[1]
Politik Malaysia pada hari ini, mempunyai dua sudut, iaitu berhadapan dengan lawan, dan berhadapan dengan kawan. Jika berlawan, caranya adalah menggunakan segala kekuatan yang ada menjatuhkan pihak lawan. Adapun dengan kawan, perlu mengambil sikap berlumba-lumba mempamerkan yang terbaik, tanpa mengkhianati dan melakukan kezaliman terhadap mereka.
Dalam menandingi kawan, perlu kepada kebijakan ajaib. Iaitu, kebijakan dari pihak individu pemimpin dalam melihat waqie, disamping dapat melakukan ramalan atau Tawaqqu’ terhadap apa yang bakal berlaku di masa depan. Dengan itu, dilakukan tindakan-tindakan yang mampu melahirkan kejayaan yang pasti memberi keuntungan kepada Islam.
Dalam sejarah PAS, kebijakan ajaib ini wujud pada diri ustaz Fadzil Noor. Saat pemimpin PAS “menghentam rapat” terhadap Anwar Ibrahim yang baru sahaja dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan dalam UMNO, Ustaz Fadzil Noor telah melakukan tindakan yang cukup tidak popular, iaitu menziarahi Anwar Ibrahim. Walau dipersoal oleh sebilangan pemimpin PAS ketika itu, ternyata Ustaz Fadzil Noor mempunyai kebijakan ajaib, yang mana dengan tindakan Ustaz Fadzil Noor ketika itu menyebabkan sokongan terhadap PAS meningkat secara mendadak, sehingga PAS bukan sekadar berjaya mempertahankan pemerintahannya di Kelantan, tetapi telah melebarkan kekuasaan di terengganu.
[2]
Dalam politik berlawan [PAS lawan UMNO], kebijakan ajaib ini adalah sangat penting. Tetapi, ia bertambah penting dalam politik berkawan [PAS dengan PKR dan DAP]. Dalam politik berlawan, ia tidak berapa rumit. Tetapi politik kawan, ia perlu mempunyai kemampuan untuk menarik perhatian rakyat umum dalam memberi keyakinan kepada kita berbanding kepada rakan-rakan [bukan bermakna mengkhianati, tetapi berlumba-lumba dengan rakan-rakan dalam memastikan rakyat lebih meyakini kita]
Tidak dinafikan, kebijakan ajaib ini, secara hukum asalnya [atau : Al-hukm Lizatih], ia tidak wajib. Tetapi, dari sudut hukum lighairihnya, ia adalah satu perkara yang wajib. Ini kerana, kaedah fiqh ada menyebut;
ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب
Maksudnya;
“Tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya, maka melakukannya itu adalah wajib”
Memastikan PAS mendominasi atau lebih diyakini berbanding PKR dan DAP adalah wajib. Lalu, ia tidak boleh tercapai kecuali kebijakan ajaib pemimpin, maka mempamerkan pemimpin yang ada kebijakan ajaib ini adalah wajib. Wajibnya itu, bukan bersifat lizatih, tetapi bersifat lighairih.
Kebijakan ajaib ini, mempunyai dua sudut, iaitu;
1- kebijakan ajaib itu datang dari diri pemimpin itu sendiri.
2- Kebijakan ajaib itu datang dari penasihat-penasihat yang bijak.
[3]
KEBIJAKAN AJAIB PADA DIRI PEMIMPIN SENDIRI
Dalam Al-Quran, Allah SWT ada mempamerkan kisah Talut dan Jalut. Dalam kisah itu, kita akan dapati bagaimana Allah SWT mempamerkan kepentingan kebijakan ajaib ini bagi seseorang pemimpin.
Firman Allah;
وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا قَالُوا أَنَّى يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِنَ الْمَالِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya;
“dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. mereka menjawab: "Bagaimana Dia mendapat Kuasa memerintah Kami sedang Kami lebih berhak Dengan Kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan Dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". dan (ingatlah), Allah jualah Yang memberikan Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya”
[Al-Baqarah : 247]
Dalam ayat ini, Allah SWT meletakkan kehebatan yang ada pada Talut itu dua perkara, iaitu;
1- Keluasan ilmu [kebijakan ajaib]
2- Kekuatan tubuh badan.
Dalam menafsirkan makna “bastah fi Al-Ilm” atau diterjemah sebagai “kelebihan lapangan ilmu” atau diterjemah sebagai “kebijakan ajaib”, Imam Ibnu Kathir menafsirkannya sebagai, “Ia lebih mempunyai pengetahuan dari kalangan kamu [orang ramai], lebih cerdik, lebih berkemampuan dalam menjangka masa depan dari kalangan kamu. Juga mempunyai kekuatan pengetahuan tentang peperangan” [Ibnu Kathir : 1/666]
Ibnu Asyur pula menafsirkan maksud dengan “kebijakan ajaib” menerusi ayat ini dengan katanya, “ia adalah perkara yang sangat perlu dalam politik atau dalam mentadbir urusan umat. Iaitu, ia mampu kembali kepada pandangan yang tepat dan kekuatan tubuh badan. [ini kerana] dengan pandangan [yang tepat] itu dapat memberi banyak kemaslahatan kepada umat, walau dalam waktu yang sempit sekalipun, atau dikala sukar mendapat keputusan dari pihak yang diminta pandangan atau dikala berlaku perselisihan dalam ahli-ahli mesyuarat. Dengan kekuatan pula, ia mampu melahirkan kekukuhan dalam keyakinan tentera [petugas dan ahli bawahan]” [Tanwir wa Tahrir : 2/405]
[4]
Nabi SAW juga mempunyai kebijakan ajaib ini. ekoran itu, tidak hairan kita akan dapati bahawa Rasulullah SAW diterima menjadi “PM Madinah” dikala baginda sampai di yasrib, walhal sebelum itu sudah ada kempen dan lobi yang dilakukan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul.
Begitujuga, nabi SAW ada memaklumkan kepada Aisyah bahawa Kaabah itu tidak berada pada tapaknya yang tepat. Namun, setelah fath Makkah, nabi SAW masih tidak meletakkan tapaknya itu pada tempatnya yang tepat juga. Tindakan Nabi SAW itu, ditanya oleh Aisyah, menyebabkan Nabi SAW menjawab;
لَوْلَا حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ
Maksudnya;
“Jika tidak kaum kamu baru meninggalkan kekufuran, pasti aku sudah lakukannya”
[Muwatta’ : 710]
Dari hadis ini, kita dapat lihat kebijakan ajaib yang ada pada nabi SAW adalah, baginda SAW dapat mengagak atau “Tawaqqu’” dalam menjangkakan sesuatu yang buruk yang bakal berlaku, seperti perpecahan di kalangan umat makkah, menyebabkan nabi SAW tidak meletakkan binaan kaabah itu pada tapaknya yang tepat.
[5]
Dalam sirah Sulh Al-Hudabiyyah [Perjanjian Hudaibiyyah], nabi SAW didatangi beberapa orang wakil Quraish untuk berunding dengan Nabi SAW. Baginda SAW amat bijak, dengan melihat kepada wakil yang dihantar pun sudah cukup untuk Nabi SAW memastikan tujuan kedatangan mereka dengan tujuan apa.
Sehinggakan, apabila nabi SAW melihat sahaja Suhail bin Amr datang untuk berunding, nabi SAW terus berkata, “Para pembesar Quraish sudah bersedia untuk berdamai, kerana itulah mereka melantik suhail sebagai perunding”.
Dan lagi, dalam perjanjian Hudaibiyyah juga, kita dapat melihat bagaimana kebijakan ajaib itu pada Nabi SAW, apabila Nabi SAW berjaya memberi keyakinan kepada para sahabat yang tidak bersetuju dengan isi kandungan perjanjian yang dilihat ‘berat sebelah’, tetapi mengandungi maksud yang banyak menguntungkan kepada islam selepas dari itu.
[6]
KEBIJAKAN AJAIB DARI PENASIHAT
Umar bin Al-Khattab seorang khalifah yang tidak dinafikan mempunyai kebijakan ajaib ini. ini terbukti, bahawa beliau banyak melakukan ijtihad-ijtihad baru yang ternyata memberi banyak keuntungan kepada Islam.
Namun, beliau juga mempunyai kelemahan-kelemahan sebagai manusia biasa. Ekoran itu, beliau mempunyai penasihat-penasihat yang hebat, yang dapat membantu beliau dalam menajamkan lagi kebijakan ajaib yang ada pada diri beliau.
Diceritakan dalam satu atsar, bahawa seorang perempuan muda telah datang berjumpa dengan Umar yang ketika itu, Kaab bin Sur sedang duduk bersama dengannya.
Perempuan itu berkata, “Wahai Amirul Mu’minin, aku tidak melihat seorang pun lelaki yang lebih baik daripada suamiku. Demi Allah, malamnya sentiasa qiyamullail, dan siangnya sentiasa berpuas”.
Mendengar perkataan perempuan itu, Umar memuji suaminya itu. Perempuan itu merasa malu dan terus pulang dengan wajah yang hampa.
Melihat keadaan itu, Kaab berkata kepada Umar, ”Wahai Amirul Mu’minin, apakah tuan tidak mengira masalah perempuan itu terhadap suaminya?
Umar berkata, “apa sebenarnya? Lalu berkata (kaab), sesungguhnya perempuan itu datang untuk membuat laporan kepada kamu. Apabila suaminya sentiasa dengan ibadat, bilakah masanya suaminya meluangkan masa untuknya (dengan jimak)?”
Mendengar kata-kata kaab, Umar menyuruh suami perempuan itu dipanggil. Ketika suami itu berada di hadapan Umar, Kaab diminta agar menjatuhkan hukuman terhadap suami tersebut.
Kaab terus berkata, ”Sesungguhnya aku melihat, seakan-akan lelaki ini mempunyai tiga orang isteri. Dan isterinya (yang datang) itu adalah isteri yang keempat. Maka aku hukumkan kepadanya, tiga hari dan tiga malam merupakan hari dia beribadat (puasa dan qiyamullail), dan bagi isterinya adalah hari yang keempat pada siang dan malamnya”
Umar bertanya, bagaimana kamu berhukum ini? Kaab menjawab, aku berdalilkan firman Allah SWT;
فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ
”maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat”
(Surah An-nisa’ : 3)
Mendengar ini, Umar terus berkata; ”Demi Allah, pandangan kamu dalam perkara pertama adalah bersangatan aku kagum berbanding satu lagi. Pergilah kamu menjadi qadi kepada penduduk Basrah” [Al-Mughni : 16/53 – 54]
[7]
Nyata, kebijakan ajaib ini perlu bagi seseorang pemimpin dalam politik saingan. Tanpanya, ia akan menyebabkan kelembapan sesuatu gerakan, seterusnya gerakan itu sentiasa didominasi, bukan mendominasi. Keadaan ini sudah pasti, adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku.
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
- Sri Indah [b] Sg Buloh
17 januari 2011 * 3:03 petang
4 ulasan:
jazakumullah akhi, tulisan yg sgt baik...
Diskusi buku Pas Baru: Ust Mujahid dan Dr Asri di http://www.mediafire.com/?4nca585dnokv1ng
1.mahfuz!!dikagumi lawan!!!!
2.ish!ish!ish!
entri yg menarik terutama selitan kisah umar dgn kaab bin suur itu , ana ingat enta kena banyak tulis entri yg macam ni ... dan satu lagi enta ni bagus tulis tentang fiqh terutama fiqh muqaran dan perbincangan usul fiqh jadi ana cadangkan enta tulis buku tentang banyak masalah fiqh dan usul terutama yang semasa dan yang banyak berkait dgn msia , ana rasa ianya sangat diperlukan terutama masyarakat awam tulisan demikian dalam bahasa melayu , enta bikin kemas dan perfect sikit , ianya nanti malah akan diperlukan oleh mahasiswa , ustaz ustazah malah prof2 ....
2. tentang mahfuz walaupun ada yang perlinya dengan gelaran mamat poligame (politik-gambar-media) ana rasa abaikan karut marut cam tu sbb kita hukum manusia secara zahir bukan kita boleh tau keikhlasan sesape , kalau kita kata kita tau ikhlas tak ikhlas seseorang pun ianya berdasarkan qarinah dan apa qarinah yg dapat kita kata mahfuz tak ikhlas dan cari glamour a.k.a. poligame tu , so kalau tak de qarinah jangan bikin fitnah , lagipun sesape yg reka poligame pd mahfuz tu , kalau dia sendiri pada tempat mahfuz berani ke dia buat tindakan macam mahfuz atau dia akan lobi pelahap @ kipas untuk duniawi yang lebih lazat ? kita pun tau dalam umno tak pernah nak resign sampoi2 macam tu , kalau wakil rakyat plak kalau boleh nak sampai mati ... tentang mahfuz tak tau beza antara sebagai pembangkang di parlimen dan kerajaan di kedah , jawabnya - bukan setakat sbg pembangkang je kita kritik , kerajaan kita sendiri lagi patut kita kritik untuk memandu ke arah keadilan ...
Catat Ulasan