Sabtu, 23 Januari 2010

TAKUT BIG MAMA

gambar hiasan


TAKUT BIG MAMA

Raja bagi kerajaan Zimbabwe murung. Dia sedih mengenangkan keadaan dirinya yang ditimpa penyakit takut bini. Dia sudah berusaha hendak menjadi berani, tetapi tidak berjaya.

”beta rasa, baik beta panggil semua menteri-menteri dalam kerajaan agar berhimpun. Dalam ramai-ramai, takkan semua takut bini. Beta akan belajar tak takut bini dengan menteri beta yang tidak takut bini itu” hati raja Zimbabwe berkata.

Lalu, dipanggil semua menteri-menterinya supaya berhimpun. Semua menteri-menteri hadir.

“wahai menteri-menteri beta sekelian... sesiapa dikalangan Dato’-Dato’, mereka yang takut bini, sila berada di sebelah kanan beta” titah raja Zimbabwe itu.

Mendengar titah tersebut, semua menteri-menteri perpandangan wajah sesama mereka. Kemudian, mereka beramai-ramai menuju ke arah sebelah kanan raja, melainkan seorang sahaja yang masih lagi kekal di tempatnya, iaitu Perdana Menteri yang bernama Dato’ Nazak.

“ooo. Baru beta tahu, rupa-rupanya Perdana Menteri Beta seorang yang berani.. beta tidak menyangka semua ini” hati Raja berbisikan.

“Wahai Dato’ Perdana Menteri.. sila hadir rapat kepada beta” titah raja.

“Ampun Tuanku, Hamba tidak dapat merapatkan diri hamba kepada tuanku” sembah derhaka Perdana Menteri, sambil kedua tangannya diangkat dikepalanya, merafa’ sembah.

“tak pe la.. lagi pun beta yang nak belajar ilmu daripadanya. Tak mengapa, beta merapatkan diri beta kepada dia pun tak mengapa. Yang penting, beta dapat belajar ilmu tidak takut bini” bisik raja dalam hatinya.

Raja Zimbabwe pun menuju rapat kepada Perdana Menteri. Sesampai rapat sahaja dengan perdana Menteri itu, raja itu bertanya, ”mengapa Dato’ tidak mahu rapat dengan beta?”

”ampun tuanku.. Isteri beta pesan, agar jangan pergi ke mana-mana melainkan setelah dia sampai. Sebab itu, hamba tidak boleh pergi rapat kepada tuanku” jawab Perdana Menteri ringkas.

”cit.. sial punya perdana Menteri.. dia lagi takut bini daripada beta” bisik hati Raja Zimbabwe...

"siapa nama Isteri Dato'?" Soal Raja Zimbabwe

sambil tersengih dan menganggat kedua tangan merafa' sembah, Perdana Menteri menjawab, "Big Mama Tuanku"

"patut pun" hati Raja berkata.


Sekian

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 Januari 2010 * 3:46 petang


GST : KERAJAAN UMNO/BN SEMAKIN GILA


GST : KERAJAAN UMNO/BN SEMAKIN GILA

Dalam islam, asas ekonomi Islam adalah “irfaq” atau unsur kasih sayang. Penjual yang menjual, sebenarnya sedang memudahkan urusan pembeli, disamping pembeli memberikan balasan dengan memberi keuntungan kepada penjual.

Ekoran itu, konsep “taawun” atau bantu membantu wujud dalam ekonomi Islam, disamping tidak pernah menafikan hak kebebasan sesiapa sahaja yang berusaha dengan cara yang halal bagi mencari kekayaan, tanpa melakukan penganiayaan terhadap orang lain.

Inilah sistem ekonomi yang membedakan dengan pemikiran Kapitalis. Ini kerana, Asas pemikiran Kapitalis adalah keuntungan, waima terpaksa melakukan penindasan terhadap manusia lain.

GST (Goods & Service Tax) atau di sebut dalam bahasa melayu sebagai Cukai barangan dan perkhidmatan yang mahu diamalkan di Malaysia, menampakkan ketempangan dalam ekonomi di negara, disamping memperlihatkan kerakusan atasan kerajaan dalam ”menjarah” harta rakyat dalam negara.

Di kala rakyat dibebankan dengan berbagai-bagai cukai, seperti beras, gula, jalan raya dan banyak lagi, tiba-tiba kerajaan mengisytiharkan untuk melaksanakan GST.

Yang lebih parah, apabila GST yang mahu dilaksanakan di malaysia, diqiaskan dengan negara-negara barat yang mengamalkan GST juga, walhal keadaan hidup di sana amat berbeda dengan Malaysia. Di negara-negara barat yang mengamalkan GST, kebanyakkan perkhidmatan awamnya percuma, pembelajarannya percuma dan banyak lagi percuma. Perkara ini, sememangnya mustahil wujud di Malaysia di zaman pemerintahan kerajaan UMNO/Barisan Nasional.

CUKAI

Dalam islam, pungutan cukai dari rakyat adalah perkara yang terakhir yang perlu dilakukan oleh sesebuah kerajaan. Itupun, di kala kerajaan sudah tidak mempunyai sebarang sumber lain lagi bagi mencukupkan perbendaharaan. Juga, pungutan cukai itu adalah untuk memenuhkan keperluan kerajaan yang meliputi rakyat secara umum, dan hendaklah wang pungutan cukai itu digunakan di tempat-tempat yang disyariatkan (yang dibenarkan)
[1].

Imam Al-Ghazali membahaskan isu Dharibah (cukai) ini dalam perbincangan Al-Masalih Al-Mursalah. Keizinan yang diberikan oleh Imam Al-Ghazali itu, hendaklah mengikut syarat-syarat yang cukup ketat.

Antaranya adalah, hendaklah ia benar-benar memberi kecukupan kepada keperluan kerajaan yang meliputi rakyat, tanpa digunakan untuk kepentingan golongan-golongan tertentu. Apabila unsur ini wujud, sudah pasti unsur “taawun” dan “Irfaq” tidak ternafi sama sekali.

Apabila pungutan dibuat tanpa untuk kepentingan maslahah umum, bahkan untuk kepentingan golongan tertentu, maka hukumnya adalah haram. Ini kerana, unsur “Irfaq” dan “taawun” sudah ternafi.

Lebih-lebih lagi, Allah SWT ada berfirman;

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

Maksudnya;
“Supaya perbendaharaan negara itu tidak berlegar dikalangan orang-orang kaya dikalangan kamu”

(Surah Al-Hasyr : 7)

Apabila melihat ini, sudah pasti usaha memperkenalkan GST kepada rakyat dalam keadaan rakyat dibebankan dengan berbagai-bagai cukai merupakan satu tindakan yang bercanggah dengan islam, lebih-lebih lagi apabila kerajaan Barisan Nasional pada hari ini amat tertampal dengan banyak penyelewengan kewangan, seperti pembaziran, ketirisan dan sebagainya.

USAHA KELIRUKAN RAKYAT

Dalam utusan Malaysia, kita melihat bagaimana pihak kerajaan memberi jaminan yang mengandungi unsur bohong terhadap rakyat dengan cadangan GST. Antaranya adalah mereka mendakwa bahawa GST ini tidak dikenakan kepada barangan keperluan seperti makanan, pertanian, pendidikan dan kesihatan.

Tidak dinafikan, semua perkara ini tidak dikenakan di awal perlaksanaan GST ini, tetapi apakah jaminan kerajaan bahawa semua perkara ini sememangnya kekal tidak dikenakan kepada rakyat?

Apa jaminan kerajaan, bahawa semua perkara ini tidak dikenakan kepada rakyat dalam keadaan kerajaan yang semakin hari semakin menimpa krisis defisit yang amat membimbangkan?

Semua ini adalah usaha menipu rakyat, yang sudah menjadi darah daging kerajaan UMNO/BN. Justeru, jalan penyelesaian dalam menyelesaikan perkara ini tidak ada lain jalan, melainkan tumbangkan kerajaan UMNO/BN. Beri peluang kepada "Islam" memerintah, sudah pasti islam akan memberikan alternatif ekonomi yang jauh lebih baik berbanding apa yang dibuat oleh Kerajaan UMNO/BN pada hari ini.

Sekian

”Islam Adil Untuk Semua”

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
23 Januari 2010 * 6:20 petang




[1] Fi Al-Ijtihad At-Tanzili : 137.

Jumaat, 22 Januari 2010

ISU KALIMAH ALLAH : KENAPA DISALAHKAN IBNU TAIMIYYAH? (3)

ISU KALIMAH ALLAH : KENAPA DISALAHKAN IBNU TAIMIYYAH? (3)

KETIGA : benarkah Ibnu Tamiyyah mujassimah?

Jika dibaca dalam kitab Al-Milal Wa An-Nihal karangan Al-Imam Syahrastani ada menyatakan tentang pertembungan antara dua golongan; Sifatiyyah dan Muktazilah.

Golongan sifatiyyah adalah golongan yang mengisbatkan kewujudan sifat Azaliyyah bagi Allah, tanpa membedakan antara sifat zat dan sifat af’al Allah, juga mengisbatkan sifat Khabariyyah Allah. Adapun muktazilah adalah golongan yang menafikan perkara yang dii’tiqadkan oleh golongan sifatiyyah. Ekoran itu, golongan Muktazilah ini dikenali juga sebagai mu’attilat (membatalkan sifat-sifat zat dan Af’al Allah).

Golongan sifatiyyah ini pula, ada yang bersifat sederhana, bahkan tidak dinafikan wujud golongan yang ‘ghuluw’ sehingga sampai mereka sanggup menyerupakan sifat Allah dengan sifat makhluk
[1]. Golongan inilah yang disebut sebagai Mujassimah.

Justeru, bagi pihak yang tidak bersetuju dengan sifat Rububiyyah yang dicetuskan oleh Ibnu Taimiyyah, mereka mencela Syaikh Al-Islam itu dengan mendakwa bahawa Ibnu Tamiyyah adalah golongan mujassimah.

Apa yang pasti, pendakwaan bahawa Ibnu Tamiyyah adalah mujassimah adalah tersasar, kerana tidak ada satu bukti pun dari sudut fakta menunjukkan bahawa Ibnu Taimiyyah adalah seorang mujassimah.

Jika wujud pun, ia sekadar dakwaan yang penuh dengan keraguan, yang sama sekali perlu ditolak dan tidak boleh diterima pakai langsung.

Yang pastinya, golongan yang mendakwa Ibnu Taimiyyah sebagai Mujassimah adalah mereka merujuk kepada kitab ”rihlah Ibnu Batutah”, iaitu sebuah kitab jelajah yang dilakukan oleh seorang penjelajah islam yang bernama Ibnu Batutah.

Pun begitu, dakwaan Ibnu Batutah tersebut penuh dengan keraguan, sehingga ramai para ilmuan dan pengkaji mengkritik terhadap dakwaan Ibnu batutah tersebut.

Berkata Ibnu Batutah:

في حق شيخ الإسلام ابن تيمية : وكنت إذ ذاك بدمشق فحضرته يوم الجمعة وهو يعظ الناس على منبر الجامع ويذكرهم فكان من جملة كلامه أن قال : إن الله ينزل إلى سماء الدنيا كنزولي هذا ، ونزل درجة من درج المنبر

Maksudnya;
“berkenaan dengan Syaikh Al-Islam Ibnu Tamiyyah; aku ke Damsyik dan aku sampai pada hari jumaat. (di kala itu) beliau (ibnu Tamiyyah) sedang memberi peringatan kepada manusia di atas mimbar masjid. Antara banyak-banyak perkataan beliau, bahawa beliau menyebut, “sesungguhnya Allah turun dari langit dunia sepertimana turunnya aku ini” sambil beliau turun dari satu tangga daripada tangga-tangga mimbar”

Dakwaan Ibnu Batutah ini, telah dikomentarkan As-Syaikh Al-‘Allamah Muhammad Bahjah Al-Baitar dengan katanya;

أن ابن بطوطة لم يسمع من ابن تيمية ولم يجتمع به إذ كان وصوله إلى دمشق يوم الخميس التاسع عشر من شهر رمضان المبارك عام ستة وعشرين وسبعمائة هـ وكان سجن شيخ الإسلام في قلعة دمشق أوائل شهر شعبان من ذلك العام ولبث فيه إلى أن توفاه الله تعالى ليلة الاثنين لعشرين من ذي القعدة عام ثمانية وعشرين وسبعمائة هجرية فكيف رآه ابن بطوطة يعظ على منبر الجامع وهو إذ ذاك في السجن

Maksudnya;
“Ibnu Batutah tidak mendengar daripada Ibnu Tamiyyah. Ini kerana, Ibnu Batutah sampai di Damsyiq pada hari Khamis; iaitu hari ke 19 daripada bulan Ramadhan tahun 726 H. Ketika itu, Ibnu Taimiyyah berada dalam penjara di kubu Damsyiq sejak awal bulan sya’ban pada tahun tersebut. Beliau berada di situ sehingga Allah wafatkannya pada malam isnin bagi 20 Zulqaedah tahun 728 H. Justeru, bagaimana Ibnu Batutah melihat Ibnu Tamiyyah memberi nasihat di atas mimbar masjid, walhal ketika itu beliau berada dalam penjara
[2]

Dengan fakta yang dikemukakan oleh Syaikh Al-‘Allamah Muhammad Bahjah Al-Baitar ini, memberikan satu gambaran bahawa dakwaan Ibnu Batutah tersebut amat tersasar, bahkan boleh disifatkan sebagai berniat jahat terhadap Ibnu Taimiyyah.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com





- Sri Indah (B), Sg Buloh
23 Januari 2010 * 1:36 Petang



[1] Al-MIlal Wa An-Nihal : m.s 19.
[2] Hayat Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah : m.s 47-48

PENCEGAHAN ASAS SESUATU HUKUMAN!!


PENCEGAHAN ASAS SESUATU HUKUMAN!!

Dalam pengajian fiqh Jinayah, asas dalam sesuatu hukuman yang dikenakan adalah, “Radi’ah” dan “Zajirah”. “Radi’ah” ditafsirkan sebagai mencegah pelaku jenayah agar tidak mengulangi sesuatu jenayah. Adapun makna “Zajirah” adalah mencegah orang yang belum melakukan jenayah, agar tidak melakukan jenayah
[1].

Semuanya berasaskan kepada firman Allah;

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya;
”Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, maka hendaklah dipotong tangan kedua-duanya sebagai balasan dengan apa yang mereka usahakan, sebagai pencegahan daripada Allah. Dan Allah adalah tuhan yang maha gagah, lagi maha bijaksana”

(Surah Al-Maidah : 38)

Hukum Qisas, Hudud dan Ta’zir dikemukakan dalam islam, mempunyai maqasidnya tersendiri. Sudah pasti, pencegahan menerusi dua unsur inilah maqasid disebalik perlaksanaan hukum Islam.

Pun begitu, ada orang berhujjah dengan hadis Nabi SAW yang menyebut;

فَإِنَّ الْإِمَامَ أَنْ يُخْطِئَ فِي الْعَفْوِ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يُخْطِئَ فِي الْعُقُوبَةِ
Maksudnya;
”Sesungguhnya Imam itu tersalah dalam memaafkan lebih baik berbanding tersalah dalam melaksanakan hukuman
[2]

Perlu diingat, tersilap dalam melakukan kemaafan dan melaksanakan hukuman, hendaklah dalam keadaan sebarang siasatan secara mendalam telah dilakukan. Begitujuga, ia benar-benar tidak melahirkan mudharat yang lebih besar; iaitu benar-benar dapat mencegah dari orang yang bersalah tidak mengulangi kesalahannya, dan orang lain tidak akan melakukan kesalahan sepertimana yang telah dilakukan oleh pesalah.

Hukum potong tangan bagi pencuri –lelaki atau perempuan- mempunyai maqasidnya tersendiri. Memang dilihat potong tangan itu mengandungi mudharat kepada pencuri, tetapi demi menyelamatkan mudharat yang lebih besar –iaitu tersebar budaya mencuri dikalangan masyarakat setempat- maka potong tangan itu dilihat sebagai satu mudharat yang kecil. Justeru, apabila bertembung antara mudharat yang kecil dengan mudharat yang lebih besar, maka hendaklah dilakukan mudharat yang kecil, demi menyelamatkan daripada berlakuknya mudharat yang besar.

Yang pastinya, unsur ”Zajirah” dan ”Radi’ah” terlaksana dalam sesuatu hukuman.

Begitujuga dalam perkara yang melibatkan tersalah dalam berhukum terhadap orang yang bersalah. Sekiranya tersalah itu, memperlihatkan mudharat yang lebih besar bakal berlaku, sudah pasti tindakan tersebut adalah tersasar. Iaitu, dengan pemaafan itu akan melahirkan ketidak-bersalahnya orang lain daripada melakukan sesuatu kesalahan, maka itu sudah terkeluar dari maqasid syariah dalam sesuatu hukuman yang dikenakan –sama ada namanya Hudud, Qisas ataupun Takzir.

Justeru, bagaimana pula dengan isu sebilangan pimpinan PAS yang mengadakan pertemuan dengan blogger-blogger UMNO, lalu memberikan maklumat-maklumat meeting dalaman PAS? Jangan sampai satu tahap, dengan keputusan lajnah disiplin akan melahirkan satu tanggapan bahawa ada pimpinan PAS lain tidak merasa bersalah sekiranya mereka mengadakan dengan pertemuan dengan para blogger UMNO di masa akan datang.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
23 Januari 2010 * 4:02 pagi



[1] Dirasat Fiqh As-syafie : 4/23.
[2] At-Tarmizi : 1344.

PONDOK LUBUK TAPAH TERBAKAR !!

Tuan Guru Haji Abdullah Pondok Lubuk Tapah bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim


PONDOK LUBUK TAPAH TERBAKAR !!

Pendidikan awalku, di Sungai Buloh. Umur 12 tahun, di Institut pendidikan Al-Balaghul Mubin. Kemudiannya, menadah Kitab kuning di Pondok Lubuk tapah pasir Mas Kelantan.

Pondok Lubuk Tapah adalah tempat terawal aku mengenali ilmu Nahu, Sorof, Balaghah, fiqh Syafie, pengajian Tauhid aliran Asya'irah dan Maturidiyyah dan sebagainya. Tuan Guru Haji Abdullah bin Abdur Rahman yang lebih mesra dengan panggilan “abe Haji Lah”, merupakan guruku dalam memahamkan aku tentang semua ilmu-ilmu ini.

Sebelum Tuan Guru Abdullah meninggal dunia, seminggu sebelum kemangkatan beliau aku sempat menziarahi beliau, waima aku sudah tidak menziarahi beliau sejak lebih 4 tahun yang lalu.

Pun begitu, bersyukur kepada Allah, sempat jumpa aku “bertemu mata” dengan Tuan Guru sebelum kemangkatan beliau.

Beliau adalah manusia yang pertama yang menaikan minatku untuk menyertai PAS (parti islam SeMalaysia). Semuanya bermula, beliau berkawan rapat dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang aku sudah follow sejak umur 12 tahun lagi.

Pun begitu, sedih menimpa apabila diberitakan bahawa pondok Lubuk Tapah yang telah dimajukan oleh Tuan Guru Haji Abdullah ini telah ditimpa satu musibah, iaitu kebakaran. Justeru, diharapkan kepada penderma-penderma agar dapat membantu, dengan memberikan sumbangan ikhlas kepada pihak pondok yang ditimpa ujian sebegini.

Bagi yang ingin memberikan sumbangan, bolehlah menghubungi pejabat pondok berkenaan di talian: 09-7905672 atau Saudara Azlan, 014-5064930.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
23 Januari 2010 * 2:41 pagi

Hadi nafi laporan 'God bukan Allah'


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) semalam sebenarnya tidak membuat apa-apa resolusi.

Penjelasan tersebut sekaligus dilihat berbeza dengan berita 'God bukan Allah -Ikim' seperti yang dilaporkan akhbar harian bahawa ahli muzakarah sebulat suara bersepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan bagi ganti nama 'God' atau 'Tuhan' adalah tidak tepat, lapor Harakahdaily hari ini.

"Ya, muzakarah itu tidak mempunyai apa-apa resolusi, laporan itu tidak betul," jelasnya ketika dihubungi petang ini.

Pun begitu, beliau menegaskan bahawa kalimah Allah tidak boleh disalah guna untuk mengelirukan umat Islam.

"Penggunaan kalimah Allah oleh umat Islam secara dalaman jelas mengEsakan Allah, penggunaan yang boleh mengelirukan orang Islam tidak dibenarkan sama sekali," jelasnya.

Beliau yang juga ahli parlimen Marang turut mengulangi ketetapan PAS seperti yang diputuskan oleh Lajnah Politik dan tulisannya sebelum ini.

"Pandangan kita (PAS) seperti yang saya tulis sebelum ini, seperti yang diputuskan (dalam Lajnah Politik) sebelum ini," jelasnya.

"Kita tidak boleh melarang mereka (penganut agama samawi) menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri walaupun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita," dipetik dari kenyataan rasmi Ustaz Abdul Hadi pada 7 Januari lalu.

Dua hari sebelum itu, Lajnah Politik PAS Pusat mengingatkan semua pihak supaya tidak menyalahgunakan nama Allah untuk mengelirukan atau meraih sokongan politik murahan daripada rakyat.

Selain Ustaz Abdul Hadi, muzakarah semalam disertai Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Dr Mohd Nur Manuty, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Ikim Dr Mohd Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Ikim, Md Asham Ahmad.

Muzakarah yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Ikim, Nik Mustapha Nik Hassan itu turut disertai oleh Pengerusi Ikim yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pensyarah dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Kamar Ainiah Kamaruzzaman, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Dr Abdullah Md Zain.

- Harakahdaily

sumber : malaysiakini (BM)

Khamis, 21 Januari 2010

ISU KALIMAH ALLAH : KENAPA DISALAHKAN IBNU TAIMIYYAH (2)

ISU KALIMAH ALLAH : KENAPA DISALAHKAN IBNU TAIMIYYAH (2)

KEDUA : ibnu Taimiyyah menghormati Asyairah

Ibnu Taimiyyah adalah seorang ulama yang amat terpengaruh dengan cara dakwah yang dilakukan oleh golongan Hanabilah yang menetang Muktazilah pada zamannya.

Ibnu Taimiyyah mendapat jolokan sebagai yang disebut sebagai Salafiyyah. Apa yang pasti, golongan yang mendakwa sebagai salafiyyah pada asalnya adalah dari kelompok yang mendakwa sebagai pengikut Imam Ahmad bin Hanbal, atau dikenali sebagai “hanabilah”.

Mereka adalah penerus kepada perjuangan Imam Ahmad bin Hanbal yang sedang menghadapi kesesatan golongan muktazilah yang telah menyebarkan kesesatannya kepada masyarakat umum.

Dari itu, golongan hanabilah mula membicarakan perkara-perkara yang berkaitan dengan tauhid yang turut menyentuh mengenai “ayat mutasyabihat”. Hasil dari perbincangan tersebut, maka lahirlah pegangan yang disandarkan kepada Imam Ahmad bin Hanbal sebagai mewakili perbincangan beliau. Pun begitu, wujud juga pertikaian sesama hanabilah sendiri dalam kontek penyandarannya kepada Imam Ahmad bin Hanbal.
[1]

Kemudian dari itu, lahirnya Imam Abu Al-Hasan Al-Ashari dan pengikutnya yang digelar sebagai “Asyaa’iarah” selepas zaman Imam Ahmad bin Hanbal. Pendekatan Imam Abu Hasan Al-Asyari adalah pendekatan yang disebut “mutakallimin” untuk mempertahankan aqidah ahl al-sunnah wa al-jamaah dalam menghadapi muktazilah. Namun, konsep dan pandangan asyaariyyah itu tidak dapat diterima oleh mereka yang berpegang dengan pendekatan generasi awalan dari kalangan yang mendakwa pengikut Imam Ahmad bin Hanbal
[2].

Para ashaairah mengisytiharkan bahawa mereka mempertahankan akidah islam dengan perantaraan ilmu kalam atau pendekatan logic akal dan menganggap sebagai kesinambungan daripada generasi salaf. Lantas mereka menggelarkan diri mereka sebagai khalaf sebagai perbezaan terhadap mereka yang sebelumnya. Berikutan itu, gelaran salafi mula digunakan sebagai lawan kepada gelaran khalaf.
[3]

Pertelingkahan yang sengit di antara salafiyyah hanabilah dan ashaairah tercetus disebabkan kemunculan pendirian salaf semasa teguhnya kedudukan ashaairah dalam mendominasi bentuk pegangan tauhid umat Islam sejak sekian lama. Kemunculan ketika itu seolah-olah mencabar pengaruh ashairah sehingga masing-masing mendakwa sebagai mewakili pegangan sebenar generasi salaf.
[4]

SIAPAKAH MUSUH SALAFI DAN KHALAF YANG SEBENAR?

Dari sejarah yang dinukilkan ini, difahami bahawa, kelahiran aliran salafi dan khalaf bukanlah satu sebab yang menyebabkan boleh dilebelkan khalaf itu sesat atau salaf itu betul, begituga sebaliknya.

Tetapi kelahiran kedua-dua aliran ini mempunyai satu matlamat, iaitu untuk menghadapi golongan muktazilah yang sedang berusaha kuat untuk menyesatkan umat Islam di zaman tersebut.

Golongan salafiyyah mendakwa bahawa mereka mempunyai manhaj tersendiri dalam menghadapi muktazilah, begitujuga berlaku kepada golongan ashaairah.

Ini di umpamakan seperti seseorang yang berada di Kuala Lumpur; yang hendak ke kota bharu, samada hendak melalui jalan Gua Musang atau menggunakan laluan Jalan Kuala terengganu. Kedua-dua laluan tersebut sampai ke Kota Bharu, tetapi berbezanya hanya pada sudut lambat atau cepat sahaja.

Maka begitulah halnya terhadap mereka yang bergelar dengan salafiyyah dan asyairah.

IBNU TAIMIYYAH SURUH RUJUK ASYAIRAH

Salafiyah atau Asyairah sebenarnya dua aliran yang hakikatnya mempunyai matlamat yang sama. Ekoran itu, jika kita membaca dalam kitab karangan Ibnu Tamiyyah sendiri, kita akan berjumpa bahawa imam Ibnu Taimiyyah sendiri pernah menuntut agar merujuk kepada golongan Asyairah dalam memahami manhaj ahli salaf dalam mempertahankan Islam.

Dalam Kitab Majmuk Fatawa, Ibnu Taimiyyah ada menyebut;

فَإِنَّا لَمَّا أَرَدْنَا أَنْ نُبَيِّنَ مَذْهَبَ السَّلَفِ ذَكَرْنَا طَرِيقَيْنِ : أَحَدُهُمَا : أَنَّا ذَكَرْنَا مَا تَيَسَّرَ مِنْ ذِكْرِ أَلْفَاظِهِمْ وَمَنْ رَوَى ذَلِكَ مِنْ أَهْلِ الْعِلْمِ بِالْأَسَانِيدِ الْمُعْتَبَرَةِ . وَالثَّانِي : أَنَّا ذَكَرْنَا مَنْ نَقَلَ مَذْهَبَ السَّلَفِ مِنْ جَمِيعِ طَوَائِفِ الْمُسْلِمِينَ مِنْ طَوَائِفِ الْفُقَهَاءِ الْأَرْبَعَةِ وَمِنْ أَهْلِ الْحَدِيثِ وَالتَّصَوُّفِ وَأَهْلِ الْكَلَامِ كَالْأَشْعَرِيِّ وَغَيْرِهِ

Maksudnya;
”Jika kami ingin menyatakan tentang mazhab Salaf, kami akan menyatakan dengan dua jalan, (1) kami menyebutnya dengan lafaz yang senang dan menyebut itu daripada Ahli ilmu dengan sanad-sanad yang muktabar, (2) kami menyebut mereka yang menukilkan mazhab salaf daripada semua kumpulan-kumpulan Islam, daripada kumpulan-kumpulan Fuqaha’ yang empat, daripada Ahli hadis, Tasawuf dan Ahli kalam, seperti ASYAIRAH dan sebagainya
[5]

Dari ini, nyata kepada kita bahawa Imam Ibnu Tamiyyah tidak pernah menafikan factor perjuangan Asyairah, bahkan beliau sendiri meminta kepada mereka yang ingin memahami mazhabnya bahawa merujuk kepada Asyairah juga.

Bersambung..

KETIGA ; benarkah Ibnu Tamiyyah mujassimah?

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
22 Januari 2010 * 12:38 Tengahari


[1] Sumbangan aliran asyairah dan Salafiyyah dibidang Usuluddin : lakaran semula sejarah pemikiran tauhid Ahl Al-Sunnah : m/s 20.
[2] Sumbangan aliran asyairah dan Salafiyyah dibidang Usuluddin : lakaran semula sejarah pemikiran tauhid Ahl Al-Sunnah : m/s 22.
[3] Salaf dan Khalaf : hakikat dan Implikasinya : m/s 4.
[4] Tarikh Al-Mazahib Al-Islamiyyah fi As-siyasah wa al-‘aqaid wa tarikh al-mazahib al-fiqhiyyah : m/s 177.
[5] Majmuk Fatawa : 1/321.