Ahad, 23 Ogos 2009

AL-KISAH (14) : “KAMU TIDAK MAMPU MEMBELI ANGGUR”


“KAMU TIDAK MAMPU MEMBELI ANGGUR”

Suatu hari Omar bin Abdul Aziz dalam perjalanan pulang, terlihat orang menjual anggur. Melihat anggur itu, hatinya terdetik kepingin untuk memakan anggur yang dijual itu.

Beliau tidak membeli anggur itu, kerana beliau tidak mempunyai sebarang wang pun dalam poketnya. Dia pun kembali kerumah, dengan harapan isterinya mempunyai wang untuk membeli anggur tersebut.

“Wahai Fatimahku, apakah kamu mempunyai Wang? Jika ada, tolong belikan kepadaku anggur, kerana aku terlalu kepingin untuk memakan anggur” Omar memberitahu kepada isterinya sambil membuka kasutnya untuk masuk ke dalam rumah.

Sengaja Omar tidak membelinya sendiri. Ini kerana, jika dia membelinya sendiri, berkemungkinan penjual anggur itu akan memberinya secara percuma, sedangkan itu tidak disukai oleh Omar kerana beliau mengetahui kesusahan peniaga itu mencari rezeki.

Fatimah tersenyum mendengar soalan Omar itu.

”Wahai Suamiku, tahukah kamu bahawa kamu seorang pemimpin negara yang tidak mempunyai wang?” ujar Fatimah lembut.

Mendengar ujar isterinya yang lembut itu, Omar tersenyum seraya berkata, ”tidak mengapa. Keadaan kita ini lebih mudah untuk kita berhadapan dengan Allah di akhirat nanti”

WANG DAN AKHIRAT

Orang yang bertaqwa, mereka tidak mudah terpedaya dengan wang. Pada mereka, wang sebagai alat sahaja untuk mencapai keredaan Allah SWT. Apabila mereka mempunya wang, mereka tidak akan kedekut, malah mereka bersifat dermawan kepada sesiapa sahaja, terutama dalam perkara yang boleh menghampirkan diri mereka kepada Allah SWT.

Pun begitu, wujud dari kalangan manusia itu yang menjadikan wang sebagai matlamat utama kehidupan mereka. Demi wang, mereka sanggup melakukan berbagai-bagai kemungkaran di atas muka bumi Allah SWT.

Demi wang, mereka sanggup menipu dan mengkhianati amanah rakyat. Jawatan bagi mereka, tidak dijadikan sebagai cara untuk mereka menyelesaikan amanah rakyat, tetapi mereka jadikannya sebagai cara untuk mereka menambah kekayaan.

Jika kita hayati, manusia yang bernama Abdur Rahman bin Auf yang merupakan seorang sahabat Nabi SAW pun, disebabkan kekayaan, beliau masuk ke syurga dalam keadaan merangkak, waimma beliau adalah manusia yang sangat pemurah. Inikan pula, mereka yang mempunyai kekayaan disamping mengkhianati amanah rakyat.

Aisyah R.ha ada berkata bahawa dia dengar Rasulullah SAW bersabda;

قَدْ رَأَيْتُ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ عَوْفٍ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ حَبْوًا

Maksudnya;
”Sesungguhnya aku melihat Abdur Rahman bin Auf masuk syurga dalam keadaan merangkak
[1]

Ungkapan Nabi SAW ini sampai kepada pengetahuan Abdur Rahman bin Auf. Beliau amat terkesan dengan sabdaan Nabi SAW itu, menyebabkan beliau telah menghadiahkan sebanyak 70 ekor unta tunggangan ke jalan Allah SWT.

LUPA DARATAN KERANA WANG

Kebanyakkan ahli politik mampu hidup dalam keadaan susah dikala mereka tidak berkuasa. Pun begitu, setelah mereka berkuasa, cara hidup mereka boleh berubah, malah kadang-kala melahirkan perasaan sombong dan bongkak terhadap sesiapa sahaja, terutama terhadap rakyat mereka.

Dalam sistem demokrasi, sokongan dan undian rakyat merupakan penentu terhadap kemenangan. Di saat pilihanraya sedang berlaku, rakyat diperlakukan seperti raja, tetapi setelah pengisytiharan kemenangan mereka sebagai ’orang berkuasa’, rakyat yang diperlakukan seperti raja telah bertukar menjadi seperti hamba.

Inilah fitnah yang menimpa kepada sesetengah pimpinan-pimpinan politik dalam negara kita, malah di mana-mana sahaja.

Sesungguhnya ramai manusia itu binasa dengan ujian kesenangan hidup berbanding ujian kesusahan. Di saat kesusahan sedang menimpa, manusia mampu menghadapi segala ujian ini, tetapi disaat kesenangan sedang menimpa, mereka agak susah untuk berhadapan dengan ujian tersebut.

Lihatlah bagaimana Allah membinasakan umat Nabi Soleh yang ingkar ajaran Allah SWT disebabkan kesenangan dan kemewahan. Mereka mempunyai kehebatan dari sudut pembangunan, tetapi ternyata mereka binasa dengan kesombongan dengan ujian kemewahan itu.

Kemewahan mereka disebut oleh Allah SWT

وَاذْكُرُوا إِذْ جَعَلَكُمْ خُلَفَاءَ مِنْ بَعْدِ عَادٍ وَبَوَّأَكُمْ فِي الْأَرْضِ تَتَّخِذُونَ مِنْ سُهُولِهَا قُصُورًا وَتَنْحِتُونَ الْجِبَالَ بُيُوتًا فَاذْكُرُوا آَلَاءَ اللَّهِ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

Maksudnya;
”Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikam kamu pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum 'Aad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah; maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu merajalela di muka bumi membuat kerusakan”

(Surah Al-’Araf : 74)

Memandangkan mereka mempunyai kemewahan dan kemegahan ini, mereka angkuh dengan ajaran Allah SWT. Lalu, pemuka-pemuka mereka berkata;

قَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا مِنْ قَوْمِهِ لِلَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا لِمَنْ آَمَنَ مِنْهُمْ أَتَعْلَمُونَ أَنَّ صَالِحًا مُرْسَلٌ مِنْ رَبِّهِ قَالُوا إِنَّا بِمَا أُرْسِلَ بِهِ مُؤْمِنُون * قَالَ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا إِنَّا بِالَّذِي آَمَنْتُمْ بِهِ كَافِرُونََ

Maksudnya;
”Pemuka-pemuka yang menyombongkan diri di antara kaumnya berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah yang telah beriman di antara mereka: "Tahukah kamu bahwa Shaleh di utus (menjadi rasul) oleh Tuhannya?." Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami beriman kepada wahyu, yang Shaleh diutus untuk menyampaikannya * Orang-orang yang menyombongkan diri berkata: "Sesungguhnya kami adalah orang yang tidak percaya kepada apa yang kamu imani itu.”

(Surah Al-’Araf : 75-76)

Keangkuhan mereka, bukan sekadar dizahirkan dengan ucapan lisan, malah mereka membuktikan dengan tindakan, sehingga sampai satu tahap, mereka sangguh membunuh unta Nabi Soleh yang merupakan tanda mukjizat baginda.

Firman Allah;

فَعَقَرُوا النَّاقَةَ وَعَتَوْا عَنْ أَمْرِ رَبِّهِمْ وَقَالُوا يَا صَالِحُ ائْتِنَا بِمَا تَعِدُنَا إِنْ كُنْتَ مِنَ الْمُرْسَلِينَ

Maksudnya;
”Kemudian mereka sembelih unta betina itu, dan mereka berlaku angkuh terhadap perintah Tuhan. Dan mereka berkata: "Hai Shaleh, datangkanlah apa yang kamu ancamkan itu kepada kami, jika (betul) kamu termasuk orang-orang yang diutus (Allah)”

(Surah Al-’Araf : 77)

Keangkuhan mereka itu sampai ketahap yang semaksima yang mungkin, menyebabkan Allah membinasakan mereka sehingga mereka semuanya mati, malah keturunan mereka tidak wujud lagi atas muka bumi Allah SWT.

Firman Allah;

فَأَخَذَتْهُمُ الرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُوا فِي دَارِهِمْ جَاثِمِينَ

Maksudnya;
“Karena itu mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka”

(surah Al’Araf : 78)

Kisah ini menjadi bukti, betapa manusia agak susah untuk kembali kepada Allah apabila mereka berada dalam kesenangan dan kemewahan. Keadaan inilah yang dikenang oleh Omar bin Abdul Aziz, menyebabkan beliau lebih rela hidup dalam kesusahan berbanding kesenangan, waimma beliau menjadi orang yang berkuasa sekalipun.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 ogos 2009 * 2:24 petang


[1] Musnad Ahmad : 23698.

4 ulasan:

Muiz Nasrallah berkata...

ustaz, bagaimana pendapat dr. Asri dalam kuliahnya bahawa hadis mengenai Abdul Rahman bin Auf sengaja direka- reka oleh golongan Zuhhad?

Ye ke?

Al-Bakistani berkata...

ana tidak pasti akan yang disebut oleh dr Asri itu. cumanya, hadis yang ana kemukakan ini, merujuk kepada musnad ahmad, juga kitab rijal haul ar-rasul SAW.

mungkin ana kena semak dulu...


sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani

Al-Bakistani berkata...

dalam kitab al-mauduat : imam ahmad kata, hadis ini ada penipuan dan munkar.

dalam kitab tazkirah al-mauduat : hadis ini doif, waimma disahihkan oleh Al-Hakem..

Imam Ibnu Hajar kata, hadis ini dilihat doif tetapi tidak ditohmah sebagai ada penipuan.

dalam takhrij ahadis al-ihya', al-iraqi, dalam hadis ini seorang perawi namanya khalid bin abi malik. dia didoifkan oleh jumhur ulama hadis..

...

pada penilaian ana, hadis ini ada kekhilafan dari kalangan ulama hadis. ada kata, doif, ada kata mauduk dan ada kata sahih..

sekian

Al-Bakistani

Muiz Nasrallah berkata...

syukran ya ustaz!
ana ada hantar emel kpd al- ustaz berkenaan ghadir kumm, harap ustaz dah terima