Jumaat, 23 September 2011

HUDUD DI MALAYSIA DALAM PADANG DEMOKRASI, BUKAN MONARKI

[1]

Malaysia ini bukan Negara monarki, tetapi Negara demokrasi. Dalam demokrasi, perlaksanaan sesuatu undang-undang atau dasar, tertakluk kepada suara majority. Tanpa mendapat sokongan ramai, ia melahirkan penolakan. Makanya, kebaikan yang diimpi, tetapi keburukan yang tercapai.

Kita tidak boleh sekadar berharap sesuatu impian yang baik itu sekadar tercapai. Tetapi, lebih dari itu adalah, impian yang baik itu kekal diamalkan. Inilah tuntutan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Oleh sebab itu, dalam kitab al-Muwafaqat tulisan Imam As-Syatibi, dinukilkan tindakan Umar bin Abdul Aziz yang tidak terus melaksanakan Islam secara total sejurus mengambil tampuk pemerintahan. Apabila Abdul Malik yang merupakan anak kesayangannya bertanya tentang hal itu, beliau menjawab;

“Jangan kamu gopoh wahai anakku. Sesungguhnya Allah cela arak dalam al-Quran sebanyak dua kali, dan mengharamkannya pada kali yang ketiga. Sesungguhnya aku bimbang dilaksanakan kebenaran (Islam) secara total, menjadikan rakyat menolaknya pula secara total. Ia merupakan fitnah”.

Umar menjawab sebegitu, kerana Umar mementingkan kejayaan perlaksanaan islam itu bersifat kekal, bukan sementara. Umar tidak berfikir untuk mencapai sesuatu impian sahaja, tetapi Umar berfikir lebih dari itu, iaitu bagaimana impian itu kekal diamalkan. Kebaikan pada Umar, bukan sekadar impian, tetapi kejayaan perlaksanaan.

[2]

Dalam sejarah Islam, diceritakan bahawa Saidina Umar al-Khattab pernah menangguhkan perlaksanaan hukuman potong tangan yang merupakan salah satu hukum hudud yang termaktub dalam al-Quran. Ditangguhkan kerana, ketika itu tertimpa tahun kelaparan. Kelaparan merupakan syubhat, kerana dibimbangi keadilan yang ingin dicapai, tetapi kezaliman yang terlaksana.

Melaksanakan hukuman potong tangan terhadap pencuri adalah satu keadilan. Tetapi, memotong tangan pencuri yang mencuri di kala tiada makanan, dan sang pencuri mencuri itu pula dalam keadaan terpaksa, maka tindakan memotong tangan pencuri itu merupakan kezaliman. Ekoran itu, Saidina Umar menangguhkan perlaksanaan salah satu hukuman hudud tersebut.

Di Malaysia, hukuman Hudud sudah menjadi buah mulut. Sejak 20 tahun dahulu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah melontarkan idea ini, dan diteruskan usaha ini dalam kerajaan PAS di Terengganu dahulu.

Namun, kelemahannya adalah dari sudut penerangan kepada rakyat. lebih-lebih lagi, propaganda UMNO/BN agak kuat menyebabkan hudud yang baik berjaya diburukkan oleh UMNO/BN. Makanya, kerajaan PAS yang mempunyai hasrat yang baik, tidak berjaya melaksanakan hasrat itu, malahan kalah dalam PRU selepas itu.

Dilemma tidak memahami kebaikan hudud, melahirkan problem yang cukup besar. Jika yang tidak memahami itu sebilangan kecil rakyat, ia tidak memberi kesan yang buruk, tetapi jika majority rakyat tidak memahaminya, perlaksanaan hudud melahirkan kesan yang amat bahaya. Dibimbangi, hudud yang baik itu bakal dilihat buruk oleh masyarakat. Jadi, ia tidak sepatutnya berlaku sama sekali.

[3]

PAS berada dalam padang demokrasi, bukan padang monarki. Jika Kelantan itu kerajaan beraja, dan PAS itu adalah rajanya, tidak menjadi sebarang masalah terhadap perlaksanaan hudud dalam jangka masa ini. Tetapi, yang PAS perlu fikirkan bahawa PAS berada dalam padang demokrasi. Ia melibatkan suara majority rakyat dalam menentukan kejayaan perlaksanaan hudud itu diterima dan terus diamalkan.

Tidak ada faedahnya hudud hanya berjaya dilaksanakan dalam jangka 5 tahun sahaja, tetapi selepas itu hudud dibuang oleh rakyat jauh ke laut. Tetapi yang paling baik adalah, hudud dilengahkan selama 5 tahun, tetapi selepas 5 tahun hudud itu diterima rakyat, dan berjaya dilaksanakan. Perlaksanaan itu berterusan sehingga bumi ini dibinasakan oleh Allah.

Ekoran itu, tindakan yang perlu dilakukan (diletak target selama 5 tahun sahaja) adalah seperti berikut;

Pertama :

Gerakan usaha memahamkan hudud lebih berkesan. Tidak sekadar berlingkar di kawasan Kelantan sahaja, tetapi hendaklah penerangan itu meliputi seluruh Malaysia. Bentuk penerangan itu seperti mengadakan seminar, wacana, sebaran handbill dan sebagainya. PAS dan kerajaan PAS wajib mengambil peranan ini.

Kedua :

Mewujudkan badan bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan usaha memahamkan rakyat tentang hudud. Golongan ini terdiri dari kalangan mereka yang berkepakaran tentang hudud, dan mempunyai kebijaksanaan dalam menerangkan hudud dalam bentuk yang cukup berhikmah.

Mereka yang terlibat dalam NGO ini, hendaklah dilatih tentang cara dan pendekatan yang baik dalam mendepani sasaran yang belum memahami tentang hudud, agar penyampaian kandungan hudud kepada rakyat benar-benar memberi impak yang baik.

Ketiga :

Dianjurkan Seminar dan wacana yang berkaitan dengan Hudud, dengan tidak boleh diabaikan menjemput wakil-wakil parti selain PAS. Jika pihak PAS bentang kertas kerja tentang hudud, maka diminta wakil dari DAP dan PKR mengomentar kertas tersebut. Seperti kertas kerja dibentang oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz atau Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang, dan Karpal Sikh atau Lim Guan Eng pula yang mengomentarinya.

[4]

Sebelum kita bercakap soal perlaksanaan, seharusnya kita menyedari bahawa Malaysia adalah Negara demokrasi. Apabila rakyat secara majority mahukan hudud, DAP tidak bersetuju pun terpaksa akur dengan kehendak rakyat. ini kerana, parti mereka adalah parti demokrasi (Democtratic Action Party).

Selagi rakyat tidak diusahakan faham secara menyeluruh, dibimbangi perlaksanaan hudud tidak melahirkan kejayaan. Yang paling bimbang, ia melahirkan kegagalan dan hudud itu pula lebih dibimbangi dilihat buruk oleh rakyat.

Sesuatu perlaksanaan hudud, jangan sekadar berfikir untuk tercapai impian sahaja, tetapi hendaklah difikirkan kejayaan perlaksanaan itu tanpa melahirkan penolakan merupakan mudharat yang lebih besar.

Hanya berfikir untuk mencapai impian tanpa memikirkan kejayaan perlaksanaan yang baik merupakan tindakan yang gopoh, sedangkan gopoh itu dibenci oleh Allah SWT.

Sabda Nabi SAW, “Gopoh itu sebahagian dari Syaitan”.

Kaedah fiqh ada menyebut, “barangsiapa yang bergopoh terhadap sesuatu sebelum masa yang sesuai, ia akan diakibatkan pengharamannya”.

Jadi, dalam hal ini, perlu diambil kira padang demokrasi dalam perlaksanaan Islam. Iaitu, PAS perlu mengambil himpunan suara rakyat untuk melaksanakan hudud. Ia bukan bermakna mendahulukan rakyat berbanding keputusan Allah, tetapi ia bertujuan untuk mencapai kejayaan perlaksanaan yang jitu, baik dan harmoni, tanpa melahirkan penolakan dan pemburukan pada hukum Allah SWT itu.

Sekian

Wallahu ‘Alam

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Semua point yg sedara sebut tu dah pun dibuat oleh PAS zaman berzaman.. Mungkin sedara masih baru dlm PAS jadi sedara tak tau.. Cumanya baru2 ni, ada pimpinan2 pas sendiri yg minta jangan cakap isu ni. malah dr dzul antara yg lantang kata negara islam tak mungkin dilaksanakan. Jangan lupa, orang2 yg sedara bersama dgn mereka di kalangan pimpinan pas skrg ni tu pun antara yg tak suka bila dokumen negara islam didedahkan.

Secara ringkasnya, terbukti apa yg dibuat oleh Dewan Ulamak selama inilah yg sepatutnya kita perjuangkan dan memberi sokongan, bukan kritikan umum tak habis2. Memang benarlah para ulamak kita lebih memahami maqasid, maslahah dan apa jua istilah islami yg digunakan oleh dr dzul n gang...

Tanpa Nama berkata...

tok guru kita ni time nak ngundi mulalah kalot pasal hudud.taktik lama dah..