Jumaat, 22 Januari 2010

PENCEGAHAN ASAS SESUATU HUKUMAN!!


PENCEGAHAN ASAS SESUATU HUKUMAN!!

Dalam pengajian fiqh Jinayah, asas dalam sesuatu hukuman yang dikenakan adalah, “Radi’ah” dan “Zajirah”. “Radi’ah” ditafsirkan sebagai mencegah pelaku jenayah agar tidak mengulangi sesuatu jenayah. Adapun makna “Zajirah” adalah mencegah orang yang belum melakukan jenayah, agar tidak melakukan jenayah
[1].

Semuanya berasaskan kepada firman Allah;

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya;
”Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, maka hendaklah dipotong tangan kedua-duanya sebagai balasan dengan apa yang mereka usahakan, sebagai pencegahan daripada Allah. Dan Allah adalah tuhan yang maha gagah, lagi maha bijaksana”

(Surah Al-Maidah : 38)

Hukum Qisas, Hudud dan Ta’zir dikemukakan dalam islam, mempunyai maqasidnya tersendiri. Sudah pasti, pencegahan menerusi dua unsur inilah maqasid disebalik perlaksanaan hukum Islam.

Pun begitu, ada orang berhujjah dengan hadis Nabi SAW yang menyebut;

فَإِنَّ الْإِمَامَ أَنْ يُخْطِئَ فِي الْعَفْوِ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يُخْطِئَ فِي الْعُقُوبَةِ
Maksudnya;
”Sesungguhnya Imam itu tersalah dalam memaafkan lebih baik berbanding tersalah dalam melaksanakan hukuman
[2]

Perlu diingat, tersilap dalam melakukan kemaafan dan melaksanakan hukuman, hendaklah dalam keadaan sebarang siasatan secara mendalam telah dilakukan. Begitujuga, ia benar-benar tidak melahirkan mudharat yang lebih besar; iaitu benar-benar dapat mencegah dari orang yang bersalah tidak mengulangi kesalahannya, dan orang lain tidak akan melakukan kesalahan sepertimana yang telah dilakukan oleh pesalah.

Hukum potong tangan bagi pencuri –lelaki atau perempuan- mempunyai maqasidnya tersendiri. Memang dilihat potong tangan itu mengandungi mudharat kepada pencuri, tetapi demi menyelamatkan mudharat yang lebih besar –iaitu tersebar budaya mencuri dikalangan masyarakat setempat- maka potong tangan itu dilihat sebagai satu mudharat yang kecil. Justeru, apabila bertembung antara mudharat yang kecil dengan mudharat yang lebih besar, maka hendaklah dilakukan mudharat yang kecil, demi menyelamatkan daripada berlakuknya mudharat yang besar.

Yang pastinya, unsur ”Zajirah” dan ”Radi’ah” terlaksana dalam sesuatu hukuman.

Begitujuga dalam perkara yang melibatkan tersalah dalam berhukum terhadap orang yang bersalah. Sekiranya tersalah itu, memperlihatkan mudharat yang lebih besar bakal berlaku, sudah pasti tindakan tersebut adalah tersasar. Iaitu, dengan pemaafan itu akan melahirkan ketidak-bersalahnya orang lain daripada melakukan sesuatu kesalahan, maka itu sudah terkeluar dari maqasid syariah dalam sesuatu hukuman yang dikenakan –sama ada namanya Hudud, Qisas ataupun Takzir.

Justeru, bagaimana pula dengan isu sebilangan pimpinan PAS yang mengadakan pertemuan dengan blogger-blogger UMNO, lalu memberikan maklumat-maklumat meeting dalaman PAS? Jangan sampai satu tahap, dengan keputusan lajnah disiplin akan melahirkan satu tanggapan bahawa ada pimpinan PAS lain tidak merasa bersalah sekiranya mereka mengadakan dengan pertemuan dengan para blogger UMNO di masa akan datang.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
23 Januari 2010 * 4:02 pagi



[1] Dirasat Fiqh As-syafie : 4/23.
[2] At-Tarmizi : 1344.

1 ulasan:

jMieCo berkata...

al-bakistani @ g,

adakah pengasas sistem kefahaman muktazilah dan para pendokongnya sahih sesat?

Harap tuan dapat mengomentarkannya pada suatu masa, Insya Allah.

JMK