Sabtu, 12 Mac 2011

MENILAI SEJARAH

Nuqaib Al-Attas pernah menulis dengan menyatakan bahawa menilai sejarah itu seperti kita melihat perempuan yang cantik. Dari jauh, perempuan itu dilihat cantik, dengan keputihan kulitnya, kemerahan pipinya dan keikalan rambutnya. Tetapi, apabila pipi perempuan yang putih kemerah-merahan itu dilihat dengan kanta, maka kelihatanlah banyak kekotoran, jerawat, kekerutuan kulit dan banyak lagi. ketika itu, kecantikan sebenar perempuan baru terbongkar, bahawa ia dilihat sahaja cantik, tapi sebenarnya ia tidaklah begitu cantik.

Begitujuga kita mendengar lagu P. Ramlie yang memuji seorang gadis cantik dari filem penarik beca. Watak azizah yang dibintangi oleh Seniwati Saadiah dipuji dan dipuja oleh amran yang diwatakkan oleh P. Ramlie yang masih muda.

Dalam frust, Amran mengalunkan lirik lagu yang memuji azizah yang dinilai sebagai cantik. "engkau laksana bulan", ungkaran lirik lagu tersebut.

Mungkin kita mendengar, kita menilai betapa cantiknya azizah kerana dinilai seperti bulan. Tetapi, tanpa kita sedari bahawa kajian ahli falak yang mempunyai teleskop yang hebat telah membuktikan secara dekat bahawa bulan itu tidak cantik, sebaliknya berlubang-lubang, berkerutu dan banyak lagi kehodohannya. Ternyata, penilaian cantiknya bulan itu bukan kerana sebenarnya cantik, tetapi dinilai cantik hanya dari sudut dimensi yang dinilai oleh manusia.

Maka begitujuga sejarah. Keindahan perjuangan seseorang yang terungkap dalam sejarah, hanya dinilai dari dimensi penulis sejarah terbabit. Tetapi, jika dilihat dari dimensi yang lain, mungkin keindahan perjuangannya itu tidak kelihatan lagi.

Dalam keadaan inilah, tidak hairan wujud ilmu kritikan sejarah. Satu sejarah yang terungkap, akan dikritik oleh ahli sejarah lain. Namun, adalah satu perkara yang tidak boleh dinafikan bahawa penulisan sejarah itu, kadangkala ditulis dengan kepentingan agenda yang mahu dibawa oleh penulis. Malahan, kritikan sejarah berlaku, juga kerana kepentingan agenda pengkritik.

Jika keadaan ini berlaku, kita terpaksa terima hakikat bahawa sejarah tidak boleh dijadikan sandaran dalam meneruskan usaha dan tindakan untuk masa akan datang. Tetapi, sejarah hendaklah dijadikan sebagai pengajaran dan sikap berhati-hati dalam usaha kita mencipta sejarah.

Sedihnya, umat Islam pada hari ini tidak berani mencipta sejarah, tetapi lebih suka belajar dari sejarah. Ekoran itu, umat Islam mundur kerana kejumudan pemikiran mereka yang tertakluk dengan sejarah, tanpa keberanian mencipta sejarah.

Sekian

Wallahu 'Alam.

Kopitiam Bangi
12 Mac 2011 * 11.55 Malam

Tiada ulasan: