Selasa, 18 Ogos 2009

AL-KISAH (10) : “KAMU PILIH AKU, ATAU PERHIASANMU”

“KAMU PILIH AKU, ATAU PERHIASANMU”

Isteri Omar Abdul Aziz bernama Fatimah. Dia merupakan anak kepada khalifah Islam yang bernama Abdul Malik bin Marwan. Semasa Fatimah dihantar kepada Omar, dia dibekali dengan seberapa banyak perhiasan; intan permata, emas dan perak yang mampu memukau mata sesiapa yang melihatnya.

Ketika Omar Abdul Aziz dilantik menjadi Khalifah, beliau telah meminta Fatimah menghadiahkan semua perhiasannya itu kepada rakyatnya, iaitu menerusi baitul Mal.

“Wahai isteriku, aku memberi kamu pilihan, sama ada kamu memilihku atau kamu menghadiahkan segala perhiasanmu itu kepada rakyat kita” Omar berkata kepada Fatimah.

Fatimah diam seketika. Sambil memerhatikan perhiasan yang ada pada lengan dan jari-jarinya, dia berkata, “mengapa kekanda?”

“aku tidak sanggup melihat kamu dipenuhi dengan berbagai perhiasan kemewahan, sedangkan rakyatku berada dalam kesusahan dan kesengsaraan. Jika mereka melihat kamu dengan sedemikian, aku bimbang mereka berada dalam dukacita” jawab Omar tegas.

“aku memberi kamu pilihan. Perhiasan itu, sama ada diserahkan kepada Baitul Mal, atau kita berdua berpisah wahai Fatimah” sambung Omar lagi.

Hati Fatimah tersentuh dengan penjelasan suaminya itu. Dia meletakkan kecintaannya terhadap suaminya, melebihi keseronokkannya terhadap segala perhiasan yang tidak ada bernilai ketika mengadap Allah nanti.

Saya memilih untuk hidup bersama kekanda. Adapun segala perhiasan ini, saya serahkan semuanya kepada Baitul mal” Fatimah memberikan respon.

Setelah kewafatan Omar bin Abdul Aziz, khalifah selepas itu disambung oleh Yazid bin Abdul Malik. Perlantikan Yazid itu, bersesuaian dengan wasiat Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik yang meminta agar Yazid menjadi khalifah selepas Omar.

Yazid merupakan adik kepada Fatimah, justeru selepas kewafatan Omar, Yazid telah berjumpa dengan kakaknya dan berkata, “wahai kakakku, sesungguhnya segala perhiasanmu yang kamu serahkan kepada baitul Mal itu merupakan kepunyaanmu secara sah dan halal. Jika kamu mahukan perhiasan itu, aku akan serahkannya kepada kamu” Yazid bertanya kepada Fatimah yang baru sahaja kewafatan suami.

Mendengar itu, Fatimah melihat wajah adiknya yang baru dilantik menjadi khalifah seraya berkata, “Wahai adikku, sesungguhnya Omar amat berbangga apabila aku menyerahkan segala perhiasan itu di baitul Mal. Ketika aku menyerahkan perhiasanku itu kepada Baitul Mal, dia sendiri meminta aku melakukan demikian. Sesungguhnya aku tetap mentaatinya, waimma beliau sudah tiada lagi di bumi yang fana’ ini” jawab Fatimah

Yazid akur dengan keputusan Fatimah, dan terus berlaku pergi.

TIDAK MEWAH SEBAB SAYANG RAKYAT

Kisah Omar abdul Aziz dan isterinya ini, amat mengkagumkan kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Di dunia ini, amat susah untuk mendapati kewarakan dan kezuhudan yang wujud pada Omar bin Abdul Aziz ketika beliau dilantik menjadi Khalifah. Kezuhudan itu, bukan sekadar wujud pada dirinya, malah dididik dan diajar agar ia wujud sama dalam diri isterinya yang tercinta.

Kezuhudan pada diri isteri Omar, amat terbukti selepas kewafatannya. Ini kerana, walau Omar sudah meninggalkan dunia yang fana’ ini, waimma ditawarkan untuk dikembalikan balik segala perhiasan itu kepadanya, dia menolak kerana meletakkan kecintaan dan sayangnya dirinya kepada tokoh khalifah yang zuhud yang merupakan suaminya sendiri.

Jika kita merujuk kepada kekeluargaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, diceritakan oleh Isterinya sendiri, Tuan Sabariah, bahawa beliau hanya memakai seutas gelang yang kecil sahaja.

Pernah suatu hari, iaitu ketika mula-mula Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan, bahawa beliau meminta izin dari Tuan Guru untuk membeli perhiasan untuk dipakai.

”tidak elok kita pakai banyak perhiasan. Nanti kalau kita pergi ziarah rakyat-rakyat yang miskin, pastu mereka tengok perhiasan yang kita pakai, mereka akan cemburu. Bila dia minta dari suaminya, suaminya tak mampu nak beli sebab miskin. Lalu, bergaduh suami isteri. Mereka bergaduh sebab kita juga” Pesan Tok Guru kepada isterinya.

Sejak dari hari itu, Tuan Sabariah tidak meminta pun sebarang perhiasan dari suaminya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz
[1].

Inilah contoh dan tauladan yang wajar dijadikan panduan bagi semua pemimpin-pemimpin di muka bumi Allah SWT, malah rakyat bawahan sekalipun.

Disebabkan kelunakan hati mereka kepada akhirat, sebarang kemewahan hidup didunia dianggap sebagai sesuatu yang remeh. Tidak hairanlah, golongan sebegini mampu melahirkan kecintaan rakyat terhadap diri mereka.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
19 ogos 2009 * 11:04 pagi



[1] Kisah ini, hasil wawancara penulis dengan Datin Tuan Sabariah sendiri di JKR 10 untuk menghasilkan buku “bidadari dari timur”.

Tiada ulasan: