Isnin, 4 Januari 2010

ISU KALIMAH "ALLAH" : KENYATAAN RASMI PAS


KENYATAAN RASMI PAS

PAS sebagai sebuah parti Islam amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama, melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah dimaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun demikian, dalam kontak masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama. Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.

PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud: Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Alllah.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

"Allah For All * Islam For All"

"Islam Adil Untuk Semua"

p/s : diharapkan, agar kenyataan PAS Pusat ini tidak dikafirkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. (sila Klik)

BERBEDA MAKSUD “ALLAH” MENYEBABKAN LARANGAN?


BERBEDA MAKSUD “ALLAH” MENYEBABKAN LARANGAN?

Pertama;

Fahaman bahawa tuhan tiga dalam agama Nasrani ini, bukan perkara baru. Bahkan, Al-Quran sendiri mengakui perkara tersebut.

Firman Allah;

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلَاثَةٍ

Maksudnya;
”sesungguhnya telah kafir mereka yang mengatakan Allah itu ketiga daripada tiga”

(Surah Al-Maidah : 73)

Ayat ini diturunkan semasa Nabi SAW masih hidup lagi. Tetapi, tidak terdapat satu ayat Al-Quran dan hadis pun melarang daripada orang-orang nasrani ketika itu menggunakan kalimah Allah, waima Al-Quran sendiri mengakui bahawa aqidah nasrani bahawa Allah itu ketiga dari tiga.

Kedua:

Fahaman bahawa Allah itu mempunyai anak dari kalangan yahudi dan Nasrani, dinyatakan oleh Allah SWT dalam Al-Quran. Iaitu firman Allah;

وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ

Maksudnya;
”berkata yahudi, Uzair adalah anak Allah. Dan berkata Nasrani, Isa anak Allah”

(Surah At-Taubah : 30)

Waima turun ayat ini di kala Nabi SAW masih hidup, tidak terdapat satu larangan pun dari wahyu, sama ada dari Al-Quran ataupun dar As-Sunnah terhadap larangan penggunaan kalimah “Allah” untuk yahudi dan nasrani.

Golongan yahudi dan Nasrani dikira kafir dengan sebab aqidah mereka yang mengatakan bahawa Allah itu ada anak, juga mendakwa ketiga dari tiga. Waima begitu, Allah tidak pernah menghalangkan Yahudi dan nasrani ketika itu daripada menggunakan kalimah “Allah” ketika berbicara.

Ketiga;

Ketika berlaku perjanjian al-Hudaibiyyah, Nabi SAW telah memanggil Ali bin Abi Talib dan menyuruh menulis surat perjanjian. Kata Nabi SAW;

اكتب: بسم الله الرحمن الرحيم

Maksudnya;
“tulis (wahai Ali), dengan Nama Allah yang pemurah lagi maha penyayang”

Lalu, apabila surat itu dihulur kepada wakil Quraish (tidak beragama Islam) yang bernama Suhail bin Amr, dia berkata;

لا أعرف هذا، ولكن اكتب: باسمك اللهم

Maksudnya;
“Aku tidak mengetahui ini, tetapi tulislah “dengan Nama-Mu Ya Allah”

Lalu, Nabi SAW pun berkata kepada Ali;

اكتب باسمك اللهم

Maksudnya;
“tulislah (wahai Ali) dengan nama-Mu Ya Allah
[1]

Dari kisah ini, Suhail bin Amr menyebut kalimah ”Allah” dalam keadaan Nabi SAW tidak menghalang tindakan Suhail bin Amr itu. bahkan, nabi SAW mengakui dengan menulis seperti yang disuruh oleh Suhail bin Amr.


Persoalannya;

Jika ada larangan terhadap Non Muslim dari menyebut kalimah ”Allah”, sila nyatakan nas-nasnya. Sama ada dari Al-Quran, mahupun dari Hadis Nabi SAW !! sekadar yang wujud, dalil-dalil atas keizinan, sedangkan dalil-dalil terhadap larangan itu setakat ini tidak kedengaran lagi.

Ada juga ”ulama-ulama” yang mengeluarkan kenyataan yang tidak sealiran dengan perbuatan nabi SAW. tidak diketahui, siapa yang lebih alim, antara Nabi SAW dengan mereka?

Imam Malik ada menyebut sambil mengisyaratkan tangannya ke kubur Nabi SAW dengan kata beliau;

ما من أحد إلا يؤخذ من قوله ويرد إلا قول صاحب هذا القبر

Maksudnya;
“Tidak ada pun seseorang itu, bahawa tidak diterima dan ditolak daripada perkataannya, melainkan perkataan daripada tuan kubur ini
[2]

“Allah For Allah * Islam For All”

“Islam Adil Untuk Semua”

Sekian


Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), sg Buloh
5 Januari 2010 * 3:38 pagi



[1] As-Sirah An-Nabawiyyah (ibni Kathir) : 3/320.
[2] Ibni Kathir : 1/54.

BERIKAN HAK KEPADA NON MUSLIM

BERIKAN HAK KEPADA NON MUSLIM

Allah SWT kata sesuatu itu halal, lalu dikatakan haram. Begitujuga sebaliknya, maka tindakan tersebut dikira sebagai syirik. Dalam kitab "Al-Ilmaniyyah, wahjan bi wajhin" karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi menamakan tindakan sebegini sebagai Syirik undang-undang.

Kesyirikan itu, bukan sekadar berlaku kepada mereka yang menukar hokum Allah, bahkan mereka yang menyokong orang yang menukar hukum juga dikira sebagai syirik. Perkara ini jelas dinyatakan oleh Allah SWT menerusi Al-Quran, iaitu firman-Nya;

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

Maksudnya;
"mereka (ahli Kitab) mengambil paderi-paderi mereka, tok guru-tok guru mereka syirik selain dari Allah"

(Surah At-taubah : 31)

Setelah membaca ayat ini, 'Adi bin Hatim (ada baca : Udai) telah datang berjumpa dengan nabi SAW. Ketika itu, Adi masih beragama nasrani. Dia datang dalam keadaan ditengkoknya tergantung salib yang diperbuat daripada perak.

Adi bertanya, "Wahai Muhammad, Ahli kitab tidak menyembah paderi dan tok guru-tok guru mereka"

Jawab nabi SAW;

بلى، إنهم حرموا عليهم الحلال، وأحلوا لهم الحرام، فاتبعوهم، فذلك عبادتهم إياهم

Maksudnya;
"bahkan, tetapi mereka mengharamkan perkara yang halal dan menghalalkan perkara yang haram. Maka mereka mengikutinya. Maka itu adalah ibadah yang mereka lakukan terhadap mereka (paderi dan tuan guru mereka)
[1]"

Dalam isu kalimah "Allah", amat jelas lagi nyata tentang keizinan Al-Quran dalam menggunakannya. Lalu, apabila ada pihak yang menghalangkanya, bermakna mereka telah menyanggahi dengan keizinan Allah SWT menerusi Al-Quran itu sendiri.

HALANG KERANA SIYASAH SYARIYYAH?

Adapun ada pihak yang berhujjah dengan konsep siyasah syariiyyah dalam menghalangnya, maka ia adalah merupakan tindakan yang tersasar dari maksud perbahasan Siyasah Syariiyyah. Konsep siyasah Syariiyyah adalah, mentadbir sesuatu perkara dengan melihat segala kemaslahatan, tanpa melahirkan mudharat. Itulah deefinisi siyasah dalam kitab Turuq Hukmiyyah karangan Ibnu al-'Aqil
[2].

Bermakna, Sesuatu perlaksanaan keputusan islam, hendaklah diperhatikan terlebih dahulu, apakah perlaksanaan tersebut boleh mendatangkan maslahah kepada islam, atau sebaliknya. Jika melahirkan kemudharatan, maka perlaksanaan itu ditangguhkan dahulu, disamping dilakukan beberapa tindakan yang akhirnya menjayakan usaha perlaksanaan sesuatu hokum islam itu sendiri.

Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan umar bin Abdul Aziz yang menyebut, "wahai Anakku, sesungguhnya Allah haramkan arak didalam Al-Quran sebanyak dua kali, dan mengharamkannya pada kali ketiga. Sesungguhnya Aku bimbang melaksanakan kebenaran kepada manusia secara total, lalu ditolak oleh manusia secara total. Maka ia merupakan satu fitnah
[3]"

Dalam perlaksanaan hudud di Malaysia, memang ia tidak dapat dilaksanakan lagi. Ia bersebab, ramai rakyat Malaysia yang tidak memahaminya. Justeru, usaha kearah memahamkan rakyat dengan hudud sehingga tidak melahirkan mudharat di saat perlaksanaannya merupakan satu kewajipan.

Makanya, dalam isu kalimah "Allah". Tindakan menafikan hak non muslim yang agama mereka membenarkan pengunaan kalimah "Allah", merupakan tindakan yang tersasar. Masakan agama mereka membenarkan, malahan Al-Quran sendiri mengizinkan penggunaan kalimah Allah ini. lalu, apabila non Muslim menuntut hak mereka, maka wajib diberikan hak tersebut.

Sabda Nabi SAW;

أَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya;
"berikanlah hak kepada setiap yang mempunyai haknya
[4]"

Cumanya, dalam mengizinkan kalimah "Allah" ini kepada non Muslim, mungkin melahirkan kebimbangan. Kebimbangan tersebut, bukan alat yang membenarkan kita mengharamkan penggunaan kalimah Allah SWT kepada non Muslim. Tindakan mengharamkan perkara yang dibenarkan dalam Al-Quran merupakan syirik, seperti yang telah tersebut dalam surah At-taubah ayat 31.

Justeru, dalam menyelesaikan kebimbangan ini, kaedah menghalang bukan jalan penyelesaian menurut siyasah syariyyah. Tetapi, kaedah siyasah syariyyah yang tepat adalah dengan memberi kebenaran kepada non Muslim menggunakan kalimah Allah dengan dikenakan syarat-syarat yang ketat, agar segala kebimbangan itu dapat diselesaikan dengan cara yang betul, tanpa menafikan keizinan Allah SWT.

"Allah For All * Islam For All"

"Islam Adil untuk Semua"

Sekian


wallahu 'Alam





- Danau kota
4 januari 2010 * 8:55 malam


[1] Sunan At-tarmizi : 3095.
[2] M.s ; 1/16.
[3] Al-Muwafaqat : 2/148.
[4] As-sunan Al-kubra : 4/276.. Al-Mukjam Al-Kabir ; 15/487.

Ahad, 3 Januari 2010

CADANGAN KEPADA PAS DALAM ISU KALIMAH “ALLAH”


CADANGAN KEPADA PAS DALAM ISU KALIMAH “ALLAH”

Apabila berlaku isu kalimah “Allah” ini, aku mencadangkan kepada pimpinan tertinggi PAS, agar melaksanakan beberapa perkara berikut;

Pertama;

Tidak akan bersama dengan pihak kerajaan, bersama-sama membantah keputusan mahkamah. Tetapi, mendesak pihak kerajaan meletakkan syarat-syarat ketat terhadap penggunaan kalimah “Allah” dikalangan non Muslim.

Kedua:

Mendesak badan-badan dakwah dalam kerajaan, seperti JAKIM, IKIM, semua jabatan-jabatan agama Islam di seluruh Negara agar mengagrasifkan dakwah diseluruh Negara. Mencadangkan kepada kerajaan, menyediakan peruntukan dakwah yang tinggi dalam memberi penjelasan tentang islam, terutama tentang kalimah Allah diperhebatkan.

Mencadangkan kepada pihak kerajaan, agar memberi semangat kepada pendakwah-pendakwah supaya tidak sekadar berdakwah di sekitar masjid dan surau, bahkan akan diberikan habuan (sama ada berbentuk hadiah, atau pertandingan) sekiranya mereka mampu berdakwah di luar dari kerangka masjid dan surau, juga di disko-disko dan pub-pub.

Ketiga:

Mendesak ketua Penerangan PAS melaksanakan sesi penerangan isu kalimah Allah dari sudut pandangan Islam. penerangan ini, tidak dibataskan kepada orang islam, bahkan diperhebatkan kepada non Muslim. Program ini hendaklah dilaksanakan disetiap kawasan.

Keempat;

Mendesak agar PAS disetiap negeri mengadakan wacana dan forum intelek bersama dengan non Muslim dalam isu ini. sessi ini, hendaklah dijemput juga para paderi, agamawan-agamawan dari agama lain dan sebagainya.

Kelima:

Mencipta Slogan “Allah For All * Islam For All * PAS For All”. Slogan ini dibuat dalam bentuk sticker dan mencadangkan agar semua ahli PAS pasang disetiap kereta mereka. Juga, cadangkan ia sebagai hadiah kepada non Muslim.

Sekian

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
4 Januari 2009 * 1:54 petang

FIQH TAGHYIR PERLU, TETAPI JANGAN SAMPAI LAKUKAN KEZALIMAN


FIQH TAGHYIR PERLU, TETAPI JANGAN SAMPAI LAKUKAN KEZALIMAN

Fiqh Taghyir merupakan sesuatu keperluan. Taghyir Fiqh merupakan satu kesesatan. Fiqh Taghyir bermakna, fiqh dalam usaha melakukan sesuatu perubahan, daripada orang yang kezaliman kepada keadilan, daripada tidak faham islam kepada faham Islam, daripada tidak kenal Islam kepada kenal Islam.

Adapun Taghyir Fiqh adalah mengubahkan kandungan fiqh, daripada keadilan kepada kezaliman, daripada hampir kepada Islam kepada semakin jauh dengan Islam dan sebagainya.

Konsep Fiqh Taghyir bermula dari kehendak dan keinginan hendak berubah. Firman Allah;

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah satu kaum, hinggalah mereka mengubah diri mereka sendiri”

(Surah Ar-Ra’d : 11)

Seseorang boleh berubah, apabila ada kehendak hendak berubah. Tanpa kehendak, perubahan pasti tidak akan berlaku. Ekoran itu, Umar bin Abdul Aziz tidak terus mengubah banyak amalan-amalan dalam kerajaan kepada Islam secara total. Perkara ini amat nyata, ketika beliau ditanya oleh anaknya, Abdul Malik tentang perkara itu.

Umar bin Abdul Aziz menjawab, ”wahai anakku, sesungguhnya Allah haramkan arak dalam Al-Quran sebanyak dua kali, dan diharamkan pada kali ketiga. Aku bimbang jika aku melaksanakan kebenaran kepada manusia secara total, lalu mereka menolaknya secara total”

Apakah Umar bin Abdul Aziz tidak mahu mengubah dasar kerajaan ketika itu? sudah pasti jawapannya adalah, Umar tetap mahu mengubah. Tetapi, mengenangkan majoriti rakyat tidak berkehendak lagi untuk melaksanakan kebenaran ekoran tidak memahaminya lagi, menyebabkan Umar tidak melaksanakan kebenaran tersebut secara terus, sebaliknya mengambil sikap membina kehendak rakyat terlebih dahulu.

Inilah gambaran fiqh taghyir dalam usaha melaksanakan keadilan dan kebenaran yang wujud dalam al-Quran, juga pernah dilaksanakan oleh golongan salaf terdahulu.

KEADILAN UNTUK SEMUA

Islam menuntut supaya melaksanakan keadilan. Kezaliman ditentang hebat oleh islam. Ulama yang melaksanakan tauhid adalah ulama yang melaksanakan keadilan.

Firman Allah ;

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ

Maksudnya ;
”Allah telah bersaksi bahawa tiada tuhan melain Dia. Juga para malaikat dan para ilmuan yang melaksanakan keadilan”

(Surah Al-Imran : 18)

Ayat ini, Allah menyatakan bahawa dari golongan manusia yang boleh bersaksi atas keesaan Allah adalah mereka yang berilmu, juga melaksanakan keadilan. Tanpa ilmu dan tidak melaksanakan keadilan, ketauhidan mereka terhadap Allah diragui.

Keadilan dalam Islam, bukan sekadar terhadap manusia yang beragama Islam. terhadap binatang wajib diberikan keadilan.

Nabi SAW ada bercerita;

بَيْنَا رَجُلٌ يَمْشِي فَاشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَنَزَلَ بِئْرًا فَشَرِبَ مِنْهَا ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا هُوَ بِكَلْبٍ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنْ الْعَطَشِ فَقَالَ لَقَدْ بَلَغَ هَذَا مِثْلُ الَّذِي بَلَغَ بِي فَمَلَأَ خُفَّهُ ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ ثُمَّ رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنَّ لَنَا فِي الْبَهَائِمِ أَجْرًا قَالَ فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

Maksudnya;
”seorang lelaki telah berjalan, lalu dia ditimpa haus yang teramat sangat. Lelaki itu masuk ke dalam telaga, lalu minum air daripadanya, kemudian keluar, didapati ada seekor anjing yang sedang menjilat pasir yang basah disebabkan kehausan.

Dia berkata, ”Anjing ini terlalu haus sepertimana aku tadi”

Lalu dia turun kembali ke dalam telaga, lalu dicedoknya air telaga dengan kasutnya digigit dengan mulutnya. Kemudian, dia panjat telaga itu dan memberi minum kepada anjing tersebut. Allah SWT terima kasih terhadap nya, dan Allah memberi keampunan dosa kepadanya.

Sahabat bertanya, ”Wahai Rasulullah, Apakah kita akan mendapat pahala dengan sebab kita memberi minum kepada binatang?”

Jawab nabi SAW, ”pada setiap kebaikan, pasti akan mendapat pahala
[1]

Hadis ini, kita dapat lihat bagaimana keadilan terhadap binatang perlu dilakukan. Jika terhadap anjing juga, perlu dilakukan keadilan, sudah pasti melaksanakan keadilan terhadap non muslim adalah terlebih diutamakan.

Yang nyatanya, konsep keadilan terhadap non Muslim ini telah dinyatakan sendiri oleh Allah dalam al-Quran. Firman Allah;

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya;
”Allah tidak pernah halang kamu bahawa melaksanakan kebaikan dan keadilan terhadap (Non Muslim) yang tidak pernah menyerang kamu dalam agama, dan mengeluarkan kamu daripada negara kamu. Sesungguhnya Allah sayang kepada orang yang melaksanakan keadilan”

(Surah Al-Mumtahanah : 8)

NON MUSLIM PUN ADA HAK


Dalam islam, hak adalah wajib diberikan. Menafikan hak, adalah tindakan yang haram. Allah SWT menyuruh manusia menunaikan hak, waima terhadap tubuh badan sekalipun.

Sabda Nabi SAW;

إِنَّ لِجَسَدِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا

Maksudnya;
“Sesungguhnya bagi jasad kamu atas kamu ada hak. Terhadap tuhan kamu, atas kamu ada haknya. Terhadap keluarga kamu, atas kamu ada haknya
[2]

Jika beribadat kuat, sehingga lalai dari menunaikan hak badan, seperti tidur, beristeri dan sebagainya merupakan perkara tegahan. Inikan pula, hak non Muslim dinafikan haknya.

Walhal, dalam Islam hak keadilan terhadap non Muslim ini telah nyata dalam Al-Quran bahawa hendaklah diberikan kepada mereka. masakan perkara besar, hak bersuara juga hendaklah diberikan kepada sesiapa sahaja, termasuk mereka.

Sabda Nabi SAW;

فَإِنَّ لِصَاحِبِ الْحَقِّ مَقَالًا

Maksudnya;
”sesungguhnya orang yang ada hak, hendaklah diberikan ruang dia bersuara
[3]

Ini menunjukkan, konsep keadilan Islam ini amat menyeluruh. Tidak dibataskan kepada mereka yang beragama Islam sahaja, bahkan menjangkaui mereka yang tidak beragama islam dan juga binatang.

Dalam isu Kalimah ”Allah”, ia merupakan hak non Muslim yang wajib diberikan. Ia perkara yang diizinkan dalam agama mereka, justeru menafikan hak mereka merupakan tindakan yang tidak berasaskan kepada Islam.

FIQH TAGHYIR MENAFIKAN HAK?

Dalam konsep fiqh taghyir, tidak pernah wujud unsur menafikan hak. Yang wujud dalam fiqh taghyir adalah, perlaksanaan hak itu wajib diberikan, waima mengambil masa yang terlalu lama sekalipun.

Jika ada manusia yang menyebut bahawa penafian hak mereka menggunakan kalimah ”Allah” dengan alasan kaedah fiqh taghyir, ia merupakan satu tafsiran yang amat tersasar dari maksud fiqh taghyir yang sebenar.

Yang nyata dalam islam, tidak ada penafian hak yang dibenarkan dalam Islam, waima atas dasar apa sekalipun.

Justeru, konsep fiqh taghyir dalam menafikan hak non Muslim menggunakan kalimah ”Allah” adalah tersasar sekali dari maqasid Islam yang menyuruh melaksanakan keadilan dan menghindarkan diri dari kezaliman.

BIMBANG?

Tidak dinafikan, wujud kebimbangan dalam membenarkan penggunaan kalimah ”Allah” terhadap Non Muslim. Jika keadaan ini berlaku, tindakan menghalang terus adalah tindakan yang terlalu dangkal. Ia sama sekali tidak berasaskan kepada konsep keadilan Islam.

Justeru, dalam menyelesaikan kebimbangan ini, dengan kaedah siyasah Syariiyyah, dalam isu ini, adalah lebih baik kita menerima pandangan daripada Dr Mahathir, bekas perdana Menteri yang mencadangkan agar keizinan itu hendaklah diletakkan syarat-syarat yang ketat, berbanding mengambil sikap menafikan terus.

Jika kita mengambil sikap meletakkan syarat-syarat, sudah pasti keadilan terhadap Non Muslim tidak dinafikan, disamping kita berjaya menyelesaikan kebimbangan yang sedang menimpa diri kita dengan kebijaksanaan sekali.

Padaku, Islam adalah agama adil untuk semua.

”Allah For All * Islam For All.”

Sekian

p/s : apabila bertembung statement Allah dengan Statement manusia, sudah pasti aku memilih statement Allah.

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), sg Buloh
4 Januari 2009 * 1:19 petang




[1] Al-Bukhari : 2190.
[2] Ad-Daruqutni : 2258.
[3] Al-Bukhari : 2141.

PERLU BIMBANG, TETAPI BAGAIMANA?


PERLU BIMBANG, TAPI BAGAIMANA?

Kita bimbang kalimah "Allah" diselewengkan, itu sememangnya yang perlu difikirkan oleh setiap muslim. Cumanya, bagaimana kita mengurus kebimbangan itu?

Apakah cukup sekadar kita mengungkap perkataan "bimbang" sahaja? Apakah dengan kita menghalang orang bukan Islam dari menggunakan kalimah "Allah" itu merupakan tindakan bijak dalam kita menunjukkan kebimbangan kita?

Jika ini cara kita menunjukkan kebimbangan, samalah seperti orang yang berzina yang menyalahkan syaitan. Sepatutnya, apabila seseorang itu berzina, dia perlu menyalahkan dirinya, lalu dia bertaubat. Tetapi sebaliknya yang berlaku, iaitu dia tidak melakukan sedemikian, bahkan bertindak dengan terus menyalahkan syaitan dengan dakwaan bahawa dia berzina dengan sebab dia dipengaruhi oleh syaitan.

Inilah sikap kita - sebilangan pimpinan PAS - yang menghalang penggunaan kalimah "Allah" bagi mereka yang tidak beragama Islam.

PERBEDAAN PENDAPAT?

Perbedaan pendapat berlaku dalam perkara yang disandarkan kepada nas; al-quran dan as-sunnah. Sekiranya perbedaan pendapat tidak disandarkan kepada nas, pengurusan khilaf pendapat tidak berlaku. Lebih-lebih lagi, jika perbedaan pendapat itu berlaku dengan mereka yang tidak merujuk kepada nas, bahkan dengan mereka yang merujuk kepada tafsiran islam dari sudut sentimen semata-mata.

Sepatutnya, isu apakah boleh non muslim menggunakan kalimah "Allah" atau tidak, tidak sewajarnya ditimbulkan. Kerana perkara itu telah jelas menerusi nas. Bahkan yang dapat dilihat, tidak ada satu nas pun yang menghalang non muslim dari menggunakan kalimah "Allah". Tetapi, perkara yang perlu ditimbulkan adalah, bagaimana kalimah Allah ini difahami oleh non Muslim, dalam cara yang betul. seperti, cadangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan mengadakan wacana dan dialog dengan non Muslim.

Tindakan melarang kalimah Allah kepada non Muslim dengan dakwaan sayangkan islam atau bimbang dengan akidah umat islam tergugat, samalah seperti seekor beruang yang sayangkan tuannya. Apabila seekor lalat hinggap di muka tuannya, beruang rasa mahu jaga muka tuannya dari kena lalat itu dengan menampar lalat yang berada di muka tuannya itu. Agak-agak, apa yang akan jadi kepada tuan beruang itu? Begitulah juga dengan sebilangan pimpinan PAS kena fikirkan, jika mereka melarang kalimah "Allah" digunakan oleh Non Muslim.

Sekian

Wallahu Alam.


Al-Bakistani
ustaz_Bakistani@yahoo.com




- taman melewar
4 januari 2010 * 3:30 pagi

WAHAI PIMPINAN PAS, KEMBALILAH KEPADA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH


WAHAI PIMPINAN PAS, KEMBALILAH KEPADA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

“Kita kena kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah”. Itulah ungkapan yang sering kedengaran dari mulut pimpinan-pimpinan yang mendakwa perjuangkan islam.

Apakah quran rujukan mereka itu adalah quran yang Allah turunkan; Apakah hadis yang mereka baca itu hadis Nabi Muhammad SAW, tidak diketahui. Quran mana, dan hadis mana yang mereka rujuk, tidak diketahui.

Isu kalimah “Allah” yang menjadi perdebatan, tidak diketahui dari mana sumber rujukan Idris Ahmad, Nasha mat isa, Taib Izzamuddin dan Zul Kulim. Yang ada pada mereka, tidak boleh orang bukan islam menggunakan kalimah Allah. tetapi, mana dalil-dalil mereka, tidak dikemukakan.

Pelik mereka mendakwa pengikut Al-Quran dan As-Sunnah, tetapi dalam isu kalimah “Allah” ini, mereka mengambil sikap mempertahankan pendapat yang bersalahan dengan firman Allah dan sabda Nabi SAW.

Jika kita mendengar ucapan Taib Izzamuddin yang dinukilkan dalam blog Roslan SMS (sila klik). Dalam ucapan beliau dalam parlimen, hujjah yang dikemukakan oleh beliau tidak mengandungi hujjah ilmu. Biarkan dia berpendidikan agama, dan pernah memegang jawatan sebagai Imam Masjid Negara, tetapi cara dia berhujjah, tidak menggambarkan keilmuan dalam berhujjah.

DESAK JAKIM

Sepatutnya, apabila isu kalimah ”Allah” ini tercetus, sebagai pimpinan Parti islam, Idris Ahmad dan Nasha Mat Isa tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak bersandarkan kepada Islam ini. sebaliknya, perlu berfikir kaedah yang paling baik dalam usaha hendak memahamkan rakyat non Muslim terhadap maksud Allah yang sebenar, agar mereka jelas maksud Allah dari sudut Islam, dan Allah dari sudut selain islam. ini kerana, begitu yang sebenarnya yang dilakukan oleh nabi SAW.

Alangkah cantik lagi, jika pimpinan PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam agar bersama-sama mendesak JAKIM, JAIS, Pusat Islam dan sebagainya, agar serius melakukan penerangan secara menyeluruh dalam memberi penerangan terhadap maksud kalimah ”Allah” ini.

Jika ini berjaya, sudah pasti kita telah mendapat dua keuntungan, iaitu keuntungan dalam memahamkan Islam kepada non Muslim, juga keuntungan dengan melihat keadaan UMNO – Laknatullah alaihim Ajmain – terhadap seruan memantapkan dakwah di malaysia.

Dari situ, sudah pasti isu tauliah dalam ceramah akan dilonggarkan demi melihat kalimah ”Allah” difahamkan kepada seluruh rakyat Non Muslim. Tetapi, apakah daya, pemikiran ijtihad 300 tahun dahulu masih membeku, menyebabkan pemikiran 300 tahun dahulu digunakan di tahun 2010.

Sekian

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B),Sg Buloh
3 Januari 2010 * 11:03 malam