Selasa, 6 Januari 2009

TADABBUR AL-QURAN : SIRI 3

INFAQ ORANG YANG HATINYA ADA PENYAKIT

أَيَوَدُّ أَحَدُكُمْ أَنْ تَكُونَ لَهُ جَنَّةٌ مِنْ نَخِيلٍ وَأَعْنَابٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ لَهُ فِيهَا مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ وَأَصَابَهُ الْكِبَرُ وَلَهُ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفَاءُ فَأَصَابَهَا إِعْصَارٌ فِيهِ نَارٌ فَاحْتَرَقَتْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآَيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya;
“Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dia mempunyai dalam kebun itu segala macam buah-buahan, kemudian datanglah masa tua pada orang itu sedang dia mempunyai keturunan yang masih kecil-kecil. Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandung api, lalu terbakarlah. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu supaya kamu memikirkannya”

(Surah Al-Baqarah : 266)

HURAIAN

Infaq merupakan amalan terpuji. Keterpujian infaq itu apabila tujuannya adalah untuk mendapat keredhaan Allah, juga dengan tujuan untuk mendidik diri agar tidak menjadi kedekut.

Firman Allah:

وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاةِ اللَّهِ وَتَثْبِيتًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآَتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِنْ لَمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya;
“Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya karena mencari keridhaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali lipat. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat”

(Surah Al-Baqarah : 265)

Pun begitu, di sana terdapat manusia yang infaq dengan tujuan yang lain dari mendapat keredhaan Allah dan lain dari tujuan untuk mendidik diri agar tidak menjadi kedekut. Iaitu, mereka infaq dengan tujuan yang digambarkan oleh Al-Quran sebagai;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُمْ بِالْمَنِّ وَالْأَذَى كَالَّذِي يُنْفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian”

(Surah Al-Baqarah : 264)

Dalam ayat 264, surah Al-Baqarah ini, Allah menjelaskan tiga tujuan manusia infaq, yang mana, infaq mereka tidak diterima oleh Allah, iaitu;

a. infaq dengan tujuan “Al-Manna”
b. infaq dengan tujuan “Al-Aza”
c. infaq dengan tujuan “Riya’”

infaq dengan tujuan “Al-Manna” adalah infaq yang diberikan dalam keadaan menzahirkan pemberian infaq kepada orang miskin dihadapan orang ramai. Tindakan sebegini dilarang, kerana ianya boleh melahirkan perasaan malu dan rendah bagi orang yang menerima infaq tersebut.

Infaq dengan tujuan “Al-Aza” pula adalah infaq yang diberikan dengan tujuan untuk menyakitkan hati orang yang menerima infaq. Seperti selepas diinfaq, dia menyebut-nyebut kekurangan yang ada pada orang yang menerima infaq.

Adapun infaq dengan tujuan riya’ adalah infaq yang mempunyai unsur memperlihat-lihatkan kepada orang lain, walaupun orang yang menerima infaq itu tidak merasa direndah-rendahkan dirinya sekalipun. Infaq bentuk ini dilarang, kerana ianya adalah penyakit hati yang wujud dalam diri orang yang menginfaqkan itu.

Allah melarang Infaq bentuk “Al-Manna” dan “al-Aza” adalah kerana ingin menjaga hati manusia yang menerima infaq. Adapun Allah melarang infaq berbentuk “riya’” adalah kerana ingin menjaga hati orang yang memberi infaq itu sendiri
[1].

Jika diperhatikan kepada ulasan sebegini, fahamlah kita, betapa indahnya Allah menerusi agama Islam dalam menjaga hati-hati manusia, daripada menyakiti antara satu dengan yang lainnya dalam melakukan infaq ini.

INFAQ YANG DITOLAK

Memandangkan Allah mahu manusia ini mendapat bekalan Akhirat yang cukup, bagi menghadapi kehidupan mereka disana nanti, disamping tidak penat sahaja melakukan ibadat di dunia, bahkan mendapat balasan di sana nanti. Allah menurunkan ayat tentang kelebihan infaq.

Firman Allah:

وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاةِ اللَّهِ وَتَثْبِيتًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآَتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِنْ لَمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya;
“Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya karena mencari keridhaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali lipat. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat”

(Surah Al-Baqarah : 265)

Di samping Allah menceritakan tentang kelebihan infaq yang dilakukan dengan bentuk yang tidak membatalkan pahala infaq, Allah juga menceritakan juga bentuk infaq yang pahalanya terbatal. (P: ini merupakan kaedah yang diajar oleh Allah cara untuk menarik perhatian manusia agar mahu melakukan ibadat. Iaitu, dimulai menceritakan infaq yang diterima berbanding menceritakan infaq yang ditolak)

Hal ini menerusi firman Allah SWT dari ayat 266, surah Al-Baqarah, seperti yang termaktub di atas.

Dalam ayat ini, Allah mendatangkan perumpamaan. Perumpamaan merupakan perkara penting dalam dakwah islamiyyah. Ini kerana, kefahaman manusia ini tidak sama antara satu dengan yang lainnya. Ada manusia faham dengan terus terang, tetapi tidak faham dengan cara begitu, menyebabkan terpaksa digunakan kaedah ”perumpamaan”.

Perumpamaan yang digunakan dalam ayat ini adalah dengan tujuan untuk memahamkan manusia infaq yang dilakukan dalam bentuk yang ditolak, iaitu infaq dengan tujuan ”Al-Manna”, ”Al-Aza” dan ”riya’”.

Memandangkan Allah mahu manusia menghayati kandungan ayat ini, Allah menyuruh manusia membayangkan jika perumpamaan yang hendak didatangkan ini berlaku pada diri manusia tersebut. Ekoran dari itulah Allah menyebut ”apakah kamu tidak suka”.

ايود))

Jika merujuk kepada kitab At-Tafsir Al-Kabir, Imam Fakhr Ar-Razi menyatakan, sengaja Allah tidak menggunakan kalimah “ايريد” yang bermaksud “apakah kamu mahu” juga. Ini kerana, kalimah ”ايود” dan “ايريد” mempunyai perbezaan yang amat ketara.

Perbezaan itu adalah, “ايريد” mengandungi maksud menghendaki tanpa sayang kepada perkara tersebut. adapun “ايود” pula, ianya mengandungi maksud menghendaki sesuatu disertai sayang kepada perkara itu.

Dengan itu, Allah menyuruh kita bayangkan, jika kita mempunyai sebuah kebun yang sememangnya kita terlalu sayang. Lalu kebun itu adalah kebun yang subur, sehingga didapati didalamnya segala jenis buah-buahan yang wujud di atas muka bumi. Dengan itu juga, kebun itu terletak diatas sungai yang airnya sentiasa mengalir. Yang apabila kita berehat dalam kebun tersebut, dirasakan segala nyaman itu akan terhasil.

Dalam ayat ini, Allah melebihkan menyebut buah “nakhil” iaitu buah kurma dan buah “Al-‘Anab” iaitu buah anggur. Apakah tujuan Allah menyebut dua buah ini berbanding buah-buah yang lain??

Menurut Imam Fakhru Razi, tujuan Allah menyebut dua jenis buah ini berbanding buah-buah yang lain adalah kerana;

menandakan dua jenis buah ini terlalu banyak dalam kebun tersebut.
ini menandakan, dalam banyak-banyak buah yang wujud di atas muka bumi, buah yang paling mulia adalah buah kurma dan buah anggur. (mungkin para pengkaji sains boleh mengkaji, apa kelebihan yang wujud dalam dua jenis buah ini).

TUAN KEBUN YANG TUA

Dalam ayat ini, Allah menyebut perumpamaan bahawa tuan kebun tersebut sudah terlalu tua yang mempunyai zuriat; anak-anak yang terlalu kecil, yang tidak mampu membantu dia lagi.

Memandangkan tuan kebun itu telah terlalu tua, sudah pasti dia tidak mempunyai apa-apa kemampuan melainkan kerja sikit-sikit sahaja. Disamping itu pula, dia mempunyai anak-anak yang masih kecil, yang tidak dapat membantunya untuk melakukan apa-apa pun.

Dalam keadaan demikian pula, kebun yang disayangi itu ditimpa dengan musibah, iaitu kebun itu telah dinyalakan api, lalu datang angin yang kuat menyebabkan api yang sikit itu telah merebak mengenai seluruh kebunnya sehingga semua kebunnya terbakar hangus.

Memandangkan dia terlalu tua, dan anak-anaknya pula terlalu kecil, menyebabkan dia tidak ada kemampuan untuk memadamkan api yang sedang hebat menjilat kebunnya itu.

Dalam keadaan itulah, pasti tuan kebun itu akan merasa sedih kerana kelemahan yang dia alami dalam usaha hendak memadamkan api yang telah menjilat seluruh kebun yang dia sangat sayang, disebabkan kebun itu baik hasil usahanya semasa dia masih bertenaga dahulu.

Dengan ini, jelas kepada kita, bagaimana Allah ingin menyuruh kita menghayati bagaimana sedihnya hati si tuan kebun yang tua itu. maka begitujuga, kita kena rasakan dengan perasaan kita, bagaimana infaq yang kita telah lakukan itu telah dibatalkan pahalanya oleh Allah ekoran infaq yang kita lakukan itu disertai dengan beberapa perbuatan yang membatalkan pahala infaq ketika kita mengadap Allah SWT.

Ini ditambahi lagi, dengan kehidupan akhirat yang maha dahsyat. Yang ketika itu, bukan sekadar infaq sahaja, bahkan bagi mereka yang melakukan amalan baik, lalu dilakukan amalan jahat pula selepas itu, menyebabkan amalan baik itu terhapus ekoran amalan jahat yang dilakukan.

Ini disandarkan kepada satu atsar, yang mana suatu hari Omar bin Al-Khattab bertanya kepada sahabat-sahabat beliau tentang maksud ayat ini. sahabat-sahabat beliau hanya menyebut ”Allah sahaja mengetahui” menyebabkan Omar marah, seraya minta sahabat menyebut ”kami mengetahui atau tidak mengetahui”.

Melihat keadaan itu, Omar sendiri menyebut, maksud ayat ini adalah;

الرجل غني يعمل بطاعة الله. ثم بعث الله له الشيطان فعمِل بالمعاصي حتى أغرق أعماله
Maksudnya;
“seorang lelaki kekayaannya dalam melakukan amalan taat kepada Allah, lalu Allah (mengujinya) dengan datang seekor syaitan, lalu dia melakukan maksiat hingga menenggelamkan segala amalan-amalannya
[2]

Memandangkan keadaan inilah, tidak hairan kalau jika membaca hadis Nabi, kita akan dapati antara doa yang sering dibaca oleh Nabi SAW adalah;

اللهم اجعل أوسع رزقك علي عند كبر سني وانقضاء عمري

Maksudnya;
“Ya Allah !! jadikan rezki-Mu yang kau berikan kepadaku itu luas ketika aku tua dan hampir-hampir saat kematianku
[3]


Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri indah (B), Sg Buloh
7 Januari 2009 * 5:56 petang.















[1] Lihat huraian panjang dalam kitab At-Tafsir Al-Kabir : 3/485.
[2] Sahih Al-Bukhari : 4538.
[3] Al-Mustadrak : (1/542)

Tiada ulasan: