Sabtu, 28 Februari 2009

TADABBUR AL-QURAN: SIRI 8

ORANG KAFIR TERAMAT BIMBANG

Keadaan dalam alam akhirat amat dahsyat. Kesedihan, kemurungan hati, kesempitan jiwa, kebimbangan nasib dan semua perkara negatif wujud dalam hati manusia. Sama ada mereka yang beriman, lebih-lebih lagi mereka yang kufur kepada Allah.

Orang beriman juga bimbang tentang nasib mereka, apakah mereka mendapat nasib yang baik, ataupun mereka senasib dengan mereka yang mengingkari ajaran Allah.

Mengapa orang beriman merasa bimbang juga???

Ini diumpamakan seperti orang yang mempunyai segala kelengkapan memandu, dan sebarang kesalahan memandu tidak dilakukannya, tetapi apabila sedang memandu, tiba-tiba ternampak polis, pada masa itu, orang yang memandu itu merasakan macam ada sesuatu yang tak kena, padahal ia tidak mempunyai sebarang kesalahan.

Dalam pemikirannya, terbayang sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Apakah dia akan di saman oleh polis, atau dia terselamat dari disaman oleh polis.

Begitulah keadaan orang beriman ketika berada di alam akhirat nanti.

Dalam keadaan kesedihan dan kebimbangan itu, tiba-tiba Allah mendatangkan binatang-binatang yang pernah bergaduh semasa di dunia dahulu.

Kalau seekor lembu itu telah tanduk seekor lembu lain sehingga tanduknya patah, maka pada hari ini, Allah memberikan ruang kepada lembu satu lagi membalas serangan lembu tersebut, sebagai balasan atas tindakannya semasa di dunia dahulu. Begitulah berlaku pada binatang-binatang yang lain.

Segala pembalasan terhadap sesama binatang itu diperlihatkan oleh Allah SWT di depan mata-mata seluruh manusia.

Apabila selesai binatang-binatang itu berbalas-balas serangan terhadap mereka, terus Allah hancurkan mereka menjadi tanah.

Keadaan ini menyebabkan orang-orang yang kufur kepada Allah merasa amat cemburu. Ini kerana, mereka sudah merasakan bahawa mereka adalah ahli neraka, yang sudah pasti akan berketemu dengan berbagai-bagai azab yang tidak mampu untuk dihadapinya.

Dalam keadaan itu, mereka melihat binatang-binatang itu dihancurkan oleh Allah menjadi tanah, dengan maksud, binatang-binatang itu tidak akan ditimpa lagi dengan sebarang persoalan, sebarang azab yang akan dipertanggungjawabkan kepada mereka selepas hisab, mereka terus mengungkapkan bahawa, alangkah baiknya mereka menjadi seperti binatang yang menjadi tanah, berbanding jadi manusia yang akan terus ditimpa dengan berbagai-bagai tanggungjawab selepas hisab.

Firman Allah;

إِنَّا أَنْذَرْنَاكُمْ عَذَابًا قَرِيبًا يَوْمَ يَنْظُرُ الْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرَابًا

Maksudnya;
“Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu (hai orang kafir) siksa yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya; dan orang kafir berkata: "Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu adalah tanah”

(Surah An-Naba’ : 40)

****

Ayat ini, Allah menyebut inzar (melayu : memberi khabar ketakutan). menunjukkan, keadaan pada hari kiamat nanti, wujud berbagai-bagai ketakutan yang maha dahsyat.

Sebab itu, manusia tidak seharusnya takut untuk menghadapi mati, tetapi sewajibnya manusia merasa takut untuk menghadapi kehidupan selepas dari mati.

Ketakutan yang wujud selepas dari kematian di dunia amatlah dahsyat. Kedahsyatan itu sukar untuk digambarkan dalam sebarang bentuk di dunia ini, kerana memandangkan tidak ada seorang pun yang merasa kedahsyatan itu balik ke dunia, cerita keadaan yang berlaku melainkan Nabi SAW ketika menziarahi Syurga dan neraka pada malam isra’ dan Mikraj.

Pun begitu, kesusahan bahu yang memikul tidak sama kesusahan mata yang melihat. Baginda SAW melihat kejadian itu, menceritakan keadaan itu. itupun, apabila mendengar cerita-cerita nabi, kita merasakan meremang bulu roma betapa dahsyatnya azab akhirat bagi mereka yang ingkar ajaran-ajaran Allah SWT.

*****

Allah menyebut;

عَذَابًا قَرِيبًا

Maksudnya;
“Azab yang dekat”.

Azab yang dekat ini ditafsirkan oleh ulama sebagai azab Akhirat. Menunjukkan, akhirat ini adalah sesuatu yang sudah dekat dengan kita. Ini kerana, dengan kehadiran Nabi Muhammad SAW, menunjukkan akhirat itu sudah hampir dengan kita. Ekoran itulah, Nabi Muhammad disebut sebagai utusan yang terakhir.

*****

Allah menyebut;

يَوْمَ يَنْظُرُ الْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ

Maksudnya;
“pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya”

Sengaja Allah menggunakan “yang telah diperbuat oleh kedua tangan”. Tidak disebut kaki, kepala dan sebagainya, sedangkan dalam melakukan maksiat itu, manusia tidak sekadar menggunakan tangan sahaja.

Inilah yang disebut sebagai sastera bahasa arab yang wujud dalam Al-Quran. Ini kerana, Al-Quran adalah kitab yang datang dari Allah yang mempunyai sastera yang tinggi.

Dalam pengajian sastera arab, kita akan berjumpa satu kaedah yang menyebut;

مجاز مرسل , من إطلاق الجزئي و اراد الكلي

Maksudnya;
“majaz mursal, dengan menyebut setengah, tapi menghendaki seluruh”

Dengan erti kata lain, sengaja Allah menyebut kalimah tangan, kerana tangan amat sinonim dengan kerja buat dan amalan.

Amalan manusia yang disifatkan sebagai maksiat, pasti akan dibalas oleh Allah di akhirat nanti. Lebih menyedihkan lagi, apabila amalan yang dilakukan itu adalah amalan yang membawa kepada kufur dan syirik kepada Allah SWT.

Orang-orang kafir, sama ada kafir asli, ataupun kafir kerana murtad, mereka akan berada di akhirat nanti dalam keadaan yang terlalu membimbangkan. Kebimbangan kerana takut dicampakkan oleh Allah SWT kedalam azab neraka yang dahsyat.

Melihat keadaan di padang mahsyar pun mereka sudah tidak tahan, sudah pasti mereka akan membayangkan betapa lebih dahsyatnya kehidupan dalam neraka. Ekoran itulah, mereka merasa kebimbangan yang melampau, sehingga sampai satu tahap mereka terus menungkap;

وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرَابًا

Maksudnya;
”Berkata orang kafir, alangkah baiknya kalau aku jadi tanah”

Menjadi tanah seperti binatang-binatang yang dijadikan tanah setelah diperadili oleh Allah didepan mereka.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
28 Febuari 2009 * 4:35 petang.

Tiada ulasan: