Selasa, 9 Ogos 2011

APA YANG KITA MAHU DARI NON MUSLIM?

Islam ini adalah agama rahmat. Perlantikan Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman, ia dinyatakan oleh Allah sebagai rahmat sekelian alam. Bukan untuk muslim sahaja, tetapi menjangkaui semua makhluk, sama ada manusia yang tidak muslim. juga terhadap tumbuh-tumbuhan, binatang dan seluruhnya.

Firman Allah;

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya;
“Kami tidak utuskan kamu (wahai Muhammad) kecuali untuk member rahmat sekelian alam”

(Al-Anbiya : 107)

Memandangkan islam adalah agama rahmat, sudah pasti Islam akan diterima. Orang yang menolak Islam adalah orang yang tidak kenal Islam. Jika mereka sudah kenal islam, mereka akan menerima Islam. Jika mereka tidak memeluk agama Islam pun, mereka akan respek dengan agama Islam. Jika ada di kalangan mereka yang mengenali Islam dalam bentuk yang sebenar, lalu mereka menolak juga Islam. Itu adalah gambaran betapa degilnya hati mereka dalam menerima kebenaran. Mungkin kerana prejudis atau betapa gelapnya hati mereka dalam menerima sesuatu kebenaran.

Di Malaysia, bilangan non Muslim hampir sama banyak dengan muslim. semenjak merdeka, muslim itu jauh majority berbanding non Muslim. tetapi, semakin lama bilangan non Muslim bertambah ramai, disamping muslim sendiri semakin ramai yang menolak islam. 

Persoalannya, mengapa perkara ini berlaku?

SALAH SIAPA?

Jika mahu dilihat kepada amerika menyerang atau mempropagandakan islam, maka itu sudah menjadi perkara biasa. Ini kerana, kebencian amerika kepada Islam sudah menjadi lumrah sejak sekian lama. Memang jenis amerika itu yang benci dengan islam melakukan tindakan untuk memburukkan gambaran Islam.

Tetapi, penolakan manusia (sama ada muslim atau non Muslim) terhadap islam tidak boleh disalahkan seratus peratus kepada amerika. Perlu juga disalahkan kepada golongan muslim juga.

Seseorang yang berzina, tidak boleh semata-mata menyalahkan kepada syaitan yang memperdayainya agar berzina. Tetapi, tanpa menafikan kesalahan pada syaitan bahawa hampir 90 peratus itu hendaklah disalahkan pada diri orang yang berzina itu sendiri. Mengapa dia tidak berusaha hendak melawan kehendak syaitan yang memperdayainya agar berzina.

Begitujuga penolakan manusia yang muslim dan tidak muslim terhadap Islam. Memang tidak boleh dinafikan factor propaganda musuh Islam, tetapi dalam masa yang sama lebih 60 peratus itu terletak kepada golongan muslim sendiri.

APA YANG KITA MAHU?

Kita mengharapkan non Muslim meninggalkan agama mereka, lalu menjadikan Islam sebagai agama pegangan mereka. Kita mahu non muslim itu menjadi saudara seagama dengan kita. Kita tidak mahu mereka menjadi manusia yang lain dengan kita jika dinisbahkan dari sudut hidup beragama.

Kalau boleh, kita nak Ramasami dan Ah Chong bersama-sama dengan kita berpuasa dalam bulan Ramadhan; bersama-sama menunaikan solat tarawih; bersama-sama solat berjemaah dan sebagainya. Tetapi, apakah daya kita bahawa keimanan yang bersumberkan hidayah itu bukan hak kita, tetapi hak Allah SWT.

Untuk berharap mereka menjadi saudara seagama dengan kita, mungkin ia adalah satu perkara yang terlalu besar. Makanya, mereka mengatakan agama Islam ini sebagai agama yang baik pun, ia sudah satu perkara yang kita banggakan. Masakan tidak, mereka yang tidak beragama Islam boleh mengiktiraf tentang agama Islam yang kita sayangi ini. Pun begitu, semua ini tertakluk dengan hidayah yang merupakan kuasanya terletak pada kemutlakan kuasa Allah SWT.

Allah SWT berkuasa untuk memberikan hidayah atau tidak mahu memberi hidayah. Tetapi, berdasarkan kepada hukum adat, hidayah Allah itu bersebab dan berpunca. Tanpa sebab, hidayah tidak diberikan oleh Allah SWT. Inilah penilaian dari hukum adat yang merupakan ketentuan Allah SWT.

APA DIA ASBAB HIDAYAH?

Sebab hidayah itu banyak. Yang paling penting, Islam adalah agama keadilan, agama kasih sayang, agama yang menghormati hak manusia; sama ada sesame muslim atau dengan orang bukan islam.

Kita membaca satu hadis yang menceritakan bagaimana Nabi SAW menyebut tentang seorang perempuan pelacur yang memberikan hak kepada seekor anjing pun, diberikan keampunan dosa oleh Allah SWT kepada perempuan tersebut. Ini menanndakan, hak dalam Islam ini cukup agong, hingga terhadap anjing pun wajib diberi. Dan memberinya itu menyebabkan mendapat keampunan dosa dari Allah SWT.

Mungkin itu dari satu sudut. Dari sudut yang lain pula, bagaimana dalam peperangan pun Islam melarang melakukan pengkhianatan kepada non Muslim. dilarang sama sekali mencincang mayat yang telah terbunuh dalam peperangan, dilarang menyerang rumah ibadat, dilarang bunuh kanak-kanak, dilarang bunuh ahli ibadat mereka, dilarang bunuh perempuan, orang tua dan sebagainya. 

Gambaran hebat ini berjaya dibuktikan di zaman Rasulullah, Abu Bakar dan Umar. Ekoran itu, tidak hairan pada kala itu, Islam semakin berkembang pesat. Islam semakin diterima dan diterima. Islam bukan lagi di benua arab dan jazirahnya, malahan sudah melebar sehingga satu pertiga dunia. Kejayaan ini yang kita idam-idamkan sebagai muslim.

APA YANG KITA TELAH BUAT?

Islam di zaman Rasulullah, Abu Bakar dan Umar tidak seperti di zaman kini. Non Muslim di zaman itu sanggup mempertahankan kerajaan Islam bermati-matian, kerana melihat hak mereka terbela dalam kerajaan Islam. Mereka mendapat hak kasih sayang dalam kerajaan islam berbanding kerajaan pemerintahan agama mereka. 

Mereka ibadat dengan aman dalam kerajaan islam berbanding kerajaan mereka. Ekoran itu, semakin lama mereka mendekatkan diri dengan Islam. Jika ada dari kalangan mereka yang tidak memeluk islam pun, mereka akui bahawa Islam adalah agama yang baik; yang mereka akan pertahankannya walaupun dengan darah mereka sekalipun.

Keadaan itu tidak berlaku kini. Golongan Islam kini bertindak tidak beralasan wahyu. Mereka kira tindakan mereka sudah Islam, waima tindakan mereka itu menyebabkan non Muslim semakin meninggalkan Islam. Jika yang meninggalkan Islam itu dari kalangan non muslim yang prejudis dengan Islam, maka itu kita boleh terima. Tetapi, jika yang menolak islam itu adalah non Muslim yang rasional, maka itu adalah perkara yang perlu dimuhasabahkan oleh golongan Islam.

Ya… memang kita tidak nafikan serangan dari musuh-musuh Islam juga perlu dipersalahkan. Tetapi, semata-mata menyalahkan mereka seratus peratus adalah satu perkara yang cukup salah. Mungkin kesalahan itu boleh diletak dalam 20 hingga 30 peratus sehaja, tetapi peratus yang berbaki itu wajar dilihat pada diri muslim dan golongan muslim itu sendiri.

Sekian

Wallahu ‘Alam




Tiada ulasan: