Isnin, 24 Ogos 2009

AL-KISAH (15) : BIJAKSANA OMAR MEMBERI TEGURAN


BIJAKSANA OMAR MEMBERI TEGURAN

Omar bin Abdul Aziz mempunyai seorang kawan karib bernama Musallamah bin Abdul Malik. Beliau seorang yang suka membazir dan suka kepada makanan yang mewah-mewah.

Perihal Musallamah diketahui oleh Omar. Justeru, Omar mengirim surat jemputan kepadanya untuk makan pagi bersamanya.

Suatu pagi, Musallamah telah hadir ke rumah Omar atas dasar jemputan tersebut. Mengetahui kehadiran Musallamah, Omar telah menyuruh isterinya agar memasak bubur kacang Dal dan daging bakar.

Omar berbual-bual lama dengan Musallamah, tetapi sengaja tidak dihidangkan makanan. keadaan sehingga tengahari, tetapi Omar masih lagi tidak menyediakan hidangan.

Musallamah menjadi gelisah kelaparan.

”Wahai Omar, aku ingin memohon diri untuk pulang” Musallamah memberitahu kepada Omar dengan wajah yang gelisah.

”wahai saudaraku, tunggulah sebentar, dan duduklah kita berbual-bual dahulu” Omar meminta Musallamah agar tidak pulang lagi.

Musallamah akur, tetapi hatinya tidak senang mengenangkan perutnya yang terlalu lapar.

Melihat gelesihan musallamah yang tidak dapat disembunyikan lagi, Omar pun meminta isterinya mengeluarkan hidangan bubur kacang dal. Musallamah makan begitu banyak sekali, sehingga beliau merasa terlalu kenyang.

Melihat keadaan Musallamah yang sudah terlalu kenyang, Omar meminta isterinya menghidangkan daging bakar yang lebih enak dari bubur kacang dal.

”silakan saudaraku, daging bakar ini lebih enak berbanding bubur kacang dal yang kamu makan tadi” omar mempelawa Musallamah.

”maaf wahai saudaraku, Aku sudah terlalu kenyang dengan hidangan bubur kacang dal, sehingga aku tidak mampu lagi makan daging bakar ini, waimma ia enak sekalipun” Musallamah menolak pelawaan Omar.

Omar tersenyum mendengar penolakan Musallamah.

”Wahai Musallamah, sesungguhnya makanan yang tidak enak akan dimakan dengan begitu lahap sekali dikala lapar. Di kala kenyang, makanan yang enak pun tidak termampu untuk dimakan” omar memulakan tegurannya.

”wahai Musallamah, cukuplah kamu dari pembaziran. Sesungguhnya pembaziran itu merupakan amalan syaitan” sambung omar, tetapi menyebabkan Musallamah tersenyum kelat dengan teguran Omar itu.

BERHIKMAH MEMBERI TEGURAN

Kisah yang dinukilkan ini, memperlihatkan kepada kita betapa bijaksananya omar bin Abdul Aziz dalam memberhentikan sahabat karibnya, Musallamah bin Abdul Malik dari sentiasa melakukan pemborosan.

Kebijaksanaan menegur ini, bukan dimiliki oleh semua manusia, tetapi ia merupakan pemberian yang bernilai dari Allah SWT.

Dikisahkan juga, berkenaan dengan dua adik beradik yang merupakan cucunda Nabi SAW; Hasan dan Husain melihat seorang tua yang sedang berwudu’ dengan cara yang salah.

Kedua-dua cucunda Nabi SAW itu memerhatikan kesilapan berwudu’ yang dilakukan orang tua tersebut. Mereka ingin menegur, tetapi dibimbangi teguran yang dilakukan akan melahirkan perasaan malu pada diri orang tua itu, memungkinkan dia tidak akan hadir lagi untuk menunaikan solat berjemaah di Masjid.

Kedua-dua adik beradik itu pun berpakat, bahawa salah seorang berwudu’, dan salah seorang lagi memerhatikan wudu’ tersebut, seraya membetulkan kesilapan berwudu’ yang sengaja dibuat-buat oleh mereka dihadapan orang tua tersebut.

”Wahai Abangku, apakah wudu’ saya ini betul?” berkata husain kepada Hasan ketika dia sedang membasuhkan kedua tangannya.

”salah itu. cara yang betulnya begini” Hasan membalas, sambil mengisyaratkan cara berwudu’ yang betul kepada adiknya, husain.

Tindakan kedua-dua beradik itu diperhatikan oleh orang tua tersebut. Makanya, sedarlah orang tua itu, bahawa wudu’nya salah berdasarkan cara wudu’ yang diajar oleh Hasan kepada adiknya, Husain.

Inilah cara teguran yang berhikmah yang ditunjukkan oleh kedua cucunda Nabi SAW.

”KENAPA DOA DUA KALI?”

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah bercerita bahawa di awal beliau pulang dari pengajian di Mesir, beliau melihat rata-rata penduduk di kelantan, apabila berdoa selepas solat, pasti mereka akan berdoa sebanyak dua kali yang diselangi dengan membaca surah al-fatihah.

Tindakan itu, agak kurang disenangi oleh Tuan Guru yang tidak pernah melihat amalan ini dilakukan di tanah arab, malah di India dan Pakistan. Bahkan, tindakan ini tidak pernah wujud sama sekali dari amalan Nabi Muhammad SAW, juga para sahabat.

Pun begitu, Tuan Guru tidak terus menegur tindakan penduduk kelantan yang sering berdoa sebanyak dua kali itu. Tetapi, di kala Tuan Guru menjadi imam, selepas menunaikan solat, Tuan Guru hanya berdoa sekali sahaja, tidak sepertimana yang dilakukan oleh rata-rata penduduk di Kelantan.

Tindakan itu menyebabkan ada sebilangan yang menunaikan solat berjemaah bersama Tuan Guru tertanya-tanya, mengapa tindakan Tuan Guru itu tidak sama dengan kebiasaan penduduk di kelantan.

”mengapa Tuan Guru berdoa sekali, sedangkan semua orang berdoa dua kali selepas solat?” tanya seorang yang agak berumur kepada Tuan Guru.

Tuan Guru bertanya balik, ”dah tu, kenapa awak berdoa dua kali?”

Orang yang mendengar itu diam, tidak mampu berkata apa-apa lagi.

Inilah kebijaksanaan menegur yang dilakukan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat. Kebijaksanaan ini pernah ditunjukkan oleh Imam Abu Hanifah yang suatu hari didatangi oleh dua orang yang bermazhab Khawarij yang sesat menyesatkan.

“wahai Abu Hanifah, kami ingin bertanya kepada kamu dua persoalan. Kalau kamu memberi jawapan yang memuaskan hati kami, kami akan lepaskan kamu. Tetapi, jika kamu memberi jawapan yang tidak memuaskan hati kami, kami akan memancung kepala kamu” mereka memulakan perbicaraan dengan nada yang agak kurang ajar dan keras sambil meletakkan sebilangan pedang yang terhunud di tengkok Imam Abu Hanifah.

Khawarij adalah golongan yang mendakwa bahawa tidak ada istilah syurga bagi orang yang berdosa besar. Pada mereka, orang yang berdosa besar adalah kafir, sepertimana kafirnya orang-orang yang menyembah berhala, lantaran itu, mereka meletakkan satu keyakinan, orang yang berdosa besar adalah ahli neraka.

Melihat kepada pedang yang terhunus, disamping suara keras yang mereka ungkapkan itu, menyebabkan sedikit gementar wujud dalam diri Imam Abu Hanifah.

Makanya, beliau berkata, ”tolong sarungkan pedang kamu itu, kerana ia menyebabkan hatiku terganggu dari menjawab soalan-soalan yang kamu mahu kemukakan nanti”

”Mana mungkin kami mahu menyarungkan pedang ini, sedangkan kami berkeyakinan bahawa kami akan mendapat pahala yang cukup besar jika kami ”menyarungkan” pedang ini ke tengkok kamu” jawab mereka degil dengan nada yang sombong.

Kebiadapan yang ditunjukkan itu, menyebabkan lahir perasaan berani dalam diri Imam Abu Hanifah. Dengan seberani pendekar, Imam Abu Hanifah bersuara, ”kalau macam tulah kehendak kamu, hunuskan pedang itu ketengkokku dan kemukakan dua soalan yang kamu mahukan itu”

Mendengar sahutan bernada berani Imam Abu Hanifah itu, mereka mula bertanya, ”dua orang jenazah; satunya, seorang lelaki yang minum arak lalu dia mati dalam keadaan dia mabuk. Dan satu lagi, seorang perempuan yang mengandung anak zina, lalu mati sebelum dia bertaubat. Apakah kedua-dua orang ini kafir atau muslim?”

Tujuan mereka bertanya dengan soalan ini adalah untuk mendengar jawapan Imam Abu Hanifah yang bermazhab Ahli Sunnah wa Al-Jamaah tentang status kedua-dua jenazah itu sebagai muslim, sedang perkara ini berbeda sama sekali dengan fahaman mazhab Khawarij yang beranggapan orang yang berdosa besar itu adalah kafir. Justeru, dua soalan yang ditimbulkan itu, sememangnya dengan tujuan, mereka mahu memenggal kepala Imam Abu Hanifah.

Pun begitu, mendengar soalan dari golongan khawarij itu, menyebabkan Imam Abu Hanifah bersuara.

”daripada puak manakah dua manusia itu?” soal Imam Abu Hanifah. ”apakah mereka itu dari kalangan yahudi, atau nasrani?” sambung beliau lagi.

”tidak” jawab dua lelaki khawarij itu serentak.

”kalau begitu, sudah pasti mereka berdua dari kalangan majusi?” soal Abu Hanifah lagi.

”pun tidak” jawab mereka serentak.

”kalau mereka bukan yahudi, bukan nasrani dan bukan majusi. Agama apa dua-dua manusia itu?” tanya Imam Abu Hanifah memprovokasi.

Serentak mereka menjawab, ”mereka beragama Islamlah !!”

Sambil tersenyum, Imam Abu Hanifah menjawab, ”nampaknya kamu sendiri memberikan jawapannya”.

Mereka berpandangan sesama mereka. Pun begitu, masih tidak berpuas hati, menyebabkan salah seorang dari kalangan mereka bersuara.

”apakah kedua-dua itu ahli syurga, ataupun ahli neraka?”

Sekali lagi sambil tersenyum Imam Abu Hanifah menjawab.

”aku tidak boleh menentukan status seseseorang, sama ada dia ahli syurga atau ahli negara. Pun begitu, aku mahu berkata sepertimana berkatanya Nabi Ibrahim A.S seperti yang Allah firmankan dalam Al-Quran;

فَمَنْ تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya;
” barangsiapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku, dan barangsiapa yang mendurhakai aku, maka sesungguhnya Engkau, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

(Surah Ibrahim : 36)

Juga aku berkata seperti berkatanya Isa A.S menerusi firman Allah dalam Al-Quran;

إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya;
”Jika Engkau menyiksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”

(Surah Al-Maidah : 118)

Sekali lagi dua lelaki khawarij itu berpandangan sesama mereka. Lalu mereka terus mengakui kebenaran hujjah dari Imam Abu Hanifah dan seterusnya bertaubat dan menjadi murid kepada Abu Hanifah.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
25 ogos 2009 * 5:57 pagi

1 ulasan:

sis berkata...

salam syeikh..bagus..ana memang kagum dengan 2 umar ni.. penuh methotodogi dakwah.. xdinafikan rasulullah yang utama..teruskan dengan taipan enta..takbir.. salam ziarah(sis_solah)