Jumaat, 6 Ogos 2010

MUNAFIQ ZAMAN NABI PUN UCAP SYAHADAH


Dalam al quran, kita dapati azab yang bakal ditimpakan kepada orang munafiq lagi hebat berbanding azab yang ditimpakan kepada orang kafir.

Firman Allah;

إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا

Maksudnya;
"sesungguhnya Allah himpun orang munafiq dan orang kafir, semunya dalam neraka".

(Surah An-Nisa' : 140)

Dalam ayat ini, didahulukan menyebut kalimah "munafiq", berbanding kafir. Hikmahnya, dinyatakan dalam ayat yang lain, bahawa azab yang bakal ditjmpakan kepada munafiq lebih berat berbanding orang kafir.

Firman Allah;

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ

Maksudnya;
"sesungguhnya orang munafiq itu, di tempat yang paling bawah sekali di dalam neraka"

(Surah An-Nisa' : 145)

Itu yang pertama. Yang keduanya pula, penghinaan terhadap orang munafiq itu, bukan sekadar berlaku di akhirat kelak, malahan di dunia pun Allah SAW telah menggambarkan kehinaan terhadap mereka. Ini dibuktikan dengan penurunan ayat berkenaan dengan kematian tokoh munafiq di zaman Rasulullah SAW, iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul. Yang mana Allah SWT menyatakan;

وَلَا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَى قَبْرِهِ إِنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ

Maksudnya;
"jangan kamu solat ke atas salah seorang dari kalangan mereka yang mati sampai bila-bila, dan jangan kamu berdiri di kuburnya, kerana mereka kufur terhadap Allah dan Rasul-Nya".

(Surah At-Taubah : 84)

Jika kita perhatikan dalam satu hadis, kita dapati bahawa Nabi SAW pernah berdiri dengan lalunya satu jenazah seorang lelaki yahudi [sunan An-Nasai : 1901]. Namun, dalam ayat ini, Allah SWT dengan terang menunjukkan "boikot" yang Allah berikan kepada Orang Munafiq semasa di dunia lagi.

Dari ini, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa orang munafiq dan orang kafir, adalah dua golongan yang pada hakikatnya adalah sama. namun, berhati-hati dengan bahaya terhadap orang munafiq adalah terlebih utama, berbanding orang kafir.

Orang kafir, sememangnya sudah diketahui kekufurannya, maka amat senang jika kita menapis setiap ungkapan dan tindakannya. tetapi, orang munafiq, mereka bercakap islam seperti kita, pakaian mereka islam seperti kita, membaca Al Quran seperti kita, mengupas hadis Nabi SAW seperti kita. Ia memberikan gambaran, bahawa mereka ini amat susah untuk dikenali, tetapi hakikatnya mereka amat bahaya kepada aqidah umat Islam.

Jika kita bertindak secara agrasfi terhadap mereka, ia memungkinkan kita akan mendapat gambaran yang negatif, makanya bertindak mereka perlu diteliti dan diperhalusi.

Dilema ini, telah berlaku kepada Umar bin Al Khattab yang pernah berjumpa dengan Nabi untuk membunuh Abdullah bin Ubai ekoran kemunafikannya, tetapi dihalang oleh nabi saw dengan kata baginda;

دَعْهُ لَا يَتَحَدَّثُ النَّاسُ أَنَّ مُحَمَّدًا يَقْتُلُ أَصْحَابَهُ

maksudnya;
"tinggalkan ia [wahai umar], jangan sampai manusia mengatakan bahawa muhammad membunuh sahabatnya sendiri" [al-Bukhari :4827]

Inilah perbedaan yang perlu kita fahami antara munafiq dan kafir. Apa yang pasti, kita akan dapati Nabi SAW ada menyatakan tentang orang kafir yang berbaik dengan islam seperti berikut;

Pertama, bahawa Nabi SAW bersabda;

أَلَا مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya;
"Ketahuilah !! barangsiapa yang melakukan kezaliman terhadap orang kafir yang ada perjanjian dengan pemerintah Islam, atau menafikan hak mereka, atau mengenakan tindakan yang boleh membebankan sehingga luar dari kemampuan mereka, atau mengambil sesuatu dari mereka dengan cara yang tidak baik, maka aku akan menjadi juru hujjah mereka di akhirat kelak" [sunan abi daud : 2654].

Kedua, juga hadis, bahawa Nabi SAW bersabda;

مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا

Maksudnya;
"barangsiapa yang membunuh kafir yang ada perjanjian [dengan islam], maka dia tidak akan mendapat bauan syurga, walhal bau syurga itu boleh didapati walau jarak perjalanan mengambil masa 40 tahun sekalipun". [al bukhari : 2930]

Ketiga, bahawa Umar bin Abdul Aziz ada berkata, "barangsiapa yang menyakiti kafir zimmi, maka dia telah menyakiti aku juga. Barangsiapa yang menyakitiku, maka sesungguhnya dia telah menyakiti Allah" [ada pendapat mengatakan, ini adalah perkataan Nabi SAW. Dakwaan itu, bersandarkan dengan sandaran hadis yang lemah, sepertimana yang dinyatakan oleh albani dalam kitab ghayah al muram].

Adapun, terhadap orang yang mengucap syahadah, tetapi mereka tolak islam, atau disebut sebagai munafiq, Allah SWT melarang dari berdiri dikubur mereka, seperti termaktub dalam surah at Taubah, ayat 85.

Juga, permintaan Umar untuk membunuh Abdullah bin Ubai bin Salul, namun dihalang oleh Nabi SAW. menghalang itu, bukan kerana faktor tidak boleh, tetapi sebagai mengawal persepsi yang bimbang orang mengatakan Nabi SAW membunuh sahabatnya sahaja.

Justeru itu, kita dapat lihat. Antara kedua-dua ini, siapakah yang paling bahaya kepada umat islam?

Sekian

Wallahu 'Alam.

Al-Bakistani


Jalan Pahang
6 Ogos 2010 * 3:35 petang

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ko xrasa ko ada ckit2 sifat nifaq ker terhadap jamaah?