Sabtu, 12 Mac 2011

MASLAHAH BERTEMBUNG DENGAN NAS? [2]

Apabila disebut hukum haram yang teristinbat dari nas, sudah pasti ia mempunyai kemudharatan. begitujuga, jika ia adalah halal, pasti ia mengandungi kemaslahatan. Adapun jika perkara yang haram itu adalah maslahah, diyakini bahawa maslahah itu kecil, jika mahu dibandingkan dengan kemudharatan. Begitulah sebaliknya.

Imam Al-Baidhawi ada berkata dalam kitab syarh minhaj, "perkara yang diharamkan syarak, maka ia adalah keburukkan. Sekiranya tidak [tidak haram, iaitu halal], maka ia adalah kebaikan.."

Isu yang timbul adalah, wujudnya pendapat yang mengatakan bahawa nas dan maslahah boleh bertembung. Bagi memastikan keadaan ini, kita perlu memerhatikan kepada beberapa perkara.

Pertama;

Percanggahan nas dan maslahah itu, dari sudut zuruf [konteks]. Sama ada, dari sudut masa atau tempat. Dan percanggahan itu berlaku, antara nas yang bersifat tasyrik, dan pengadaptasian bersifat tanfiz.

Contohnya perlaksanaan hudud. Secara tasyriknya, kewajipan hudud yang termaktub dalam nas, membuktikan ia memberi kemaslahatan kepada manusia. Namun, dari sudut tanfiznya, perlaksanaan itu memungkinkan penolakan terhadap hudud. Ia bukan bermakna, hudud itu tidak memberi kemaslahatan kepada manusia, tetapi hukum hudud itu memungkinkan ditolak rakyat. Antara faktornya adalah, kejahilan dan ketidak-kefahaman mereka terhadap hudud.

Jadi, dalam hal ini, kelihatan wujud pertembungan antara nas dan maslahah, tetapi sebenarnya ia tidak bercanggah. Ini kerana, ia berada dalam dua kelas yang berbeda.

Kedua;

Nas yang bercanggah dengan maslahah yang tidak dikukuhkan oleh nas. Setiap nas itu mesti mempunyai maslahah. Tetapi, didapati wujud maslahah yang lain yang menyanggahi nas.

Dalam keadaan sebegini, nas hendaklah didahulukan berbanding maslahah. Ini kerana, kemaslahatan yang wujud dalam nas adalah bersifat pasti, cuma ia mungkin tidak difahami oleh manusia sahaja. Adapun maslahah yang wujud tanpa dokongan nas, ia adalah maslahah yang dikhayalkan oleh manusia sahaja [maslahah mauhumah : maslahah yang tidak berbentuk pasti].

Ketiga;

Nas dan maslahah dilihat bertembung, dalam keadaan maslahah tersebut dikukuhkan dengan nas-nas yang lain.

apabila keadaan ini berlaku, maslahah tidak terus didahulukan dari nas, sebaliknya hendaklah dilakukan beberapa tindakan, iaitu seperti berikut;

A- hendaklah dihimpukan antara nas dan maslahah tersebut.
B- jika tidak dapat dihimpun juga, malahan tetap berlaku mu'aradhah, atau pertentangan, maka hendaklah nas itu dianggap umum yang maslahah itu merupakan khususnya, atau dianggap mutlaq pada nas dan maslahah dianggap sebagai muqayyadnya dan seterusnya.

Secara umumnya, agak mustahil jika ada dakwaan yang mengatakan dari sudut tasyrik bahawa berlaku pertembungan nas dan maslahah. Jika ada yang menyatakan dakwaan sedemikian juga, ia akan melahirkan "tasalsul", iaitu maslahah menafikan maslahah. Ini kerana, setiap nas mesti mempunyai maslahah.

Sekian..

Wallahu 'Alam.

1 ulasan:

محمد حذوان بن حميدان berkata...

perkongsian yg amt berguna, brtepatan dgn isu semasa, moga ia mnjd 1 pencerahan buat msyarakat..amin