Selasa, 23 Disember 2008

HIKAM TOK GURU : SIRI 5

HIKAM TOK GURU : SIRI 5

Tok Guru Nik Abdul Aziz berkata:

“Kita di Malaysia suka sebut Ketuanan Melayu, sebab melayu bangsa asal. Tetapi, kita lupa bahawa bumi ini adalah kepunyaan Allah. sepatutnya, kita kena sebut ketuanan Allah… Beginilah cara berfikir orang-orang beriman”

HUARAIAN

Bumi Allah ini tidak tercipta sendiri. Wujudnya bumi ini pasti ada penciptanya. Pencipta bumi ini adalah Allah, yang merupakan tuhan yang mencipta manusia.

Dalam Al-Quran, jelas Allah menyatakan bahawa bumi ini adalah ciptaan Allah.

Firman Allah:

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa”

(Surah Al-‘Araf : 54)

Apabila Allah mencipta bumi, tidak selayaknya kita mendakwa bahawa bumi ini adalah kepunyaan bangsa tertentu, bahkan ianya perlu disebut adalah kepunyaan Allah.

Memandangkan bumi ini adalah kepunyaan Allah, selayaknya segala perundangan, cara hidup dan semuanya merujuk kepada Islam yang merupakan ajaran Allah yang diturunkan melalui Nabi muhammad SAW dan nabi-nabi yang lain.

Tidak dinafikan, bahawa malaysia ini adalah kepunyaan bangsa Melayu berdasarkan kepada fakta sejarah. Pun begitu, adalah satu tindakan yang biadap kepada maha pencipta, apabila kita sekadar mendakwa bahawa bumi ini kepunyaan kita, tanpa kita melaksanakan tuntutan Maha Pencipta itu.

Apakah tuntutan Allah???

Tuntutan yang Allah mahu adalah, mendaulatkan hukum Allah, meletakkan kalimah-Nya yang paling tinggi melebihi segala-galanya.

Firman Allah:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Maksudnya;
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi."

(Surah Al-Baqarah : 30)

Khalifah mengikut tafsiran ulama-ulama Ahli As-Sunnah wa Al-Jamaah adalah;

إقامة الدين و سياسة الدنيا به

Maksudnya;
“Melaksanakan agama dan mentadbir bumi berdasarkan agama
[1]

Melaksanakan agama dan mentadbir bumi dengan agama merupakan tuntutan Allah yang wajib dilaksanakan oleh semua manusia yang berkuasa. Tindakan mendaulatkan Islam di bumi Allah, merupakan tindakan dalam menunaikan perintah Allah SWT.

Tidak ada gunanya manusia itu berada di bumi, tetapi dalam masa yang sama tidak berusaha hendak mendaulatkan agama. Bahkan, lebih biadap apabila manusia itu menjadikan pemikiran selain islam sebagai asas perjuangan mereka.

Layakkah “ketuanan melayu” diperjuangkan??

Pemikiran “ketuanan melayu” merupakan pemikiran yang berasaskan kepada fahaman nasionalis yang bercanggah dengan islam. pemikiran inilah merupakan pemikiran yang menjadi punca kejatuhan pemerintahan Islam Osmaniyyah di Turki pada tahun 1924.

Menurut buku “Sultan Abd Al-Hamid II dan kejatuhan Khilafah Islamiah” karangan Dr Eeman Mohammed Abbas, ada menjelaskan bagaimana kejatuhan kerajaan Osmaniyyah jatuh dengan fahaman Nasionalis.

Beliau menyatakan bahawa, fahaman Nasionalisme tersebar di benua Eropah selepas persidahan Vienna pada tahun 1815M (1230H). Melalui Eropah, fahaman ini tercerna melalui gerakan-gerakan rahsia yang ditubuhkan di dalam wilayah Negara-negara arab yang berada di dalam kekuasaan Daulah Osmaniyyah.

Gerakan ini kemudiannya bertukar menjadi gerakan terbuka sebagai pertubuhan-pertubuhan moral yang menjadikan beberapa buah Bandar Syam, seperti Damsyik, Beirut, Aleppo sebagai pusat gerakan mereka. kemudiannya, gerakan itu bertukar menjadi gerakan politik yang mempunyai cirri-ciri yang jelas. Perkembangan ini terserlah dalam satu persidangan arab pertama yang diadakan di Paris pada tahun 1912
[2].

Apabila gerakan ini sudah terserlah, maka di situlah bermulanya titik permulaan bagi kelemahan bagi pemerintahan Osmaniyyah Turki yang akhirnya gugur jatuh bersembam pada tahun 1924.

Dengan memahami ini, jelas kepada kita bahawa pemikiran “ketuanan Melayu” tidak selayaknya diperjuangkan. Tetapi, perjuangan yang perlu dilakukan adalah “ketuanan Allah”. ini kerana, sesuatu bangsa itu tidak akan maju jika perjuangannya berasaskan kepada bangsa tersebut. tetapi, sesuatu bangsa itu akan menjadi hebat apabila mereka berpegang kuat dengan islam.

Hal ini telah dinyatakan oleh Omar dalam satu kata-kata beliau, iaitu;

إنا كنا أذل قوم فأعزنا الله بالإسلام فمهما نطلب العز بغير ما
أعزنا الله به أذلنا الله

Maksudnya;
“kita dahulu adalah sehina-hina kaum (bangsa arab), lalu Allah muliakan kita dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan tidak melalui jalan yang Allah muliakan kita, nescaya Allah akan menghinakan kita
[3]

Kalau arab dahulu digeruni musuh, disebabkan mereka berpegang kuat dengan islam, maka kini kita dapat melihat kejatuhan dan penghinaan terhadap bangsa arab disebabkan mereka menolak Islam. keadaan yang sama juga perlu dilihat oleh bangsa melayu di Malaysia.

Oleh itu, tinggalkan perjuangan “ketuanan melayu” yang berasas kepada nasionalis, bahkan tukarlah haluan perjuangan itu kepada perjuangan Islam, yang menguntungkan kehidupan manusia, sama ada di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

abu_abdillah_azzam@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 disember 2008 * 6:58 pagi







[1] Al-Imamah Al-Uzma : m/s 80
[2] Sultan Abd Al-hamid II dan kejatuhan Khilafah Islamiah : m.s 379-382.
[3] Mustadrak ‘Ala Sahihain : 1/130.

1 ulasan:

Haji Malboro berkata...

Siapakah yang sebenarnya yang memberi hak kepada ketuanan Melayu keatas bumi Malaysia ini?Siapakah dia yang sebenarnya ketuanan Melayu itu? Apa jasa mereka kpd tanah air ini?Adakah perompak ,penipu rakyat,peniup api perkauman dan menghina agama itu pemilik kepada bumi Malaysia ini?
Sesungguhnya sumbangan setiapo orang diMalaysia ini diperlukan untuk kesejahteraan ummah.Tidak kira bangsa Melayu,Cina dan India serta lain2.Mereka berhak membeli tanah,mendapat segala faedah daripada pembangunan kerajaan,dan menyumbangkan kepada ekonomi negara.Adakah ketuanan Melayu tidak sedar berapa banyak tanah tanah orang Melayu yang diserahkan kepada orang bukan Melayu untuk tujuan pembangunan?Itu hanya satu contoh bahawa ketuanan melayu hanyalah semata mata untuk perjuangan politik sempit pihak tertentu saja.Sedarlah wahai orang Melayu.Jangan lah lagi kita diperbodohkan oleh pemimpin yang bankrap politiknya.