Rabu, 4 Februari 2009

PR PERAK : TELUR HUJUNG TANDUK

PR PERAK : TELUR HUJUNG TANDUK

Gempar di seluruh Malaysia, mungkin satu dunia merasakan bahang berita berkenaan dengan “tragedy” yang menimpa kerajaan perak. ADUN yang lompat dari BN ke PKR, lalu kembali balik ke lubuknya kembali. Ditambahi pula, dua ADUN PKR yang baru-baru ini “main sorok-sorok”, tiba-tiba keluar muka mereka dalam berita bersama “boss baru”; sang lembaga botak. Serupa juga timbalan Speaker PR Perak dari parti DAP.

Mengikuti berita “tragedy Perak” ini memperlihatkan betapa uniknya perang politik. Peperangan yang melibatkan undang-undang dan akal pemikiran dalam berstrategi, terutama berhadapan dengan satu kuasa yang tidak pernah adil dengan mangsanya.

Keputusan Sultan Perak pada esok hari, sedang dinanti-nantikan dengan seluruh cabaran, debaran dan kegelisahan. Apa agaknya yang diilham Allah kepada Tuanku Sultan. Harapannya, memberi laluan yang lebih menguntungkan islam dan rakyat perak.

Sebagai muslim, dalam keadaan yang gentir ini, selayaknya kita tidak mengabaikan dua perkara, iaitu; (a) menyusun segala strategi yang mungkin; (b) tidak lupa juga penyerahan diri setiap anggota gerakan Islam kepada Allah; tuhan yang maha berkuasa, agar memberikan keputusan yang terbaik.

Dibimbangi, ramai dari kalangan anggota gerakan islam yang kadangkala bersikap seperti qadariyyah; memfokuskan strategi, tanpa mengikatnya dengan pertolongan Allah.

Begitujuga, wujud dari kalangan mereka yang bersikap Jabariyyah; menyerahkan buta tuli kepada Allah, tanpa merancang sebarang strategi dalam mencapai keputusan yang baik.

Tindakan ini amat salah, bahkan sebagai muslim, kedua-dua unsure; strategi dan penyerahan diri kepada Allah selayaknya digabung sekali.

Ini berasaskan kepada firman Allah;

إِنَّ الله اصطفاه عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي العلم والجسم

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah memilih dia (Talut) untuk menjadi raja untuk kamu, di tambahi lagi (baca : kelayakan), dia mempunyai keluasan dari sudut ilmu dan kekuatan jisim”

(Surah Al-Baqarah : 247)

Dari ayat ini, jelas Allah menyatakan bahawa, seseorang pemimpin yang terlantik itu, tidak seharusnya ada unsure penyerahan bulat-bulat kepada Allah, bahkan hendaklah pemimpin tersebut memenuhi cirri-ciri kepimpinan, iaitu mempunyai ilmu dalam memimpin, sama ada dari sudut strategi kepimpinan atau sebagainya, juga mempunyai kekuatan jisim dalam menguruskan pemerintahan.

Walaupun ayat ini memfokuskan cirri-ciri kepimpinan, pun begitu, kepimpinan dan kerajaan adalah dua perkara yang amat sinonim; tidak dapat dipisahkan. Apa ertinya kepimpinan tanpa kerajaan; juga apa gunanya kerajaan tanpa kepimpinan.

Dari sini, jelas kepada kita bahawa Allah menggambarkan, betapa pembentukan kerajaaan itu memang ketentuan Allah, tapi dalam masa yang sama, adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan sudut strategi dalam mendapatkan kerajaan.

Walaubagaimanapun, sehebat mana pun strategi yang digarap, keputusan yang baik atau tidak diserahkan kepada Allah SWT.

Firman Allah;

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya;
“Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”

(Surah Al-Imran : 26)

Oleh itu, sebelum sultan perak mengeluarkan keputusannya berkenaan dengan status kerajaan negeri perak, bermula pada malam ini, marilah kita semunya bermunajat; berdoa dengan Allah agar diberikan satu keputusan yang terbaik dalam menentukan kemelut ini...

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com.



- Sri indah (B), Sg Buloh
5 Febuari 2009 * 12:24 pagi.

Tiada ulasan: