Jumaat, 4 Jun 2010

PILIHANRAYA BERCANGGAH DENGAN ISLAM?

Atas permintaan sebilangan teman-teman, dipaparkan artikle lama berkenaan dengan Pilihanraya. Ia lebih kepada menjawab pendapat sebilangan pihak yang mendakwa bahawa Pilihanraya adalah dilarang dalam Islam.

BAHAGIAN PERTAMA : HUJJAH-HUJJAH KEHARUSAN MENGGUNAKAN PILIHANRAYA

1. PILIHANRAYA ADALAH SALAH SATU CARA MEMBERI NASIHAT

Pilihanraya adalah satu jenis daripada penyaksian(الشهادة ), wajib bagi setiap muslim melaksanakannya dengan sebaik-baik perlaksanaan.

Dalam hal ini, Dr Yusuf Al-Qardawi pernah berkata;

Sesungguhnya islam menetapkan bahawa sistem Syura adalah salah satu kaedah dari kaedah-kaedah kehidupan yang di kehendaki oleh Islam. Wajib kepada pemerintah melaksanakannya, di samping mewajibkan kepada rakyatnya bersikap suka nasihat menasihati sesama mereka, sehinggakan nasihat itu menjadi cara hidup keseluruhannya.

Sabda Rasulullah s.a.w ;

الدين النصيحة
Maksudnya;
"Agama (cara hidup) ialah nasihat”

Di antara perkara yang mesti di serapkan oleh pemimpin kepada rakyatnya ialah berani memberi teguran kepada pemimpin.

Sepertimana melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar itu merupakan fardu yang wajib di laksanakan, begitu juga menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim merupakan jihad yang wajib di laksanakan.

Apabila kita melihat kepada sistem pilihanraya dan “majoriti suara” yang dilakukan, ia merupakan satu penyaksian(الشهادة ) yang di pandang elok di sisi Islam. Ini kerana dengan perlaksanaannya, usaha untuk membaiki sesebuah negara ke arah perlaksanaan Islam dapat dilakukan. Maka dengan demikian perlaksanaanya adalah wajib dilakukan oleh setiap individu muslim yang berada di negara tersebut.

Firman Allah;

وأشهدوا ذوى عدل منكم

Maksudnya;
Hendaklah bersaksi dari kalangan orang yang adil.

(surah at-Talak : 2)

Dari ayat ini, penyaksian itu mesti di lakukan oleh orang yang adil, dengan makna, seseorang yang tidak adil tidak boleh melaksanakannya.

Sebelum perbahasan lebih lanjut, elok kita lihat dahulu definisi adil (العدالة), ianya adalah seperti berikut;

ملكة فى النفس أو هيئة راسخة فيها تمنع صاحبها من ارتكاب كبيرة أو اصرار على صغيرة تدل على الخسة أو مباح يخل بالمروءة.

"Satu sifat semula jadi atau keadaan diri, yang boleh menegah dirinya dari melakukan dosa-dosa besar dan terhindar dari melakukan dosa kecil yang boleh mencacatkan akhlaknya atau melakukan perkara yang harus tetapi boleh mencacatkan maruah diri".[1]

Dari definisi ini, menunjukkan orang yang layak untuk masuk mengundi dalam pilihanraya adalah dari kalangan orang yang tidak melakukan dosa besar dan kecil atau sebagainya, justeru itu, jika di perhatikan kepada rakyat Malaysia, syarat ini tidak di tunaikan oleh mereka.

Oleh itu boleh di katakan ramai dari rakyat Malaysia tidak layak mengundi di sebabkan mereka tidak memenuhi syarat-syarat adil tadi.

Bagi menjawab persoalan ini, seharusnya kita memakai kaedah usul fiqh yang berbunyi;

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Maksudnya;
Menolak kefasadan lebih di dahulukan berbanding mengambil maslahat.[2]

Dalam hal keadaan ini, membiarkan kerajaan membawa panji kebangsaan merupakan kefasadan yang wajib di buang, ini kerana ianya membawa kepada syirik kepada Allah, adapun mencukupkan syarat merupakan maslahat yang mesti di lakukan oleh setiap pengundi.

Jadinya, berdasarkan kepada kaedah ini, seeloknya kita meringankan syarat ini dan kita berhujjah menyatakan bahawa mengundi dalam pilihanraya adalah satu perkara yang wajib.

Bagi menguat hujjah ini, sabda Rasulullah s.a.w;

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده فمن لم يستطع فبلسانه فمن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الايمان

Maksudnya;
"Barangsiapa dari kalangan kamu melihat kemungkaran maka hendaklah dia tegah dengan tangan, jika tidak mampu, dengan lidah, jika tidak mampu maka dengan benci dalam hati, maka itu adalah selemah-lemah iman".[3]

Hasil dari perbahasan ini, kita akan dapat membuat kesimpulan bahawa mengundi dalam pilihanraya adalah wajib, tetapi dengan syarat, iaitu masuknya pilihanraya dengan tujuan untuk melaksanakan hukum Allah di muka bumi.

Firman Allah;

اقيموا الشهادة لله
Maksudnya;
"laksanakan "syahadah" untuk Allah"(surah At-Talak : 2)

Pada ayat ini menunjukkan perlaksanaan itu bersandarkan kepada kehendak Allah, dengan ungkapan yang lain, perlaksanaan itu berdasarkan untuk melaksanakan hukum Allah di muka bumi.

2. KAEDAH FIQH

Kita menggunakan kaedah usulfiqh yang berbunyi;

ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب

Maksudnya;
"Tidak akan sempurna sesuatu yang wajib melainkan melaksanakan sesuatu perkara, maka melaksanakan perkara tersebut adalah wajib".

Misal bagi kaedah ini ialah seperti berikut;

Hukum solat adalah wajib, bagi menyempurnakan solat tersebut adalah mesti berwudu’. Maka hukum berwudu’ adalah wajib.

Jika wudu’ tidak dapat di lakukan melainkan dengan menggali telaga, maka hukum menggali telaga adalah wajib.[4]

Perumpamaan dengan persoalan pilihanraya;

Melaksanakan Islam di muka bumi adalah wajib, lalu tidak ada cara lain untuk melaksanakannya melainkan dengan masuk pilihanraya, maka hukum masuk pilihanraya adalah wajib.

3. PILIHANRAYA ADALAH MEDAN JIHAD

Hujjah ini di kemukakan oleh Al-Fadhil Ustaz Dr Harun Din Al-Hafiz dalam satu tulisan beliau di akhbar harakah keluaran khas[5]

Beliau berhujjah menyatakan bahawa pilihanraya adalah medan tempur yang di panggil jihad juga, ini kerana jihad bermakna menghabiskan segala usaha dan tenaga untuk meletakkan kalimah Allah yang paling tinggi.

Justeru itu, zaman Rasulullah s.a.w mengistiharkan jihad perang kerana pada zaman tersebut pihak musuh menyerang Islam dengan peperangan. Kalaulah pihak musuh tidak melawan dengan senjata, seperti berhujjah, logik atau sebagainya, nescaya Rasulullah s.a.w tidak akan menyuruh umat Islam pada zaman tersebut mengangkat senjata.

Rasulullah s.a.w berperang angkat senjata pada zaman itu kerana pada zaman itu perang angkat senjata adalah satu-satunya cara yang paling relevan untuk melawan musuh.

Melihat kepada keadaan di Malaysia, jihad perang tidak relevan tetapi jihad pilihanraya yang relevan, maka hendaklah kita berjihad di Malaysia menggunakan pilihanraya.

Ini bersesuaian dengan firman Allah;

فمن اعتدى عليكم فاعتدوا عليه بمثله ما اعتدى عليكم

Maksudnya;
"Barangsiapa menyerang kamu maka hendaklah kamu menyerang mereka sepertimana mereka menyerang kamu." (surah al-Baqarah : 194)

Dari ayat ini, musuh politik Islam di Malaysia menggunakan pilihanraya, maka begitu halnya kita melawan mereka menggunakan sistem ini juga.

Justeru itu, pilihanraya adalah sistem pemilihan pemimpin yang relevan khususnya di Malaysia. Ianya juga merupakan jihad mengikut kesesuaian tempat dan masa.

BAHAGIAN KEDUA : KESAMARAN DAN JAWAPANNYA

Ada sebahagian golongan yang mengemukakan hujjah bagi mendatangkan kesamaran terhadap pendokong gerakkan yang menggunakan platform pilihanraya ini, di sini kami kemukakan kesamaran tersebut dan kami menjawab segala kesamaran tersebut. Moga-moga mendapat petunjuk dari Ilahi yang maha Esa.

1. MENGAPA TIDAK MENGGUNAKAN SYURA

Kita mesti kembali kepada asal sunnah iaitu kita melihat cara perlantikan yang di namakan sebagai SYURA.

JAWAPAN

Jika di kaji secara ilmiah, kita akan dapati bahawa perlantikkan khalifah dari kalangan sahabat tidak menunjukkan satu cara yang tetap. Tidak ada satu nas yang jelas (الصارح ) menyatakan bahawa perlantikkan seseorang pemimpin itu berdasarkan kepada sistem syura sahaja, tetapi ada sistem yang lain dari itu, seperti sistem istikhlaf (استخلاف ) iaitu sistem yang di gunakan Saidina Abu Bakar bagi perlantikkan Saidina Omar Ibni Khattab menjadi khalifah[6]

2. IKTIBAR DARI SEJARAH ALGERIA

Sistem pilihanraya tidak akan membawa kejayaan, ini kerana jika di perhatikan suasana yang telah berlaku di Algeria (الجزائر ), yang mana setelah kemenangan telah berbelah pihak kepada parti Islam, lalu kerajaan telah menggulingkan kerajaan Islam dan menggunakan kekuatan tentera bagi merosakkan keputusan pilihanraya tersebut.

JAWAPAN

Sesungguhnya kaedah usulfiqh ada menyatakan seperti berikut;
انما النص من الكتاب و السنة و الاجماع

Maksudnya;
" Sesungguhnya nas itu dari al-Quran, Sunnah dan ijmak."

Jika di perhatikan kepada kaedah ini, jelas kepada kita, bahawa berhujjah dengan mengqiaskan dengan peristiwa di Algeria adalah hujjah yang tertolak, ini kerana qias yang di iktibarkan syarak adalah di sandarkan kepada tiga sandaran sahaja, iaitu al-Quran, Sunnah dan Ijmak.

Kemenangan dan kekalahan adalah lumrah dalam perjuangan, apakah kita berani mengatakan Rasulullah s.a.w tidak mengikut kehendak syarak apabila kalah dalam peperangan Uhud.

Hasil dari ini, hujjah kedua ini tertolak.

3. PILIHANRAYA ADALAH BIDAAH YANG TERCELA

Menggunakan sistem pilihanraya adalah sebahagian dari amalan bidaah yang di larang, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w;

كل بدعة ضلالة و كل ضلالة فى النار

Maksudnya;
"Tiap-tiap bidaah itu sesat dan tiap-tiap sesat itu akan ke neraka"

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menggunakan kalimah (كل ) yang memberi makna “tiap-tiap”. Oleh itu setiap perkara yang tidak di lakukan oleh Rasulullah s.a.w, sahabat, tabiin dan tabi' tabiin di kira sebagai bidaah, termasuklah dalam maksud hadis ini ialah pilihanraya.

JAWAPAN

Kami mahu menjelaskan bahawa bidaah yang diharamkan ialah bidaah dalam persoalan ibadat, ini berdasarkan kaedah usulfiqh yang berbunyi;

الأصل فى العبادة تحريم او بدعة

Maksudnya;
" Asal dalam persoalan ibadat adalah haram"

Dengan makna, setiap amalan yang berbentuk ibadat, jika tidak di ajar oleh syari’ (الشارع) maka amalan itu di kira bidaah.

Kaedah ini merupakan istinbat dari hadis nabi yang berbunyi;

من أحدث فى أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Maksudnya;
"Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan dari ajaran kami, maka amalan itu tertolak"[7].

Adapun dalam persoalan muamalat atau teknik, maka kaedah usulfiqh menyatakan;

الأصل فى الأشياء اباحة

Maksudnya;
"Asal sesuatu itu adalah harus"[8]

Dari kaedah ini, persoalan muamalat atau teknik yang tidak tersebut dalam nas, maka hukumnya adalah harus (boleh di lakukan), seperti kita menggunakan sistem muamalat moden yang tidak ada pada zaman Rasulullah s.a.w, sahabat, tabiin dan tabi' at-tabiin, maka hukumnya harus, seperti sistem muamalat bank yang menggunakan kad kredit atau sebagainya.

Kaedah ini teristinbat dari firman Allah;

الله الذي سخر لكم البحر لتجري الفلك فيه بأمره و لتبتغوا من فضله و لعلكم تشكرون , و سخر لكم ما فى السماوات و الأرض جميعا منه ان فى ذلك لايات لقوم يتفكرون .

Maksudnya;
"Allah lah yang menggerakkan untuk kamu akan lautan supaya kapal boleh berjalan padanya dengan arahanNYA, dan supaya kamu boleh mengambil segala kelebihanNYA dan moga-moga kamu bersyukur, dan Allah lah juga yang menggerakkan untuk kamu segala yang di langit dan segala di bumi, sesungguhnya pada demikian itu menjadi tanda untuk kaum berfikir".(surah al-Jathiah :12-13)

Maka dari itu, pilihanraya tidaklah bidaah, ini kerana pilihanraya adalah persoalan teknik dan cara, bukan persoalan ibadat.
4. PILIHANRAYA ADALAH PERSOALAN AQIDAH

Pilihanraya bukan persoalan muamalat atau teknik, tetapi ianya adalah persoalan aqidah, ini berdasarkan firman Allah;
ان الحكم الا لله

Maksudnya;
Tiada hukum melainkan untuk Allah.(al-Ana'm : 57)

Dalam ayat ini bahawa persoalan perlaksaan hukum adalah mesti dari Allah bukan majoriti seperti yang di laksanakan dalam pilihanraya. Oleh itu, pilihanraya adalah persoalan aqidah, bukan persoalan teknik, muamalat atau furu’

JAWAPAN

Jika itu di hujjahkan, maka kami tetap berada di landasan hujjah, yang mana kami berpegang dengan kaedah usulfiqh iaitu maslahat umum (مصالح المرسلة ), atas keharusan menggunakan sistem pilihanraya dalam pemilihan pemimpin.

Dalil bagi kaedah ini firman Allah;

وما جعل عليكم فى الدين من حرج

Maksudnya;
Dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah (surah al-haj : 78)

Dan juga, amalan Saidina Omar semasa beliau menjadi khalifah, yang mana beliau pernah mencurahkan susu yang bercampur dengan air untuk mengajar peniaga susu yang menipu, sedangkan hukum mencurah susu adalah haram kerana ianya membawa kepada membazir, firman Allah.

ان المبذرين كانوا ا خوان الشياطين

Maksudnya;
Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan. (surah al-Isra' : 27)

Walaupun begitu, Khalifah Saidina Omar mencurahkan susu tersebut dengan tujuan untuk mengajar kepada penjual-penjual susu yang lain, agar tidak melakukan penipuan.[9]

Begitu halnya dalam pilihanraya, jika pilihanraya adalah haram disebabkan ianya menggunakan majoriti dalam menentukan hukum sedangkan penentuan hukum itu hanyalah dari Allah sahaja, bukan majoriti. Tetapi dengan kaedah ini, pilihanraya di bolehkan, ini kerana jika pilihanraya tidak di gunakan, maka tidak ada cara lain untuk kita merampas kekuatan kerajaan dari golongan taghut. Lantaran itu taghut berkuasa di atas muka bumi.

5. KEBENARAN BUKAN DARI SUARA MAJORITI

Pilihanraya adalah صوت الأكثرية أو أغلبية “suara kebanyakkan manusia”. Sedangkan Islam mengajar kepada kita supaya mengikut akan kebenaran tanpa melihat kepada ramai yang menyokongnya. Ini kerana, ada perkara yang benar dari segi syara’ tetapi mempunyai penyokong yang sedikit.

Juga firman Allah dalam al-Quran ;

وان تطع أكثر من فى الأرض يضلونك عن سبيل الله

Maksudnya ;
“Jika kamu taat kepada orang ramai di atas bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah”.(al-An'am :116)

Di ayat lain ;

ولكن أكثر الناس لا يعلمون
Maksudnya ;
“Tetapi ramai dari kalangan manusia yang tidak mengetahui”. (al-A'raf : 187)

Ayat lain ;

ولكن أكثر الناس لا يؤمنون

Maksudnya ;
“Tetapi ramai dari kalangan manusia tidak beriman”.(Hud : 17)

Ayat lain ;

بل أكثرهم لا يعقلون

Maksudnya ;
“Bahkan kebanyakkan mereka tidak berakal”(al-Ankabut : 63)

ولكن أكثر الناس لا يشكرون

Maksudnya ;
“Dan tetapi ramai dari kalangan manusia tidak bersyukur”(Al-Baqarah : 243)

JAWAPAN

Perkataan ini ditolak dan berada di landasan yang salah. Dalam perbincangan kita adalah tentang pilihanraya yang didokong oleh mereka yang memperjuangkan Islam, yang mana mereka adalah orang yang bersyukur, beriman dan mengetahui, bukan pilihanraya yang didokong oleh mereka yang melawan Islam.

Sesungguhnya tidak ada تصويت dalam perkara yang berbentuk hukum syarak yang telah qati’I ( قطعيات الشرع ), perkara asasi dalam Islam ( أساسيات الدين ) dan perkara yang telah di kenali dalam Islam secara mesti ( ما علم من الدين بالضرورة ). Bahkan تصويت berlaku kepada perkara yang berbentuk “ijtihadiyyah” yang memungkinkan kepada beberapa pandangan dan pendapat.

Oleh yang demikian, apabila persoalan ini adalah perkara “ijtihadiyyah”, maka mesti ada yang “rajih dan marjuh”. Maka dalam hal, ini pandangan yang rajih adalah pandangan yang ramai. Ini kerana Nabi s.a.w ada menyebut ;

ان الشيطان مع الواحد وهو من الاثنين أبعد

Maksudnya ;
“Sesungguhnya syaitan bersama orang yang bersendirian dan dia akan berjauhan diri dari orang yang berdua”[10]

Juga dari sirah Rasulullah s.a.w, Baginda sendiri menerima pandangan ramai dalam peperangan uhud dan memutuskan untuk keluar menghadapi musuh di luar Bandar Madinah.

Saidina Omar ibnu Al-Khattab juga pernah meminta supaya perinsip menerima pandangan ramai dipakai untuk memilih calon-calon khalifah yang akan menggantikannya[11].


Juga kaedah fiqh ada menyatakan ;

الشاذ كالعدم

Maksudnya ;
“Perkara yang ganjil (sedikit) seperti tiada”

6. AS-SYAIKH OMAR BIN ABDUL RAHMAN

Mereka berkata, “ulama’ yang mula-mula mengeluarkan fatwa atas keharusan menggunakan sistem pilihanraya adalah seorang ulama’ buta dari jemaah Ikhwan Muslimin yang bernama Syaikh Omar bin Abdul Rahman. Beliau mengeluarkan fatwa semasa beliau di dalam penjara pada ketika itu.

Dalam Islam, seseorang mufti tidak boleh mengeluarkan sesuatu fatwa dalam keadaan susah hati, mengantuk, tertekan, atau sebagainya, tetapi Syaikh Omar mengeluarkan fatwa tersebut semasa beliau dalam penjara, ini bermakna beliau dalam tertekan, maka dari itu, fatwa itu adalah tertolak”.

JAWAPAN

Kami ingin menolak kesamaran ini dengan dua jawapan;

1- Seperti yang telah maklum, hujjah itu tidak terletak kepada diri individu seseorang, tetapi hujjah yang di terima adalah hujjah yang di sandarkan dari turuqul istidlal (طرق الاستدلال / cara-cara mengambil dalil) yang betul.
2- Walaupun Syaikh Omar mengeluarkan fatwa tersebut dalam penjara, tetapi ramai dari kalangan ulama’-ulama’ yang lain berhujjah menyatakan hukum pilihanraya ini.

Maka setelah di perhatikan kepada hujjah di atas, menunjukkan segala kesamaran yang di kemukakan adalah lemah dan tidak boleh di tarjihkan.

7. PILIHANRAYA ADALAH SISTEM BARAT

Sistem pilihanraya adalah salah satu fikrah yang di ambil dari barat. Oleh yang demikian, mana mungkin mengambil fikrah barat diisikan kedalam sistem Islam. Ini kerana Islam merupakan agama yang telah disyarakkan oleh Allah. Jika fikrah barat di ambil, bermakna, syarak barat pun diterima dalam Islam, sedangkan perkara ini adalah mustahil.

JAWAPAN

Bagi menjawab persoalan ini, kami akan kemukakan dua hujjah.

(1) Sesungguhnya perlaksanaan sistem pilihanraya bukanlah menunjukkan bahawa iktikad kepada fikrah barat, sebaliknya ia hanyalah merupakan wasilah, bukanlah merupakan maksud ataupun matlamat.
(2) Tidak semua perkara yang datang dari barat ditegah, ini kerana berdasarkan kepada sirah menunjukkan Rasulullah s.a.w sendiri pernah mengambil fikrah barat, yang mana ianya adalah seperti berikut ;

(a) Rasulullah menerima fikrah “menggali parit” dalam peperangan Ahzab, sedangkan fikrah menggali parit dalam peperangan adalah fikrah yang datang dari kalangan orang Farsi yang menganut agama majusi.
(b) Rasulullah s.a.w telah menggunakan kepandaian orang musyrik yang ditawan dalam peperangan badar dengan mengajar membaca dan menulis kepada orang Islam yang buta huruf[12]

Oleh yang demikian, tidak semua sistem barat ditegah, bahkan dibenarkan kepada kita mengambil fikrah barat selagi tidak bercanggah dengan nas yang muhkam dan kaedah-kaedah syarak yang thabit.

8. PILIHANRAYA MENOLAK HAKIMIYYAH ALLAH

Pilihanraya adalah fikrah menolak hakimiah Allah حاكمية الله .

Jawapan

Tidak semua pejuang pilihanraya menolak hakimiah Allah, bahkan orang yang menolak dan menafikan hakimiah Allah adalah mereka yang di gelar dengan “Diktator”.

Melihat kepada situasi ini, pejuang Islam yang mengambil sistem pilihanraya, bukanlah menafikan hakimiyyah Allah, bahkan mereka adalah orang yang menggunakan pilihanraya dengan tujuan untuk melaksanakan hakimiyyah Allah, iaitu melaksanakan perinsip-perinsip Islam yang berbentuk siasah dalam memilih pemimpin, melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan sebagainya.[13]

9. PILIHANRAYA ADALAH PERSOALAN IJTIHADIYYAH

Adakah “pilihanraya” dari perkara “ijtihadiyyah”?.

JAWAPAN

Sememangnya pilihanraya adalah dari persoalan “ijtihadiyyah”. Ini kerana perkara “ijtihadiyyah” berlaku dengan beberapa sebab, ianya adalah seperti berikut ;
1. Pada perkara yang tiada nas.
2. Perkara yang ada nas, tetapi mempunyai beberapa tafsiran.
3. Mempunyai “muaridh” atau pertentangan yang sama denganya atau lebih kuat darinya.[14]

Pilihanraya adalah dari perkara “ijtihadiyyah”, ini kerana perlantikkan khalifah Abu Bakar, Omar al-Khattab, Othman dan Ali, tidaklah menggunakan satu sistem yang sama. Oleh yang demikian, pelantikan pemimpin adalah persoalan ‘ijtihadiyyah” ini kerana, perkara “ijtihadiyyah” adalah perkara yang tidak mempunyai nas yang tetap dan qati’i.

Begitulah halnya kepada sistem pilihanraya.

10. NAMA YANG DI GUNAKAN OLEH ORANG KAFIR.

Apabila menyebut pilihanraya, maka pendokongnya adalah golongan demokrasi. Sedangkan kalimah “demokrasi” adalah dari kalimah yang digunakan oleh orang kafir, bukan dari Islam.

JAWAPAN.

Nama tidak menjadi punca perselisihan. Ini kerana hukum tidak berlegar kepada nama, tetapi berlegar kepada benda yang dinamakannya المسميات
KESIMPULAN

Setelah kita perhatikan kepada perbahasan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa pilihanraya adalah salah satu cara untuk kita menyampaikan massage dakwah.

Memang kita tidak nafikan bahawa pilihanraya adalah salah satu ideologi barat yang di hantar kepada kebanyakkan negara Islam, tetapi hakikatnya, jika kita tidak menggunakannya, secara logiknya, kita memang tidak mampu untuk menyampaikan dakwah ini. Ini kerana, jika kita menggunakan sistem jihad perang, kita adalah umat yang tidak mampu untuk itu, hal ini beralasan bahawa umat Islam di Malaysia masih tidak memahami jihad perang dengan sebaiknya. Justeru itu, tidak dapat tidak, kita gunakan sistem ini sebagai tanda usaha dakwah kita.

Seperkara yang paling penting bagi kita yang berada dalam gerakan Islam yang menggunakan pilihanraya dalam perjuangan kita, bahawa kita tidak menjadikannya sebagai ghayah, atau matlamat, bahkan kita menjadikan pilihanraya sebagai wasilah (cara) dalam meneruskan agenda menyampaikan dakwah islamiyyah ini.

Jika segala hujjah dan perbahasan ini tidak bertepatan dengan kehendak syara’ maka penulis dengan hati dan jiwa terbuka menerima teguran yang membina. Moga-moga segala usaha ini di terima Allah, menjadi bekalan kita di kala mengadap Allah di alam akhirat.

Wallahu a’alam


Bibliografi

Terjemahan Al-Quran

Muhammad Abdul Maksud Daud ; As-Siraj al-Wahhaj :
Darul al-azhar littabaah : 2003.

Harakah keluaran khas (pilihanraya ke 11)

As-Syaikh Abdullah bin Omar bin Sulaiman: Al-Imamah Al-
Uzma : Darul at-taiba linnasyri wa at-tawzik.

Dr Basri bin Ibrahim : Khilafiah, bidaah dan maslahat umum
: darul nu’man 1997

Imam Sayuti : Asybah wan Nazair : al-maktabah at-
taufiqiyyah : tidak bertarikh.

Abd Wahab Khalaf : Ilmu Usul fiqh : maktabah ad-dakwah
al-islamiyyah syabab al-azhar : tidak bertarikh.

Dr Ali Ali Ghazi Tuffahah : Tahwil An-Nuqud : Darul al-
azhar littabaah : 2003

Dr Yusuf al-Qardawi : Fatawa Maasirah : Darul wafa’ : 1994

Dr Atiyyah Saqqar : Al-Fatawa : maktabah at-tawfiqiyyah ;
tanpa tarikh

Dr Abdul Halim Mahmood : fatawa al-Imam Abdul Halim
Mahmood : darul maarif; 2002

Islamonline.net (28/7/03)– Dr Yusuf Al-Qardawi.

Muhammad Nur Manuty : Islam dan Demokrasi dari
perspektif ideolog-odeolog gerakan islam semasa :
CERMASCS : tanpa tarikh.


[1] Lihat kitab "Mughni al-Muhtaj : jld 2 : m/s 427 : Adab al-Qada': m/s 70 : As-Siraj al-Wahhaj : m/s 19"
[2] Lihat buku "Khilafiyyah, Bidaah dan Maslahat umum" M/s 234 : karangan Dr Basri Ibrahim
[3] Hadis Riwayat Muslim dalam "kitab al-Iman": dalam saheh Muslim, daripada Abu Said Al-Khudri.
[4]Sila dengar kuliah Tuan guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, dlam tahun 1997.
[5] Akhbar HARAKAH keluaran khas (Pilihanraya ke 11)
[6] Lihat kitab "Al-Imamah Al-Uzma I'nda Ahli Sunnah Wal Jamaah" m/s 144-157
[7] lihat dalam saheh al-Bukhari.
[8] Lihat kitab "tahwil an-Nuqud": m/s 78-79: karangan Dr Ali Ali Ghazi Tuffahah.
[9] Lihat buku "Khilafiah, bidaah dan Maslahat Umum" m/s 246: karangan Dr Basri Ibrahim.
[10] Hadis Riwayat At-Tarmizi dalam Bab "al-Fitan", daripada omar, hadis ke 2166. Meriwayatkan hadis ini juga oleh al-Hakim (1/114) dan al-Hakim mensahehkan hadis ini mengikut syarat Syaikhian.
[11] Lihat “Islam dan Demokrasi dari perspektif ideolog-ideolog gerakan Islam semasa” m/s 26. karangan Muhammad Nur Manuty.
[12] Lihat Kitab "Fatawa Maasiroh" (2/643) : karangan Dr Yusuf Al-Qardawi
[13] Kebiasaannya, bila dikaitkan dengan pilihanraya, maka ia akan menggambarkan golongan Demokrasi. Demokrasi adalah satu nama yang dikemukakan oleh barat. Tetapi مسمى nya boleh berubah mengikut peredaran zaman dan pertukaran pendokongnya. Oleh yang demikian, tidaklah menjadi satu perkara mustahil, di satu masa nanti, demokrasi yang dipegang oleh pejuang Islam akan bertukar kepada sistem yang bukan demokrasi lagi.

[14] Lihat kitab "Fatawa Maasiroh" (2/649) : karangan Dr Yusuf al-Qardawi.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikun ust.
subhanallah pencerahan yg mantap.
sy yakin kejap lagi pasti ada golongan2 tertentu mempertikaikan tentang maksud p.raya tak sama dgn demokrasi.

sbnya ust jwp sekali haru la. iaitu demokrasi p.raya..

kita tunggu komentar balas golongan2 tertentu ni.

jazakallah kher

-mtbl-

Tanpa Nama berkata...

enta menulis bg mmberi penjelasan kpd glongan yg mnentang demokrasi sbg wasilah PAS adlh lbih baik drpd tulisan2 enta yg mnyebabkn ahli2 PAS bergaduh sesama sndri..

hrp enta fhm...