Jumaat, 1 Julai 2011

DEMONSTRASI : LARANGAN ATAU KEIZINAN?

Yang menfatwakan Hukum demonstrasi adalah seperti berikut;

PENDAPAT YANG MENGHARUSKAN

Hujjah-hujjahnya adalah seperti berikut;

Pertama;

Demonstrasi adalah alat moden dalam menjatuhkan kezaliman, sedangkan kezaliman itu wajib dijatuhkan dan diberhentikan.

Firman Allah dalam hadis Qudsi;

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا

Maksudnya;
“Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku haramkan zalim atas diriku dan aku jadikannya haram dikalangan kamu. Makanya, jangan kamu saling melakukan kezaliman” [Muslim : 4674]

Firman Allah SWT dalam Al-Quran;

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ

Maksudnya;
“Jangan kamu cenderung kepada mereka yang melakukan kezaliman, nanti kamu akan disambar oleh api neraka”

[Hud : 113]

Memberhentikan dari berlaku kezaliman adalah satu perkara yang wajib. Sabda Nabi SAW;

انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنْ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ

Maksudnya;
“Tolong saudara kamu yang zalim atau yang dizalimi”

Berkata seorang lelaki, “Wahai Rasulullah, aku tolongnya sekiranya ia dizalimi. Apa pandangan kamu apabila dia itu zalim? Bagaimana aku menolongnya?”

Sabda Nabi SAW, “bahawa kamu berhentikannya dari melakukan kezaliman, maka itu adalah cara kamu menolongnya” [Al-Bukhari : 6438]

Mengenangkan demonstrasi adalah alat moden dalam memberhentikan kezaliman pemerintah, maka ia dibenarkan dan diharuskan.

Kedua;

Tiada nas secara saheh dan sareh yang mengharamkannya, maka ia hendaklah kembali kepada hukum asal;

الأصل في الأشياء الإباحة

Maksudnya;
“Asal sesuatu perkara adalah harus”

PENDAPAT MENGHARAMKANNYA

Golongan yang mengatakan haram demonstasi mempunyai alasan-alasan berikut;

Pertama;

Sabda Nabi SAW;

مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ

Maksudnya;
“Barangsiapa yang mahu member teguran kepada pemerintah dalam sesuatu urusan, jangan lakukan secara terbuka, tetapi pegang tangannya, lalu menyendiri dengannya. Sekiranya dia menerima (teguran itu), maka itu yang sepatutnya. Sekiranya tidak (iaitu tidak menerima teguran), sesungguhnya dia telah menunaikan tanggungjawabnya terhadap (pemerintah itu)” [Ahmad : 14792]

Hadis ini menjadi dalil bahawa tidak boleh dilakukan demonstrasi, kerana demonstrasi itu adalah teguran terbuka sedangkan itu tidak sealiran dengan maksud hadis ini.

Kedua:

Sabda Nabi SAW;

مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلْيَصْبِرْ عَلَيْهِ

Maksudnya;
“Barangsiapa melihat daripada pemerintahnya sesuatu yang ia tidak sukai, maka hendaklah dia sabar terhadapnya” [Al-Bukhari : 6531]

Dalam hadis ini, disuruh supaya bersabar apabila melihat kesalahan pemerintah. Jadi, demonstrasi tidak dibenarkan dengan merujuk kepada hadis ini.

Ketiga;

Amalan demonstrasi ini adalah amalan golongan khawarij yang menetang pemerintahan Ali bin Abi Talib dahulu.

Keempat;

Dilarang demonstrasi kerana berpegang dengan kaedah Sad al-Zaraie.

MUNAQASYAH ISTIDLAL

[1]

Hujjah pihak yang mengharamkan demonstrasi adalah hadis riwayat Imam Ahmad bahawa Nabi SAW ada bersabda;


مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ

Jika dirujuk kepada kitab-kitab hadis, kita akan dapati ulama yang mensahihkan hadis ini adalah Syaikh Albani dalam kitab “Zilal Al-Jannah fi Takhrij As-Sunnah” [hadis no : 12]. Tetapi, apabila dirujuk kepada kitab-kitab hadis yang lain, didapati hadis ini adalah HADIS YANG DOIF.

Huraian tentang hadis ini, dilihat dari sudut turuq, juga dilihat dari sudut kritikan pada perawi hadis. 

PERTAMA: TURUQ HADIS

Hadis ini mempunyai beberapa turuq. Walaupun banyak turuq, tetapi kesemua turuq-turuq tersebut tetap juga menjadikan hadis ini sebagai doif. Ulasannya adalah seperti berikut;

Turuq pertama:

Dalam kitab As-Sunnah, susunan Abu ‘Asim [hadis no : 1097] didatangka sanad seperti berikut;

عن محمد بن اسماعيل ثنا أبي عن ضمضم بن رزعة عن شريح بن عبيد قال : قال جبير بن نفير قال : قال عياض بن غنم

Dalam sanad ini, terdapat seorang perawi bernama MUHAMMAD BIN ISMAIL. 

Menurut Al-Hafiz Ibn Al-Hajar, MUHAMMAD BIN ISMAIL ADALAH SEORANG YANG TERLALU LEMAH (DOIF JIDDAN) [Al-Isabah : 5576]

Dalam sanad ini juga dinyatakan bahawa Muhammad bin Ismail menyatakan bahawa bapanya menceritakan hadis ini kepadanya. Tetapi, didapati Abu Hatim berkata, “dia tidak mendengar pun dari bapanya” [Al-Jarh Wa At-Ta’dil : 1075]

Dari turuq ini, didapati bahawa hadis ini adalah doif, yang tidak boleh dijadikan sebagai hujjah.

Turuq kedua:

Dari turuq ini, diambil dari Al-Hakim dari kitab Al-Mustadrak [5269] dan At-Tibrani dari kitab Al-Kabir [17/367]. Sanadnya adalah seperti berikut;

عن اسحاق بن ابراهيم بن العلاء بن رزيق الحمصي , ثنا عمرو بن الحارث عن عبد الله بن سالم عن الزبيدي ثنا الفضل بن فضالة يرد الى عائد يرده عائد الي جبير بن نفير : أن عياض ...

Dalam sanad ini, terdapat perawi bernama ISHAK BIN IBRAHIM. menurut Imam An-Nasai, beliau tidak siqah [tarikh damsyik : 8/109]. Imam Abu Daud pula menyatakan bahawa beliau tidak ada apa-apa pun (ليس بشيء) [Mizan Al-‘Itidal : 731].

Dalam sanad yang sama juga, terdapat seorang perawi bernama AMRU BIN AL-HARIS. Menurut Imam Az-Zahabi bahawa beliau adalah orang yang tidak diketahui keadilannya (غير معروف العدالة) [Mizan Al-‘Itidal : 6353]

Dari sanad ini, didapati hadis ini adalah doif. Makanya, ia tidak boleh dijadikan sebagai hujjah.

Turuq ketiga;

Ini diambil dari kitab Syaikh Albani sendiri, iaitu kitab “zilal Al-Jannah”. Sanadnya adalah seperti berikut;

حدثنا محمد بن عوف : نا عبد الحميد بن ابراهيم : نا عبد الله بن سالم : نا الزبيدي حدثني الفضيل بن فضالة .....

Dalam sanad ini, terdapat seorang perawi bernama ABDUL HAMID BIN IBRAHIM. menurut Imam An-Nasaie bahawa perawi ini tidak siqah dan tidak ada apa-apa pun. [Tahzib Al-Kamal : 3704]

Dengan ini membuktikan bahawa hadis ini adalah doif, dan tidak boleh dijadikan sebagai hujjah.

KEDUA: KRITIKAN TERHADAP PERAWI

Ulasan satu;

Dalam hadis ini, dinyatakan bahawa hadis ini ada seorang perawi bernama SYURAIH BIN UBAID AL-HADHRAMI yang mengambil dari IYYAD BIN GHANAM, seorang sahabat yang terlibat dalam Baiah Ar-Ridhwan [ Siyar Al-‘Alam wa An-Nubala’ : 2/354]

Apabila diteliti, didapati kedua-dua perawi ini tidak pernah bertemu. Lebih-lebih lagi ramai ulama-ulama hadis menyatakan bahawa SYURAIH adalah seorang yang terlalu kerap melakukan “peng-irsal-an” hadis. Dengan maksud, hadis ini adalah hadis mursal.

Antara ulama hadis yang menyatakan demikian adalah, Imam Az-Zahabi [Al-Kasyif : 2266] dan Al-Hafiz Ibn Hajr [At-Taqrib : 2775]. Menurut Ibnu Hatim Ar-Razi pula, beliau menyatakan “Syuraih tidak pernah berjumpa dengan Abu Umamah Al-Bahili, Al-Miqdam, Abu Darda’ dan Al-Haris bin Al-Haris” [Tahzib Al-Tahzib : 4/289]

Jika dilihat pada tarikh kematian Abu Umamah Al-Bahili dan Al-Miqdam, didapati mereka meninggal pada tahun ke 86, sedangkan Iyyad pula meninggal pada tahun 20. Makanya, apabila syuraih tidak pernah berjumpa dengan Abu Umamah dan Al-Miqdam, maka lebih-lebih lagi beliau tidak berjumpa dengan ‘Iyyadh. [Al-Jahr wa Al-I’lan fi Do’f hadis Al-Kitman fi Munasahah As-Sultan karangan Abu Marwan As-Sudani]

Ulasan dua:

Jika mahu diikut usul dalam mazhab Syafie. Dibenarkan menggunakan hadis mursal tabiin untuk dijadikan hujjah. Tetapi, Syafie mensyaratkan mursal tabiin yang dibenarkan adalah dari tabiin yang besar (kibar At-Tabiin). [‘Ulum Al-Hadis : asilha wa Maassiruha : 176]

Dalam mazhab Syafie pula, tabiin besar yang diambil kira hanya dua orang sahaja, iaitu Said bin Musayyib di Madinah dan Hasan Al-Basri di Iraq [Fatwa dalam system hukum Islam : 82]. Lalu, didapati pula bahawa Syuraih bukan tabiin besar, sebaliknya tabiin pertengahan. Makanya, ia tidak boleh dijadikan hujjah juga mengikut usul dalam mazhab Syafie.

Ulasan tiga;

Adapun jika mahu mengikut usul tiga mazhab; Hanbali, Hanafi dan Maliki. Mereka menyatakan boleh berhujjah dengan hadis mursal. Namun, mereka mensyaratkan bahawa tabiin yang mursil itu adalah seorang yang siqah. Ramai ulama-ulama hadis yang menjadikan hadis ini sebagai hujjah, sekiranya merujuk kepada cara tiga mazhab ini. Ini kerana, kebanyakkan ulama-ulama hadis mengatakan bahawa Syuraih ini memang siqah, tetapi beliau terlalu kerap melakukan “irsal” hadis.

Pun begitu, hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk haramkan terus demonstrasi. Ini kerana, hadis ini tidak merujuk kepada makna haram menegur terbuka secara mutlak. Ini kerana, hadis ini ada sambungannya.

Dalam sambungan hadis ini, diceritakan bahawa Iyyad bin Ghanam berpesan kepada Hisyam bin Hakim dengan katanya;

وَإِنَّكَ يَا هِشَامُ لَأَنْتَ الْجَرِيءُ إِذْ تَجْتَرِئُ عَلَى سُلْطَانِ اللَّهِ فَهَلَّا خَشِيتَ أَنْ يَقْتُلَكَ السُّلْطَانُ فَتَكُونَ قَتِيلَ سُلْطَانِ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى

Maksudnya;
“Sesungguhnya kamu wahai Hisyam telah melakukan tindakan terhadap sultan Allah. Apakah kamu tidak bimbang bahawa sultan itu membunuh kamu, maka jadilah kamu sebagai pembunuh sultan Allah SWT juga” [Ahmad : 14792]

Dengan maksud, hadis ini hendaklah dilihat pada maalat al-‘af’al, iaitu implikasi sesuatu perbuatan. Ia sama seperti firman Allah SWT;

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya;
“Jangan kamu cela mereka yang menyerus selain dari Allah, nanti mereka akan mencela Allah secara bermusuh dan tanpa Ilmu” 

[Al-‘An’am : 108]

Asal mencela kekufuran adalah harus, malahan wajib. Ini kerana, ia dibawah maksud menyatakan kebenaran dan menolak kebatilan. Pengabdian terhadap selain Allah adalah jenayah dan penyelewengan yang cukup besar. Tetapi, mengenagkan kemudharatan yang lebih besar dari berlaku ekoran mencela mereka, iaitu bimbang pihak bukan Islam akan mencela Allah, makanya ia dilarang oleh Allah SWT. [Al-Muhadharat fi Maqasid As-Syariah : 219]

Dengan maksud, larangan menegur secara terbuka itu adalah jika bimbang sultan Allah melakukan pembunuhan terhadap penegur. Ia amat relevan dilihat dari kerangka Negara yang mengamalkan monarki, berbanding dalam kerangka Negara yang mengamalkan demokrasi.

Jadi, dari munaqasyah ini didapati hujjah yang melarang berdemonstrasi dengan hadis ini adalah tertolak.

[2]

Pihak yang mengharamkan demonstrasi berhujjah dengan hadis bahawa Nabi SAW bersabda;

مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلْيَصْبِرْ عَلَيْهِ

Maksudnya;
“Barangsiapa melihat daripada pemerintahnya sesuatu yang ia tidak sukai, maka hendaklah dia sabar terhadapnya” [Al-Bukhari : 6531]

Perlu diingat, sabar tidak boleh ditafsirkan sebagai ‘berdiam diri’. Ini kerana, kalimah sabar itu sendiri memerlukan tindakan. Imam Ibnu Kathir ada menyebut;

والصبر صبران، فصبر على ترك المحارم والمآثم وصبر على فعل الطاعات والقربات

Maksudnya;
“Sabar itu ada dua jenis; sabar dalam meninggalkan perkara yang haram dan dosa, dan sabar dalam melakukan ketaatan dan kehampiran diri kepada Allah” [Tafsir Al-Quran Al-‘Azim : 1/446]

Dengan maksud, dalam sabar itu juga ada juga tindakan yang perlu dilakukan. Bukan berdiam diri sahaja. 

Begitujuga, Imam Fakhruddin Ar-Razi menyebut;

وأما المصابرة فهي عبارة عن تحمل المكاره الواقعة بينه وبين الغير

Maksudnya;
“adapun kesabaran itu adalah ibarat dari menanggung perkara yang tidak disukai yang terjadi diantaranya dan orang lain” [At-Tafsir Al-Kabir : 5/29]

Jadi, menjadikan hadis ini untuk mengharamkan demonstrasi aman adalah tidak tepat, tetapi boleh dijadikan hujjah jika mengharamkan demonstrasi persenjataan.
[3]

Mereka yang mengaramkan demonstrasi juga beralasan bahawa amalan demonstrasi ini adalah amalan khawarij. 

Perlu diingat, khawarij mempunyai aqidahnya tersendiri; iaitu menganggap kafir kepada pelaku dosa besar. Golongan yang beraqidah seperti ini, memungkinkan memerintah. Lalu, apabila golongan sebegini memerintah, apakah mereka sudah tidak lagi digelar sebagai khawarij? Ataupun, apakah golongan yang keluar demonstrasi terhadap pemerintah yang menganggap kafir terhadap orang yang berdosa besar itu sebagai khawarij pula? Jika ini dilakukan, ia akan lahir “tasalsul”, yang tidak berkesudahan.

Sesuatu itu tidak boleh dikatakan haram semata-mata ia datang orang yang kita tidak suka; samada muslim atau tidak muslim. Malahan, sekiranya amalan dari non Muslim sekalipun, ia diharuskan dilakukan selagi tidak bercanggah dengan nas yang saheh dan sareh.

Demonstrasi tidak bercanggah dengan nas yang saheh lagi sareh. Makanya, ia kembali kepada hukum asal, iaitu asal sesuatu perkara itu adalah harus.

[4]

Menggunakan alasan Sad Az-Zaraie untuk mengharamkan demonstrasi adalah alasan yang tersasar. Ini kerana, sad Az-Zaraie ini dijadikan hujjah dalam menyekat dari berlaku perkara haram. Menyekat itu, hendaklah tidak sampai menafikan keadilan yang merupakan maqasid ammah. Sekiranya menggunakan kaedah tersebut sehingga ternafikan maqasid Ammah, iaitu keadilan, maka menggunakan kaedah itu adalah tersasar dan salah.

Maksud keadilan dalam Islam adalah, “memberikan hak kepada yang berhak”. Ini bersandarkan kepada hadis Nabi SAW yang berbunyi;

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah SWT memberikan setiap hak kepada yang berhak” [Abu Daud : 2486]

Dan antara maksud pemberian hak ini adalah memberikan hak bersuara. Sabda Nabi SAW;

فَإِنَّ لِصَاحِبِ الْحَقِّ مَقَالًا

Maksudnya;
“maka sesungguhnya orang yang mempunyai hak itu, ada ruang untuk dia bersuara” [Al-Bukhari : 2141]

Lalu, menggunakan alasan kaedah Sad Az-Zaraie untuk mengharamkan terus demonstrasi adalah satu perkara yang salah. Tetapi, jika mahu digunakan juga keadah ini, ia hendaklah dikatakan bahawa demonstrasi itu diizinkan dalam keadaan bersyarat, iaitu syarat aman dan tanpa persenjataan. Dengan erti kata lain, syarat itu sebagai sad Az-Zaraie.

TARJIH

Dari segala ulasan dan huraian diatas, dapat dinyatakan bahawa demonstrasi aman adalah dibenarkan. Adapun demonstrasi persenjataan, maka ia terlarang. Perkara ini dikukuhkan dengan perkara berikut;

Pertama;

Ibnu Taimiyyah berkata;

كان مذهب اهل الحديث ترك الخروج بالقتال على ملوك البغاة و الصبر على ظلمهم

Maksudnya;
“mazhab Ahli Hadis tidak keluar BERPERANG terhadap pemerintah zalim dan sabar terhadap kezaliman mereka” [Majmu’ Al-Fatawa : 1/389]

Perkataan Ibnu Taimiyyah ini menjelaskan kepada kita bahawa kesabaran terhadap kezaliman pemerintah itu adalah dengan tidak mengangkat senjata terhadap pemerintah itu. Adapun tidak mengangkat senjata, ia tidak dilarang. Ini kerana, larangan mengangkat senjata yang dimaksudkan oleh Ibnu Taimiyyah itupun kerana bimbang melahirkan mafsadah yang lebih besar berbanding maslahah.

Beliau berkata;

بل تربو مفسدته على مصلحته

Maksudnya;
“bahkan melahirkan mafsadahnya berbanding maslahah” [Majmu’ Al-Fatawa : 1/389]

Begitujuga, Ibnu Rajab Al-Hanbali ada berkata;

وأما الخروج عليهم بالسيف فيخشى منه الفتن التى تؤدي إلى سفك دماء المسلمين

Maksudnya;
“Adapun keluar dari mereka dengan PEDANG, dibimbangi lahir fitnah yang membawa kepada pertumpahan darah di kalangan orang islam” [Jami’ Al-Ulum wa Al-hikam : 34/8]

Kedua:

Demonstrasi merupakan cara untuk memberhentikan pemerintah dari terus melakukan kezaliman dan dosa. Maka ia dibenarkan, malahan dituntut kerana Allah SWT ada berfirman;

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya;
“Tolong menolonglah kamu dalam melakukan kebaikan dan ketaqwaan. Dan jangan kamu tolong menolong dalam melakukan dosa dan permusuhan” 

[Al-Maidah : 2]

Kezaliman itu merupakan dosa. Tidak ada pihak yang menyatakan bahawa kezaliman itu satu perkara yang baik.

Ketiga;

Tindakan tidak membenarkan demonstrasi terhadap pemerintah, seperti double standard dalam melakukan teguran. Dalam erti kata yang lain, seakan-akan kerajaan boleh bertindak sesuka hati kepada rakyat, tanpa rakyat bawahan tidak boleh melakukan apa-apa tindakan pun terhadap kerajaan, sedangkan perkara ini dinyatakan oleh Nabi SAW;

إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدَّ

Maksudnya;
“Sesungguhnya telah binasa mereka yang sebelum kamu. Bahawa apabila mencuri orang-orang mulia dikalangan mereka, mereka akan dilepaskan. Apabila mencuri oleh orang bawahan yang lemah, mereka laksanakan hukuman terhadapnya” [Al-Bukhari : 3216]

Keempat;

Tindakan tidak mengizinkan demonstrasi aman untuk berhentikan kezaliman pemerintah, seakan-akan bercanggah dengan maksud hadis Nabi SAW yang berkata;

إِنَّهُ سَتَكُونُ بَعْدِي أُمَرَاءُ مَنْ صَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ

Maksudnya;
“Selepasku akan ada pemerintah-pemerintah. Barangsiapa membenarkan mereka terhadap penipuan mereka dan membantu mereka atas kezaliman mereka, maka dia bukan dari kalanganku dan aku bukan dari kalangannya” [An-Nasaie : 4136]

KESIMPULAN

Demonstrasi aman adalah harus, sedangkan yang dilarang adalah demosntrasi persenjataan. Itupun, sekiranya ia boleh melahirkan mafsadah yang lebih besar berbanding maslahah. 
Himpunan bersih adalah satu demonstrasi aman, sedangkan kekacauan bermula apabila ada provokasi dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Malahan, perlembagaan Malaysia sendiri mengakui perkara ini. Iaitu, dalam perkara 10 (1) (b) yang menyatakan;

“semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata”.

Sekian

Wallahu ‘Alam






3 ulasan:

unanjaga berkata...

Pertamanya harus diperjelaskan bahwa seluruh rakyat Malaysia punya hak yang jelas dalam perlembagaan untuk berhimpun secara aman,dan itu adalah perkara yang tak bolih pihak kerajaan untuk menafikannya.kewajaran untuk memberi nasihat pada kerajaan secara hikmah pada apa jua kezaliman dan salah guna kuasa yang telah mereka lakukan adalah seperti sudah tidak berguna lagi.BN telah pun diberikan mandat untuk memerintah negara lebih dari 50 tahun,dan mereka masih juga menjadi tali barut pada perundangan penjajah.Mereka juga telah menjadikan kuasa politik yang diamanahkan pada mereka sebagai kesempatan untuk menghimpunkan kekayaan dengan jalan yang bathil.Rakyat sudah begitu muak dengan telatah mereka.

Pro Ulama' berkata...

Assalamu'alaikum ustaz. Ana nak tanya sedikit pasal demonstrasi ni. Harap ustaz dapat menjawabnya. Ana ingin bertanya, bagaimana pula hadis Nabi saw yg berbunyi :

"Akan muncul nanti tiga perkara (buruk)sebagai tanda dunia hampir kiamat. 1) Tempat makmur (masjid) telah lengang dan tempat lengang (pasar dan tempat hiburan) telah makmur (di kunjungi ramai).
2) Orang berjuang dan berjihad secara tunjuk perasaan (demonstrasi).
3) Seorang menggesel amanah seperti unta menggesel badannya di pokok kayu.” (Riwayat At Tabrani dalam Al Kabir).

Dan juga hadis Nabi saw :

“Sesungguh nya Allah benci kepada orang yang keji dan membuat perkara yang keji dan memekik mekik di jalanan.” (Riwayat Ibnu Abi Dunya dari Jabir)

Sebabnya banyak juga yg menggunakan hadis ni sebagai melarang untuk berdemonstrasi kerana mengikut mereka ianya tidak disukai Rasulullah saw.

Harap ustaz dapat huraikan sedikit kekeliruan ana yg dhoif ni mengenai status hadis di atas di samping adakah hadis ini melarang kita untuk berdemonstrasi. Syukran ustaz. Harap ustaz dapat membantu...Wallahu'alam...

BatangJaga berkata...

unanjaga

kau aku nasihatkan muhasabah diri ... pas lagi tak guna ... bagi amanah untuk jaga koperasi Kohilal dan Tabung Memali pun tak terurus .... inikan nak diberikan amanah menjaga negara dengan puak DAP dan Keadilan ....