aqidah umat Islam terjaga, sila klik di sini

Rabu, 5 Oktober 2011

NAJIB BUKAN MAQASIDI, TETAPI NEO-MUKTAZILAH

Ramai yang terkeliru apabila Najib Tun Razak, perdana Menteri Malaysia menggunakan ungkapan Maqasid Syariah dalam perkara-perkara yang agak kontroversi, Iaitu dalam perkara tidak melaksanakan hudud dan menghalalkan tahanan tanpa bicara (ISA). Ramai yang melontarkan persoalan ini kepadaku, tidak kurang juga yang mula menyindir terhadap ilmu maqasid Syariah yang baik ini dengan mendakwa bahawa ilmu ini digunakan untuk tidak melaksanakan Islam.

secara peribadi, aku pada asalnya tidak berminat untuk mengulas tentang persoalan ini. tetapi, memandangkan ramai yang terkeliru sehingga ilmu yang hebat ini semakin diperspesikan sebagai negatif, maka tidak dapat tidak, aku terpanggil untuk menulis tentang perkara ini.

PERBINCANGAN

perbincangan ini, aku rungkaikan adalah seperti berikut;

PERTAMA : PENGARUH PEMIKIRAN MAQASID

Menurut Muhammad ‘Abid Al-Jabiri bahawa dari sudut kerangka pemikiran Islam, didapati wujud tiga unsur dalam sejarah intelektual Islam. Ia adalah seperti berikut;

Pertama;

Aliran Burhani, iaitu pemikiran falsafah yang jelas-jelas lebih menekankan pada penggunaan akal dan rasional dengan disertakan bukti-bukti yang nyata.

Kedua:

Aliran Bayani, iaitu pemikiran kalam atau tauhid yang lebih menekankan pada teks-teks naqliah (nas al-Quran dan as-Sunnah) dengan sedikit unsur aqliah (akal).

Ketiga:

Aliran Irfani, iaitu pemikiran tasawwuf yang lebih menekankan pada penggunaan rasa dan dzauq dengan bukti-bukti yang sulit dipertanggungjawabkan secara nyata .

Adapun menurut Dr Nu'man Jughaim dan Dr Yusuf Al-Qaradhawi bahawa dalam aliran pemikiran islam ini, ia terbahagi kepada tiga aliran .

Aliran-aliran itu adalah seperti berikut;

Pertama ;

zahiri (tekstual), iaitu aliran yang merujuk nas pada sudut tekstual, disamping melalaikan maksud yang terkandung dalam nas. Mereka ini mewarisi zahiri lama yang mengingkari kewujudan ta'lil bagi nas. Mereka tidak mewarisi keluasan ilmu, kecuali melihat nas dalam skop yang cukup sempit.

Kedua :

Muattilah (Neo-muktazilah), iaitu aliran yang hanya melihat kepada roh agama berdasarkan akal mereka, disamping melalaikan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Mereka mendakwa bahawa agama ini hanya ada pada inti, tidak pada bentuk; hanya ada pada hakikat, tidak pada gambaran.

Apabila didatangkan kepada mereka nas-nas yang muhkam, mereka akan berpaling dan menggunakan berbagai-bagai ta'wil untuk memesongkan maksud nas sesuai dengan akal mereka.

ketiga;

Wasati (pertengahan), iaitu aliran yang tidak melalaikan nas-nas yang juzie dari al-Quran dan sunnah yang sahih. Mereka ini tidak melalaikan dengan mengasingkan antara nas dan maqasid secara kulli.

Apabila diperhatikan kepada ketiga-tiga aliran pemikiran yang diklasifikasikan oleh Muhammad ‘Abid Al-Jabiri, Dr Yusuf Al-Qaradhawi dan Dr Nu’man Jughaim, kita dapat simpulkan bahawa, pemikiran Zahiri (tekstual) adalah pemikiran yang sekadar mempunyai unsur bayani. Sedangkan pemikiran Muattilah adalah pemikiran yang mempunyai unsur Burhani sahaja. Adapun pemikiran wasati, iaitu aliran yang tidak melalaikan nas-nas yang juzie dari al-Quran dan sunnah yang sahih. Disamping mereka tidak melalaikan atau mengasingkan antara nas dan maqasid secara kulli, ia adalah golongan yang menggabungkan ketiga-tiga unsur penting, iaitu Burhani, Bayani dan Irfani.

Apabila terhasil dari ketiga-tiga unsur ini, maka lahirlah satu fikrah yang dibincang dalam syariah, dinamakan sebagai Maqasid Syariah. Dengan erti kata yang lain, pemikiran Maqasid As-Syariah adalah pemikiran yang Mempunyai falsafah yang jelas lebih menekankan pada penggunaan akal dan rasional dengan disertakan bukti-bukti yang nyata (Burhani). Juga, menekankan pada teks-teks naqliah (nas al-Quran dan as-Sunnah) (bayani). Disamping itu juga, ia tidak melalaikan pemikiran tasawwuf yang lebih menekankan pada penggunaan rasa dan dzauq dengan bukti-bukti yang sulit dipertanggungjawabkan secara nyata (Irfani).

KEDUA : ALIRAN PENDAKWA MENGGUNAKAN MAQASID

Golongan yang terlalu Bayani, mereka akan menjadi golongan zahiri (atau disebut juga : literalis). Golongan yang terlalu burhani, mereka akan menjadi golongan muattilah (Neo-Muktazilah). Golongan yang terlalu 'irfani pula, mereka akan menjadi aliran tasawwuf yang tersasar, seperti banyak aliran-aliran tasawwuf yang sesat berlaku di dunia ini.

adapun Aliran Maqasid yang sebenar adalah gabungan antara tiga unsur, iaitu Burhani, Bayani dan Irfani. Ketiga-tiga unsur ini perlu seiring dan sejalan, tidak boleh didahulukan dan dikemudiankan antara satu dengan yang lain.

Namun begitu, ada sebilangan yang mendahulukan atau mengkemudiankan antara satu dengan yang lain, malahan wujud juga yang hanya mengambil unsur burhani sahaja dengan mendakwa bahawa mereka itu juga memegang teori maqasid syariah. Perlu diingat, hakikat sebenar mereka bukan aliran maqasid syariah yang sebenar, tetapi mereka adalah neo Muktazilah.

KESIMPULAN

Dari ini, dapat difahami bahawa tindakan Najib menggunakan istilah maqasid syariah untuk tidak melaksanakan hukum Islam merupakan aliran pemikiran neo muktazilah.

Sedangkan beliau membenarkan tahanan tanpa Bicara dengan alasan Maqasid Syariah pula adalah kesalahan dan kejahatan dalam mengamalkan maqasid syariah. Ini kerana, kemuncak bagi maqasid syariah adalah memberikan hak kepada mereka yang berhak, atau dalam istilahnya disebut sebagai mencapai keadilan, menolak kezaliman, sedangkan tahanan tanpa bicara yang diamalkan oleh Najib adalah sebaliknya, iaitu mencapai kezaliman dan menolak keadilan.

sekian

Wallahu 'Alam



Isnin, 3 Oktober 2011

ROSMAH BAKAL BERTUDUNG?

semasa di kelantan, seorang kawan memaklumkan bahawa pada raya aidul adha kali ini, Najib dan rosmah akan ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Beliau juga memaklumkan bahawa Rosmah akan bertudung sejurus pulang dari Makkah nanti. Diberitahu juga bahawa Rosmah akan terus berkekalan memakai tudung sehingga keputusan PRU. Dengan maksud, Rosmah bertudung itu mempunyai motif mendapat undi ekoran imej "agama" yang dibawanya.

Secara peribadi, aku mendengar dakwaan itu, tetapi tidak bermakna mempercayainya bulat-bulat. Padaku, jika Rosmah mahu bertudung, itu adalah perkara yang wajib dia tunaikan. Malahan, sebagai muslim, aku amat menggalakkan tindakan itu. Namun, Sama ada dia lakukan kerana Allah atau sebaliknya, itu hendaklah dia menjawab dihadapan Allah SWT di akhirat kelak.

Tetapi, jika benar dakwaan bahawa ia sebagai cara untuk menarik perhatian agar pengundi memberikan undian kepada BN ekoran imej "agama" yang bakal dibawa oleh Rosmah, maka niat sebegitu adalah perkara yang cukup dimurkai. Ia sama seperti tindakan Khawarij yang menggunakan ayat al-Quran untuk menjatuhkan pemerintahan Ali sehingga Ali bin Talib menyatakan, "kalimah itu adalah benar, tetapi yang dikehendakinya adalah kebatilan".


sekian

wallahu 'Alam

Sabtu, 1 Oktober 2011

SEPATUTNYA BARAT LEBIH DAHULU LAKSANA HUDUD

[1]

Zaman Umar menjadi Khalifah, beliau telah menangguhkan perlaksanaan hukuman potong tangan. Penangguhan itu kerana wujud syubhat, iaitu tahun kelaparan. Jika dilaksanakan juga hudud pada tahun kelaparan, dibimbangi hukuman potong tangan akan terkena pada mereka yang tidak bersalah.

Tahun kelaparan bermakna tahun itu tidak ada kebajikan. Kerajaan tidak dapat menyediakan dana yang cukup kepada rakyat disebabkan suasana dan kondusif pada masa itu benar-benar mendahului kemampuan kerajaan untuk menyediakan kesenangan kepada rakyat.

Mengenangkan kondusif ketika itu tidak mengizinkan, maka hudud ditangguhkan. Kondusif itu merupakan syubhat. Sabda Nabi SAW, “Tinggalkan hudud jika wujud syubhat”.

[2]

Keadilan dan kebajikan merupakan perkara penting dalam Islam. Tanpa mempunyai kerajaan, keadilan dan kebajikan sudah wajib dilaksanakan. Makanya, ketika sudah mendapat kerajaan, keadilan dan kebajikan itu lebih-lebih wajib dilakukan.

Di barat, waima mereka tidak beragama Islam, tetapi keadilan dan kebajikan mereka lebih baik jika dibandingkan dengan Negara umat Islam.

[3]

Di zaman Umar, hudud ditangguhkan perlaksanaannya apabila tidak ada kebajikan. Apabila kebajikan sudah tercapai, maka perlaksanaan hudud kembali dilaksanakan.

Di barat, kebajikan sudah tercapai, tetapi mereka tetap tidak melaksanakan hudud kerana mereka tidak beragama islam, malahan tidak mengerti tentang undang-undang Allah itu.

Sekiranya mereka sudah beragama islam, mungkin Negara mereka adalah Negara yang sepatutnya mendahului kita dalam perlaksanaan hudud, kerana mereka sudah ada kebajikan, sedangkan kita baru sekadar mendraf buku “Negara berkebajikan”, tetapi belum lagi berjaya melaksanakan kebajikan.

Tapi apakan daya, antara syarat perlaksanaan hudud juga adalah pemimpin itu beragama islam, tetapi yang ada di barat adalah, kebajikan cara Islam, tetapi agama anutan mereka bukan agama Islam.

Apabila melihat barat, Said Nursi pernah menyebut, “aku melihat Islam tanpa penganut”.

Sekian

Wallahu ‘Alam


Khamis, 29 September 2011

PERKASA NAK BUAT HIMPUNAN BULAN DEPAN

Dikhabarkan bahawa PERKASA akan buat himpunan sejuta umat di Stadum Shah Alam pada 22 Oktober, Jam 2:30 petang.

Permit telah dipohon.

Khabarnya, MAIS akan terlibat.

sekian