Isnin, 4 Januari 2010

BERBEDA MAKSUD “ALLAH” MENYEBABKAN LARANGAN?


BERBEDA MAKSUD “ALLAH” MENYEBABKAN LARANGAN?

Pertama;

Fahaman bahawa tuhan tiga dalam agama Nasrani ini, bukan perkara baru. Bahkan, Al-Quran sendiri mengakui perkara tersebut.

Firman Allah;

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلَاثَةٍ

Maksudnya;
”sesungguhnya telah kafir mereka yang mengatakan Allah itu ketiga daripada tiga”

(Surah Al-Maidah : 73)

Ayat ini diturunkan semasa Nabi SAW masih hidup lagi. Tetapi, tidak terdapat satu ayat Al-Quran dan hadis pun melarang daripada orang-orang nasrani ketika itu menggunakan kalimah Allah, waima Al-Quran sendiri mengakui bahawa aqidah nasrani bahawa Allah itu ketiga dari tiga.

Kedua:

Fahaman bahawa Allah itu mempunyai anak dari kalangan yahudi dan Nasrani, dinyatakan oleh Allah SWT dalam Al-Quran. Iaitu firman Allah;

وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ

Maksudnya;
”berkata yahudi, Uzair adalah anak Allah. Dan berkata Nasrani, Isa anak Allah”

(Surah At-Taubah : 30)

Waima turun ayat ini di kala Nabi SAW masih hidup, tidak terdapat satu larangan pun dari wahyu, sama ada dari Al-Quran ataupun dar As-Sunnah terhadap larangan penggunaan kalimah “Allah” untuk yahudi dan nasrani.

Golongan yahudi dan Nasrani dikira kafir dengan sebab aqidah mereka yang mengatakan bahawa Allah itu ada anak, juga mendakwa ketiga dari tiga. Waima begitu, Allah tidak pernah menghalangkan Yahudi dan nasrani ketika itu daripada menggunakan kalimah “Allah” ketika berbicara.

Ketiga;

Ketika berlaku perjanjian al-Hudaibiyyah, Nabi SAW telah memanggil Ali bin Abi Talib dan menyuruh menulis surat perjanjian. Kata Nabi SAW;

اكتب: بسم الله الرحمن الرحيم

Maksudnya;
“tulis (wahai Ali), dengan Nama Allah yang pemurah lagi maha penyayang”

Lalu, apabila surat itu dihulur kepada wakil Quraish (tidak beragama Islam) yang bernama Suhail bin Amr, dia berkata;

لا أعرف هذا، ولكن اكتب: باسمك اللهم

Maksudnya;
“Aku tidak mengetahui ini, tetapi tulislah “dengan Nama-Mu Ya Allah”

Lalu, Nabi SAW pun berkata kepada Ali;

اكتب باسمك اللهم

Maksudnya;
“tulislah (wahai Ali) dengan nama-Mu Ya Allah
[1]

Dari kisah ini, Suhail bin Amr menyebut kalimah ”Allah” dalam keadaan Nabi SAW tidak menghalang tindakan Suhail bin Amr itu. bahkan, nabi SAW mengakui dengan menulis seperti yang disuruh oleh Suhail bin Amr.


Persoalannya;

Jika ada larangan terhadap Non Muslim dari menyebut kalimah ”Allah”, sila nyatakan nas-nasnya. Sama ada dari Al-Quran, mahupun dari Hadis Nabi SAW !! sekadar yang wujud, dalil-dalil atas keizinan, sedangkan dalil-dalil terhadap larangan itu setakat ini tidak kedengaran lagi.

Ada juga ”ulama-ulama” yang mengeluarkan kenyataan yang tidak sealiran dengan perbuatan nabi SAW. tidak diketahui, siapa yang lebih alim, antara Nabi SAW dengan mereka?

Imam Malik ada menyebut sambil mengisyaratkan tangannya ke kubur Nabi SAW dengan kata beliau;

ما من أحد إلا يؤخذ من قوله ويرد إلا قول صاحب هذا القبر

Maksudnya;
“Tidak ada pun seseorang itu, bahawa tidak diterima dan ditolak daripada perkataannya, melainkan perkataan daripada tuan kubur ini
[2]

“Allah For Allah * Islam For All”

“Islam Adil Untuk Semua”

Sekian


Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), sg Buloh
5 Januari 2010 * 3:38 pagi



[1] As-Sirah An-Nabawiyyah (ibni Kathir) : 3/320.
[2] Ibni Kathir : 1/54.

Tiada ulasan: