Jumaat, 9 Januari 2009

TAK MAHU ”DISEKOLAH” DENGAN HUKUM ALLAH???

TAK MAHU ”DISEKOLAH” DENGAN HUKUM ALLAH???

Mstar melaporkan:

“Tak perlu nak menyekolahkan Umno kerana mereka (PAS)... ini main politik dari mula lagi," kata beliau (TPM) pada hari keempat kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu
[1]

Kalau kita baca berita utusan meloya hari ini pula, akhbar itu melaporkan;

“KUALA LUMPUR 9 Jan. — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang pegawai perkapalan yang didapati bersalah membunuh dan membakar teman wanitanya di sebuah hotel enam tahun lalu
[2]

KOMEN:

Kalau dibaca berita hari ini, jelas menunjukkan hukuman terhadap mereka yang sabit kesalahan membunuh adalah bunuh balas. Pun begitu, hukuman bunuh balas dalam Islam dan hukuman bunuh balas dari undang-undang manusia mempunyai perbezaan yang amat ketara.

Jika dirujuk kepada hukuman bunuh balas dalam Islam, kita akan merasakan betapa adilnya hukuman tersebut. perbahasan ringkasnya adalah seperti berikut;

Dalam islam, apabila berlaku pembunuhan, maka hendaklah dijatuhkan hukuman bunuh balas. Pun begitu, syarat untuk dikenakan hukuman bunuh balas terhadap pembunuh itu tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat, iaitu antaranya;

a. pembunuh itu berakal, baligh dan sengaja secara sedar untuk membunuh.
b. Orang yang dibunuh itu manusia yang masih hidup, walaupun dalam sakaratul Maut dan terpelihara darahnya.
c. Alat yang digunakan untuk membunuh itu adalah dari suatu benda yang biasanya boleh mematikan. (seperti bom C4 dll)
d. Perbuatan jinayah itu menyebabkan kematian orang yang terbunuh
[3].

Asas bagi kewajipan perlaksanaan hukuman bunuh balas ini adalah firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنْثَى بِالْأُنْثَى فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya;
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qishaash berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang mendapat suatu pema'afan dari saudaranya, hendaklah (yang mema'afkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi ma'af) membayar (diat) kepada yang memberi ma'af dengan cara yang baik (pula)”

(Surah Al-Baqarah : 178)

Dari ayat ini, jelas menunjukkan bahawa hukum bunuh balas terhadap pembunuh boleh disifatkan mandatory dikala ahli keluarga pihak yang terbunuh tidak memaafkan lagi kepada pihak pembunuh.

Keadaan ini berbeza, sekiranya pihak keluarga yang kena bunuh memaafkan kepada pembunuh. Yang mana, sekiranya hakim menetapkan hukuman bunuh balas terhadap pembunuh, lalu keluarga pihak yang kena bunuh memaafkan kepada pembunuh, pada masa itu, pembunuh tersebut terselamat dari dikenakan hukuman bunuh, tetapi disamping itu, pihak pembunuh hendaklah membayar “diyat Mughallazah” yang kadarnya ditetapkan oleh pihak kerajaan melalui kaedah siyasah syariiyyah. Ini merujuk kepada fatwa ulama dalam mazhab As-Syafii
[4].

Asas bagi merujuk hal ini adalah kepada hadis Rubayyi’ bin An-Nadhar yang telah disabitkan hukuman balas ekoran tindakannya mencederakan seorang perempuan. Lalu, setelah pihak hakim telah memutuskan hukuman cedera balas dikenakan kepada Rubayyi’, menyebabkan pihak perempuan yang dicederakan itu memaafkannya.

Tindakan itu menyebabkan seorang Sahabat yang bernama Anas yang mahu melaksanakan hukuman itu senyap, lalu bertanya kepada Nabi SAW; Baginda terus berkata kepada Anas;

إِنَّ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ مَنْ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ

Maksudnya;
“Sesungguhnya daripada hamba Allah itu, mereka yang apabila bersumpah, pasti Allah akan membebaskannya
[5]

Jika diperhatikan kepada ulasan ini, kita akan dapat lihat betapa indahnya Islam dalam menjaga maslahat manusia. ini kerana, dalam Islam, bunuh balas ini sebenarnya mengandungi maksud untuk menghapuskan perasaan “tidak puas hati” dari keluarga pihak yang terbunuh.

Pun begitu, sekiranya perasaan “tidak puas hati” itu luput dalam diri ahli keluarga tersebut yang terzahir dalam bentuk “memberi maaf”, menyebabkan pihak pembunuh mendapat peluang hidup lagi, pun begitu ianya tetap dikenakan bayaran denda, iaitu dengan membayar diyat yang perlu dibayar kepada keluarga pihak terbunuh (bukan kepada kerajaan).

Inilah keadilan Islam yang dijanjikan berbanding dengan undang-undang dunia seperti berita yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia pada hari ini.

Secara halus jika difikirkan, kita akan mendapat satu kesimpulan bahawa perlaksanaan hukum Islam ini mempunyai unsur pencegahan. Pencegahan dari pihak penjenayah tidak akan mengulangi jenayah yang telah dilakukan, begitujuga orang lain tidak akan melakukan jenayah tersebut.

Jika hukuman ini boleh dilaksanakan, pasti kejadian mengebom C4 altantuya tidak akan berlaku lagi. sudah pasti, bapa kepada Altantuya tidak perlu berulang alik ke Malaysia untuk menuntut keadilan terhadap kematian anaknya itu.

Oleh itu, kita tidak perlu risau disebalik perlaksanaan hukum Islam ini. Jika ada juga perasaan risau, sehingga tidak mahu “disekolahkan”, menunjukkan ada sesuatu yang tak kena disebalik kerisauan orang yang tak mahu “disekolahkan” itu.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
9 Januari 2009 * 11:38 malam.




[1]http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/9/mstar_mutakhir/20090109162932&sec=mstar_mutakhir
[2]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_20.htm
[3] Qanun Jenayah Syariiyyah : m.s 155.
[4] Qanun jenayah syariiyyah : m.s : 487.
[5] Sahih Muslim : 3174.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Membunuh adalah jalan keluar untuk nafsu menjadi reda.Hukumannya ialah kegelisahan yang parah menanti dalam jiwa untuk menjustifikasikan kenapa aku membunuh.Secara halusnya naluri kemanusiaan akan mula mencari hakim dalam diri apabila ada buruan hukuman akan datang pada pembunuh.
Maka hukum hudud berkata,setiap nyawa yang melayang itu apabila diambil secara paksa maka hendaklah dijatuhi dengan hukuman yang wajar yang kena dengan sebab dan musabab aqli dan feili selari dengan kehendak syariah.Renungkanlah.