Selasa, 3 November 2009

APA NASIB PR DALAM PRU KE-13?


APA NASIB PR DALAM PRU KE-13?

Hampir pilihanraya ke-12 dahulu, berbagai-bagai provokasi yang dilakukan oleh UMNO/BN terhadap PAS, kerana PAS bergabung dengan PKR dan DAP. Ketika itu, bersembur-sembur ulasan dari mulut para penceramah PAS, malahan para ustaz yang mempertahankan keizinan duduk berjuang bersama PKR dan DAP dalam menjatuhkan UMNO/BN dengan menggunakan kaedah tahaluf Siyasi.

Makanya, bergabunglah antara PAS, PKR dan DAP; bersatu teguh melawan UMNO/BN. Ternyata, bersatu teguh, bercerai roboh; PAS, PKR dan DAP berjaya menubuhkan negeri di Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah, sedangkan PAS pertahankan kemenangan di kelantan. Adapun UMNO/BN pula, berada dalam malu yang teramat sangat, dengan kejatuhan negeri-negeri dibawah kepimpinan mereka.

Ketika rakyat bergembira menyambut kemenangan PR dalam beberapa buah negeri yang dimenangi, terdengar sayup-sayup usaha penubuhan kerajaan campuran; membariskan pergabungan PAS-UMNO.

Tidak dapat dibayangkan, bagaimana perasaan kawan-kawan PKR dan DAP apabila mengetahui kebenaran cerita ini. Mereka sudah banyak menderma dalam ‘tabung jihad’ yang sering PAS lancarkan dalam setiap ceramah politik; demi melihat kejatuhan UMNO/BN, tiba-tiba kedengaran wujudnya usaha memberi nafas baru kepada UMNO/BN, sudah pasti ia akan membarakan hati dan perasaan kawan-kawan dari PKR dan DAP terhadap PAS.

Mujur, ada sebilangan pimpinan dalam PAS, termasuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang mempertahankan Pakatan Rakyat. Ia merupakan ubat mujarab bagi mengubat hati kawan-kawan dari pakatan Rakyat yang sudah terluka dikala mendengar usaha pergabungan PAS-UMNO ini.

ERA PAK LAH – NAJIB

Pak Lah dengan watak perlahan ala penyu yang berlabuh di pantai Terengganu, ternyata kelihatan lembab. Kelemahannya itu dilihat sebilangan besar ahli-ahli UMNO, menyebabkan beliau berjaya dilemparkan keluar dari daerah kepimpinan UMNO. Makanya, naik pula Najib Tun Razak sebagai kepimpinan utama UMNO. Beliau kelihatan bersahaja, tetapi banyak tindakan beliau agak kurang berjaya disangkal.

Di era Najib mengambil tampuk pemerintahan UMNO, kedengaran kenyataan-kenyataan dari sebilangan pimpinan PAS Pusat tentang berita-berita angin yang tersebar di era Pak Lah dahulu. Jika di era Pak Lah, penafian wujudnya usaha pergabungan sering terjadi, tetapi pengakuan bahawa wujudnya usaha pergabungan di zaman Pak Lah itu, dengan terpanculnya pengakuan tersebut menerusi mulut pimpinan PAS tertentu di era Najib.

Bagi mereka yang berfikir di luar kerangka sentiment, pasti agak terkejut kecil apabila mendengar pengakuan, “ia tutup sekarang, kerana sekarang bukan era Pak Lah lagi”. Difahami, kenyataan sebegini membawa maksud, di era Pak Lah, usaha tersebut sudah pasti berlaku. Persoalannya, mengapa ketika di era Pak Lah dahulu, ia di nafikan sekeras-kerasnya?

Nampaknya, tidak berpegang dengan prinsip perjanjian yang ditekankan oleh islam telah menjadi rencah politik sebilangan kecil pemimpin PAS tertentu. Jika keadaan ini berlaku, tidak diketahui, apa nasib PAS dalam PRU akan datang.

PKR DAN DAP PUN ADA SAHAM

Apabila PAS menimpa masalah, sebenarnya ia mengugatkan sama kepada parti-parti PR yang lain. Keberadaan PAS, PKR dan DAP adalah saling kuat mengkuatkan. Tanpa salah satu dari tiga buah parti ini, kerajaan PR tidak berjaya ditubuhkan, seterusnya kerajaan UMNO/BN tidak boleh diruntuhkan.

Ada sebilangan manusia, mereka melihat amat sinis dengan usaha penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat. Jika kita terpaksa berfikir secara lembab pun, mungkin kita bercakap bahawa tidak bersetuju PR untuk membina kerajaan, tetapi yang perlu kita fikirkan juga adalah, apakah kita masih mahu melihat UMNO/BN kekal memerintah?

Tidak dinafikan, penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat memang tidak menjadikan islam sebagai asas. Pun begitu, banyak maqasid Islam berjaya dilaksanakan dalam Kerajaan Pakatan Rakyat.

Juga perlu diingat, dengan menolak penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat, seakan-akann kita rela UMNO/BN menjadi pemerintah lagi? Bukankah, dengan tidak bersedia menubuhkan kerajaan pakatan Rakyat, menyebabkan UMNO/BN akan berleluasa dalam melakukan penyelewengan dalam negara? Bukankah, dengan menolak penubuhan kerajaaan pakatan Rakyat, menyebabkan rasuah, wang rakyat di selewengkan, kecelaruan SPR, Media, kehakiman dan sebagainya akan terus berlaku?

Bukankah, dengan membiarkan semua ini berlaku, merupakan satu perkara yang terlarang dalam islam? bukankah, sebarang kemungkaran yang berlaku, hendaklah ditegah semampu-mampu yang boleh?

Sabda Nabi SAW;

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya;
”Barangsiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ditukar dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu, maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman” (Sahih Muslim : 70)

Dalam mensyarah hadis ini, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Qadi Iyadh dengan katanya;

هَذَا الْحَدِيث أَصْل فِي صِفَة التَّغْيِير فَحَقُّ الْمُغَيِّر أَنْ يُغَيِّرهُ بِكُلِّ وَجْه أَمْكَنَهُ زَوَاله بِهِ قَوْلًا كَانَ أَوْ فِعْلًا

Maksudnya;
“Hadis ini adalah asal (dalil) pada sifat mengubah (dari mungkar kepada ma’ruf). Hak (wajib) kepada pengubah bahawa mengubahnya (maksiat) itu berdasarkan kepada kemampuannya yang dia mampu sehinggakan maksiat tersebut terhapus, samada dengan perkataan atau dengan perbuatan”(syarh An-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim: 1/131)

Tidak dinafikan, memang dalam kerajaan pakatan Rakyat, PAS tidak mampu haramkan arak secara mutlak, haramkan judi secara mutlak dan sebagainya. Pun begitu, tidak membenarkan PR memerintah, seakan-akan reda dengan kemungkaran – seperti penyelewengan harta rakyat, kecelaruan spr, media, kehakiman dan sebagainya – yang dilakukan oleh UMNO/BN.

Pun begitu, dengan kebersamaan PAS dengan pakatan Rakyat, PAS mempunyai ruang yang cukup luas, untuk adakan kempen bahaya arak dan judi, seterusnya memberi cadangan dalam kerajaan untuk gubal peraturan dan undang-undang tentang arak dan judi. Gunakan kesempatan yang ada ini, untuk dijadikan sebagai tindakan awalan dalam usaha hendak melupuskan arak dan judi di Selangor.

Justeru, kebersamaan dalam menjatuhkan UMNO/BN adalah perlu. Disamping itu, sertakan usaha yang gigih dalam memahamkan kawan-kawan dari PKR dan DAP tentang dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS. jika ini berjaya dilaksanakan, sudah pasti, di suatu masa nanti, islam akan berjaya dilaksanakan di malaysia.

Makanya, sudah sampai masanya, kita perlu berkongsi pandangan dan kekuatan secara serius dengan kawan-kawan pakatan rakyat dalam menjatuhkan UMNO/BN, bukannya wujud kerjasama dengan UMNO. ini kerana, dalam sebarang Pilihanraya pun, sama ada kecil ataupun besar, PAS akan bersama-sama dengan DAP dan PKR dalam melawan UMNO/BN, bukannya PAS bersama dengan UMNO/BN untuk melawan DAP ataupun PKR.

Lainlah, kalau kita nak minta tolong UMNO dalam PRU akan datang??

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
4 november 2009 * 1:20 pagi


1 ulasan:

hussin berkata...

ustaz,

ramai kurang faham dengan jalan yang telah diambil pas menjelang pru 12 walaupun dengan hujah tahalluf dari kepimpinan sendiri.

lalu bagaimana mereka mampu untuk memahami persepsi pengundi. yang sedihnya, ia bukan bermula dari bawah. kalau ada kepimpinan yang tidak faham dengan apa yang mereka sendiri bersetuju, tidak peliklah ketidakfahaman itu merebak ke bawah. kalau kepimpinan yang sama yang berhujah untuk bertahalluf, kemudian mengenepikan keputusan tersebut, tidak ganjillah tindakan songsang turut diperakukan oleh ahli bawah.

"...wakil rakyat Pakatan, khususnya PAS, mesti tunjuk teladan unggul, rajin menjenguk kawasan, kerap berdialog dengan masyarakat, selesaikan segera isu berbangkit terutama berkaitan kemudahan awam, tidak menumpukkan kekayaan peribadi, mudah didampingi, proaktif, memeriahkan kegiatan surau-masjid dan tidak bertangguh menangani masalah. Rakyat memerhatikan kita, dan tentunya tidak mudah termakan propaganda murahan jika kita sentiasa bergerak cergas bersama mereka, bukannya terpencil dalam kelompok elit." (Memang ungkapannya nampak mudah tapi tidak semestinya mudah untuk dilaksanakan terutama bagi mereka yang hanya mahu meraih keuntungan peribadi).

Tambahnya lagi, "Dan di negeri Pakatan, buktikan kita lebih bersih daripada negeri lain di bawah BN, sekurang-kurangnya lampu jalan menyala terang, jalan berlopak diturap cepat dan cantik, sampah diangkut ikut jadual, longkang tidak tersumbat, kawasan permainan terjaga. Jangan remehkan aspek-aspek itu."

Dan, serentak dengan itu, ujar pensyarah berkenaan lagi, Pakatan akan lebih dipercayai, diakui tidak khianati amanah, sebaliknya berlaku adil, benci rasuah, membela orang susah dan memiliki sifat-sifat luhur lain. Oleh itu, katanya, usah risau sangat kita akan kalah sekiranya sudah cukup amal bakti kita kepada rakyat.

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=023071&Itemid=39
"

"biar pas kalah asal islam menang" menunjukkan kecelaruan pemikiran. bukankah pas telah memilih plihanraya untuk memperjuangkan dasar pas "memperjuangkan islam"? bukankah lebih baik, sekiranya pas berpendirian "biar pas kalah asal islam menang", pas bersama dengan organisasi dakwah yang lain?

wallahu'alam.