Khamis, 16 Februari 2012

HUKUMAN BUNUH DALAM PERBINCANGAN FIQH

[1]

Terdapat khilaf dikalangan ulama usul dalam menentukan kaedah istinbat dalam menentukan hukuman mati. Khilaf tersebut adalah seperti berikut;

Satu :

Ia mesti sabit dalam nas al-Quran. Dengan maksud, selain al-Quran, penentuan hukuman mati tidak dibenarkan.

Dua :

Hukuman mati boleh sabit dengan sumber nas Hadis dan kekuasaan pemerintah (ta’zir).

[2]

Pada pandangan pertama ini, mereka beralasan dengan kaedah dalam mazhab Hanafi yang menyatakan nas ahad tidak boleh mentakhsiskan nas yang umum yang bersifat qatie[1].

Contoh dalam perkara ini adalah seperti Mazhab Hanafi menyatakan tidak halal makanan sembelihan orang Islam yang tidak dibacakan “bismillah”, sedangkan Syafie menyatakan halal sembelihan orang Islam, walaupun tidak membaca bismillah sekalipun.

Perbincangan ini bersebabkan hadis bahawa Nabi SAW ada bersabda;

ذبيحة المسلم حلال ذكر اسم الله أو لم يذكر

Maksudnya;
            “Sembelihan orang Islam adalah halal; sama ada disebut nama Allah atau tidak[2]

Juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas berkata;

إذا ذبح المسلم ونسى ان يذكر اسم الله فليأكل فان المسلم فيه اسم من اسماء الله

Maksudnya;
            “Apabila seseorang muslim itu menyembelih dalam keadaan dia lupa menyebut nama Allah, maka makanlah (halal dimakan). Ini kerana, muslim itu adalah salah satu nama dari nama-nama Allah SWT[3]

Dari hadis-hadis ini, Imam Syafie menyatakan bahawa sembelihan orang Islam adalah halal, walaupun sembelihan itu tidak dibacakan bismilllah. Pendapat Syafie ini menyalahi dengan pendapat Mazhab Hanafi, kerana hadis-hadis di atas bersifat ahad, lalu ia tidak boleh mentakhsiskan umum al-Quran yang bersifat Mutawatir yang menyatakan;

وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

Maksudnya;
            “Dan jangan kamu makan dari (sembelihan) yang tidak disebut nama Allah ke atasnya” (Surah al-A’na’m, ayat 121)

[3]

Melihat keadaan inilah, menyebabkan golongan pertama ini menyatakan tidak boleh dikenakan hukuman bunuh kepada seseorang sekiranya ia bersumberkan nas hadis sahaja. Dengan erti kata yang lain, ia mesti bersumberkan nas al-Quran yang bersifat mutawatir, seperti hukum Qisas dan Muharabah.

Asas perkara ini adalah kerana, mereka melihat kepada umum firman Allah SWT yang menyuruh menjaga nyawa. Iaitu firman Allah;

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya;
            dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar." Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya)” (Surah al-A’na’m, ayat 151)

Juga firman Allah;

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَمَنْ قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِفْ فِي الْقَتْلِ إِنَّهُ كَانَ مَنْصُورًا

Maksudnya;
            Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar. Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh. Sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan” (Surah al-Isra’, ayat 33)

Juga firman Allah SWT;

وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا

Maksudnya;
            “(antara sifat ‘Ibad al-Rahman adalah) tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya)” (Surah al-Furqan, ayat 68)

[4]

Adapun hadis-hadis yang menceritakan hukum bunuh (termasuh rejam) dalam hadis, ia bersifat ta’zir, iaitu atas kebijaksanaan pemimpin selama tidak melanggar batasan-batasan maqasid ammah, seperti menafikan keadilan, boleh mendatangkan imej buruk kepada Islam dan kemudharatannya lebih besar berbanding kemaslahatan, juga dalam kerangka ia diperkukuhkan dengan nas-nas al-Quran.

Antara contohnya adalah seperti hadis bunuh kepada orang murtad, iaitu sabda Nabi Muhammad SAW;

مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ

Maksudnya;
            “Barangsiapa yang tukar agamanya, maka hendaklah kamu bunuhnya[4]

Hadis ini tidak boleh ditafsirkan menyendiri, kerana ia menyanggahi umum al-Quran yang melarang membunuh nyawa manusia. Ekoran itu, ia perlu digabungkan dengan nas-nas al-Quran. Makanya dengan itu, Dr Ahmad al-Raisuni menyatakan bahawa maksud dengan bunuh kepada orang yang murtad pada hadis ini ditujukan kepada ‘Riddah Muharabah’ iaitu orang murtad yang kemudiannya melakukan dakyah atau menyerang orang Islam, bukan ‘riddah mujarradah’, iaitu orang yang murtad, tetapi tidak melakukan serangan terhadap kerajaan. Dengan maksud, dia semata-mata murtad sahaja.

Menyatakan bahawa maksud hadis ini ditujukan hukuman bunuh kepada orang yang murtad muharabah, kerana hadis ini dibaca dengan disertakan dengan firman Allah SWT yang menceritakan hukuman bunuh kepada muharabah, iaitu Allah SWT berfirman;

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَنْ يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ مِنْ خِلَافٍ أَوْ يُنْفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ذَلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الْآَخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ * إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِنْ قَبْلِ أَنْ تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya;
            Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerusakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka didunia, dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar * kecuali orang-orang yang taubat (di antara mereka) sebelum kamu dapat menguasai (menangkap) mereka; maka ketahuilah bahwasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah al-Maidah, ayat 33-34[5])

Pendapat pertama ini tidak selari dengan pendapat golongan kedua yang tidak mensyaratkan muharabah, untuk membunuh orang yang murtad. Pada mereka, hukuman bunuh terus boleh dikenakan kepada orang yang murtad berdasarkan kepada nas hadis riwayat al-Bukhari di atas.

[5]

Pada pandangan golongan pertama, keadaan yang sama juga pada Hukuman rejam. Ini kerana, pada mereka ia dibawah hukuman ta’zir, bukan hukum hudud. Dengan maksud, terpulang kepada pemerintah untuk dilaksanakan hukuman rejam kepada penzina. Itupun, selama ia tidak menafikan maqasid ammah, iaitu tidak mendatangkan imej buruk kepada Islam, tidak mendatangkan mudharat lebih besar berbanding maslahah dan seumpamanya.

Sabda Nabi SAW;

الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ

Maksudnya;
            “Anak itu (dibinkan) bagi persetubuhan sah, sedangkan bagi penzina adalah batu (rejam)[6]

Walaupun hukum rejam ini adalah hukuman ta’zir, yang merupakan kuasa pemerintah, tetapi hendaklah dalam kerangka ia tidak boleh mendatangkan penafian terhadap maqasid ammah, seperti boleh mendatangkan imej yang buruk kepada Islam, mendatangkan mudharat lebih besar berbanding maslahah dan sebagainya.

Pendapat ini tidak selari dengan golongan kedua yang menyatakan bahawa hukum rejam dikenakan kepada penzina yang telah merasai jimak yang sah dengan semata-mata merujuk kepada hadis ini.

Wallahu ‘alam.


Ibis Hotel, Dubai (16 Feb, 11.30 pagi)


[1] Dr Abd al-‘Ati bin Muhammad Ali, Dalalah al-Alfaz
[2] Ma’rifah al-Sunan wa al-Athar, hadis no : 5806.
[3] Al-Sunan al-Kubra li al-Baihaqi, juzu’ 9, hlmn 240.
[4] Al-Bukhari, hadis no : 2794.
[5] Lihat laman web Dr Ahmad al-Raisuni.
[6] Al-Bukhari, hadis no : 6319.

Tiada ulasan: