Rabu, 20 Mei 2009

PERGI TAK KEMBALI : SIRI 1 : HARAPKAN MATI


PERGI TAK KEMBALI : SIRI 1

HARAPKAN MATI

Setiap yang hidup pasti akan dikunjungi kematian. Lari dari kematian, merupakan tindakan yang bodoh. Ini kerana, mengambil sikap mahu lari dari kematian merupakan tindakan yang mustahil berlaku.

Firman Allah;

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya;
”Setiap yang bernyawa itu pasti akan mati, dan kepada kami (Allah), kamu akan dikembalikan”

(Surah Al-Ankabut : 57)

Makhluk yang mati itu, tidak kira apa jenis makhluk. Sama ada, ia adalah manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.

Matinya manusia, tidak sama seperti matinya binatang dan tumbuh-tumbuhan. Manusia mati di dunia, bermakna, mereka akan berjumpa dengan kehidupan yang kekal abadi. Keadaan ini tidak sama seperti yang dihadapi oleh makhluk yang lain.

Ada sebilangan manusia, mereka ditimpa dengan sesuatu musibah di dunia, menyebabkan mereka sentiasa berharap kepada kematian. Tindakan itu adalah salah disisi Syarak, bahkan ianya seakan-akan tidak redha dengan qada’ dan qadar Allah SWT.

Seorang ulama bernama Sahl bin Abdillah At-Tasatturi ada berkata;

”seseorang kamu tidak akan mengharapkan kepada kematian, melainkan tiga golongan, iaitu (1) orang yang tidak mengetahui apa yang akan berlaku selepas dari kematian, (2) orang yang lari dari qadar Allah, (3) orang yang terlalu rindu untuk berjumpa dengan Allah SWT
[1]

Jika diperhatikan kepada perkataan Sahl bin Abdillah At-Tasatturi ini, kita akan dapat lihat tujuan manusia mahu kepada mati adalah pelbagai. Pun begitu, tidak semua tujuan tersebut terlarang, bahkan dalam keadaan tertentu, ia dibenarkan.

Dalam Islam, mengharapkan kepada kematian dengan tujuan yang tidak sepatutnya adalah dilarang. Ini disandarkan kepada hadis Nabi SAW yang bersabda:

لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ مِنْ ضُرٍّ أَصَابَهُ فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ فَاعِلًا فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتْ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتْ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

Maksudnya;
“Jangan seseorang kamu berharap kepada kematian disebabkan mudharat yang menimpanya. Sekiranya ia tetap mahu melakukannya, maka hendaklah dia berdoa; Ya Allah !! hidupkan aku sekiranya hidup itu lebih baik bagiku. Dan wafatkan aku sekiranyanya wafat itu lebih baik bagiku
[2]

Hadis ini menjadi bukti kukuh bahawa mengharapkan kematian dengan sebab tidak tertahan dengan sesuatu musibah dunia merupakan tindakan yang tidak elok, bahkan ia adalah keji di sisi syarak. Musibah dunia yang dimaksudkan, sama ada berbentuk penyakit yang dihadapi, kemiskinan, ujian, bala dan sebagainya.

Pun begitu, ulama hadis ada menyebut, sekiranya pengharapan kepada kematian itu disebabkan bimbang hidup ini ditimpa dengan sebarang fitnah pada agamanya, ataupun bimbang terpengaruh dengan kefasadan disebabkan berada dalam zaman kerosakan, maka itu dibenarkan.

Keadaan ini berlaku kepada sebilangan para sahabat besar, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Malik berkenaan dengan doa Omar bin Al-Khattab yang berkata;

اللَّهُمَّ كَبِرَتْ سِنِّي ، وَضَعُفَتْ قُوَّتِي ، وَانْتَشَرَتْ رَعِيَّتِي ، فَاقْبِضْنِي إِلَيْك غَيْر مُضَيِّع وَلَا مُفَرِّط

Maksudnya;
”Ya Allah !! umurku telah tua, kekuatanku telah lemah, rakyatku semakin ramai, maka cabutlah nyawaku tanpa kesengsaraan”

Walau bagaimanapun, Imam An-Nawawi menyatakan, sekiranya dia mengambil sikap bersabar untuk hidup dalam zaman kefasadan tersebut, beserta berusaha dengan segala kekuatan jiwa yang ada untuk beramal soleh, disamping bersungguh-sungguh dalam bertindak untuk mengubah kefasadan itu kepada kebaikan, maka itu adalah terlebih afdhal disisi Allah SWT
[3].

MATI TIDAK BERNYAWA?

Imam Al-Qurtubi ada menyebut bahawa, kematian itu bukan sekadar hilang nyawa atau ditimpa kebinasaan diri sahaja, bahkan kematian itu adalah tercerainya antara roh dari jasad, berpindah dari sebuah rumah kepada rumah yang lain. Ia merupakan musibah yang paling besar, juga dugaan yang tidak tertanggung
[4].

Memahami dari ini, tidak selayaknya pengharapan kepada mati itu berlaku disebabkan tidak tahan dengan musibah dunia ketika hidup. Ini kerana, apabila mengharapkan juga kepada kematian, bermakna dia telah berharap untuk berjumpa dengan musibah yang lebih besar. Dan sudah pasti, tindakan itu merupakan tindakan yang tidak cerdik bagi mereka yang mempunyai akal yang sihat.

Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang yang sedang berada dalam ketaatan, lalu bimbang di masa yang akan datang dia berada dalam kesesatan, menyebabkan dia berdoa, minta dimatikan segera, maka itu dibenarkan.

Tindakan seperti ini pernah dilakukan oleh khalifah islam yang kelima, iaitu Omar bin Abdul Aziz ketika saat beliau sedang memegang tampuk pemerintahan Islam, kerana ketika itu beliau terlalu bimbang jika mati dalam keadaan termakan harta rakyat, juga melakukan kezaliman dalam pemerintahan
[5].

MATINYA KEKASIH ALLAH

Kematian kekasih Allah, tidak sama seperti kematian manusia-manusia yang lain. Mereka mati dalam keadaan sememangnya mereka akan bertemu dengan Allah, dan sudah pasti akan mencapai kebahagiaan hidup selepas dari kematian tersebut. Keadaan ini tidak sama bagi mereka yang tidak menjadi kekasih Allah, lebih-lebih lagi mereka yang ingkar akan ajaran Allah SWT.

Diceritakan suatu hari, malaikat maut telah datang berjumpa dengan Nabi Ibrahim A.S yang dikenali sebagai Khalilullah (terjemahan : kekasih Allah) untuk mencabut nyawa baginda. Apabila sampai Malaikat itu kepada Nabi Ibrahim untuk meminta izin untuk mencabut nyawa, menyebabkan Ibrahim A.S berkata;

رأيت خليلا يقبض روح خليله ؟

maksudnya;
” apa pandangan kamu jika seorang kekasih mahu mencabut roh kekasihnya?”

Mendengar soalan Nabi Ibrahim itu, menyebabkan Malaikat maut tidak mengetahui untuk memberikan jawapan. maka berjumpalah Malaikat dengan Allah menyebut tentang soalan yang dikemukakan oleh Nabi Ibrahim itu.

Mendengar laporan dari Malaikat maut, menyebabkan Allah menyuruh Malaikat berkata kepada Ibrahim;

ورأيت خليلا يكره لقاء خليله ؟

maksudnya:
”apa pandangan kamu, jika seorang kekasih tidak mahu berjumpa dengan kekasihnya?”

Mendengar soalan itu, perasaan rindu Nabi Ibrahim kepada Allah membuak-buak, menyebabkan Ibrahim AS meminta kepada malaikat agar mencabut nyawanya dengan segera
[6].

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
21 mei 2009 * 4:34 pagi




[1] At-Tazkirah : 5
[2] Sahih Al-Bukhari : 5239
[3] Syarh An-Nawawi : 9/43.
[4] At-Tazkirah : 4
[5] Aun Al-Ma’bud : 7/92.
[6] Al-Fawaid Wa Az-Zuhd Wa Ar-raqaiq wa Al-Maratsi Li Ja’far Al-Khalidi : 33.

Tiada ulasan: