Sabtu, 24 Oktober 2009

BIJAK POLITIK UNTUK MENANG (1)

salah satu kelas Dauratul Hadis di Universiti Darul Ulum, deoband, India

BIJAK POLITIK UNTUK MENANG (1)

Aku mempunyai pendidikan awal di Sekolah Tadika dan Rendah di Sungai Buloh. Diperingkat menengah, aku menghafal al-Quran di Institut pendidikan Al-Balaghulmubin, Pasir Mas Kelantan.

Di Institut pendidikan al-Balaghul Mubin, berlaku pertembungan dua aliran; aliran tradisional dan aliran yang dilebel dengan Wahabi. Makanya, aku agak tidak senang dengan pertembungan ini, malahan bertambah kebingungan kerana tidak mempunyai pengetahuian langsung tentang wahabi.

Memandangkan Tahlil arwah, talqin orang meninggal, baca al-Quran di perkuburan dan berbagai-bagai lagi menjadi amalan masyarakat Islam melayu di malaysia, menyebabkan aku menerima apabila dicadangkan menyambung belajar di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas Kelantan. Di pondok tersebut, aku sempat menadah kitab dengan Tuan Guru Abdullah bin Abdur Rahman, juga adik beliau, Tuan Guru Haji Muhammad bin Abdur Rahman.

Semasa di Pondok Lubuk Tapah, aku beranggapan Tuan Guru Haji Abdullah bin Abdur Rahman merupakan tokoh fiqh yang dikagumi. Ini kerana, mungkin kerana banyak membaca, menyebabkan beliau banyak dapat menyelesaikan masalah fiqh dengan merujuk kepada kitab-kitab fiqh yang muktabar.

Hampir 3 tahun di Pondok Lubuk Tapah, kemudiaannya aku ke Pakistan untuk menyambung pengajian di sana. Berlabuh sahaja di Karachi, Aku dicadangkan untuk menuntut di Jamiah Abu bakar As-Siddiq, sebuah Universiti aliran salafi. Aku tidak berminat. Tetapi, memandangkan Universiti aliran Deobandi mengajar dalam bahasa Hindi, maka tidak dapat tidak, aku terpaksa menuntut di jamiah Abu bakar untuk mendalami bahasa arab terlebih dahulu.

Selama 2 bulan aku menjadi pelajar di jamiah Abu Bakar. Dalam jangka masa itu, aku belajar Bahasa arab, juga tidak ketinggalan perkara penting yang dipelajari di mana-mana universiti aliran Salafi, iaitu tentang “aina Allah”, di Mana Allah?

Peganganku dengan ajaran di Pondok masih kuat, menyebabkan aku tidak dapat menerima isu yang didebatkan. Ia membenarkan dakwaan ramai pelajar-pelajar pondok bahawa Pakistan tempat pengajian aliran wahabi.

Aku pun meninggalkan Jamiah Abu Bakar, dan seterusnya mendaftarkan diri di Jamiah Farooqiyyah, sebuah Universiti di Pakistan yang beraliran hanafi deobandi. Di situ, aku menuntut banyak ilmu-ilmu. Ternyata, ia amat kontra dengan pemikiran aliran salafi.

Aku keluar dari Jamiah Abu bakar, menyebabkan sebilangan kawan yang berbangsa Turki tidak bersetuju.

“anta tidak suka kepada salaf?” soal Asyqarbaik dalam bahasa arab di saat aku menghadiri majlis Dastarbandi – iaitu majlis Khatam Bukhari di Jamiah Abu bakar as-Siddiq.

Di kala itu, Aku bersama Fadhlurrahman yang berbangsa afghanistan. Fadhlur Rahman sebaya denganku, tetapi sudah khatam pengajian kitab habis Misykat Masabih di Jamiah Farooqiyyah.

Ketika Asyqarbaik bertanya soalan itu, aku terus menjawab, “ana sayangkan salaf, sebab itu ana masuk Jamiah deobadi yang bermazhab Hanafi, kerana Abu Hanifah antara ulama salaf”

Fadhlur Rahman tidak menyangka aku memberi jawapan sebegitu, menyebabkan beliau ketawa kecil, sambil melihat wajahku yang sedang tersenyum ketika menjawab soalan tersebut. Asyqarbaik tidak dapat menjawab balas, sebaliknya diam dan kelihatan wajahnya seperti tersipu-sipu.

JAMIAH DEOBANDI

Deobandi merujuk kepada sistem pengajian tradisional pakistan yang ‘menciplak’ cara pengajian di Universiti Darul Ulum, Deoband, India, tempat ramai tokoh-tokoh ulama Malaysia menuntut ilmu.

Tok Khurasan, Maulana Abdullah noh india, Dato’ Ishak Baharom, Tuan Guru Haji Abbas Besut, Tuan Guru Haji Abdullah Ahmad dan banyak lagi nama-nama tokoh ulama yang hebat mendapat pendidikan dari Darul Ulum Deoband ini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz merupakan antara tokoh ulama ternama di Malaysia yang mendapat pendidikan dari Universiti Darul Ulum, Deoband, India ini.

Di Pakistan, pengajian Darul Ulum Deoband ini didapati di Jamiah-jamiah yang disebut sebagai Jamiah deobandi. Cara pengajian di jamiah Deobandi, tidak sama seperti pengajian di Jamiah Abu bakar as-Siddiq yang beraliran salafi.

Pengajian Hadis di jamiah Abu bakar, lebih tertakluk kepada hadis-hadis yang terpilih dari sesuatu kitab hadis, tidak seperti di Jamiah deobandi yang pengajian hadisnya adalah bersifat ‘kulit kitab ke kulit kitab’.

Pengajian mantiq, amat mendalam. Sedangkan, perkara ini tidak terdapat di jamiah abu Bakar as-Siddiq. Pengajian Nahu di Jamiah Deobandi, lebih menarik dan luas berbanding di Jamiah Abu bakar as-Siddiq.

Dengan kata mudahnya, bahan ilmu dari Jamiah Abu Bakar bukanlah bahan ilmu asli Pakistan, tetapi asli pengajian Pakistan adalah dari jamiah deobandi.

Tanpa belajar di Jamiah Deobandi, pasti tidak akan memahami kaedah dan cara pemikiran ulama deobandi. Lebih-lebih lagi, jika menuntut di jamiah Abu Bakar as-Siddiq, kemudian ingin menafsirkan cara pemikiran ulama Deobandi, maka terlebih jauh untuk menafsirkan keunikan pemikiran ulama deobandi.

ULAMA DEOBANDI DI PAKISTAN

Semasa di pakistan, aku mengambil kursus bahasa hindi selama 4 bulan lebih di Faisal abad. Setelah itu, aku sering masuk kelas pengajian umum atau disana disebut dengan nama ‘Daurah’ di musim cuti.

Selalunya, bermula dipertengahan bulan sya’ban sehinga ramadhan, kebanyakkan jamiah deobandi, mengadakan daurah tafsir. Makanya, aku memilih Jamiah Ahsan Al-Ulum sebagai tempat aku mendengar daurah tafsir.

Mufti Maulana Zarwali Khan merupakan salah seorang tokoh ulama hadis, juga pakar dalam bidang tafsir aliran deobandi di Pakistan. Beliau mempunyai ramai musuh, terutama mereka yang beraliran syiah dan Brelvi.

Aku menuntut ilmu tafsir dari beliau. Di kala melihat cara dan kaedah beliau mengajar, aku sudah agak faham mengapa beliau mempunyai ramai musuh. Masakan tidak, kritikan beliau yang terlalu ‘tepat atas muka’ orang yang dikritik, disamping cara istidlal beliau yang amat menterkujatkan akal.

Pernah beliau mengarang sebuah buku dalam bahasa hindi, menfatwakan kemakruhan puasa enam, walhal semua ma’ruf bahawa puasa enam adalah sunnah.

Apabila kita mendengar fatwa tersebut, pasti kita akan ketawa. Tetapi, setelah membaca cara beliau beristidlal, sudah pasti kita akan tergamam untuk menolak fatwa beliau.

Lantaran itu, seorang ulama deobandi dari Multan telah mengkritik fatwa beliau tersebut, dengan menulis sebuah buku yang bertajuk ”Ar-Rad Al-Qawi, ’Ala Qaul Az-Zarwali”. Kritikan itu, dibalas beliau dengan hujjah yang menarik, menyebabkan ulama deobandi dari multan tersebut tidak dapat menjawab balas.

Ketika Maulana Zarwali Khan mengajar, beliau suka membuat lawak-lawak jenaka. Kadang-kadang, apabila kita mendengar ucapannya seperti angkuh, tetapi sebenarnya dia sedang buat lawak bodoh’ :).

Justeru, setelah dia menunggu jawapan balas dari Ulama Deobandi dari Multan itu, tetapi tidak kedengaran sehingga hampir sebulan. Menyebabkan beliau menyebut dalam satu kuliah tafsir beliau, ”Sari Ulama in dunia Mai, sab se alim tin Hai; (1) Imam A’zam, Imam Abu Hanifah, or (2) Imam Ibnu Hajar al-’Asqalani, or (3) Mai Hoo” yang bermaksud, ”semua ulama dalam dunia ini, yang paling alim adalah tiga orang sahaja, iaitu (1) imam Abu Hanifah, (2) Imam Ibnu Hajar al-’Asqalani, dan (3) Aku”

Ketika kami mendengar beliau berkata sebegitu, kami anak-anak murid riuh ketawa di dalam kelas.

Jika kita ikuti kuliah beliau, kritikan beliau terhadap ulama-ulama yang mengajar di Jamiah Abu bakar pasti akan kedengaran. Boleh dikatakan, jika sehari tidak kritik ”wahabi”, maka itu bukan Maulana Zarwali Khan. Ekoran itu, ramai ulama-ulama yang beraliran salafi di Jamiah Abu bakar as-Siddiq yang tidak suka dengan Maulana Zarwali. Peliknya, mereka tidak pernah membalas kritikan itu dengan debat, waima sering dicabar debat oleh Maulana Zarwali Khan dalam banyak majlis terbuka.

Bersambung.......

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri indah (B), Sg Buloh
25 oktober 2009 * 12:14 tengahari

2 ulasan:

Dr Azhar berkata...

Jaga mulut di dalam bercakap tentang pemimpin kita. TGNA merupakan mursyidul am PAS.Siapa kita nak halang beliau daripada mengemukakan pandangan?

Cuba tanya,berapa banyak tahajud kita,istikharah kita berbanding tgna? Beradablah sikit.

Benda ni masih belum tamat.Jangan cepat-cepat buat kesimpulan TGNA tak betul,diperalatkan oleh orang lain. TGNA sebagai pemimpin tertinggi PAS yang wajib diberikan wala oleh ahli telah mendengar banyak pandangan dan aduan daripada ahli bawahan.Beliau mengetahui perkara yang kita tidak tahu.

TGNA sedang memberitahu ada bahaya dalam PAS yang terdiri daripada pemimpin tertinggi PAS sendiri. Sejarah PAS sendiri membuktikan berapa ramai pemimpin tertinggi PAS bahkan di kalangan ulama sendri yang belot daripada perjuangan. Dato Asri Muda, Nakhaei Ahmad, kesemuanya membelot daripada perjuangan. Siapa mereka? Mereka adalah Presiden dan Timb Presiden PAS. Adakah sejarah tidak boleh berulang?Adakah mustahil Timb Presiden PAS sekarang untuk mengambil langkah yang sama? Inilah bahaya yang hendak dikhabarkan oleh TGNA.

Kita sebagai ahli seharusnya mendengar dan meneliti pandangan TGNA, bukannya melompat dan menuduh beliau bukan-bukan.Siapakah yang mengajar ahli PAS berlaku biadap kepada Mursyidul Am/Pemimpin Tertinggi mereka sendri. Sehinggakan membakul sampahkan semua pandangan beliau bila sahaja PANDANGAN BELIAU BERTENTANGAN DENGAN PANDANGAN HASAN ALI DAN ROSLAN SMS. Mulia sangat ke Hasan Ali dan Roslan SMS sehinggakan kita membuang pemimpin tertinggi kita sendiri yang berjuang bersama-sama kita berpuluh tahun semata-mata untuk membela Hasan Ali. Siapa Hasan Ali tu? Tidak lebih bekas Timb Pengarah INTAN/BTN/PTD yang tugas mereka membrainwash orang lain agar mennyokong UMNO di atas nama Perpaduan Melayu.

Kalau Hasan Ali boleh bagi pandangan di Media tanpa melalui mesyuarat, kenapa pula Mursyidul Am kita sendiri, kita halang daripada memberikan pandangan di media.Adakah Hasan ALi lebih tinggi kedudukan dalam PAS dari TGNA? Adakah sudah sampai tahap biadap begitu ahli PAS sekarang semata-mata untuk mempertahankan orang (Hasan Ali dan Roslan SMS) yang mereka sendiri pun tidak tahu asal-usulnya.

Begitu teruk kekeliruan dan kebiadapan ahli PAS sekarang, sehingga ada yang mengatakan bahawa Mursyidul Am tidak layak untuk membuat komen tentang perkara-perkara tertentu. Tinggalkan kepada Presiden. Harus diingat,kedudukan Mursyidul Am dalam parti lebih tinggi daripada Presiden.PAS mewujudkan jawatan mursyidul ama adalah untuk mengawal kuasa Presiden sekiranya presiden yang dilantik menyeleweng daripada tugasnya. Nah, sekarang ini TGNA telah menjalankan amanahnya sebagai seorang Mursyidul Am.Kenapa kita harus melenting?

Dengar dan patuh kepada arahan pimpinan tertinggi, kerana di situ ada keberkatan perjuangan.

Tanpa Nama berkata...

salam,
hebatnya 'aku'
wassalam