Isnin, 4 Januari 2010

BERIKAN HAK KEPADA NON MUSLIM

BERIKAN HAK KEPADA NON MUSLIM

Allah SWT kata sesuatu itu halal, lalu dikatakan haram. Begitujuga sebaliknya, maka tindakan tersebut dikira sebagai syirik. Dalam kitab "Al-Ilmaniyyah, wahjan bi wajhin" karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi menamakan tindakan sebegini sebagai Syirik undang-undang.

Kesyirikan itu, bukan sekadar berlaku kepada mereka yang menukar hokum Allah, bahkan mereka yang menyokong orang yang menukar hukum juga dikira sebagai syirik. Perkara ini jelas dinyatakan oleh Allah SWT menerusi Al-Quran, iaitu firman-Nya;

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

Maksudnya;
"mereka (ahli Kitab) mengambil paderi-paderi mereka, tok guru-tok guru mereka syirik selain dari Allah"

(Surah At-taubah : 31)

Setelah membaca ayat ini, 'Adi bin Hatim (ada baca : Udai) telah datang berjumpa dengan nabi SAW. Ketika itu, Adi masih beragama nasrani. Dia datang dalam keadaan ditengkoknya tergantung salib yang diperbuat daripada perak.

Adi bertanya, "Wahai Muhammad, Ahli kitab tidak menyembah paderi dan tok guru-tok guru mereka"

Jawab nabi SAW;

بلى، إنهم حرموا عليهم الحلال، وأحلوا لهم الحرام، فاتبعوهم، فذلك عبادتهم إياهم

Maksudnya;
"bahkan, tetapi mereka mengharamkan perkara yang halal dan menghalalkan perkara yang haram. Maka mereka mengikutinya. Maka itu adalah ibadah yang mereka lakukan terhadap mereka (paderi dan tuan guru mereka)
[1]"

Dalam isu kalimah "Allah", amat jelas lagi nyata tentang keizinan Al-Quran dalam menggunakannya. Lalu, apabila ada pihak yang menghalangkanya, bermakna mereka telah menyanggahi dengan keizinan Allah SWT menerusi Al-Quran itu sendiri.

HALANG KERANA SIYASAH SYARIYYAH?

Adapun ada pihak yang berhujjah dengan konsep siyasah syariiyyah dalam menghalangnya, maka ia adalah merupakan tindakan yang tersasar dari maksud perbahasan Siyasah Syariiyyah. Konsep siyasah Syariiyyah adalah, mentadbir sesuatu perkara dengan melihat segala kemaslahatan, tanpa melahirkan mudharat. Itulah deefinisi siyasah dalam kitab Turuq Hukmiyyah karangan Ibnu al-'Aqil
[2].

Bermakna, Sesuatu perlaksanaan keputusan islam, hendaklah diperhatikan terlebih dahulu, apakah perlaksanaan tersebut boleh mendatangkan maslahah kepada islam, atau sebaliknya. Jika melahirkan kemudharatan, maka perlaksanaan itu ditangguhkan dahulu, disamping dilakukan beberapa tindakan yang akhirnya menjayakan usaha perlaksanaan sesuatu hokum islam itu sendiri.

Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan umar bin Abdul Aziz yang menyebut, "wahai Anakku, sesungguhnya Allah haramkan arak didalam Al-Quran sebanyak dua kali, dan mengharamkannya pada kali ketiga. Sesungguhnya Aku bimbang melaksanakan kebenaran kepada manusia secara total, lalu ditolak oleh manusia secara total. Maka ia merupakan satu fitnah
[3]"

Dalam perlaksanaan hudud di Malaysia, memang ia tidak dapat dilaksanakan lagi. Ia bersebab, ramai rakyat Malaysia yang tidak memahaminya. Justeru, usaha kearah memahamkan rakyat dengan hudud sehingga tidak melahirkan mudharat di saat perlaksanaannya merupakan satu kewajipan.

Makanya, dalam isu kalimah "Allah". Tindakan menafikan hak non muslim yang agama mereka membenarkan pengunaan kalimah "Allah", merupakan tindakan yang tersasar. Masakan agama mereka membenarkan, malahan Al-Quran sendiri mengizinkan penggunaan kalimah Allah ini. lalu, apabila non Muslim menuntut hak mereka, maka wajib diberikan hak tersebut.

Sabda Nabi SAW;

أَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya;
"berikanlah hak kepada setiap yang mempunyai haknya
[4]"

Cumanya, dalam mengizinkan kalimah "Allah" ini kepada non Muslim, mungkin melahirkan kebimbangan. Kebimbangan tersebut, bukan alat yang membenarkan kita mengharamkan penggunaan kalimah Allah SWT kepada non Muslim. Tindakan mengharamkan perkara yang dibenarkan dalam Al-Quran merupakan syirik, seperti yang telah tersebut dalam surah At-taubah ayat 31.

Justeru, dalam menyelesaikan kebimbangan ini, kaedah menghalang bukan jalan penyelesaian menurut siyasah syariyyah. Tetapi, kaedah siyasah syariyyah yang tepat adalah dengan memberi kebenaran kepada non Muslim menggunakan kalimah Allah dengan dikenakan syarat-syarat yang ketat, agar segala kebimbangan itu dapat diselesaikan dengan cara yang betul, tanpa menafikan keizinan Allah SWT.

"Allah For All * Islam For All"

"Islam Adil untuk Semua"

Sekian


wallahu 'Alam





- Danau kota
4 januari 2010 * 8:55 malam


[1] Sunan At-tarmizi : 3095.
[2] M.s ; 1/16.
[3] Al-Muwafaqat : 2/148.
[4] As-sunan Al-kubra : 4/276.. Al-Mukjam Al-Kabir ; 15/487.

2 ulasan:

Aaifikir berkata...

Saya sokong saranan ustaz. Kita sepatutnya tak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri. Kita takut umat islam dipesongkan hanya jika kita tak berusaha untuk berdakwah... Patutnya dgn isu ini usaha dakwah patut dibuat dgn lebih agresif lagi, bukan saja kita dpt kuatkan akhidah umat Islam malah dapat jugak menarik minat non-muslim memeluk Islam...

Tanpa Nama berkata...

masa di itm, pelajar2 kristian dr sabah dan sarawak akan ke gereja pada hujung minggu dan membawa balik artikel2 dalam bahasa melayu... ada dikalangan pelajar melayu/islam hampir-hampir terpengaruh... mujur ada peljara yg sedar perkara tersebut dan meminta cara baik supaya mereka menyimpan artikel2 dengan baik...