Selasa, 15 September 2009

SIAPA OMAR BIN ABDUL AZIZ?


SIAPA OMAR BIN ABDUL AZIZ?

Nama penuh beliau adalah, Omar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam bin Abi Qushai bin Umayyah bin Abd As-Syams bin Abd Manaf bin Qushai bin Kilab.

Merujuk kepada silsilah, didapati keturunan beliau terkait juga dengan keturunan Rasulullah SAW, iaitu bertemu pada Abd manaf bin Qushai.

Beliau merupakan seorang mujtahid; yang boleh mengeluarkan hukum menerusi Al-Quran dan As-Sunnah setara Imam-imam mazhab, juga seorang khalifah islam yang warak lagi zuhud.

Dilahirkan pada tahun 63 hijriah. Menurut riwayat lain pula menyatakan, bahawa beliau dilahirkan pada tahun pembunuhan Saidina Husain, iaitu pada tahun 61 hijriah.

Beliau mempunyai watak yang lembut, bertubuh kecil kurus, janggutnya tersusun rapi, matanya bulat, dahinya luas, kulit berwarna sawo matang dan rambutnya warna hitam dengan sedikit bercampur uban.

Mempunyai watak yang warak, tidak ego dalam sesuatu keputusan dalam pemerintahan. Disebabkan itu, di awal beliau dilantik menjadi khalifah, selepas selesai menunaikan solat zohor, beliau telah melantik 10 orang sebagai penasihat peribadi beliau.

“aku tidak akan melakukan sesuatu keputusan berkenaan dengan kerajaan melainkan setelah mendengar pendapat dan pandangan dari kalian” kata Omar bin Abdul Aziz di akhir ucapannya setelah 10 orang tersebut dilantik menjadi penasihatnya.

Imam Az-Zahabi ada menyebut, “Omar bin Abdul Aziz adalah seorang yang mempunyai tubuh badan dan watak yang baik. Ideanya bernas, dan bijak berpolitik. Beliau sangat pentingkan keadilan, dan pasti akan melakukannya semampu yang boleh. Kezuhudannya susah untuk dicari ganti, kemewahan tidak menjadi keutamaan. Ramai ulama mengiktirafnya sebagai salah seorang khalifah ar-Rashidin dan seorang ulama yang beramal”

Imam As-Syafie menyatakan, “Khalifah itu ada lima; Abu Bakar As-Siddiq, Omar bin Al-Khattab, Osman bin Affan, Ali bin Abi talib dan Omar bin Abdul Aziz”

Kezuhudan beliau amat terserlah. Yahya bin Hamzah bercerita bahawa beliau menggunakan pelita kerajaan untuk urusan kerajaan sahaja. Apabila ada urusan peribadi, akan dipadam pelita kerajaan dan dinyalakan pelita peribadinya.

’Ata’ ada berkata bahawa setiap malam beliau akan menjemput para fuqaha’ untuk berhimpun dirumahnya untuk diadakan majlis muzakarah. Apabila para fuqaha’ itu berbicara tentang kematian, beliau pasti akan menangis.

Beliau menjadi khalifah tidak lama, iaitu selama 2 tahun 5 bulan sahaja. Beliau meninggal dunia pada tahun 101 hijriah dan dikebumikan di Syiria. Menurut pengkaji sejarah, Omar bin Abdul Aziz mati kerana diracun oleh sebilangan pemimpin Bani Umawiyyah yang tidak berpuas hati dengan beliau yang menyekat banyak kemewahan mereka.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
15 september 2009 * 5:51 petang

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

As Salamu Alaykum...

Hari ini genap 78 thn Umat Islam kehilangan Singa Padang Pasir Umar Al-Mukhtar dimana beliau telah dijatuhkan hukuman gantung oleh penjajah Italy yang telah menakluk Libya...

Kisah keberanian Umar Al-Mukhtar saban hari...semakin dilupakan oleh Umat Islam khususnya generasi muda masa kini...Betapa tingginya semangat jihad Umar Al Mukhtar dan tentera sanusi melawan penjajah kafir Itali di Libya walaupun mereka tahu teknologi penjajah lebih baik.

Disaat akhir Umar Al-Mukhtar, beliau masih tidak tunduk pada tawaran penjajah Italy...Berbeda dengan Umat Islam sekarang , hanyut dengan syurga dunia yang diolah barat sehinggakan tiada lagi semangat jihad..sehingga Umat Islam sendiri yang terima dan sanjung pula sistem penjajah , tolak hukum dalam Al-quran dan Sunnah..Tenangkah kita dalam kehidupan sebegini rupa...

Renung2kanlah...

16 september 2009
Salam Hari Malaysia..