Khamis, 22 Oktober 2009

"LAKUKAN AMANAH DEMI KEMAJUAN ISLAM"


"LAKUKAN AMANAH DEMI KEMAJUAN ISLAM"

Pembukaan kota makkah (Fath Makkah) merupakan satu sejarah besar bagi umat Islam dalam kepimpinan Nabi Muhammad SAW. Ketika Nabi SAW masuk ke Makkah, kunci Kaabah dibawah jagaan Osman bin Talhah bin Abi Ad-Dar yang merupakan siak kaabah.

Osman bin Talhah tidak pernah melihat Nabi SAW melainkan dengan mendengar nama "Muhammad" sahaja. Justeru, ketika kemasukan Nabi Muhammad SAW ke Makkah, Osman bin Talhah telah naik di atas bumbung kaabah, iaitu di kala diminta oleh nabi SAW untuk mendapatkan kunci Kaabah.

Setelah diberitahu, barulah dia mengetahui bahawa insan yang meminta anak kunci kaabah tersebut adalah nabi SAW, menyebabkan Osman bin talhah telah menyerahkan anak kunci kaabah yang berada ditangannya kepada Ali bin Abi Talib.

Ali bin Abi talib menyerahkan kunci tersebut kepada Nabi SAW, lalu nabi SAW menggunakannya untuk membuka pintu kaabah, lalu masuk. Kemudiannya, menunaikan solat sunat dua rakaat.

Setelah usai menunaikan solat, nabi SAW pun keluar dan melakukan tawaf di keliling kaabah dengan memegang gugusan Kunci kaabah. Apabila sampai kepada bapa saudara nabi, Abbas, nabi SAW pun mahu menyerahkan kunci Kaabah tersebut kepada bapa saudaranya itu.

Belum sempat Nabi SAW memberikan anak kunci itu kepada Abbas, maka turun ayat al-Quran;

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya;
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat"

(Surah An-nisa' : 58)

Menerima sahaja ayat ini, Nabi SAW terus menyuruh Ali bin talib menyerahkan kunci kaabah itu balik kepada Osman bin talhah, sambil meminta maaf kepadanya.

Ketika Ali bin Talib menyerahkan kunci itu kepada Osman, ketika itu Osman bin talhah mengucap Shahadah; mengakui keesaan dan ketuhanan Allah, juga kenabian Muhammad SAW.

Tidak lama kemudian, jibril A.S datang dan memberitahu kepada Nabi SAW bahawa penjaga kunci Kaabah adalah keluarga Osman bin talhah. Setelah Osman bin Talhah berhijrah, maka adiknya yang bernama Syaibah pula yang menjaga kunci Kaabah
[1].

NABI SAW TIDAK EGO

Walau baginda seorang yang menjawat jawatan nabi, merangkap pimpinan utama kerajaan islam, ego sekali-kali tidak pernah wujud dalam dirinya. Apabila wujud sebarang tindakan yang silap, pasti nabi SAW akan mengakui kesilapan.

Keadaan ini sudah banyak dapat dilihat menerusi sirah nabi, seperti teguran Allah SWT terhadap nabi dalam sejarah penurunan surah 'Abasa. Juga, pembenaran ijtihad Omar bin al-Khattab dalam membuat keputusan terhadap tawanan Badar, yang ketika itu nabi SAW menerima ijtihad dari Abu bakar as-Siddiq.

Keadaan yang sama juga berlaku buat kali lainnya menerusi penurunan ayat ini. Waima berjawatan besar, Nabi SAW mengakui kesilapan baginda SAW ketika ditegur oleh Allah SWT, sehingga sanggup memohon maaf kepada siak kaabah, Osman bin talhah.

AMANAH WAJIB DITUNAIKAN

Amanah merupakan tuntutan yang wajib ditunaikan. Tanpa menunaikan amanah, azab Allah akan berkunjung tiba. Dalam surah An-Nisa' ayat 58, kita dapat melihat bagaimana suruhan amanah ini merupakan perkara yang penting.

Dalam ayat ini juga, Allah SWT menyuruh nabi SAW dan sesiapa sahaja agar melaksanakan amanah terhadap sesiapa sahaja. Sama ada terhadap orang yang berbeda mazhab, juga berbeda agama.

Menurut Imam fakruddin ar-Razi, amanah itu dibahagikan kepada tiga perkara; (a) amanah terhadap tuhan, (b), amanah terhadap manusia, dan (c) amanah terhadap diri manusia itu sendiri.

Amanah terhadap tuhan adalah, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Adapun amanah terhadap manusia adalah, melaksanakan segala kewajipan yang wajib dilakukan terhadap manusia, seperti memulangkan harta yang diberi pinjam, tidak menipu dalam timbangan ketika berniaga, tidak menyebarkan aib manusia, para pemerintah melaksanakan keadilan terhadap rakyat, para ulama melaksanakan kewajipan mereka terhadap orang bawahanya, seperti tidak membina ketaasuban yang batil, malahan memberi petunjuk kepada manusia dengan perkara yang boleh memberi manfaat pada hidup mereka di dunia, juga di akhirat.

Amanah manusia terhadap dirinya sendiri pula adalah, dia melakukan tindakan yang tidak memberi mudharat pada dirinya sendiri, sebaliknya terus melakukan tindakan yang melahirkan maslahah dan yang lebih baik untuk dirinya. Begitujuga, tidak melakukan tindakan yang boleh melahirkan mudharat bagi kehidupannya di akhirat kelak, seperti mengikut kehendak nafsu syahwat syaitan, juga mudah marah.

TIDAK MAMPU LAKSANAKAN AMANAH

Orang yang dapat melaksanakan amanah dengan baik, pasti akan mendapat balasan yang besar di sisi Allah SWT.

Dalam hadis, kita dapat melihat banyak pesanan-pesanan Nabi SAW yang menggambarkan betapa besarnya keuntungan bagi mereka yang berjaya melaksanakan amanah.

Pun begitu, jika manusia tidak dapat melaksanakan amanah, maka pesanan azab yang besar dari Allah SWT terhadap mereka. Justeru, bagi mereka yang tidak dapat menunaikan amanah, maka hendaklah dia menarik diri dari memegang sesuatu amanah, seterusnya menyerahkan kepada mereka yang berhak dan layak.

Bagi pihak yang melantik, melihat kepada orang yang "ada nama" untuk diberikan sesuatu amanah adalah sesuatu yang tidak tepat, malahan tersasar. Ini kerana, islam menentukan sesuatu amanah, hendaklah diberi berdasarkan kepada kelayakan.

Lantikan sesuatu amanah tidak berdasarkan kepada kelayakan, boleh melahirkan natijah kehancuran. Seperti sabda Nabi SAW;

إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Maksudnya;
"apabila disandarkan sesuatu urusan, bukan kepada ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran" (Sahih al-Bukhari : 57)

Sekian

Wallahu 'Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Seksyen 6, kota damansara
23 oktober 2009 * 2:24 pagi



[1] At-tafsir Al-Kabir : 5/243.

1 ulasan:

Fakhru berkata...

Ulasan yang jelas dan nyata..