Khamis, 30 September 2010

HUDUD – ISLAMIC HUMAN RIGHT : KOMEN PERTEMBUNGAN DIN TANTAWI DAN RPK

Ketua pemuda PAS Pusat, ustaz Din tantawi mengeluarkan satu artikle dalam blognya tentang cadangan dalam menyelesaikan masalah pembunuhan Sosilawati dengan merujuk kepada surah Al-Isra’ ayat 33, iaitu keluarga lebih layak mengepalai kes Sosilawati berbanding Hakim. [dari sudut pengolahan ayat dan gaya bahasa, dirasakan tulisan itu bukan tulisan ustaz Din tantawi]

Kemudian, artikle itu dibalas oleh Raja Petra Kamaruddin [RPK] dalam bahasa Inggeris. Aku seorang yang ‘buta bahasa Inggeris’, tidak dapat mengulas lebih awal tentang artikle itu, sebaliknya terpaksa meminta sebilangan kawan agar dapat memberikan kepadaku point-point penting dari artikle tulisan RPK.

Setelah membaca beberapa point dari tulisan RPK itu, aku merasakan isu yang dikemukakan oleh RPK ada relevannya, dan perlu dilakukan penjelasan yang lebih padu terhadap kesamaran yang bermain dalam pemikiran RPK.

Justeru, artikle yang dikemukakan ini, sebagai merungkai sedikit jawapan, juga sebagai membuka ruang wacana dalam menghilangkan kekusutan dalam isu yang dibincangkan itu. [maaf kalau ia lebih mengkusutkan lagi]

Dalam artikle kali ini, dibincangkan pada dua perkara, iaitu [1] hubungan hudud dengan non Muslim, dan [2] PAS dan hudud.

PERTAMA : HUBUNGAN HUDUD DENGAN NON MUSLIM

Islam bukan sekadar peribadatan sahaja, malahan ia meliputi dalam segala aspek kehidupan. Lantaran, islam tidak terfokus kepada perkara kerohanian, malahan Islam mempunyai semua sistem kehidupan; bermula dari bangun tidur hingga tidur balik; bermula dari masuk bilik air, sehingga dalam perkara yang melibatkan pemerintahan negara.

Hudud, Qisas dan ta’zir merupakan aspek penting yang wujud dalam islam. Ia merupakan undang-undang berdasarkan kepada ketetapan Allah, agar manusia berada dalam keamanan dan kebahagian. Namun, ia sudah lama ditinggalkan, lantaran ia agak susah untuk diterima balik apabila dicadangkan.

Jika direnung kepada zaman kegemilangan islam, iaitu di zaman Nabi SAW. Perkara sebegini tidak pernah mendatangkan sebarang masalah. Walau rakyat Madinah di awal pemerintahan Nabi SAW yang masuk islam tidak sampai 35 peratus, tetapi kebijaksanaan Nabi SAW dalam mengawal kerajaan terbukti melahirkan kejayaan yang cukup gemilang. Non Muslim redha dengan kerajaan nabi SAW, malahan sanggup mempertahankan kerajaan tersebut.

Kejayaan Nabi SAW ini menjadi dilema bagi dunia islam kini. Jika dahulu, Nabi SAW berjaya melaksanakan Islam tanpa sebarang kesusahan [jika wujud pun, ia berjaya dihadapi dengan baik], tetapi perlaksanaan islam menjadi satu dilema yang cukup membimbangkan bagi dunia Islam kini. Malaysia adalah antara negara yang berada dalam dilema ini. Ia semua berpunca dari kurang perbincangan dari pihak yang mengenali Islam dengan pihak yang sedang mencari-cari kebenaran Islam. Jika wujud pun golongan Islam, penerangan yang mereka sampaikan tidak berhikmah, tidak berstrategi dan tidak mempunyai perancangan. Lantaran, ia ditolak mentah.

HUDUD DAN NON MUSLIM

Islam menitik beratkan keadilan dan melawan kezaliman. Dr Yusuf Al-Qaradhawi mendefinisikan keadilan itu adalah, ‘memberikan hak kepada yang berhak’. Dengan maksud, penafian hak merupakan unsur kezaliman yang wajib ditentang.

Non Muslim yang berada dibawah kerajaan islam, adalah haram dizalimi dan dikhianati. Darah mereka, sama mahal dengan harga darah orang islam. Lantaran itulah, tidak boleh dibunuh mereka sewenang-wenangnya, melainkan dalam perkara yang hak. Keadaan ini, sama seperti tertimpa kepada orang islam juga.

Sabda Nabi SAW;

مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا

Maksudnya;
“Barangsiapa yang membunuh orang bukan islam, maka dia tidak akan dapat mengecapi bauan Syurga, waima bauannya tercapai daripada perjalanan selama 40 tahun sekalipun”

[Al-Bukhari : 2930]

Masakan darah, hati dan perasaan mereka juga wajib dipelihara. Sabda Nabi SAW;

مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya;
“Barangsiapa yang menzalimi orang bukan islam, atau mengkurangkan haknya, atau menanggungkan sesuatu luar dari kemampuannya, atau mengambil sesuatu darinya dengan tidak cara yang baik, maka aku akan jadi penghujjahnya [non muslim] di akhirat kelak”

[Abu Daud : 2654]

Dan banyak lagi hadis-hadis yang menggambarkan penjagaan yang islam berikan kepada non Muslim yang berada dalam sesebuah kerajaan islam.

JINAYAH : ANTARA MUSLIM DAN NON MUSLIM

Sesuatu peruntukan undang-undang jinayah, hendaklah mempunyai dua unsur, iaitu Radi’ah dan Zajirah. Maksud Radi’ah adalah, mencegah pelaku jenayah dari mengulangi jenayah. Dan maksud Zajirah adalah, mencegah orang lain dari melakukan jenayah yang sama. [Dirasah Fiqh As-Syafie : 2/23]

Asas pencegahan dalam jinayah syariiyyah adalah berdasarkan kepada firman Allah;

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya;
“Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, maka hendaklah kamu potong tangan mereka, sebagai balasan terhadap apa yang mereka lakukan, sebagai PENCEGAHAN dari Allah. Dan Allah adalah tuhan yang maha gagah, lagi maha bijaksana”

[Al-Maidah : 38]

Kesalahan ini, tidak sekadar berlaku pada orang islam sahaja, malahan ada juga non Muslim juga melakukan sesuatu kesalahan. Kadangkala kesalahan itu melibatkan antara mereka dengan orang islam. Seperti, pembunuhan, kecurian dan sebagainya.

Jika diandaikan tertubuh sebuah negara Islam, undang-undang islam [hudud, qisas dan ta’zir] yang digezet, tidak sekadar terlaksana kepada orang islam sahaja, malahan terlaksana juga terhadap orang bukan islam. Adapun dalam perkara yang melibatkan kepada keagamaan mereka, seperti nikah kahwin, cerai talaq dan sebagainya, sama sekali kerajaan islam tidak boleh masuk campur dalam hal itu.

Firman Allah;

فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِنْ تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَنْ يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya;
“Apabila mereka [non muslim] datang kepada kamu, maka hendaklah kamu berhukum diantara mereka, atau kamu berpaling dari mereka. Sekiranya kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak memberi kemudharatan kepada kamu sedikitpun. Dan jika kamu berhukum, maka hendaklah kamu berhukum diantara mereka secara adil. Sesungguhnya Allah sayang kepada orang yang melakukan keadilan”

[Al-Maidah : 42]

Ataupun, jika sememangnya [bukan dicipta, tetapi termaktub dalam kitab suci mereka] bahawa dalam agama mereka mempunyai undang-undang bunuh tersendiri [sebagai contoh], lalu mereka meminta keizinan dari pihak kerajaan Islam untuk beramal dengan cara yang termaktub dalam agama mereka, maka sebagai kerajaan islam, hak itu hendaklah diberikan kepada mereka.

Sabda Nabi SAW;

فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya;
“Berikanlah kepada setiap orang yang berhak, akan haknya”

[Al-Bukhari : 1832]

Juga disandarkan kepada hadis, daripada Jabir bin Abdillah katanya;

جَاءَتْ الْيَهُودُ بِرَجُلٍ وَامْرَأَةٍ مِنْهُمْ زَنَيَا فَقَالَ ائْتُونِي بِأَعْلَمِ رَجُلَيْنِ مِنْكُمْ فَأَتَوْهُ بِابْنَيْ صُورِيَا فَنَشَدَهُمَا كَيْفَ تَجِدَانِ أَمْرَ هَذَيْنِ فِي التَّوْرَاةِ قَالَا نَجِدُ فِي التَّوْرَاةِ إِذَا شَهِدَ أَرْبَعَةٌ أَنَّهُمْ رَأَوْا ذَكَرَهُ فِي فَرْجِهَا مِثْلَ الْمِيلِ فِي الْمُكْحُلَةِ رُجِمَا قَالَ فَمَا يَمْنَعُكُمَا أَنْ تَرْجُمُوهُمَا قَالَا ذَهَبَ سُلْطَانُنَا فَكَرِهْنَا الْقَتْلَ فَدَعَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالشُّهُودِ فَجَاءُوا بِأَرْبَعَةٍ فَشَهِدُوا أَنَّهُمْ رَأَوْا ذَكَرَهُ فِي فَرْجِهَا مِثْلَ الْمِيلِ فِي الْمُكْحُلَةِ فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِرَجْمِهِمَا

Maksudnya;
“Seorang lelaki yahudi telah bawa seorang lelaki dan seorang perempuan dari kalangan mereka yang berzina. Lalu Rasulullah SAW menyatakan, ‘datangkan kepadaku seorang dari dua orang yang paling alim dikalangan kamu’ lalu, mereka datangkan kepada nabi SAW Ibnu Suriya [Ahbar yahudi] lalu nabi SAW menceritakan kepada mereka berdua [zina antara lelaki dan perempuan yahudi] dengan berkata, ‘apa yang kamu dapati urusan dua orang ini dalam kitab taurat?’ mereka berdua menjawab, ‘kami dapati dalam taurat, apabila bersaksi empat orang bahawa mereka melihat zakatnya masuk ke dalam farajnya seperti kayu masuk ke dalam botol celak, maka kedua-duanya hendaklah direjam. Berkata Nabi, ‘apakah yang menghalang kamu dari melaksanakan hukuman rejam kepada kedua-duanya ini?’ mereka berdua berkata, ‘pemimpin kami halang dari kami membunuh’. Lalu Rasulullah SAW memanggil untuk bersaksi, lalu mereka pun datangkan empat orang saksi yang mereka zakarnya masuk ke dalam faraj seperti kayu celak masuk ke dalam farajnya. Lalu Rasulullah SAW menyuruh merejam terhadap kedua-duanya”

[Abu Daud : 3862]

Hadis ini membuktikan bahawa, sekiranya non Muslim mempunyai undang-undang mereka tersendiri, sama ada dalam perkara bunuh, zina, dan sebagainya, maka mereka dibenarkan menggunakan undang-undang yang wujud dalam agama mereka, ataupun mereka juga diberi peluang untuk menggunakan undang-undang islam.

Adapun jika tidak terdapat dalam agama mereka terhadap sesuatu undang-undang kesalahan jenayah, maka hendaklah mereka kembali kepada mahkamah utama kerajaan islam, iaitu kembali kepada undang-undang islam. Itupun, selama tidak menyentuh iktiqad, dan kebebasan beragama mereka. [Al-Aqalliyyat Ghair Al-Musallamah fi Al-Mujtama’ Al-Islami : 418]

NON MUSLIM BUNUH MUSLIM

Dalam Al-Quran, apabila berlaku bunuh membunuh antara manusia, maka hukumnya adalah Qisas, iaitu bunuh balas. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنْثَى بِالْأُنْثَى

Maksudnya;
“Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu bahawa kamu melaksanakan qisas [balas] pada pembunuhan; merdeka dengan merdeka, hamba dengan hamba, perempuan dengan perempuan”

[Al-Baqarah : 178]

Timbul masalah, sekiranya bunuh membunuh itu berlaku antara muslim dengan non muslim. Dalam hal ini, ulama dalam mazhab empat berbincang secara terperinci.

Menurut Jumhur Ulama, antara mereka adalah Syafie dan Ahmad bin hanbal, bahawa tidak boleh dibunuh balas terhadap orang islam yang membunuh orang bukan islam, tetapi berlaku bunuh balas pada sebaliknya. Mereka berpegang kepada sabda nabi SAW;

وَلَا يُقْتَلُ مُسْلِمٌ بِكَافِرٍ

Maksudnya;
“Tidak dibunuh orang Islam dengan sebab [bunuh] orang kafir”

[Al-bukhari : 108]

Pendapat ini, menyalahi pendapat Hanafi, al-laisi dan sealiran dengan mereka. Ini kerana, pada mereka orang Islam yang membunuh orang bukan islam juga tetap dihukum bunuh balas, sepertimana bunuh balas terhadap orang bukan islam yang membunuh orang islam.

Dalil mereka adalah, umum nas Al-Quran dari surah Al-baqarah ayat 178, dan kesamaan mereka dengan orang islam dari sudut penjagaan harta dan nyawa mereka dalam sesebuah kerajaan islam [dalam mazhab hanafi, nas yang mutawatir tidak boleh dikhususkan dengan nas yang zanni].

Adapun hadis yang dijadikan hujjah oleh Imam Syafie dan Ahmad, Imam hanafi tidak menolaknya, sebaliknya ditafsirkan maksudnya kepada kafir harbi yang membunuh orang islam, bukan kafir Zimmi [Ahkam Al-Quran karangan Al-Jassas : 1/140-144]

KEDUA : PAS DAN HUDUD?

PAS memperjuangkan Islam, lantaran undang-undang islam adalah antara perkara yang diperjuangkan agar terlaksana. Namun, perlaksanaan itu masih terbantut dan terbatas.

Pada pandangan peribadiku, terbantut ini mungkin berfaktorkan dua, [1] dari pihak luaran PAS, dan [2] dari pihak PAS sendiri.

PIHAK LUARAN PAS

Tidak dinafikan, luaran PAS merupakan antara faktor terbantut perlaksanaan undang-undang islam yang dicita-citakan PAS. Ia adalah bersebab beberapa faktor, iaitu;

Pertama;

UMNO yang sering menjadikan undang-undang islam sebagai isu untuk melaga-lagakan antara PAS dengan parti-parti yang berbeda idealogi. Walau UMNO mendakwa bahawa ahli parti mereka beragama islam, tetapi Islam pada mereka sekadar mainan dan gula-gula dalam mempertahankan kerusi.

Kedua;

Kurang jelas tentang islam. Ini berlaku, bukan sekadar di kalangan orang bukan islam sahaja, malahan berlaku dikalangan orang islam sendiri.

DARI PIHAK PAS SENDIRI

Antara faktor terbantutnya kejayaan dari sudut pihak PAS sendiri adalah seperti berikut;

Pertama;

Cadangan yang dibuat oleh PAS tidak dimulakan dengan perbincangan ilmiah di semua peringkat terlebih dahulu, sama ada secara wacana, seminar atau sebagainya. Ia dimainkan dalam bentuk media yang mudah dipropagandakan oleh pihak musuh. Jika ada wacana ilmiyyah pun, ia sekadar dikalangan orang-orang PAS sahaja.

Kedua;

Usaha perlaksanaan islam tidak dimulakan dengan perancangan yang berstrategi dan mempunyai jadual plan tindakan. Seperti meletakkan target dalam masa setahun, undang-undang zina berjaya diberi kefahaman kepada rakyat [muslim dan non Muslim], kemudian pada tahun kedua melakukan referendum rakyat dalam menuntut perlaksanaan undang-undang zina atau sebagainya.

Saidina Ali pernah berkata, “kebenaran yang tidak bersistem akan dikalahkan dengan kebatilan yang bersistem”

Ketiga;

Cara cadangan dilontarkan tidak menggunakan bahasa dan cara orang malaysia. Dilihat cara lontaran, lebih kepada style dan cara rakyat saudi, mesir, pakistan, Afghanistan dan sebagainya.

Tidak ada salahnya, cara melontarkan itu dengan tidak menggunakan nama hudud, tetapi mengggunakan istilah ‘Islamic Human Right’ [cadangan sahaja], ataupun menggunakan apa-apa istilah yang menarik minat rakyat malaysia [sama ada muslim atau non Muslim] tertarik untuk menggunakan undang-undang islam ini.

Di zaman umar bin Al-Khattab dahulu, beliau pernah menukarkan kalimah “jizyah” kepada kalimah “zakat” terhadap bayaran yang dilakukan oleh Yahudi Bani tughlub [ada baca : Bani Taghlab], walhal orang bukan islam tidak dikenakan bayaran zakat pun. [As-Siyasah As-Syariiyyah Fi Dau’ Nusus As-Syariah wa Maqasidiha : 146-147]

Keempat:

Setelah cadangan dilontarkan, tidak terdapat perbincangan secara ilmiyyah dengan tokoh-tokoh politik dalam Pakatan Rakyat yang menolak undang-undang hudud, seperti tidak mengadakan program wacana hukum hudud, yang membariskan pembentang dari pihak PAS, lalu dijemput sama pihak yang tidak bersetuju seperti Karpal Sighn atau Raja Petra Kamaruddin sendiri untuk melakukan komentar terhadap isu yang dibangkitkan, serta dibuka soal jawab.

Keadaan ini lebih sistematik dan sesuai dengan ruh Al-Quran, yang mana Allah SWT ada berfirman;

قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya;
“Katakanlah, datangkan hujjah-hujjah kamu, jika kamu adalah orang yang benar”

[Al-Baqarah : 111]

Kelima :

Walau sudah lebih 50 tahun PAS berdakwah dalam wadah politik kepartian, sehingga kini PAS tidak mempunyai kader-kader dakwah dari sudut kebijaksanaan berhujjah dan mempunyai kemampuan mengemukakan Islam dalam bentuk yang bijaksana. Selayaknya, PAS sudah ada kader-kader dakwahnya yang bukan sekadar berani hadir demonstrasi, tetapi kader-kader dakwah yang berani berhadapan dalam bentuk intelektual.

KESIMPULAN

Dalam isu hudud, ia tidak seharusnya dijadikan sebagai isu yang tidak berkesudahan. Jika PAS hendak melaksanakan hudud, sewajibnya PAS berfikir terlebih dahulu untuk mendapat suara majoriti dalam parlimen. Ini kerana, mengenangkan malaysia yang mengamal sistem demokrasi, sesuatu undang-undang itu tidak dapat dilaksanakan kecuali mendapat sokongan majoriti dalam parlimen.

Namun, ia tidak mustahil bahawa hukum hudud ini boleh dilaksanakan dalam keadaan PAS tidak ada suara majoriti dalam parlimen, kerana dalam sistem demokrasi, ia terdapat unsur referendum rakyat. Lantaran, jika PAS ingin melaksanakan juga hudud, waima dalam keadaan PAS tidak mendapat suara majoriti dalam parlimen, PAS hendaklah mengadakan ‘projek mega’ dalam memahamkan rakyat tentang hudud, sehingga rakyat sendiri mendesak kerajaan melaksanakan undang-undang tersebut.

Tindakan berkata, “rakyat yang tak faham, jangan bercakap tentang hudud” adalah satu tindakan yang salah [pandangan peribadi]. Ini kerana, rakyat adalah orang yang dilaksanakan hukum hudud kepada mereka. Jika melarang mereka dari bercakap atas alasan tidak faham, ia adalah satu tindakan yang salah. Sebaiknya, apabila rakyat yang tidak faham bersuara, tugas parti islam adalah menerangkan kepada mereka dengan segala kebijaksanaan yang mungkin, agar mereka dapat faham dan mengenali keindahan islam dalam bentuk yang sebenar.

Sekian

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg buloh
1 Oktober 2010 * 5:45 pagi

Tiada ulasan: