Ahad, 21 Ogos 2011

ISU MURTAD

SATU : HUKUM MURTAD?

Kepercayaan bukan sesuatu yang dapat dilihat. Ekoran itu, ia sukar dinilai kecuali pada diri individu yang meletakkan kepercayaan dan Allah yang maha agung. Soal kepercayaan adalah perkara yang cukup halus. Apa yang terungkap dalam hati, tidak sama seperti yang terungkap di mulut. Makanya, tidak hairan ulama berbeda pendapat dalam menentukan hukuman terhadap orang yang murtad. 

Ada pihak mengatakan hukuman bagi orang murtad adalah bunuh. Mereka bersandarkan kepada satu sabda nabi SAW dari hadis Al-Bukhari bahawa Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud;

“barangsiapa yang tukar agamanya, maka bunuhlah dia”

Pada mereka, hadis ini merupakan mufassal bagi mujmal firman Allah SWT yang bermaksud;

“Barangsiapa dari kalangan kamu yang murtad dari agamanya, lalu dia mati, maka dia adalah kafir. Terbatal segala amalan mereka di dunia dan akhirat” (surah Al-Baqarah : 217)

Hujjah ini ditolak sebilangan pihak. Pada mereka, hadis riwayat al-bukhari itu adalah hadis ahad. Dalam kaedah usul fiqh mengikut aliran hanafi, hadis ahad tidak boleh menjadi mentakhsis kepada umum Al-Quran. Makanya, hadis ahad lebih-lebih lagi tidak boleh menjadi mufassil kepada mujmal ayat Al-Quran.

Ada pihak yang lain berhujjah dengan satu hadis berkenaan dengan dua orang sahabat, iaitu Abu Musa Al-Asyari dan Muaz bin Jabal. Ketika Abu Musa menziarahi Muaz, didapati ada seorang lelaki yahudi terikat pada satu tiang disebabkan beliau tertangkap ekoran murtad.

Abu Musa yang dijemput duduk oleh Muaz, tidak mahu duduk. Malahan beliau menyatakan bahawa beliau tidak akan duduk kecuali lelaki yahudi yang murtad itu dibunuh. Kemudian beliau menyatakan, “Ini (hukuman bunuh orang murtad) adalah hukuman Allah dan Rasul-Nya”.

Hadis ini saheh tanpa pertikaian lagi. Tetapi, dari sudut pengistidlalan, hadis ini dikupas oleh Dr Taha Jabir dengan menyatakan lelaki yahudi yang murtad itu adalah seorang yang Muharib, iaitu yang melakukan serangan kepada Islam. Dr Taha Jabir berhujjah dengan merujuk kepada satu firman Allah yang bermaksud;

“Segolongan (lain) dari Ahli Kitab berkata (kepada sesamanya): "Perlihatkanlah (seolah-olah) kamu beriman kepada apa yang diturunkan kepada orang-orang beriman (sahabat-sahabat Rasul) pada permulaan siang dan ingkarilah ia pada akhirnya, supaya mereka (orang-orang mukmin) kembali (kepada kekafiran)” (al-imran : 72)

Dengan maksud, lelaki yahudi itu adalah seorang yang masuk Islam, kemudian keluar balik dengan tujuan untuk melakukan serangan terhadap Islam (muharabah atau Mughallazah). Dengan itu, lelaki itu disuruh bunuh oleh Abu Musa al-Asyaari.

Ini ditambahi lagi – kata mereka- boleh dikatakan semua hukuman bunuh termaktub dalam al-Quran, seperti hukuman qisas dan muharabah. Tetapi, peliknya hukuman bunuh bagi orang murtad tidak termaktub dalam al-Quran. Ia sudah pasti, merupakan satu perkara yang ganjil dalam kaedah istinbat hukum.

Ekoran dari itu, Dr Ahmad Ar-Raisuni yang dikenali sebagai As-Syatibi Moden pernah menulis perkara ini. Beliau telah mengklasifikasikan bentuk murtad itu sendiri. Cara klasifikasi ini merupakan cara yang masyhur bagi Imam As-Syatibi dalam melakukan sesuatu penghujahan. Kaedah ini dikenali sebagai teori Istiqra’ Maknawi. 

Dr Ahmad Ar-Raisuni mengklasifikasikan bentuk murtad itu kepada dua, iaitu murtad yang menyerang Islam, atau disebut sebagai Riddah Muharabah, dan satu lagi adalah murtad yang tidak menyerang Islam, atau disebut juga sebagai “semata-mata keluar agama”. Dalam bahasa arabnya disebut sebagai Riddah Mujarradah.

Dalam ulasan Dr Ahmad ar-Raisuni, hukuman bunuh pada orang murtad ini terkena pada “riddah Muharabah”. Ini kerana, hadis riwayat al-Bukhari yang merupakan hadis ahad itu, ia mengukuhkan kepada hukuman bunuh bagi muharabah yang termaktub dalam al-Quran.

Adapun bagi riddah mujarradah, pada beliau, ia tidak dikenakan hukuman bunuh sebagai hukuman hudud, tetapi ia terpulang kepada pihak kerajaan untuk melaksanakan hukuman terhadap si pemurtad tersebut.

Jika dibaca dalam kitab yang bicara tentang murtad oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, beliau pula mengklasifikasikan hukuman murtad itu terbahagi kepada dua, iaitu riddah mughallazah (murtad besar) dan riddah mukhaffafah (murtad ringan). Dan beliau juga mengakui bahawa hukuman bunuh dikenakan kepada riddah mughallazah. Antara misal yang didatangkan oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi adalah Salman Rushdi yang pernah menulis satu novel yang memburukkan Islam.

Pengklasifikasian ini tidak jauh berbeda dengan seoran tokoh ilmuan dari Universiti al-Azhar bernama Dr Kamal Misri. Beliau mengistilahkan bentuk murtad itu sebagai “al-Khuruj min Al-Islam” iaitu semata-mata keluar dari Islam, dan satu lagi adalah “Al-Khuruj ‘Ala Al-Islam”, iaitu keluar dan melakukan serangan terhadap Islam.

Adapun ada sebilangan yang mendakwa bahawa hukuman bunuh itu adalah ijmak. Dijawab mereka bahawa ijmak ulama itu adalah pada riddah muharabah (atau Mughallazah), bukan ijmak pada riddah mujarradah (atau Mukhaffafah).

DUA : KENAPA ORANG MURTAD?
Amat mudah untuk menuduh orang itu dan orang ini murtad, tetapi amat jarang orang mahu merungkai punca orang murtad. Perkara utama yang perlu difikirkan adalah, murtad adalah perkara yang berkait dengan kepercayaan. Apabila disebut sebagai kepercayaan, sudah pasti ia berkait dengan penghujahan.

Hujjah yang meyakinkan mendatangkan kepercayaan. Dengan mendesak dan menghukum, kepercayaan lama tidak akan berubah waima dimulutnya mengatakan sealiran dengan apa yang kita mahu.

Orang yang murtad berpuncakan keyakinan mereka terhadap Islam suka mencair. Kecairan itu mempunyai factor yang banyak. Mungkin kerana ilmuan Islam gagal menerangkan bentuk Islam dengan hujjah yang meyakinkan, menyebabkan kepercayaan mereka terhadap Islam mencair. Mungkin juga berfaktorkan tindakan golongan Islamis yang dilihat tidak berjaya mempamerkan Islam sebagai agama fitrah, sebaliknya tindakan mereka seperti mewakili Islam itu penuh dengan penafian hak (sama ada terhadap muslim dan non Muslim), penindasan, kezaliman, malahan jauh untuk mencapai keadilan. 

Jika keadaan ini berlaku, kesalahan murtad pada diri orang murtad itu tidak boleh seratus peratus diletakkan kepada mereka. Tetapi, dalam 30 peratus boleh disalahkan kepada mereka, tetapi peratus yang berbaki itu hendaklah disalahkan kepada umat Islam itu sendiri.

Di Malaysia, jabatan agama Islam mendapat sokongan dan dokongan kerajaan. Tetapi, dari segi kebajikan dari pihak jabatan agama Islam terhadap umat Islam tidak sehebat kebajikan yang dilakukan oleh golongan gereja. Golongan gereja melakukan kebajikan, tidak terbatas kepada orang kristian sahaja, malahan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan kebajikan – tidak kira apa agama sekalipun – amat mudah mendapat pertolongan dari gereja.

Keadaan ini tidak sama berlaku pada jabatan agama Islam, atau badan-badan Islam. Pihak lembaga zakat sebagai contoh, mempunyai kewangan yang cukup lumayan. Tetapi, birokrasi yang dicipta menyebabkan muslim sendiri menjadi benci dengan badan agama Islam itu. Jika ini berlaku, tidak hairan muslim sendiri semakin longgar keyakinan mereka dengan islam.

Jika kebajikan kepada muslim pun sudah mencapai berbagai birokrasi, maka teramat jauh kebajikan yang badan Islam itu hendak lakukan terhadap non muslim. makanya, tindakan badan agama itu sendiri tidak mendekatkan mereka kepada Islam, malahan menjauhkan lagi mereka dari mendekatkan diri dengan islam.

Mungkin ada pihak akan berkata, bahawa soal kebajikan bukan perkara kepercayaan. Benar dakwaan itu, tetapi kebajikan merupakan mekanisma terbaik untuk mendekatkan diri manusia dengan islam. Dengan itu, mereka menilai seterusnya mencapai kepercayaan. Ini dibuktikan dengan tindakan Nabi SAW hendak menguasai kerajaan Madinah dan Makkah dahulu. Dalam sejarah madinah, kandungan kebajikan menerusi ayat 151 dan 152 dari surah Al-An’am merupakan mekanisma awal penerimaan rakyat madinah terhadap Islam, seterusnya mereka menjadi mukmin yang hebat. Serupajuga kejayaan Nabi SAW masuk ke Makkah dalam sejarah Fath Makkah yang berlaku pada tahun ke 8 hijriah. Pada tahun ke 7 Hijriaah, Nabi SAW berjaya menyuruh para sahabat membawa harta benda yang banyak dalam Umrah Qadha, dan memberikan bantuan kepada rakyat Makkah yang miskin dan berhutang disamping mereka melakukan ibadat di Makkah. Kesannya, pada tahun ke 8 hijriah, Islam menguasai Makkah.

Soal pendekatan Ilmu, juga merupakan perkara yang paling penting perlu dirungkai. Kita dapati, Jabatan Agama Islam di Malaysia (walau tidak semua), penceramah-penceramah agama juga ditangkap di kala maksiat di luar masjid tidak dihiraukan mereka. Kuliah agama di masjid dan surau dengan sengaja dihentikan dalam beberapa tempat. Jika ini keadaannnya, dimanakah logiknya mereka mempertahankan islam?

Kalau ini yang berlaku, tidak hairan murtad boleh berlaku.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

"Jika keadaan ini berlaku, kesalahan murtad pada diri orang murtad itu tidak boleh seratus peratus diletakkan kepada mereka. Tetapi, dalam 30 peratus boleh disalahkan kepada mereka, tetapi peratus yang berbaki itu hendaklah disalahkan kepada umat Islam itu sendiri."

tak setuju.
orang murtad akan tanggung salah atas kemurtadannya sendiri. teroris akan tanggung kesalahannya sendiri membunuh orang tanpa hak, melakukan kerosakan di muka bumi dan membawa fitnah kepada islam.
semua orang akan tanggung kesalahan sendiri di akhirat kelak, itu yg saya baca dari al-quran. mana ada dalil pembahagian menanggung dosa?
sebagai contoh, saya yg memperkenalkan cerita lucah kepada kawan saya, dan kemudian kawan saya jadi kaki cerita lucah. saya berdosa kerana memperkenalkan cerita lucah kepadanya, tp dia akan tanggung sendiri dosa dia menonton cerita lucah, betul?

ada orang susah, ilmu agama pun cukup2 je, pergi jabatan zakat, birokrasi punya hal, alih2 tak dapat. orang kristian dtg bagi duit dia ambil tp dia masih islam. kenapa?

jawapannya, tepuk dada tanya imanlah.

"Kalau ini yang berlaku, tidak hairan murtad boleh berlaku."

pernyataan yg salah. murtad tetap akan berlaku kerana syaitan akan tetap berusaha menyesatkan manusia sehingga hari kiamat, tambahan pula manusia ni makhluk yg sombong. sedangkan zaman rasulullah (sebaik2 pendakwah) pun ada yg murtad.

yg penting, semua org kena jadi muslim yg mukmin. jaga akhlak dan peribadi, laksanakan tanggungjawab dgn sehikmah mungkin dgn kaedah yg betul lagi dibenarkan dlm islam. yg penting, ingat kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti bukan berdasarkan kepada hasil kejayaan apa yg kita usahakan sebaliknya akan kualiti usaha kita.

cuba dalami fakta ini, nabi lut berdakwah beratus2 tahun tp pengikut dia cuma puluhan org. tp dia masih dikasihi ALLAH kerana dia melaksanakan tugas dia.