Ahad, 22 Januari 2012

ISLAM DAN KEBEBASAN

[1]


Hak kebebasan merupakan fitrah insani. Ekoran itu, hak kebebasan ini diberikan oleh Islam. Dalam kitab maqasid as-syariah al-islamiyyah karangan Ibnu Asyur, dinyatakan bahawa, kebebasan [al-hurriyyah] mempunyai dua maksud, iaitu; Pertama, tunduk kepada makhluk. dan kedua, manusia itu boleh melakukan apa sahaja yang dia mahu.

Menurut Ibnu Asyur, kedua-dua maksud ini merupakan kandungan syariah itu sendiri, kerana kedua-duanya terbit dari kehendak fitrah. bagi mengukuhkan pendapat ini, Ibnu asyur mengungkap perkataan Umar bin Al-Khattab yang pernah berkata, "kenapa kamu mengabdikan diri kepada manusia, walhal ibu kamu melahirkan kamu dalam keadaan merdeka [bebas]" [Maqasid As-Syariah Al-islamiyyah : 390 - 391].

Lebih menarik, apabila Ibnu Asyur menyatakan bahawa kandungan syarak itu sendiri membatalkan pengabdian [sesama makhluk] kepada menyebarkan kebebasan. Pun begitu, kebebasan yang ditawarkan oleh Islam itu tertakluk kepada penyusunan sistem. [Maqasid As-Syariah Al-Islamiyyah : 392]

Perkataan Ibnu asyur ini, selari dengan perkataan Friedrich August Von Hayek yang menyatakan kebebasan itu perlu diikat dengan tanggungjawab [liberalisme : esei-esei terpilih F.A Hayek : 69 - 90]

[2]

Kita mengetahui bahawa Nabi Musa dibesarkan dalam rumah Firaun. Juga diketahui bahawa ketika itu Firaun sudah kufur. Namun, ketika itu tidak kita ketahui bahawa ada usaha melawan firaun yang dilancarkan oleh Musa, sebaliknya ia dilakukan setelah Nabi Musa berada bersama-sama dengan bapa mertuanya, Nabi Syuib.

Dalam mengulas perkara ini, Ibnu Asyur ada menyatakan, "sesungguhnya perlantikan Musa adalah untuk menyelamatkan Bani Israel dari kefasadan yang dilakukan oleh Firaun. difahami disini bahawa maksud kefasadan itu, bukan kekufuran, tetapi kefasadan berbentuk perbuatan yang dilakukan dibumi, kerana Bani Israel tidak mengikut firaun dari sudut kekufurannya" [Maqasid As-Syariah Al-islamiyyah : 273].

Jelas, bahawa kebebasan dalam Islam bukan bermakna kebebasan itu dengan maksud boleh melakukan pengkhianatan kepada manusia lain, tetapi kebebasan dalam Islam adalah memberikan hak kebebasan disamping menyediakan sistem hidup yang mampu mengawal manusia dari terjebak kepada kezaliman dan kerosakan pada diri sendiri dan pada orang lain.

[3]

Dalam kebebasan itu, ada juga pengawalan. Pengawalan itu berdasarkan kepada tanggungjawab pada setiap manusia, khususnya mukmin. Pengawalan itu bukan bermakna menutup atau menafikan hak, tetapi mengawal yang dimaksudkan adalah untuk tidak melakukan penindasan, juga menafikan hak manusia lain.   


Sekian.

Wallahu 'alam

Tiada ulasan: