TADABBUR AL-QURAN : SIRI 18
HINDARI SEBARANG PERBALAHAN
Satu perkara yang tidak boleh kita nafikan, bahawa Islam adalah agama menjaga kehidupan manusia. apabila disebut kehidupan, pasti Allah menjaga perkara lahiriyyah manusia, juga perkara batiniyyah.
Perkara lahiriyyah manusia, seperti tangan, kaki, muka, pergerakan harian, bertindak dan banyak lagi. Adapun perkara batiniyyah pula, seperti marah, dengki, benci, sayang, emosi dan banyak lagi.
Kehidupan lahiriyyah, mempunyai kaitan rapat dengan batiniyyah. apabila tangan tidak melakukan perkara yang betul, menyebabkan batiniyyah juga terganggu.
Orang yang mencuri, merupakan orang yang menyalah gunakan nikmat tangan yang dianugerahkan Allah kepadanya. Apabila dia mencuri, bermakna dia telah mencetuskan perbalahan sesama manusia; iaitu dengan orang yang dicuri.
Memahami keadaan inilah, setelah kita hayati kepada Islam, pasti kita akan membuat satu kesimpulan bahawa Islam itu menjaga semua perkara yang disebut sebagai lahiriyyah dan batiniyyah ini.
Perasaan marah, antara perkara yang bisa melahirkan perbalahan sesama manusia, merupakan perkara batiniyyah yang mempunyai kaitan rapat dengan perkara lahiriyyah.
Dalam banyak-banyak perkara yang bisa berlaku perbalahan antara manusia adalah, perkara yang melibatkan kepada hutang. Apabila seseorang itu berhutang, kadang-kala ia boleh berlaku perbalahan di masa akan datang disebabkan wujudnya penafian salah satu pihak terhadap hutang yang telah berlaku.
Seperti contoh, si A telah memberikan hutang kepada si B dengan kadar Rm 3 ribu, dengan disyaratkan agar di bayar hutang itu pada tarikh 20 haribulan. Lalu, apabila sampai waktu dalam melunaskan hutang tersebut, mungkin salah satu pihak yang menafikan sesuatu hak, seperti pihak yang memberi hutang mendakwa bahawa dia telah memberi hutang sebanyak RM 4 ribu. Ataupun, pihak yang berhutang dikala sampai tarikh pembayaran hutang; iaitu pada 20 haribulan, dia menafikannya dengan mendakwa bahawa dalam perjanjian tersebut berlaku pada 30 haribulan.
Memandangkan keadaan ini dibimbangi melahirkan perbalahan antara sesama manusia, maka Allah telah meletakkan satu undang-undang dalam kehidupan manusia menerusi Al-Quran, agar sebarang hutang yang dibuat, hendaklah ditulis.
Firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ
Maksudnya;
”Wahai orang-orang yang beriman. Apabila berlaku muamalat sesama kamu dengan sesuatu hutang kepada sesuatu masa yang ditentukan, maka hendaklah kamu tulis”
(Surah Al-Baqarah : 282)
Jika merujuk kepada sebab turun ayat ini. Ibnu Abbas menyatakan bahawa, ayat ini diturunkan berkenaan dengan satu kejadian yang berlaku di awal kemasukan Nabi SAW ke Madinah.
Di awal kemasukan Nabi SAW ke Madinah, rakyat Madinah mengamalkan sejenis perniagaan yang disebut sebagai ”Bai’ As-Salaf”.
”bai’ As-Salaf” atau digunakan juga dengan nama ”Bai’ As-Salam”.
Dalam kitab Al-Mu’jam Al-Iqtisadi, karangan Dr Jamal Abd An-nasir, dinyatakan bahawa ”bai’ As-Salaf” adalah penggunaan disisi Ahli Iraq. Adapun ”Bai’ As-Salam” adalah penggunaan disisi Ahli hijaz.
Bai’ As-Salaf atau Bai’ As-Salam didefinisikan sebagai jualan terhadap sesuatu benda dengan menerima wang dahulu, tetapi menerima barang pada waktu kemudiannya[1].
Di zaman Nabi, amalan ”bai’ As-Salaf” dikalangan rakyat madinah adalah perkara biasa. Mereka melakukan ”bai’ As-Salaf” ini pada perkara yang melibatkan tamar dan sebagainya.
Melihat keadaan itu, menyebabkan Nabi SAW bersabda;
من أسلف فليسلف في كيل معلوم ووزن معلوم إلى أجل معلوم
Maksudnya;
“Barangsiapa melakukan ‘Bai’ As-Salaf’, maka hendaklah dilakukan dalam kilo yang diketahui, timbangan yang diketahui, kepada tarikh yang diketahui”
Disebalik suruhan Nabi SAW itu, sudah wujud unsur berhati-hati dari sebarang kekacauan di masa akan datang. Pun begitu, bagi mengkukuhkan perjanjian, Allah menurunkan ayat agar sebarang hutang yang berlaku, hendaklah ditulis. Ia bertujuan, agar tidak berlaku perbalahan di masa akan datang.
MENULIS
Dalam hal menulis yang dituntut oleh Allah ketika berlaku hutang berhutang ini, ulama berbeza pendapat dalam menentukan status hukumnya; apakah wajib atau sunat sahaja.
Kekhilafan ini berlaku, disebabkan Allah menggunakan ”fiel Al-Amr” atau perbuatan suruhan pada kalimah ”فاكتبواه”.
Dalam pengajian usul fiqh, sebarang suruhan yang wujud dalam nas, ia diasaskan kepada hukumnya adalah wajib. Pun begitu, sekiranya ada nas-nas, atau hujjah yang boleh mengalihkannya jadi sunat, maka hukum wajib tersebut bertukar menjadi sunat.
Melihat keadaan itulah, kita akan dapati ulama berselisih pendapat dalam menentukan status hukum ”menulis” ketika berlaku hutang berhutang tersebut.
Walau bagaimanapun, jumhur ulama berpendapat hukum menulis itu adalah sunat, tidak wajib. Ini disandarkan kepada hujjah bahawa boleh dikatakan seluruh umat Islam sejak dahulu hingga kini, mereka tidak menjadikan satu kewajipan menulis ketika berlaku hutang berhutang. Menandakan, suruhan dalam ayat Al-Quran ini adalah merujuk kepada sunat.
PENULIS YANG ADIL
Di sebalik suruhan menulis itu pula, dibimbangi berlaku penyelewengan disebalik tulis yang dilakukan, menyebabkan Allah menyuruh melantik penulis yang Adil.
Penulis Adil yang dimaksudkan adalah, penulis tersebut terhindar dari sebarang dosa, sama ada kecil atau besar.
Firman Allah;
وَلْيَكْتُبْ بَيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ
Maksudnya;
”Hendaklah yang menulis dari kalangan kamu itu adalah penulis dengan Adil”
(Surah Al-Baqarah : 282)
Dari ayat ini, ulama tafsir menyebut bahawa penulis yang dilantik itu, pastikan dari kalangan orang yang adil.
Adil yang dimaksudkan dari ayat ini adalah seperti berikut;
a) penulis itu adalah orang yang tidak dikenali sebagai manusia yang mempunyai maruah yang buruk, seperti dikenali kaki belit dan sebagainya.
b) kandungan yang ditulis itu, tidak lebih atau kurang dari isi perjanjian hutang yang berlaku antara dua belah pihak.
c) Isi tulisan itu, bisa menjadi hujjah sekiranya diperlukan.
d) Isi kandungan tulisan itu, melahirkan perasaan puas hati dari dua belah pihak yang berhutang.
e) Terhindar isi tulisan itu dari lafaz-lafaz yang mempunyai banyak tafsiran, kerana dibimbangi menjadi ”bahan belit” di masa akan datang. Bermaksud, hendaklah ditulis dalam bentuk yang difahami dan tidak bisa dilakukan pelbagai tafsiran terhadap lafaz-lafaz dalam isi tulisan tersebut.
Jika merujuk kepada suruhan melantik penulis yang adil menerusi ayat ini, kita akan dapati bahawa dalam maqasid Syariah, sesuatu lantikan terhadap ”orang tengah”, hendaklah bukan dari orang yang ”bias” kepada sesuatu pihak. Keadaan ini dibimbangi, berlaku penyelewengan.
Jika dalam perkara melantik penulis hutang pun hendaklah dicari orang yang tidak ”bias” mana-mana pihak, inikan pula dalam perkara yang lebih besar, seperti perlantikan hakim, qadhi, SPR dan sebagainya.
Sekian
Bersambung......
Wallahu ’Alam
Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/
ustaz_bakistani@yahoo.com
- Sri Indah (B), Sg Buloh
20 mei 2009 * 11:27 malam
[1] Al-Mukjam Al-Iqtisadi : 209
Tiada ulasan:
Catat Ulasan