Seseorang timbul persoalan, jika dilihat hendak capai empat orang saksi bagi mensabitkan kesalahan zina, memang mustahil berlaku. Saksi tersebut pula mesti adil (bukan bekas parti keadilan, tetapi tidak buat dosa kecil dan dosa besar). Jika ikut logik, sampai bila hukuman tidak akan terkena hukuman kepada penjenayah zina. Dan lagi, dengan mudah dilepaskan orang bersalah sekiranya wujud syubhat. Makanya, mudah terselamatlah penjenayah-penjenayah.
Kita memahami syariah tidak boleh dilihat dari sudut akal kita yang maha bodoh, tetapi perlu dilihat kepada hikmat dan tujuan Allah SWT yang maha cerdik. Ekoran itu, dalam Islam ada pengajian Maqasid Syariah, iaitu mengetahui kemuncak tujuan disebalik sesuatu kewajipan syariah.
Dalam qanun jenayah syariah, sesuatu hukuman yang ditetapkan mempunyai dua unsur, iaitu Zajirah dan Radiah; Iaitu mencegah pelaku jenayah dari mengulangi jenayah dan mencegah orang yang lain agar tidak melakukan jenayah sepertimana yang telah dilakukan oleh penjenayah. Fikrah ini berasaskan kepada “nakalan” atau pencegahan dari Allah.
Firman Allah;
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya;
“Pencuri lelaki dan perempuan, hendaklah dipotong tangan-tangan mereka sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka lakukan. Ia sebagai pencegahan dari Allah. Allah SWT adalah tuhan yang maha gagah lagi maha bijaksana”
[Al-Maidah : 38]
Perlaksanaan hukuman itu bukan asas yang paling penting. Tetapi yang paling penting adalah pencegahan dari Allah SWT. Ekoran itu, jika mengikut kepada prosedur undang-undang Islam, kita akan dapati bagaimana hukuman tidak berjaya dilaksanakan, tetapi manusia berada dalam kebaikan.
Pernah berlaku di zaman Ali bin Abi Talib, berlaku kes kecurian baju besi kepunyaan Ali. Baju besi itu telah dicuri oleh seorang lelaki yahudi. Apabila Ali mengetahui hal itu, Ali telah menuduh yahudi itu sebagai pencuri. Tetapi yahudi itu mempertahankan dirinya dengan mendakwa bahawa baju besi itu adalah kepunyaannya, bukan kepunyaan Ali.
Pertikaian itu membawa ke mahkamah. Hakim yang mengambil Kes ini adalah Syuraih Al-Qadhi. Apabila mengetahui status kes, Syuraih Al-Qadhi berkata kepada Ali, “Al-Bainah Ya Amir Al-Mukminin (bukti wahai Amirul Mukminin)”
Ali mendatangkan seorang saksi, dan seorang lagi adalah Husaian, iaitu anak beliau yang merupakan cucunda Nabi SAW. Syuraih bertanya, siapakah husain yang dimaksudkan oleh Ali. Amirul Mukminin menyatakan bahawa Husaian itu adalah anak beliau.
Syuraih Al-Qadhi dengan berani menyatakan kepada Ali bahawa anak tidak boleh menjadi saksi untuk seseorang bapa. Lalu membacakan hadis Nabi SAW pernah menyatakan bahawa Husaian adalah pemuda syurga.
Syuraih Al-Qadhi tetap berkeras menyatakan anak tidak boleh menjadi saksi untuk seseorang bapa, waima Husaian itu dijanjikan Allah Sebagai Ahli Syurga. Keadaan ini menyebabkan Ali kalah dalam kes tersebut, dan baju besi itu terpaksa diberikan oleh Syuraih Al-Qadhi kepada Yahudi.
Jika diikut kepada logik, mana mungkin Ali menipu. Jika ikut kepada logik, mana mungkin Syuraih Al-Qadhi tidak mengenali Ali. Tetapi, mengenangkan prosedur penyelesaian kes ini, maka Syuraiah Al-Qadhi terpaksa memberikan baju besi itu kepada Yahudi tersebut.
Tindakan itu menyebabkan Yahudi itu kagum dengan keadilan Islam. Akhirnya, yahudi itu memeluk islam, dan baju besi itu dihadiah oleh Ali kepada Yahudi terbabit.
Dari ini, hendaklah kita fahami bahawa dalam Qanun jenayah syariah, hukuman dikenakan kepada penjenayah bukan fokus yang paling utama. Tetapi fokus utamanya adalah bagaimana dengan prosedur dan hukuman itu dapat mendidik manusia untuk menjadi baik.
Alangkah indahnya Syariah Islam…
Sekian
Wallahu ‘Alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan