Selasa, 18 Ogos 2009

AL-KISAH (10) : “KAMU PILIH AKU, ATAU PERHIASANMU”

“KAMU PILIH AKU, ATAU PERHIASANMU”

Isteri Omar Abdul Aziz bernama Fatimah. Dia merupakan anak kepada khalifah Islam yang bernama Abdul Malik bin Marwan. Semasa Fatimah dihantar kepada Omar, dia dibekali dengan seberapa banyak perhiasan; intan permata, emas dan perak yang mampu memukau mata sesiapa yang melihatnya.

Ketika Omar Abdul Aziz dilantik menjadi Khalifah, beliau telah meminta Fatimah menghadiahkan semua perhiasannya itu kepada rakyatnya, iaitu menerusi baitul Mal.

“Wahai isteriku, aku memberi kamu pilihan, sama ada kamu memilihku atau kamu menghadiahkan segala perhiasanmu itu kepada rakyat kita” Omar berkata kepada Fatimah.

Fatimah diam seketika. Sambil memerhatikan perhiasan yang ada pada lengan dan jari-jarinya, dia berkata, “mengapa kekanda?”

“aku tidak sanggup melihat kamu dipenuhi dengan berbagai perhiasan kemewahan, sedangkan rakyatku berada dalam kesusahan dan kesengsaraan. Jika mereka melihat kamu dengan sedemikian, aku bimbang mereka berada dalam dukacita” jawab Omar tegas.

“aku memberi kamu pilihan. Perhiasan itu, sama ada diserahkan kepada Baitul Mal, atau kita berdua berpisah wahai Fatimah” sambung Omar lagi.

Hati Fatimah tersentuh dengan penjelasan suaminya itu. Dia meletakkan kecintaannya terhadap suaminya, melebihi keseronokkannya terhadap segala perhiasan yang tidak ada bernilai ketika mengadap Allah nanti.

Saya memilih untuk hidup bersama kekanda. Adapun segala perhiasan ini, saya serahkan semuanya kepada Baitul mal” Fatimah memberikan respon.

Setelah kewafatan Omar bin Abdul Aziz, khalifah selepas itu disambung oleh Yazid bin Abdul Malik. Perlantikan Yazid itu, bersesuaian dengan wasiat Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik yang meminta agar Yazid menjadi khalifah selepas Omar.

Yazid merupakan adik kepada Fatimah, justeru selepas kewafatan Omar, Yazid telah berjumpa dengan kakaknya dan berkata, “wahai kakakku, sesungguhnya segala perhiasanmu yang kamu serahkan kepada baitul Mal itu merupakan kepunyaanmu secara sah dan halal. Jika kamu mahukan perhiasan itu, aku akan serahkannya kepada kamu” Yazid bertanya kepada Fatimah yang baru sahaja kewafatan suami.

Mendengar itu, Fatimah melihat wajah adiknya yang baru dilantik menjadi khalifah seraya berkata, “Wahai adikku, sesungguhnya Omar amat berbangga apabila aku menyerahkan segala perhiasan itu di baitul Mal. Ketika aku menyerahkan perhiasanku itu kepada Baitul Mal, dia sendiri meminta aku melakukan demikian. Sesungguhnya aku tetap mentaatinya, waimma beliau sudah tiada lagi di bumi yang fana’ ini” jawab Fatimah

Yazid akur dengan keputusan Fatimah, dan terus berlaku pergi.

TIDAK MEWAH SEBAB SAYANG RAKYAT

Kisah Omar abdul Aziz dan isterinya ini, amat mengkagumkan kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Di dunia ini, amat susah untuk mendapati kewarakan dan kezuhudan yang wujud pada Omar bin Abdul Aziz ketika beliau dilantik menjadi Khalifah. Kezuhudan itu, bukan sekadar wujud pada dirinya, malah dididik dan diajar agar ia wujud sama dalam diri isterinya yang tercinta.

Kezuhudan pada diri isteri Omar, amat terbukti selepas kewafatannya. Ini kerana, walau Omar sudah meninggalkan dunia yang fana’ ini, waimma ditawarkan untuk dikembalikan balik segala perhiasan itu kepadanya, dia menolak kerana meletakkan kecintaan dan sayangnya dirinya kepada tokoh khalifah yang zuhud yang merupakan suaminya sendiri.

Jika kita merujuk kepada kekeluargaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, diceritakan oleh Isterinya sendiri, Tuan Sabariah, bahawa beliau hanya memakai seutas gelang yang kecil sahaja.

Pernah suatu hari, iaitu ketika mula-mula Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan, bahawa beliau meminta izin dari Tuan Guru untuk membeli perhiasan untuk dipakai.

”tidak elok kita pakai banyak perhiasan. Nanti kalau kita pergi ziarah rakyat-rakyat yang miskin, pastu mereka tengok perhiasan yang kita pakai, mereka akan cemburu. Bila dia minta dari suaminya, suaminya tak mampu nak beli sebab miskin. Lalu, bergaduh suami isteri. Mereka bergaduh sebab kita juga” Pesan Tok Guru kepada isterinya.

Sejak dari hari itu, Tuan Sabariah tidak meminta pun sebarang perhiasan dari suaminya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz
[1].

Inilah contoh dan tauladan yang wajar dijadikan panduan bagi semua pemimpin-pemimpin di muka bumi Allah SWT, malah rakyat bawahan sekalipun.

Disebabkan kelunakan hati mereka kepada akhirat, sebarang kemewahan hidup didunia dianggap sebagai sesuatu yang remeh. Tidak hairanlah, golongan sebegini mampu melahirkan kecintaan rakyat terhadap diri mereka.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
19 ogos 2009 * 11:04 pagi



[1] Kisah ini, hasil wawancara penulis dengan Datin Tuan Sabariah sendiri di JKR 10 untuk menghasilkan buku “bidadari dari timur”.

AL-KISAH (9) : OMAR MENGADU NASIBNYA DIDEPAN TUHAN

OMAR MENGADU NASIBNYA DIDEPAN TUHAN

Sedang isteri Omar bin Abdul Aziz, iaitu Fatimah sedang terlena tidur di pembaringan, terdengar suara orang sedang menangis keesak-esakan. Dia amat kenal dengan suara itu. Ia tidak lain dan tidak bukan, adalah suara suaminya yang tercinta.

Fatimah membukakan matanya, dilihat dihujung pembaringan, didapati Omar bin Abdul Aziz sedang meletakkan kedua tapak tangan pada mukanya, disamping kelihatan air mata sedang mengalir deras di pipinya.

Melihat keadaan Omar sedemikian, sebagai isteri yang baik, Fatimah menghampiri Omar.

“mengapa kekanda menangis begitu kuat sekali?” Soal Fatimah dengan lemah lembut.

“apakah kekanda menangis kerana ketidak sanggupan kekanda untuk memegang jawatan khalifah ini?” soalan kedua terpancul dari suara yang lembut Fatimah.

Omar melihat wajah isterinya. Dengan linangan air mata, dia berkata,”Ya Benar...” Omar diam sejenak, dan menundukkan mukanya ke tikar sembahyang sambil menyambung, “aku berharap agar kamu tinggalkan aku bersendirian di sini”

Fatimah diam, tetapi hatinya masih tidak berpuas hati dengan jawapan suaminya yang boleh disifatkan sebagai terlalu ringkas.

“mungkin kekanda boleh menceritakan, apa sebenarnya yang sedang kekanda fikirkan?” Fatimah bersuara lembut dengan nada memujuk.

Dalam linangan air mata, sambil tertunduk muka ke tikar solat, Omar berkata, “sebenarnya, aku telah melihat pada diriku sendiri, bahawa aku telah dibebankan dengan sesuatu bebanan yang terlalu berat. Aku dibebankan dengan satu amanah untuk menjaga rakyatku yang tidak kira apa warna kulit mereka, apakah mereka miskin atau kaya. Sesungguhnya aku tidak tersanggup untuk memikul tanggungjawab ini”

Esakan tangisan Omar itu semakin deras, omar menyambung, “hanya Allah sahaja tempat aku mengadu. Aku berharap, agar Nabi Muhammad yang aku sayangi akan menjadi saksiku di akhirat nanti”, ungkapan Omar disertai dengan tangisan yang semakin lama semakin kuat kedengaran.

“aku terlalu takut jika aku tidak mampu menjawab dihadapan Allah. aku terlalu bimbang, jika Nabi Muhammad SAW tidak mahu menjadi saksi terhadap aduanku pada malam ini” sambung Omar dengan tangisan yang mengesankan jiwa orang yang mendengarnya.

Mendengar aduan Omar itu, isterinya Fatimah juga turut menitiskan air mata.

“pergilah kamu wahai Fatimah. Tinggalkan aku bersendirian disini, mengadu nasibku di hadapan Allah, tuhan yang aku rindui ini” sambung Omar ringkas.

ADUAN NASIB KEPADA ALLAH

Aduan nasib kepada Allah yang dilakukan pada waktu malam; satu pertiga malam merupakan amalan para orang yang soleh. Ia dilakukan kerana, pada waktu malam adalah waktu yang sunyi, yang sudah pasti dapat menjadikan hati manusia itu terlalu hampir dengan tuhannya.

Sebarang kesulitan dan kesusahan, sewajibnya dilaporkan kepada Allah. ini kerana, hanya Allah sahaja yang mampu menyelesaikan segala kekusutan dan kesengsaraan dalam menjalani kehidupan ini.

Keadaan inilah yang dilakukan oleh Omar bin Abdul Aziz yang melihat jawatan khalifah yang dipegangnya itu sebagai bebanan yang tidak termampu ditanggunginya.

Jika kita menyusul dengan kisah rumah tangga Tuan Guru Nik Abdul Aziz, di kala anak beliau yang bernama Ustaz Nik Adli ditahan dibawah tahanan ISA, Tuan Guru tidak pernah sekalipun datang menziarahi anaknya di Kem Kemunting kerana mahu memboikot kezaliman ISA.

Isteri Tuan Guru, iaitu Datin Tuan Sabariah tidak menyangka betapa kerasnya hati tuan guru sehingga sanggup tidak menziarahi anaknya yang ditahan dibawah kekuasaan pemerintahan yang zalim ini.

Pun begitu, Datin tuan Sabariah menyatakan bahawa, walaupun Tuan Guru dilihat seperti mempunyai hati yang keras, tetapi ternyata beliau mempunyai hati yang agak lunak ketika berhadapan dengan Allah di tikar sembahyang.

Datin Tuan Sabariah menyatakan, di suatu malam dia terdengar seperti orang yang teresak menangis. Didapatinya, Tuan Guru sedang berada di tikar sembahyang, dan tangannya sedang menekup mukanya sambil kedengaran dia sedang berdoa.

Dalam doa itu, kedengaran Tok Guru memohon pertolongan dari Allah agar diberikan ruang kasih sayang pada hati Perdana Menteri ketika itu, iaitu Abdullah Ahmad Badawi agar membebaskan anaknya yang bernama Ustaz Nik Adli, kerana tidak tahan kerinduannya terhadap anak yang disayangi itu
[1].

Berkat dari doa yang dipohon oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz, tidak lama kemudian, anak lelakinya itu dibebaskan dari tahanan ISA yang teramat zalim.

Inilah jiwa yang lunak yang wujud dalam hati para solihin. Mereka amat mementingkan aduan kepada Allah melebihi aduan yang perlu dilakukan terhadap makhluk-Nya.

Mudah-mudahan kita juga dibilang dari kalangan mereka juga. Amin...

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
18 Ogos 2009 * 3:24 petang


[1] Kisah ini, adalah pengalaman penulis mewawancara sendiri Datin Tuan Sabariah di JKR 10 untuk menghasilkan buku “bidadari dari timur” yang telah terbit dalam setahun yang lepas.

Isnin, 17 Ogos 2009

AL-KISAH (8) : “AKU BUKAN YANG TERBAIK”


“AKU BUKAN YANG TERBAIK”

Omar bin Abdul Aziz telah memahat sejarah yang tidak boleh dipadamkan lagi. Di awal perlantikan beliau menjadi khalifah, banyak perkara yang mengkagumkan telah dilakukan oleh beliau.

Beliau tidak menaiki kenderaan rasmi kerajaan, tidak menggunakan pelita kerajaan dalam urusan peribadi, malah didermakan banyak kepentingan dirinya kepada kerajaan.

Di awal perlantikan beliau menjadi khalifah, beliau telah berpidato dihadapan rakyatnya untuk dibaiah. Dalam keadaan menundukkan kepala dan perasaan merasa diri hina dina, beliau menaiki mimbar, terus menyampaikan ucapan.

“Wahai sekelian manusia!!" Omar memulakan bicaranya, " Sesungguhnya tiada nabi selepas Muhammad SAW. Tidak ada kitab yang diturunkan selepas Al-Quran. Ketahuilah, apa yang Allah halalkan, maka ia halal sampai hari kiamat”

Ucapan muqaddimah Omar itu menyebabkan rakyat senyap. Ucapan yang bersemangat itu, ternyata meresap ke dalam jiwa setiap yang mendengarnya.

“ingatlah!!” sambung omar lagi dalam keadaan air matanya mula menitis, “Aku bukan seorang Qadhi, tetapi aku adalah seorang yang akan melaksanakan perintah Allah. aku bukanlah orang yang terbaik, tetapi aku adalah manusia seperti kalian juga. Cumanya, aku dibebankan dengan bebanan yang berat berbanding kalian”

Ramai yang menangis mendengar ucapan Omar itu, mereka tidak menyangka bahawa Omar akan berkata sedemikian.

GERUN DENGAN BEBABAN

Perlantikan memegang jawatan besar bukan merupakan kemuliaan, tetapi ia adalah bebanan. Ekoran itu, orang yang mengerti maksud jawatan, apabila mereka dilantik, mereka tidak akan bergembira, malah mereka akan bersedih.

Kesedihan mereka kerana mereka bimbang mereka tidak mampu menanggung bebanan yang amat berat. Mereka bimbang, apakah bebanan itu akan membawa mereka ke syurga, atau membawa mereka ke neraka.

Jika mereka berjaya melaksanakan bebanan berat ini dengan baik, sudah pasti mereka akan bersama para malaikat dan para nabi dalam syurga. Sebaliknya, jika mereka tidak berjaya melaksanakannya dengan baik, mereka akan dicampak ke dalam neraka Allah SWT.

Sesungguhnya masuk ke neraka adalah sesuatu yang pasti, adapun masuk ke syurga adalah sesuatu yang belum dipastikan.

Inilah yang sedang difikirkan oleh Omar bin Abdul Aziz, menyebabkan ucapan beliau itu menggambarkan betapa takutnya beliau dikala mula memegang tampuk pemerintahan.

Keadaan yang sama juga pernah berlaku kepada Abu Bakar As-Siddiq ketika dilantik menjadi khalifah, sebagai pengganti Rasulullah SAW.

“aku bukan orang yang paling layak dari kalangan kamu”, itulah ucapan bernas yang terpancul keluar dari mulut beliau dikala mula-mula berpidato dihadapan rakyat.

“jika aku melakukan kesalahan, maka perbetulkan aku” satu ucapan yang menggambarkan betapa Beliau bimbang tidak mampu melaksanakan keadilan. Justeru, beliau mengharapkan rakyatnya dapat membantu untuk melaksanakan keadilan.

Inilah contoh kepimpinan yang agak sukar untuk dicari di zaman kini. Yang wujud kini adalah, pemimpin yang sedang berebut sesuatu jawatan. Rebutan kuasa yang mereka lakukan, bukan kerana mahu laksanakan amanah, tetapi mahu mendapat sanjungan, kemuliaan dan pujian dari rakyat, waimma hakikatnya mereka adalah pengkhianat terhadap amanah yang telah diberikan.

Ekoran itulah, tidak hairan mereka sanggup melakukan tindakan ganas terhadap rakyat yang membantah kezaliman yang mereka lakukan. Pada mereka, rakyat tidak boleh menegur kesilapan, tetapi sekadar mengikut sekadar arahan mereka, waimma ia sangat bercanggah dengan konsep keadilan yang diperjuangkan oleh Islam.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
18 ogos 2009 * 1:23 petang

HARAM UNDI UMNO??


HARAM UNDI UMNO??

UMNO parti kebangsaan melayu. Apabila bertembung melayu dengan Islam, dahulukan melayu. Jika wujud Islam dalam UMNO, yang diambil hanya yang tidak bercanggah dengan melayu sahaja.

Jika difahami ini, tidak hairanlah UMNO akan haprakkan bangsa selain melayu, padahal perkara ini ditentang keras oleh islam. dalam hadis, istilah ini disebut asobiyyah.

Apabila UMNO tolak islam, sudah pasti UMNO parti mengarut. Parti sesat menyesatkan. Pada mereka, melayu perlu dipertahankan, sampai satu tahap, sanggup memburukkan Islam di mata-mata non Muslim.

Tidak hairanlah DAP menolak islam. sebab, Islam yang mereka tengok sejak Merdeka adalah Islam ala UMNO. Islam yang dicandukan demi kepentingan politik perkauman.

Untuk halalkan kezaliman, mereka gunakan nas Islam. untuk halalkan perkauman, mereka gunakan al-Quran dan As-Sunnah. Tidak hairanlah kalau non Muslim rasa pelik dengan Islam, seterusnya menolak dan menghina Islam.

Jika mahu rakyat faham Islam, UMNO wajib dilupuskan dari muka bumi Allah. Tarikh luput UMNO wajib disegerakan. Yang peliknya, ada pula yang mendakwa pejuang Islam, masih lagi sayang kat melayu. buat apa pejuang islam, kalau masih lagi bercakap soal melayu. baik masuk UMNO sahaja.

Islam bukan perjuangkan melayu, tetapi Islam pejuangkan hak semua manusia, tidak kira dia adalah melayu, india, cina, kadazan, iban, arab, amerika dan seterusnya.

Hak yang dipejuangkan oleh Islam, tidak hanya kepada orang Islam sahaja, tetapi kepada orang bukan Islam pun, diberikan hak yang adil lagi saksama.

Apabila UMNO parti mengarut, sesat menyesatkan, malah dilihat sebagai parti zalim. Menyokong UMNO merupakan satu dosa.

UMNO bukan parti yang mahu membina negara Islam, tetapi parti yang mahu membina negara bangsa yang tidak berasaskan kepada Islam. jika mereka berbicara tentang islam, itu kena berhati-hati. Sebab, parti ini sudah mempunyai sejarah yang sudah dketahui umum bahawa parti yang suka tipu menipu.

Mereka menipu sejarah. Mereka menipu rakyat. Mereka menipu undang-undang dan banyak lagi penipuan yang dibuat oleh mereka, termasuklah PAS pernah ditipu dengan UMNO ketika bergabung dahulu.

Justeru, bila mereka bercakap Islam, maka bermulalah agenda penipuan mereka.

UNDI UMNO??

Kaedah fiqh ada sebut,

”tidak sempurna sesuatu perkara wajib, melainkan dengan melakukan sesuatu, maka melakukan sesuatu itu adalah wajib juga”

Solat yang wajib tidak boleh ditunaikan, melainkan kena sempurnakan syarat dan rukunnya. Antara syarat solat adalah wudu’, lalu tidak dapat berwudu’ kerana tidak ada air.

Air pula tidak dapat melainkan dengan cara gali telaga, maka hukum gali telaga adalah wajib.

Begitujuga menghapuskan kesyirikan, kesesatan dan tindakan mengelirukan Islam di Malaysia. Menghapuskan semua ini adalah wajib. Tidak dapat dihapuskan semua ini melainkan dengan hapuskan UMNO, maka hukum hapuskan UMNO adalah wajib.

Wajib bermaksud, buat dapat pahala, tak buat dapat dosa. justeru, usaha menghapuskan UMNO adalah dapat pahala, dan membiarkan UMNO hidup dapat dosa.

Pahala dikecapi dalam syurga, dan dosa dikecapi dalam neraka. Justeru, apakah hukum mengundi UMNO????

Fikir-fikirkanlah ....

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
18 ogos 2009 * 12:50 tenghahari.




AL-KISAH (7) : OMAR TIDAK MAHU KENDERAAAN RASMI

jika dahulu kita ada Omar bin Abdul Aziz, tetapi kini kita ada Nik Abdul Aziz


OMAR TIDAK MAHU KENDERAAAN RASMI

Dengan berita kemangkatan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik, maka terlantiklah Omar bin Abdul Aziz sebagai Khalifah. Semasa beliau mahu pulang dari tanah perkuburan, ketika itu kedengaran satu hentakan keras. Didapati seekor kuda telah disediakan untuk Khalifah Omar.

“untuk siapakah kenderaan ini?” Soal Omar kepada salah seorang pegawai kerajaan yang hadir dalam majlis itu.

Pegawai itu menjawab sambil senyum, “ini adalah kenderaan rasmi khalifah. wahai Amir Al-Mukminin, disebabkan tuanku adalah Khalifah, maka kendengaran ini disediakan untuk tuanku”

Mendengar makluman pegawai itu, dalam tidak diduga oleh sesiap pun bahawa Omar bersuara, “mana mungkin aku menaiki kenderaan rasmi ini. Bagaimana pula dengan keldai yang aku tunggang setiap hari?” sambil Omar mengisyaratkan kepada keldai yang merupakan kenderaan tunggangan kepunyaannya.

“Sudah! Simpan sahaja kuda ini untuk kegunaan ketenteraaan” sambung Omar lagi.

Semua pegawai-pegawai yang hadir tergamam. Mereka tidak tahu untuk mengatakan apa-apa lagi.

Di saat Omar mahu memulakan perjalanannya, datang pula beberapa orang lelaki dan mengapit Omar.

Omar kepelikan, lalu bertanya, ”siapakah gerangan kamu yang berada dikeliling aku ini?”

”kami adalah pengawal peribadi tuanku. Kami ditugaskan untuk memberikan keamanan kepada tuanku dalam semua perjalanan dan di mana sahaja tuanku berada” jawab salah seorang dari mereka.

“aku berharapkan penjagaan dari Allah. Jika aku melakukan keadilan kepada rakyatku, maka itu sudah cukup untuk rakyatku tidak mengganggu keamananku” jawab omar tegas.

Omar pun pulang di rumahnya, tanpa menduduki istana rasmi. Beliau berpakaian sepertimana beliau berpakaian sebelum menjadi khalifah. Pemerintahan beliau amat adil, disayangi oleh semua pelusuk rakyat bawahan.

ZUHUD DI DUNIA

Amat susah untuk mencari pemimpin negara yang lebih rela menaiki kenderaan sendiri berbanding kenderaan yang disediakan oleh pihak kerajaan, lebih-lebih lagi kenderaan itu dipenuhi dengan segala ciri-ciri keselesaaan dan kemewahan.

Keadaan ini wujud pada diri Omar bin Abdul Aziz ketika mula-mula sekali dilantik menjadi Khalifah Islam. dari kisah yang dinukilkan ini, kita dapat melihat betapa waraknya hati seorang tokoh Islam yang bernama Omar bin Abdul Aziz.

Hatinya tidak pernah terpaut keinginan mahukan kepada dunia. Padanya, dunia ini adalah sesuatu perkara yang akan binasa. Justeru, berlumba-lumba untuk mendapat habuan dunia, tidak memberikan apa-apa keuntungan di akhirat nanti.

Jika diteliti pepatah arab, mereka ada menyebut tentang zuhud adalah;

ليس الزهد بأن لا تملك شيئا , وإنما الزهد أن لا يملكك شيء

Maksudnya;
“bukanlah makna zuhud dengan kamu tidak memiliki sesuatu, tetapi zuhud adalah sesuatu itu tidak memiliki kamu”

Jika difahami dari pepatah ini, jelas kepada kita, bahawa zuhud itu bukan bermakna menolak kekayaan, tetapi zuhud bermakna seseorang itu tidak lalai dengan kekayaan yang wujud dari mengabdikan diri mereka terhadap Allah SWT.

Ciri-ciri dan tauladan zuhud ini amat nyata wujud pada diri omar Bin Abdul Aziz. Justeru, tidak hairanlah, beliau menjadi tokoh tauladan yang dikenang sehingga ke hari ini.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
17 ogos 2009 * 5:10 petang

PEMIKIRAN GAMIS LEBIH KEDEPAN BERBANDING PEMUDA PAS, KENAPA??


PEMIKIRAN GAMIS LEBIH KEDEPAN BERBANDING PEMUDA PAS, KENAPA??

Dalam awal bulan ogos baru-baru ini, anak-anak muda Gamis telah mengadakan satu konsert bersama dengan kumpulan Nasyid Rabbani. Program yang menampilkan Amy Search bersama kumpulannya, bersama dengan artis-artis lain dalam mendepankan Islam dalam bentuk menyediakan alternative yang dibenarkan dalam Islam.

Program tersebut, dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, menambahkan lagi sokongan anak-anak muda terhadap Islam, malah menyebabkan anak-anak muda yang meminati rock bisa menjadikan tok guru nik abdul aziz sebagai tauladan.


perubahan pada diri Emy search amat mengkagumkan


Dan kini, Zulkhairy bersama team mereka sedang merancang untuk mengadakan program yang agak sama, tetapi menjuruskan kepada jihad dalam menarik minat anak-anak muda di Malaysia terhadap Islam.

Persoalannya, kemana Pemuda PAS pusat pula dalam mendepankan Islam untuk menjadi agama yang diterima oleh anak-anak muda di Malaysia.

Dicadangkan di masa akan datang, Zulkhairi menjadi ketua pemuda PAS Pusat.

Baca sama:

ALHAMDULILLAH.. KAMI FAHAM MERDEKA

ini gambar dan kata-kata semangat yang kami lakarkan pada pakaian program yang kami sediakan
ALHAMDULILLAH.. KAMI FAHAM MERDEKA

Mengenangkan sambutan ulang tahun kemerdekaan sudah tidak lama lagi akan disambut di Malaysia, Aku, Eddiputra bersama team GPM (Group Pemikir Muda) iaitu satu NGO yang kami tubuhkan pada muktamar PAS di Ipoh yang lalu, telah berusaha dan berjaya melaksanakan satu program remaja bertempat di Taman Pertanian, Shah Alam.

Program yang mengambil selama dua hari itu, pembukaannya dirasmikan oleh Ahli parlimen Shah Alam, iaitu Tuan Haji Khalid Samad, dan penutupnya oleh Ahli parlimen Subang, iaitu Saudara Sivarasa Rasiah.

Dalam program tersebut, kami telah berjaya serapkan kefahaman kepada anak-anak muda ini tentang maksud Merdeka mengikut kacamata Islam, sejarah dan perundangan.

Anak-anak muda yang kami sertakan dalam program ini adalah, kebanyakkan mereka yang tidak mempunyai kefahaman islam, tidak menunaikan solat, terlibat dengan rempit, tidak menutup aurat, terlibat dengan pengkid dan sebagainya.

Dalam program itu, kami lakukan program qiyamullail yang dipimpin Ustaz Masran Arsyad. Disamping itu juga, kami lakukan tayangan video “10 tahun sebelum Merdeka” disamping pendedahan tentang konsep keadilan dan kemerdekaan yang lebih merujuk kepada perundangan yang didedahkan oleh Saudara Malik Husin dan sebagainya.

Di akhir program, kami mewajibkan setiap kumpulan dari peserta-peserta yang hadir agar mencipa logo berdasarkan kepada kreatif masing-masing yang menjurus kepada kemerdekaan.

Program yang kami wujudkan ini, sengaja dicipta dalam bentuk yang agak santai, supaya peserta-peserta tidak merasa tertekan atau merasa boring dan merasa “poyo”.

Walaupun penat dengan program yang dianjurkan, begitujuga kewangan yang agak terbatas di saat akhir, tetapi berjaya diselesaikan masalahnya oleh sebilangan penderma-penderma, menyebabkan hati kami puas, malah ia merupakan kegembiraan kami dalam usaha hendak memahamkan anak-anak muda ini dengan Islam dan erti kemerdekaa.


Eddieputra sedang memberikan penerangan ringkas kepada salah satu kumpulan dalam program
Sekian

Al-Bakistani
- Sri Indah (B), Sg Buloh
17 ogos 2009 * 3;47 petang