Selasa, 31 Mac 2009

TADABBUR AL-QURAN : SIRI 14 : IMAN DAN AMALAN SOLEH MENGHINDARKAN RIBA



IMAN DAN AMALAN SOLEH MENGHINDARKAN RIBA

Firman Allah;

يَمْحَقُ اللَّهُ الرِّبَا وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ * إِنَّ الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya;
“Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa * Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan shalat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati”

(Surah Al-Baqarah : 276-277)

HURAIAN

Dalam ayat-ayat lepas, Allah ada memuji tindakan melakukan infaq dan sedekah. Kemudiaannya, Allah mencela amalan riba. Dalam ayat ini pula, Allah menjelaskan kepada kita tentang keburukan yang wujud pada riba dan kebaikkan yang wujud dalam sedekah.

***

Firman Allah;

يَمْحَقُ اللَّهُ الرِّبَا

Maksudnya;
“Allah memusnahkan riba”

Ayat ini, terang-terangan Allah mengutuk amalan riba. Disamping itu, Allah menanam satu doktrin kepada manusia tentang keburukkan yang wujud dalam riba.

Dalam kutukan Allah terhadap riba itu, Allah menggunakan kalimah ”yamhaq” yang diterjemah sebagai binasa. Jika dirujuk dalam bahasa arab, kalimah arab yang diterjemah dengan binasa ini bukanlah ”yamhaq” sahaja, bahkan disana wujud kalimah ”yafsad”, ”yangqud” dan sebagainya.

Menurut ahli bahasa, kalimah ”yamhaq” bermaksud ”binasa sedikit demi sedikit” atau ”binasa dari satu ketika kepada satu ketika”. Bermaksud, kebinasaan yang wujud pada riba tidak dapat dilihat semasa amalan riba itu berlaku, bahkan kebinasaannya boleh berlaku dalam jangka masa yang lama.

Keadaan ini dapat dilihat dengan sistem ekonomi kapitalis yang sudah pasti menjadikan riba sebagai asas. Apabila disebut riba, ianya seakan-akan wujud unsur tindas menindas seperti monopoli. Jika ada peniaga memonopoli sesuatu barang demi keuntungannya, pasti akan wujud unsur tindas menindas terhadap rakyat. Keadaan yang sama juga wujud dalam riba yang bersifat ”memonopoli” keuntungan ”atas darat” tanpa memerlukan kerja buat yang banyak dalam mengaut keuntungan.

Ekoran itulah, kita dapat melihat. Apabila ekonomi yang meletakkan kepentingan riba sebagai asas ekonomi mereka, memang dalam satu ketika mereka dilihat seperti gagah. Tetapi, apabila masa demi masa berlalu, kita akan dapat lihat bagaimana sistem itu akan binasa; mula dibenci masyarakat.

***

Jika direnung pada ayat ini, pasti kita akan terfikir, mengapa Allah mahu membinasakan riba??

Jawapannya adalah, (1) riba ada unsur tindas menindas, (2) riba tidak ada unsur manfaat kepada masyakarat, walaupun ada manfaat peribadi, (3) Menandakan, Islam meletakkan asas manfaat orang ramai lebih didahulukan berbanding manfaat peribadi (4) harta riba terhindar dari keberkatan kerana wujud tindas menindas terhadap orang fakir. (5) sekuranga-kuragnya, orang yang main riba akan mendapat celaan dari orang yang tertindas dengan riba.


***

Firman Allah;

وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ

Maksudnya;
“dan menyuburkan sedekah”

Allah menggalakkan sedekah. Allah memperlihatkan, bahawa keuntungan hakiki bukannya wujud pada riba, tetapi keuntungan hakiki wujud dalam sedekah.

Maksud dengan menyuburkan sedekah adalah, kesuburan harta disebalik sedekah, atau dalam istilah agama disebut sebagai berkat yang wujud disebalik sedekah.

Jika manusia bermain dengan riba, mereka memang mendapat keuntungan, tetapi keuntungan mereka itu tidak mempunyai keberkatan. Keadaan ini berbeza dengan mereka yang pemurah hati untuk melakukan sedekah. Ini kerana, mereka mendapat keuntungan harta dari sudut keberkatannya.

Keberkatan merupakan perkara penting yang wujud dalam Islam. ada manusia yang mempunyai harta yang banyak, tetapi kehidupan mereka tidak pernah tenang. Mereka ini disebut, kaya yang tidak mempunyai keberkatan.

Pun begitu, disana wujud manusia yang bukan kaya, tetapi hidup mereka sentiasa senang dan tenang. Kehidupan manusia sebegini disebut kehidupan yang ada keberkatan.

Islam meletakkan asas keuntungan dari sudut keberkatan lebih utama berbanding mendapat keuntungan yang tidak mendapat keberkatan. Ini kerana, hidup ini tidak selesai dengan banyak harta benda tanpa mendapat kehidupan yang bahagia. Apa guna harta yang banyak, isteri yang cantik, rumah yang besar, kereta yang banyak, tetapi kehidupan sentiasa tertekan dan tidak tenang.

Orang yang banyak bersedekah, diberikan Allah kepada mereka pembalasan dari Allah secara berganda-ganda. Keadaan ini seperti firman Allah;

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya;
”perumpamaan mereka yang menginfaqkan harta mereka di jalan Allah, seperti satu bijiran yang menumbuhkan tujuh tangkai. Pada setiap tangkai, melahirkan pula seratus bijirin. Dan Allah mampu menggandakan kepada siapa yang dia mahu. Dan Allah maha luas lagi maha mengetahui”

(Surah Al-Baqarah : 261)

Bahkan, jika dilihat pada hadis. Para malaikat sering berdoa kepada orang yang rajin bersedekah dengan doa;

: اللّهم يسر لكل منفق خلفاً ولممسك تلفاً

Maksudnya;
“Ya Allah !! mudahkan bagi setiap mereka yang infaqkan harta mereka dengan balasan yang setimpal. Dan berikan kebinasaan harta bagi mereka yang mencegah harta mereka”

***

Firman Allah;

وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ

Maksudnya;
“Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa”

Kalimah “Kaffar” adalah isim mubalaghah yang bermaksud “bersangatan kufur”. Ada ulama tafsir menyatakan, maksud “kaffar” adalah kekufuran yang berlaku pada hati.

Adapun kalimah “asim” juga adalah isim mubalaghah yang memberi maksud “orang yang sentiasa melakukan dosa”. Ada ulama menafsirkan, maksud “asim” adalah dosa yang dilakukan dari sudut perkataan dan perbuatan.

Orang yang makan riba sentiasa berada dalam dosa. Kerana, apabila mereka mengenakan riba kepada manusia. bermakna mereka telah melakukan kezaliman terhadap harta orang tersebut. Apabila harta riba mereka beranak pinak, maka di situlah harta mereka penyebab mereka berdosa yang tidak berhenti-henti.

***

Firman Allah;

إِنَّ الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ

Maksudnya;
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan shalat dan menunaikan zakat”

Setelah Allah menjelaskan tentang kelebihan sedekah dan keburukan riba, maka dalam ayat ini pula, Allah menjelaskan tentang balasan pahala yang wujud dalam islam.

Dalam ayat ini, Allah menjelaskan kepada kita tentang aturan Islam secara umum. Iaitu, Allah menyatakan bahawa, Islam menekankan dua asas, iaitu; (1) beriman dengan Allah, (2) amalan soleh. Dari amalan soleh itu, terbahagi kepada dua asas pula, iaitu (1) hablullah (baca : hubungan manusia dengan Allah), dan (2) hablunnas (baca : hubungan manusia sesame manusia).

Bermakna, solat difahami sebagai hubungan manusia dengan Allah. Dan zakat itu, sebagai hubungan manusia sesama manusia. sedangkan, kedua-dua unsur ini terkandung dibawah maksud ”amalan soleh”.

Jelasnya disini, amalan soleh itu, bukanlah sekadar kita melakukan amalan taat untuk menghasilkan pahala untuk diri kita sendiri, bahkan amalan soleh itu, mesti mempunyai unsur antara manusia dengan manusia juga.

Manusia yang tidak mengambil tahu hal manusia lain, maka manusia itu tidak boleh disebut sebagai “beramal soleh” yang dikehendaki oleh Allah SWT.

***

Iman adalah amalan hati. Amalan soleh adalah amalan jawarih (baca : anggota badan). Justeru, Islam meletakkan dua asas penting dalam kehidupan manusia. Jika manusia itu hanya beriman, tanpa amalan soleh, orang itu digelar Mukmin ‘Asi (baca : mukmin yang berdosa).

Adapun jika amalan mereka adalah soleh, tetapi hati mereka tidak beriman atau kufur, mereka digelar sebagai Munafiq (baca : orang yang bermuka-muka).

Timbul persoalan, Apabila kanak-kanak baru sahaja baligh yang tidak sempat buat amalan, lalu mati. Kanak-kanak itu dikira sebagai ahli syurga. Justeru, bagaimana pula dengan ayat ini yang menegaskan tentang iman dan amalan soleh. Padahal kanak-kanak itu belum sempat lagi buat amalan??

Jawapannya adalah, amalan yang dimaksudkan amalan soleh dalam ayat ini adalah, kesan disebalik melakukan amalan yang menghasilkan pahala. Bukan bermaksud, amalan itu penentu orang itu mendapat pahala.

Ini kerana, jika difikirkan kepada perkara dosa pula. Manusia boleh diletakkan kedalam neraka selama-lamanya disebabkan dia kufur, walaupun dia tidak melakukan dosa-dosa besar seperti berzina, mencuri dan sebagainya.

Jika orang yang kufur boleh menjadi ahli neraka walaupun tidak melakukan dosa besar, maka orang yang beriman pula, boleh masuk syurga walaupun mereka tidak melakukan amalan soleh.

Ini kerana, asas bagi penentuan seseorang itu masuk syurga atau tidak terletak kepada keimanannya kepada Allah. Adapun amalan soleh, adalah penyelamat seseorang dari azab secara mutlak. Ini kerana, apabila seseorang itu meninggalkan sesuatu amalan taat, mereka akan dimaksukkan kedalam neraka; di azab kadar dosanya, tetapi akhirnya akan dimasukkan juga kedalam syurga Allah SWT.

Dalam ayat ini, Allah menyebut beriman dengan Allah, mendirikan solat dan membayar zakat. Menunjukkan, asas Islam adalah, perlu bermula dengan amalan hati, iaitu beriman dengan Allah. Kemudian perlu menjaga maslahat diri, iaitu terkandung dalam maksud mendirikan solat. Dan kemudiannya lagi, perlu ada menjaga maslahat orang lain, iaitu terkandung dalam maksud menunaikan zakat.

***

Firman Allah;

لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya;
” mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati”

Orang yang benar-benar beriman. Kemudian mereka menjaga hubungan mereka dengan Allah, juga sesama mereka. Bagi mereka pahala yang diberikan oleh Allah kepada mereka.

Bukan sekadar itu sahaja, mereka tidak akan takut di akhirat nanti. Juga mereka tidak akan bersedih ekoran keimanan dan amalan soleh yang mereka lakukan.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
31 mac 2009 * 6:10 petang



Tiada ulasan: