Isnin, 3 Ogos 2009

DR BURHANUDDIN AL-HELMI: TOKOH SIYASAH SYARIYYAH TANAH MELAYU (1)

DR BURHANUDDIN AL-HELMI: TOKOH SIYASAH SYARIYYAH TANAH MELAYU (1)

Seharian aku berada dalam seminar pemikiran Dr Burhanuddin Al-Helmi. Seminar anjuran Ummah Centre, sebuah NGO Islam yang baru ditubuhkan.

Julung kalinya, Ummah Centre mengadakan program seminar. Pemikiran Dr Burhanuddin Al-Helmi dijadikan seminar pemula, kemudian diekori pula dengan banyak lagi pemikiran-pemikiran yang lain.

Seminar yang menjemput ramai tokoh-tokoh yang hebat dalam negara, seperti Profesor Koo Kay Kim, Dato’ Kamaruddin Jaafar, Cikgu Azmi Teras, Profesor Madya Saliha, Saudara Muzammil dan banyak lagi.

Seminar itu, asal dijadual akan dirasmikan oleh tuan Guru Nik abdul Aziz, tetapi telah diwakilkan oleh Datuk Paduka Husam Musa. Dalam ucapan perasmian pembukaan itu, Datuk Husam Musa banyak mendedahkan beberapa fakta menarik tentang perjuangan Dr Burhanuddin Al-Helmi.

Di akhir penutup seminar ini, disempurnakan oleh Dr Sayed Husin Ali, waimma asalnya adalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tetapi tidak dapat hadir kerana menghadiri program yang agak penting di kedah.

Dalam ucapan penutup itu, kehadiran Sayed Husin Ali seakan-akan dirancang, kerana segala pembentangan beliau itu menjawab semua persoalan-persoalan yang tidak berjaya di rungkai dalam seminar.

TOKOH SIYASAH SYARIIYYAH

Setelah mengikuti semua perbincangan dan pembentangan seminar tersebut, secara peribadi, aku menilai bahawa Dr Burhanuddin Al-Helmi adalah seorang tokoh yang wajib dijadikan tauladan dalam mengharungi politik Islam di Malaysia.

Ini kerana, banyak beberapa keadaan yang perlu kita pelajari dari beliau, ketika membawa agenda politik di malaysia dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan. Antaranya adalah;

JIWA MERDEKA

Dr burhanuddin Al-Helmi ada mengungkapkan;

”Di Atas runtuhan kota melaka * kita dirikan jiwa merdeka * persatu padulah wahai seluruh baka * membela hak keadilan pusaka”

Ucapan ini, dilontarkan beliau dalam satu kongres PKMM ke-2 bertempat di Melaka pada bulan Disember 1946 itu masih segar kedengaran sehingga ke hari ini.

Dalam mengupas maksud ungkapan itu, Cikgu Azmi Teras menyebut bahawa, disebalik ungkapan ini, ia bukan sekadar dilihat dari apa yang tersurat, sebaliknya, hendaklah diperhatikan apa yang tersirat disebalik yang tersurat.

Persoalannya, mengapa ungkapan kejatuhan kota melaka sengaja dilontarkan. Menandakan, sudah pasti ada kisah dibelakang ungkapan tersebut.

Apa yang berjaya dikupas oleh Cikgu Azmi, menunjukkan bahawa hakikatnya robohnya kota melaka membawa maksud bahawa runtuhnya Melaka yang dahulu dilihat gah dan hebat, ekoran runtuhnya jiwa ”orang atasan” dalam kerajaan. Mereka mempunyai jiwa yang runtuh, melahirkan keruntuhan kota melaka itu sendiri.

Jika diperhatikan kepada ulasan ini, sedikit sebanyak, ia memberikan satu gambaran yang amat penting difikirkan bersama, iaitu, sesuatu keruntuhan mesti mempunyai sebab dan punca.

Punca disebalik kejatuhan sesuatu kerajaan, tidak dinafikan terlibat dengan serangan musuh. Pun begitu, adalah satu perkara yang tidak wajar dinafikan, segala punca kejatuhan apabila sesuatu kerajaan sudah tidak mempunyai ketahanan dalaman.

Antara punca hilangnya ketahanan dalaman adalah, apabila kepentingan diri, dunia dan kekayaan sudah mengusai diri ”orang-orang atasan”. Keadaan inilah boleh diperhatikan kepada kejatuhan kerajaan Osmaniyyah di turki.

Justeru, bagi mengembalikan balik sesuatu kejatuhan. La-budda, pembinaan jiwa merdeka perlu dilaksanakan. Jiwa merdeka mengikut acuan yang hendak dibina, hendaklah berasaskan kepada konsep keadilan dan kemanusiaan.

Apabila keadilan dan kemanusiaan berjaya dibina, sudah pasti curiga mencurigai antara kaum dan bangsa di Malaysia tidak akan berlaku.

Bersambung.....

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com


- Kota Damansara
3 ogos 2009 * 3:42 petang






1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ingat tak apa yang diucap oleh Dr Burhan berkenaan iman & pahlawan?iman atas tubuh...bla bla bla....kalau ade quote tu, sila siarkan....