Jumaat, 27 Januari 2012

MENEGUR PEMERINTAH SECARA TERBUKA? [2]


[1]

Sebelum mengeluarkan sesuatu hukum, jangan hanya dilihat dari sudut yang literal, tetapi hendaklah dilihat juga kehendak nas. Antara kehendak nas itu adalah, perlu dilihat dari sudut maalat al-Af’al, atau implikasi terhadap sesuatu perbuatan.

Jika diperhatikan kepada definisi hukum, perkara ini amat nyata. Contohnya definisi hukum dalam mazhab Hanafi. Ini kerana, definisi hukum syarak di sisi mereka adalah, tidak semata-mata bermaksud harus atau taat sahaja, tetapi ia perlu dilihat kepada kesan perbuatan syarak atau perlu dilihat kepada tujuan akhir[1]. Dengan erti kata yang lain, dalam mazhab hanafi, ia mesti wajib, sunat dan harus, tetapi perlu dilihat kepada maqasid dan maalat al-afal (implikasi).

Malahan, ada sebilangan ulama-ulama dalam mazhab selain hanafi juga memandang pentingnya implikasi dalam fiqh. Antaranya adalah al-Imam al-Mawardi yang bermazhab Syafie menyatakan;

"Setiap tindakan yang menyebabkan tidak tercapai kepada tujuan akhir, maka tindakan itu batal[2]"

Turut memandang kepentingan melihat kepada implikasi ini adalah al-Imam as-Syatibi. Ini kerana, beliau ada menyatakan;

            “Melihat kepada implikasi terhadap segala perbuatan adalah perkara yang diperakui dan merupakan tujuan secara syarak, sama ada perbuatan itu bersifat muwafaqat (melayu : selari) atau bersifat mukhalafah (melayu : menyalahi/tidak selari). Demikian itu adalah bahawa mujtahid tidak boleh berhukum terhadap sesuatu perbuatan dari perbuatan-perbuatan yang disandarkan kepada mukallaf (melayu : orang yang diberati hukum) dengan mereka melaksanakan (sesuatu tuntutan hukum) kecuali selepas melihat kepada kesan (atau : implikasi) terhadap perbuatan tersebut[3]

[2]

Antara contoh-contoh bagi memahami perkara ini adalah seperti berikut;

Pertama;
Firman Allah;

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan”( Surah Al-‘An’am, ayat 108)

Menurut Dr al-Raisuni[4], dari sudut hukum asal, memaki sembahan-sembahan selain Allah adalah dibenarkan. Namun begitu, dibimbangi ia memberi implikasi yang buruk disebalik memaki sembahan-sembahan itu, iaitu menerima makian balas terhadap Allah SWT dari mereka, maka perkara itu diharamkan oleh Allah SWT.

Kedua;
Daripada Aisyah R.Ha, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW ada berkata kepadanya;

أَلَمْ تَرَيْ أَنَّ قَوْمَكِ لَمَّا بَنَوْا الْكَعْبَةَ اقْتَصَرُوا عَنْ قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا تَرُدُّهَا عَلَى قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ قَالَ لَوْلَا حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ

            “Apakah kamu tidak melihat sesungguhnya kaum kamu ketika mereka membina kaabah, mereka membataskan pada qawaed Ibrahim”. Aku (Aisyah) bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, kenapa tidak kamu kembalikannya pada qawaed Ibrahim?”. Nabi Muhammad SAW menjawab, “kalaulah tidak kerana baru kaum kamu meninggalkan kekufuran, pasti aku sudah lakukan”( Sahih Al-Bukhari, Bab Kelebihan Makkah dan binaannya, hadis no : 1480)

Dari sudut hukum asal, kembalikan Kaabah pada batasan Qawaed Ibrahim itu adalah satu perkara yang wajib. Namun, dibimbangi mendatangkan implikasi yang buruk, iaitu perbalahan sesama bangsa Quraish yang baru sahaja memeluk Islam, menyebabkan ia ditangguhkan dulu oleh Rasulullah SAW.

[3]

Puak-puak literalis mengatakan tidak boleh mengugurkan pemerintah yang zalim. Ekoran itu juga, tidak boleh menegur pemerintah Negara secara terbuka. Hadis yang dibacakan mereka itu adalah seperti berikut;

مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ

“Barangsiapa yang mahu memberi nasihat kepada pemerintah terhadap sesuatu urusan, maka jangan lakukan dalam keadaan terbuka, tetapi peganglah tangannya dan menyendiri dengannya. Sekiranya ia menerima, itu yang sepatutnya. Sekiranya tidak menerima, sesungguhnya dia telah menunaikan tanggungjawabnya terhadap pemimpin tersebut”

Ulasan hadis ini adalah seperti berikut;

Ulasan Pertama;

Hadis ini adalah hadis yang lemah (doif)[5]. Alasan-alasannya adalah seperti berikut;

Satu;

Dalam hadis ini didapati Syuraih bin Ubaid al-Hadhrami mengambil hadis dari Iyadh bin Al-Ghanm. Didapati kedua-dua periwayat hadis ini tidak pernah bertemu. Ini kerana, kelahiran Syuraih bin Ubaid ketika Iyadh bin al-Ghanm telah meninggal dunia.

Dua;

Dalam kitab al-Sunnah oleh Abu Asim (1097), dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Muhammad bin Ismail. Menurut al-Hafiz dalam kitab al-Isobah, beliau adalah seorang yang terlalu lemah.

Tiga;

Dalam al-Mustadrak (5269), dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Ishaq bin Ibrahim. Menurut Imam Al-Nasaie bahawa dia tidak siqah (tarikh Damsyik), dan imam Abu Daud pula menyatakan bahawa dia tidak ada apa-apa pun (mizan al-iktidal).

Ulasan Kedua;

Jika DIANDAIKAN saheh atau hasan sekalipun hadis ini, perlu diperhatikan bahawa hadis ini bukan bersifat mutlak, tetapi ia bersifat maalat al-Af’al atau perlu diilihat kepada implikasi hadisnya. Ini kerana, hadis ini ada sambungannya, iaitu bahawa Iyyad bin Ghanm berkata kepada Hisyam seperti berikut;

فَهَلَّا خَشِيتَ أَنْ يَقْتُلَكَ السُّلْطَانُ فَتَكُونَ قَتِيلَ سُلْطَانِ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى

“apakah kamu tidak takut bahawa sultan Allah (pemerintah) akan membunuh kamu, maka jadilah kamu orang yang dibunuh oleh Sultan Allah (pemerintah)”

[4]

Jadi, merujuk kepada hadis di atas sebagai alasan untuk mengatakan tidak boleh menegur pemerintah secara terbuka seperti yang didakwa oleh puak-puak literalis adalah tidak tepat dan tidak benar sama sekali. kesalahan merujuk kepada hadis ini, sama ada hadis ini adalah hadis yang lemah, ataupun jika di andaikan sahih sekalipun, ia adalah bersifat Maalat al-Af’al, iaitu melibatkan kepada implikasi terhadap sesuatu perbuatan.

Dengan maksud, hukum asal menegur secara terbuka adalah dibenarkan, tetapi sekiranya bimbang mendatangkan mudharat yang lebih besar, maka ia dilarang. Namun begitu, dalam kerangka Negara demokrasi, menegur secara terbuka ini merupakan perkara yang dibenarkan, malahan ia boleh mendatangkan maslahah yang lebih besar. Makanya ia adalah satu tindakan yang tidak salah dari sudut Islam, tidak seperti yang didakwa oleh puak-puak literalis.

Wallahu alam.



[1] Dr Abd al-Qadir bin Hirz Allah, at-ta'lil al-maqasidi : 98 - 99
[2] Al-Imam al-Mawardi, Al-Hawi Al-Kabir : 6/282
[3] Al-Imam as-Syatibi, Al-Muwafaqat : 4/194.
[4] Al-Muhadarat fi Maqasid al-Syariah.
[5] Al-Jahr wa al-‘Ilan bi Dho’f Hadis al-Kitman fi Munasah al-Sultan.

Tiada ulasan: