Isnin, 17 Ogos 2009

AL-KISAH (8) : “AKU BUKAN YANG TERBAIK”


“AKU BUKAN YANG TERBAIK”

Omar bin Abdul Aziz telah memahat sejarah yang tidak boleh dipadamkan lagi. Di awal perlantikan beliau menjadi khalifah, banyak perkara yang mengkagumkan telah dilakukan oleh beliau.

Beliau tidak menaiki kenderaan rasmi kerajaan, tidak menggunakan pelita kerajaan dalam urusan peribadi, malah didermakan banyak kepentingan dirinya kepada kerajaan.

Di awal perlantikan beliau menjadi khalifah, beliau telah berpidato dihadapan rakyatnya untuk dibaiah. Dalam keadaan menundukkan kepala dan perasaan merasa diri hina dina, beliau menaiki mimbar, terus menyampaikan ucapan.

“Wahai sekelian manusia!!" Omar memulakan bicaranya, " Sesungguhnya tiada nabi selepas Muhammad SAW. Tidak ada kitab yang diturunkan selepas Al-Quran. Ketahuilah, apa yang Allah halalkan, maka ia halal sampai hari kiamat”

Ucapan muqaddimah Omar itu menyebabkan rakyat senyap. Ucapan yang bersemangat itu, ternyata meresap ke dalam jiwa setiap yang mendengarnya.

“ingatlah!!” sambung omar lagi dalam keadaan air matanya mula menitis, “Aku bukan seorang Qadhi, tetapi aku adalah seorang yang akan melaksanakan perintah Allah. aku bukanlah orang yang terbaik, tetapi aku adalah manusia seperti kalian juga. Cumanya, aku dibebankan dengan bebanan yang berat berbanding kalian”

Ramai yang menangis mendengar ucapan Omar itu, mereka tidak menyangka bahawa Omar akan berkata sedemikian.

GERUN DENGAN BEBABAN

Perlantikan memegang jawatan besar bukan merupakan kemuliaan, tetapi ia adalah bebanan. Ekoran itu, orang yang mengerti maksud jawatan, apabila mereka dilantik, mereka tidak akan bergembira, malah mereka akan bersedih.

Kesedihan mereka kerana mereka bimbang mereka tidak mampu menanggung bebanan yang amat berat. Mereka bimbang, apakah bebanan itu akan membawa mereka ke syurga, atau membawa mereka ke neraka.

Jika mereka berjaya melaksanakan bebanan berat ini dengan baik, sudah pasti mereka akan bersama para malaikat dan para nabi dalam syurga. Sebaliknya, jika mereka tidak berjaya melaksanakannya dengan baik, mereka akan dicampak ke dalam neraka Allah SWT.

Sesungguhnya masuk ke neraka adalah sesuatu yang pasti, adapun masuk ke syurga adalah sesuatu yang belum dipastikan.

Inilah yang sedang difikirkan oleh Omar bin Abdul Aziz, menyebabkan ucapan beliau itu menggambarkan betapa takutnya beliau dikala mula memegang tampuk pemerintahan.

Keadaan yang sama juga pernah berlaku kepada Abu Bakar As-Siddiq ketika dilantik menjadi khalifah, sebagai pengganti Rasulullah SAW.

“aku bukan orang yang paling layak dari kalangan kamu”, itulah ucapan bernas yang terpancul keluar dari mulut beliau dikala mula-mula berpidato dihadapan rakyat.

“jika aku melakukan kesalahan, maka perbetulkan aku” satu ucapan yang menggambarkan betapa Beliau bimbang tidak mampu melaksanakan keadilan. Justeru, beliau mengharapkan rakyatnya dapat membantu untuk melaksanakan keadilan.

Inilah contoh kepimpinan yang agak sukar untuk dicari di zaman kini. Yang wujud kini adalah, pemimpin yang sedang berebut sesuatu jawatan. Rebutan kuasa yang mereka lakukan, bukan kerana mahu laksanakan amanah, tetapi mahu mendapat sanjungan, kemuliaan dan pujian dari rakyat, waimma hakikatnya mereka adalah pengkhianat terhadap amanah yang telah diberikan.

Ekoran itulah, tidak hairan mereka sanggup melakukan tindakan ganas terhadap rakyat yang membantah kezaliman yang mereka lakukan. Pada mereka, rakyat tidak boleh menegur kesilapan, tetapi sekadar mengikut sekadar arahan mereka, waimma ia sangat bercanggah dengan konsep keadilan yang diperjuangkan oleh Islam.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
18 ogos 2009 * 1:23 petang

2 ulasan:

aku bukan ustaz berkata...

Salam Ustaz,

apakah maksud ustaz masuk neraka itu adalah pasti? Mohon ustaz jelaskan kepada ana.

Jazakallah

Al-Bakistani berkata...

untuk melakukan amanah adalah sesuatu yang berat. ia merupakan sesuatu yang tidak pasti untuk dilakukan.

justeru, tidak melakukan amanah adalah perkara yang pasti. sedangkan, orang yang tidak menunaikan amanah dibalaskan balasan neraka..

sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani