Ahad, 1 November 2009

TEMAN DAN RAKYAT !


TEMAN DAN RAKYAT !

Suara ramai, maka ia adalah golongan yang menang. Maka itulah asas pemikiran demokrasi. Masuk dalam demokrasi, sudah pasti mahukan suara majority.

Demokrasi bukan sistem Islam, tetapi ijtihad baru membenarkan gerakan islam melibatkan diri dengan demokrasi. Lebih-lebih lagi, apabila wujud banyak titik persamaan antara Islam dan demokrasi, disamping kehadiran gerakan islam, dapat meng’edit’, dan mengubah banyak perkara yang wujud dalam demokrasi, agar disesuaikan dengan Islam.

Gerakan Islam melibatkan diri dengan demokrasi, bukan bermakna ‘beriman’ dengannya, tetapi sekadar ‘memperalatkannya’ dalam usaha hendak menyampaikan Islam kepada masyarakat dengan cara yang lebih luas dan lebih berkesan.

Tanpa melibatkan dengan demokrasi, banyak kemungkaran tidak dapat dihindar. Lebih-lebih lagi, jika kemungkaran itu dilakukan oleh pihak pemerintah. Rasuah, kezaliman, penyelewengan harta rakyat dan sebagainya, agak sukar untuk dikurangkan tanpa melibatkan diri dengan demokrasi.

Apabila ada ahli parlimen atau ADUN dari sesuatu gerakan islam yang menang dalam pilihanraya yang menjadi nadi sistem demokrasi, sudah pasti, sebarang kemungkaran yang dilakukan oleh ahli parlimen dan ADUN dari kerajaan, dapat ditegur dan dihentam dihadapannya. Justeru itu, tidak hairan ada ulama-ulama yang membenarkan demokrasi menyebut bahawa dengan penglibatan dengan sistem ini, ia amat sesuai dengan kehendak sabda Nabi Saw;

أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ أَوْ أَمِيرٍ جَائِرٍ


Maksudnya;
“jihad yang afdhal ada (bercakap) kalimah adil di sisi pemerintah yang zalim” (Abu Daud : 3781)


SUARA RAMAI

Menangnya sesuatu pasukan, memerlukan kepada suara majority. Tanpa suara majority, usah bicara soal kemenangan. Itulah hakikat demokrasi.

Suara rakyat perlu dipungut. Majoriti rakyat memberi undi, bermakna sesuatu pasukan itu adalah pasukan yang menang. Apabila gerakan islam terlibat dalam demokrasi, maka suara majoriti ini perlu diusahakan. Apabila menang gerakan islam, banyak perkara yang boleh dilaksanakan.

Jika tidak dapat melaksanakan islam secara menyeluruh, maka laksanakan sekadar yang mampu. Kaedah fiqh ada menyebut, ”tidak ditinggalkan semua, jika tidak mendapat semua”.

Apabila mencapai kemenangan, tidak semestinya semua perkara yang menjadi cita-cita Islam dilaksanakan terus, sebaliknya berhikmat dalam perlaksanaan perlu dilakukan. Perlaksanaan Islam seperti yang dilakukan oleh Umar bin Abdul Aziz amat perlu dipelajari. Waima memerintah secara solid, banyak perkara yang tidak dapat dilaksanakan beliau.

Abdul Malik, yang merupakan anak beliau bertanya, ”mengapa tidak dilaksanakan semua perkara Islam, walhal kita sudah emmerintah”. Umar bin Abdul Aziz hanya menjawab, ”Jangan kamu gopoh wahai anakku, sesungguhnya Allah cela arak dalam al-Quran sebanyak dua kali, kemudian haramkannya pada kali yang ketiga”

”Aku bimbang, jika aku laksanakan kebenaran kepada manusia secara total, bimbangnya mereka menolak kebenaran itu secara tolak”
sambung Umar bin Abdul Aziz lagi.

PAKATAN RAKYAT

Pakatan Rakyat bukan medan penubuhan negara Islam. tetapi, penubuhan Pakatan Rakyat telah memberi ruang yang terbuka kearah penubuhan negara Islam yang di cita-citakan oleh PAS.

Konsep keadilan, kebebasan berfikir, berwacana, menyerang kezaliman, lawan penindasan dan sebagainya, merupakan asas kerajaan Pakatan Rakyat, bahkan ia amat dituntut dalam Islam. kebersamaan PAS dengan Pakatan Rakyat, sedikit sebanyak dapat memberikan gambaran bahawa PAS mendapat laluan mudah dalam menyampaikan islam kepada rakyat.

Dalam pakatan Rakyat, PAS tidak perlu gopoh hendak melaksanakan semua hukum-hukum Islam, sebaliknya mulakan penerangan secara berkesan dan berstrategi kepada rakyat, agar di masa akan datang, Islam akan diterima oleh rakyat.

Disamping itu, cadangkan perlaksanaan Islam sekadar yang mampu; secara berhikmat, yang tidak melahirkan masalah dan pertembungan antara parti-parti pakatan Rakyat. Jika mereka menerima, maka itu satu kemenangan besar dalam usaha perlaskanaan islam, tetapi jika ditolak, ia merupakan permulaan bagi kemenangan dalam usaha perlaksanaan Islam di masa akan datang.

Jika Umar bin Abdul Aziz yang memerintah secara solid pun, tidak dapat melaksanakan segala perkara yang wujud dalam Islam, inikan pula keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat yang bercampur dengan parti-parti yang berbeda idealogi politik. Inilah yang wajar difikirkan.

TEMAN PAKATAN

PAS, PKR dan DAP sudah menjadi kawan atas nama Pakatan Rakyat. Hubungan sesama Pakatan Rakyat perlu dierat dan dikukuhkan. Sebarang percanggahan antara ketiga-tiga parti, perlu diselesaikan secara baik dan bijaksana. Jika tidak, dibimbangi melahirkan keuntungan kepada UMNO/BN yang sudah sedia dikenali parti zalim dan menindas.

Perbedaan antara ketiga-tiga parti, dari sudut pendekatan, idealogi dan sebagainya adalah perkara biasa. Jika wujud persamaan, sudah pasti tidak wujud kepelbagaian parti. Pun begitu, dalam ketiga-tiga parti ini, wujud banyak unsur kesamaan. Unsur kesamaan inilah yang perlu dikehadapankan, dalam usaha hendak mewujudkan kerjasama yang erat, dalam usaha mengalahkan Barisan Nasional, disamping menghapuskan kezaliman dan penindasan yang telah dilakukan dalam negara.

Mewujudkan kesangsian antara parti, amat perlu dihindari. Jika ia diwujudkan juga, seakan-akan mahu pertembungan parti berlaku, dan seterusnya akan memberi keuntungan kepada UMNO/BN.

RAKYAT MELIHAT

Setelah Pakatan Rakyat memerintah, rakyat sentiasa melihat. Apakah keberadaan Pakatan Rakyat ini, memberi keuntungan kepada mereka, atau sebaliknya.

Kewujudan rakyat, samalah seperti seseorang yang masuk ke kedai makan. Apabila seseorang masuk sesebuah kedai makan, dia tidak akan fikir segala masalah yang menimpa tuan kedai. Yang dia mahu hanyalah, dia dapat apa yang dia inginkan. Justeru, apabila wujud masalah pada sesebuah kedai makan, seperti bergaduh antara suami isteri yang merupakan tuan kedai itu dan sebagainya, pasti orang tidak akan masuk ke kedai tersebut, kerana malas hendak serabutkan fikiran mereka tentang kedai tersebut.

Begitujuga rakyat yang melihat Pakatan Rakyat. Apabila memerintah, sering bertembung dan berlaku percaggahan, akan menyebabkan rakyat malas hendak berfikir. Bahkan, tidak mustahil mereka akan meluat.

Pada rakyat, mereka mahukan apa yang mereka hendak. Itu tujuan mereka mengundi dalam Pilihanraya.

Justeru, pertembungan antara Pakatan Rakyat jangan sering diwujudkan, sebaliknya wujudkan kebersamaan dalam bekerja untuk memuaskan hati rakyat bawahan. ini kerana, berpuas hatinya rakyat pada Pakatan Rakyat pada kali ini, menandakan rakyat akan terus bersama Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang.

IDEALOGI

Setiap parti, mempunyai idealogi parti masing-masing. Mereka mempunyai prinsip yang pelbagai. Sekadar mahu mempertahankan prinsip perjuangan, merupakan satu pemikiran yang tidak kehadapan. Sebaliknya, pemikiran yang kehadapan adalah, prinsip perjuangan perlu diusahakan agar diterima pakai oleh rakyat.

PAS dalam Pakatan Rakyat perlu berfikiran kehadapan agar prinsip perjuangannya diterima oleh rakyat, malahan teman-teman dari Pakatan Rakyat.

Cuma, yang paling penting difikirkan adalah, apakah cara yang paling baik dalam mengkehadapankan prinsip tersebut, disamping ia diterima oleh rakyat?

Apa yang dapat dilihat, prinsip perjuangan PAS dan DAP amat bercanggah. Tetapi, dengan Pakatan Rakyat, kedua-dua parti ini boleh duduk semeja.

Kemampuan duduk semeja ini, perlu diambil ruang untuk memahamkan mereka tentang islam, agar mereka akan dapat merasakan bahawa konsep keadilan islam itu, sebenarnya boleh diterima oleh mereka, tanpa syak wa sangka.

Sedihnya sekarang, ruang seperti ini tidak diambil peluang oleh PAS secara serius, melainkan sedikit sahaja pimpinannya yang melakukannya. Dilihat, yang serius dalam memahamkan DAP tentang prinsip PAS ini adalah, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dan Ir Muhammad Nizar Jamaluddin.

Kaedah berkeras dalam pertahankan prinsip, merupakan tindakan yang tidak bijak ketika berada dalam Pakatan Rakyat. Ia sekadar dapat melahirkan pertembungan antara parti-parti Pakatan Rakyat sahaja, yang sudah pasti memberi keuntungan besar kepada UMNO/BN sahaja.

Justeru, amat relevan sangat, apabila PAS berkali-kali menekankan keputusan akan bersama dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Makanya, jika mana-mana YB PAS melakukan tindakan yang menganggung-gugat kekukuhan Pakatan Rakyat perlu diambil tindakan, tidak kira YB PAS itu bernama Hasan Ali, ataupun bernama Husam Musa.

Sekian

p/s : sila lihat dialog ini;

”Nak lantik timbalan Exco, lepas tu nak bagi gaji sebanyak RM 1,500” kata seorang YB UMNO dengan nada memerli kepada YB PAS dalam satu sessi dewan undangan Negeri (sidang DUN).

Seorang YB PAS bangun dengan bersahaja sambil berkata, ”kalau ada YB UMNO nak sangat RM 1,500 itu pun boleh, tapi syarat mesti jadi ahli PAS dulu la” jawab YB PAS tersebut sambil senyum sinis

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
2 November 2009 * 12;21 tengahari

Tiada ulasan: