Selasa, 16 Februari 2010

PATUT PUN ORANG BAIK TAK SUKA ZUL KULIM, SEBAB FIRAUN YANG JAHAT PUN TAK SUKA KAT DIA

ini bukan Zul Kulim


PATUT PUN ORANG BAIK TAK SUKA ZUL KULIM, SEBAB FIRAUN YANG JAHAT PUN TAK SUKA KAT DIA

Tidak dinafikan, sebelum ini banyak isu-isu yang dibangkitkan oleh peguam yang pernah mengkufurkan kepada mereka yang mengizinkan penggunaan kalimah Allah terhadap Non Muslim, iaitu peguam Zul Kulim yang melahirkan masalah dalam Politik Malaysia.

Isu sebelum ini, memang agak panas, tetapi tidak menjadi perdebatan yang terlalu serius, bahkan berjaya diselesaikan dengan jayanya. Namun begitu, dengan isu penggunaan kalimah Allah bagi non Muslim, didapati perkembangan politik Zul Kulim semakin hari semakin dilihat buruk oleh ramai pemerhati.

Bermula dari tidak bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah, sehingga “menfatwakan” kufur kepada mereka yang mengizinkan penggunaan kalimah Allah bagi non Muslim.

Waima telah difatwakan oleh ulama-ulama dunia yang hebat, seperti Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Dr Wahbah Az-Zuhaili, Dr Taha Jabir, Dato’ Seri Ustaz Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan sebagainya atas keizinan penggunaan tersebut, tetapi Zul Kulim tetap berkeras kepala sehingga melakukan banyak masalah pada PKR dan Pakatan Rakyat.

Dua tiga hari ini pula, dia menyatakan bahawa ada “firaun kecil yang mahu menendangnya keluar dari PKR”. Jika Firaun yang jahat pun tidak suka kepada Zul Kulim, maka tidak hairanlah kalau orang-orang baik mula menyuruh Zul Kulim keluar dari PKR dan Pakatan Rakyat.

Bahkan, tidak hairan juga ada pihak mendesak agar Zul Kulim letak jawatan Sebagai Ahli Parlimen Kulim, yang PKR banyak habis duit dan tenaga dalam usaha memenangkannya di Parlimen tersebut.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
3 Rabiul awal 1431 – 17 Febuari 2010 * 2:44 pagi

BAL’AM BIN BA’URA’ : ‘ABID YANG MATI KUFUR

Gambar ini tiada kaitan dengan Bal'am bin Ba'ura'


BAL’AM BIN BA’URA’ : ‘ABID YANG MATI KUFUR

Firman Allah;

وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَاهُ بِهَا وَلَكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الْأَرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِنْ تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَثْ ذَلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآَيَاتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya;
“Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir”

(Surah Al-‘araf : 176)

Menurut Imam Fakhruddin Ar-Razi dan Imam Ibni Khathir, ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki dari Negara Yaman bernama Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama lain menyatakan, Bal’am adalah seorang ahli ibadat yang mempunyai kemakbulan doa dari bangsa Bani Israel
[1].

Menurut cerita ibnu Abbas, Mujahid dan Ibnu Mas’ud, Bal’am bin Ba’ura’ adalah seorang ‘abid (ahli Ibadat) yang makbul doanya, tinggal diperkampungan yang semua rakyatnya di situ kufur kepada Allah SWT. (lebih kurang macam perkampungan UMNO yang ada seorang ahli ibadat berparti PAS)

Nabi Musa A.S datang untuk menyerang perkampungan tersebut ekoran kekufuran yang mereka lakukan itu. (Mengikut riwayat, Nabi Musa A.S datang untuk berdakwah di kampung tersebut)

Mengetahui bahawa Bal’am bin Ba’ura’ adalah manusia yang mempunyai doa yang makbul, menyebabkan Bal’am telah dikunjungi orang kampungnya, meminta agar Bal’am berdoa dengan nama Allah yang maha mulia agar Nabi Musa tersesat jalan dari berjumpa dengan kampung mereka.

Pada peringkat awalnya, Bal’am tidak mahu berdoa seperti permintaan orang kampungnya itu. tetapi, setelah berkali-kali diminta oleh orang kampungnya, yang menyebabkan dia akur dan berdoa agar disesatkan Nabi Musa dan pengikutnya daripada berjumpa kampung tersebut.

Doa Bal’am itu termakbul, menyebabkan Nabi Musa tersesat di satu tempat yang bernama Tih (sekarang : semenanjung Sinai).

Kesesatan yang maha dahsyat itu, menyebabkan Nabi Musa bertanya Allah SWT, “Wahai Tuhan, apakah dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat di Tih ini?”

Jawab Allah SWT, “berpunca dari doa Bal’am”

Nabi Musa berkata lagi kepada Allah, “wahai Allah, sepertimana kamu mendengar doa Bal’am terhadapku, maka tolong makbulkan doaku terhadap Bal’am”

Lalu, Nabi Musa mendoakan agar Bal’am dicabut keimanan dari dirinya. Doa Nabi Musa dimakbulkan oleh Allah, menyebabkan Bal’am mati dalam keadaan kufur dan lidahnya terjelir sepertimana anjing
[2].

“minta berlindung kita dengan Allah daripada menjadi seperti Bal’am bin Ba’ura’”

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
3 Rabiul Awal 1431 – 17 Febuari 2010 * 1:45 pagi




[1] Tafsir ibni Kathir : 3/507.
[2] At-Tafsir Al-Kabir : 7/297.

PERARAKAN MAULID NABI?


PERARAKAN MAULID NABI?

Nak tergelak pun ada, bila baca berita dalam Mstar yang menyebut;

“Umno Kelantan menyifatkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkenaan sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini adalah kompromi demi politik.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini kerana tidak sewajarnya kenyataan sedemikian keluar daripada mulut seorang tokoh ulama” (sila Klik)

Persoalannya, ayat Al-Quran dan hadis mana yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah mengadakan perarakan Maulid Nabi SAW?

Amalan sambutan Maulid Nabi SAW pun, pada asalnya tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW. Malahan, para sahabat dan imam mazhab pun tidak melakukannya.

Cumanya, sengaja diamalkan di kalangan umat Islam dengan tujuan untuk memperingatkan balik perjuangan Nabi Muhammad SAW. Justeru, ia diizinkan oleh sebilangan ulama tertentu.

Antara ulama yang membenarkan amalan tersebut dengan tujuan untuk peringatkan balik segala perjuangan Nabi SAW itu adalah Dr Yusuf Al-Qaradawi, Dr Said Ramdhan Al-Buti dan sebagainnya.

Firman Allah;

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya;
“berilah peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang yang beriman”

(Surah Az-Zariyat : 55)

Pun begitu, tidak dinafikan ada sebilangan ulama yang mengharamkannya dengan alasan bidaah, seperti Syaikh Albani, Syaikh Abdul Aziz bin Baz dan sebagainya.

Dalil mereka adalah sabda Nabi SAW;

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya;
“barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan dari urusan kami, maka amalan tersebut adalah tertolak
[1]

Pun begitu, bagi ulama yang memberi keizinan untuk menyambut maulid Nabi itu, hendaklah keizinan tersebut tidak boleh dianggapkan sebagai amalan yang disandarkan kepada amalan Nabi SAW. Jika disandarkan juga, ia merupakan pendustaan terhadap nabi.

Sabda Nabi SAW;

لَا تَكْذِبُوا عَلَيَّ فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجْ النَّارَ
Maksudnya;
“Jangan kamu lakukan dusta terhadap aku. Sesungguhnya, barangsiapa yang lakukan dusta terhadap aku, maka dia akan masuk neraka
[2]

Juga hadis;

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Maksudnya;
”Barangsiapa melakukan dusta terhadap aku, maka dia telah menempah satu tempat daripada neraka
[3]

Adapun berkenaan dengan amalan perarakan Maulid Nabi SAW, sudah pasti ia tidak pernah timbul sama sekali dalam amalan Islam versi Nabi Muhammad SAW. justeru, apabila diamalkan, ia tidak mendatangkan sebarang pahala pun.

Amalan Islam versi Nabi muhammad Saw ini, amat tidak sealiran dengan islam versi Melayu, yang beranggapan bahawa amalan ini adalah ibadat. Tanggapan tersebut, amat tersasar dari kehendak wahyu, bahkan jika dipertahankan juga, menandakan ia adalah amalan yang disandarkan kepada kejahilan terhadap amalan agama Islam itu sendiri.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
2 Rabiul awal 1431 – 16 Febuari 2010 * 6:36 petang

[1] Muslim : 3243.
[2] Al-Bukhari : 103.
[3] Al-Bukhari : 104.

Ahad, 14 Februari 2010

SAYANGLAH KEADILAN ISLAM


SAYANGILAH KEADILAN ISLAM

Islam perlu diterima secara menyeluruh. Tidak boleh diambil separuh-separuh.

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Maksudnya;
“Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara penuh. Jangan kamu ikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya ia merupakan musuh yang nyata bagi kamu”

(Surah Al-Baqarah : 208)

Ayat ini, diturunkan berkenaan dengan beberapa orang ahli kitab (yahudi), antaranya Abdullah bin Salam yang memeluk Islam. Di kala mereka memeluk islam, mereka masih lagi membesarkan beberapa amalan-amalan di zaman yahudi terdahulu, seperti memuliakan hari sabtu, membenci daripada makan dan minum daging dan susu unta dan sebagainya.

“makan dan minum susu unta dan memuliakan hari sabtu merupakan perkara perkara yang makruh dalam islam, tetapi wajib dalam agama yahudi. Justeru, kami lakukannya kerana ambil sikap berhati-hati daripada jatuh kepada perkara haram” ujar mereka.

Tindakan mereka itu ditegur oleh Allah, menyebabkan Allah menurunkan ayat 208 dari surah Al-Baqarah, menyatakan bahawa Islam tidak boleh diterima separuh-separuh, bahkan hendaklah diterima seluruhnya
[1].

Jika dalam agama yahudi mengatakan tidak boleh makan unta, tetapi setelah masuk Islam, wajib mereka makan unta sepertimana umat Islam yang lain.

Tindakan mengambil separuh-separuh kandungan ajaran islam ini, telah dilakukan oleh orang yahudi terdahulu. Mereka mendapat kecaman hebat dari Allah, dengan turun firman Allah;

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ

Maksudnya;
“Apakah kamu beriman sebahagian daripada kandungan kitab, dan kamu kufuri sebahagian yang lain. Tidak ada pembalasan terhadap apa yang mereka lakukan, melainkan kehinaan hidup di dunia. Di hari kiamat nanti, mereka akan ditolak ke dalam azab yang hebat”

(Surah Al-Baqarah : 85)

ISLAM HARAMKAN ZALIM

Islam mengharamkan kezaliman. Sebarang kezaliman, wajib diserang dan dilawan. Sama ada secara tersembunyi, mahupun secara terbuka.

Menafikan hak manusia, merupakan perkara yang disifatkan sebagai kezaliman. Justeru, memberikan hak merupakan keadilan yang diperjuangkan oleh Islam.

Sabda Nabi SAW;

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya;
”Sesungguhnya Allah memberikan hak kepada mereka yang berhak
[2]

Dalam Islam, hak wajib diberikan kepada mereka yang berhak. Apabila wujud manusia yang menafikan hak, manusia itu wajar diserang dan dilawan. Tidak kira, manusia itu beragama Islam, mahupun tidak beragama Islam.

Terlebih memberi fitnah kepada agama islam itu sendiri, sekiranya kezaliman itu dilakukan oleh orang Islam. ini kerana, di kala itu Islam akan dilihat seperti tidak adil di mata-mata non Muslim ekoran kezaliman yang dilakukan oleh orang islam tersebut.

Justeru, kezaliman yang dilakukan oleh orang islam tersebut; iaitu kezaliman yang boleh memberi gambaran buruk terhadap agama Islam itu sendiri, wajar diusahakan agar diberhentikan.

Sabda Nabi SAW;

انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا نَنْصُرُهُ مَظْلُومًا فَكَيْفَ نَنْصُرُهُ ظَالِمًا قَالَ تَأْخُذُ فَوْقَ يَدَيْهِ

Maksudnya;
”Tolonglah saudara kamu yang zalim atau yang kena zalim”. Sahabat bertanya, ” Wahai rasulullah, kami boleh menolong orang yang kena zalim. Bagaimana kami mahu menolong orang yang zalim?” jawab Nabi SAW, ”kau pegang atas kedua tangannya (berhentikannya dari kezaliman)
[3]

MULIAKAN ISLAM SEBELUM UMAT ISLAM

Orang islam yang wajib diberikan kemuliaan adalah orang Islam yang benar-benar mengikut ajaran islam, dengan tidak melakukan kezaliman. Mereka diberi kemuliaan, disebabkan mereka tidak merosakan imej Islam di mata-mata manusia, tidak kira beragama Islam, ataupun terhadap orang bukan Islam.

Adapun orang kafir yang perlu diberi kehinaan, adalah orang kafir yang sering menyerang umat Islam, berusaha hendak mengeluarkan umat Islam dari negara mereka dan menzahirkan permusuhan mereka terhadap islam.

Inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ

Maksudnya;
”Wahai orang yang beriman, barangsiapa daripada kalangan kamu yang murtad daripada agamanya, pasti Allah akan mendatangkan satu kaum yang Allah menyayangi mereka dan mereka menyayangi Allah. Mereka merendah diri terhadap orang beriman dan menunjuk kemegahan terhadap orang kafir”

(Surah Al-Maidah : 54)

Adapun terhadap orang yang beragama Islam, tetapi mereka tetap melakukan kezaliman. Tidak ada kemuliaan yang perlu diberikan kepada mereka ini. bahkan, hendaklah dilakukan serangan agar mereka berhenti dari melakukan kezaliman.

Adapun jika mereka kekal dengan kezaliman, waima ditegur dan diberi nasihat berkali-kali. Mereka termasuk dibawah maksud firman Allah;

وَلَا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَى قَبْرِهِ

Maksudnya;
“jangan kamu solat atas seorang pun dari kalangan mereka yang mati sampai bila-bila pun, dan jangan kamu berdiri atas kuburnya”

(Surah At-Taubah : 84)

Mengapa begitu dahsyat dikenakan tindakan terhadap mereka?

Semuanya bersebab, kezaliman yang dilakukan mereka itu telah memberi imej buruk terhadap Islam itu sendiri, yang memungkinkan Islam dibenci disebabkan tindakan kezaliman mereka.

Adapun bagi orang bukan Islam, yang tidak menyerang Islam, dan tidak berusaha mengeluarkan umat Islam dari negara mereka, wajib diberikan keadilan terhadap mereka.

Firman Allah;

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya;
”Allah tidak halang kamu melakukan kebaikan dan keadilan terhadap non Muslim yang tidak menyerang kamu dalam agama, dan tidak mengeluarkan kamu daripada negara kamu. Sesungguhnya Allah sayang kepada orang yang melakukan keadilan”

(Surah Mumtahanah : 8)

NABI HORMATI PERJANJIAN

Nabi SAW terlalu amat menepati perjanjian. Bahkan, ia merupakan imej Islam yang dijaga oleh Nabi SAW.

Dalam perjanjian Al-Hudaibiyyah, Nabi SAW ada menerima perjanjian bahawa orang Makkah yang masuk islam setelah perjanjian dimetrai, lalu menyorok di bawah kerajaan Madinah, maka wajib Nabi SAW menghantar orang Islam tersebut.

Waima perjanjian itu ditolak oleh sebilangan besar sahabat, tetapi diterima oleh Nabi SAW. kerana, Nabi SAW melihat keuntungan Islam di masa akan datang lebih menyerlah dengan perjanjian tersebut.

Didapati, ada seorang sahabat yang telah islam setelah perjanjian dimetrai. Sahabat tersebut bernama Abu Basir.

Abu Basir seorang warganegara Makkah yang telah memeluk islam, lalu menyembunyikan diri di Negara Madinah pimpinan Nabi SAW. berita Abu Basir duduk dalam kerajaan Nabi itu sampai kepada pengetahuan orang quraiah, menyebabkan Quraish telah menghantar dua orang wakil mereka, iaitu Al-Azhar dan Al-Akhnas bin Asy-Syariq As-saqafi untuk mengambil Abu Basir pulang, mengikut perjanjian seperti yang termetrai dalam perjanjian Al-Hudaibiyyah.

Mereka berdua berjumpa dengan Nabi SAW, dan menyatakan keadaan yang sebenar. Lalu, Nabi SAW memanggil Abu basir, dan menyuruh mengikuti kedua-dua wakil quraish tersebut. Waima ditentang oleh sebilangan sahabat besar, juga Abu Basir sendiri, tetapi dengan prinsip menjaga perjanjian, waima Abu basir yang beragama Islam dibimbangi dibunuh pun, Nabi SAW menyuruh Abu Basir mengekori dua wakil Quraish untuk ke Makkah.

Dari kisah ini kita dapat melihat, bagaimana Nabi SAW amat mementingkan kesayangan baginda terhadap imej islam berbanding nyawa seorang yang beragama Islam. ini kerana, apabila imej Islam baik, ia sedikit sebanyak akan memberi gambaran kepada seluruh manusia bahawa Islam adalah agama yang bersesuaian dengan fitrah, lantaran Islam pasti akan diterima di masa akan datang.

Justeru, konsep Islam bawaan Nabi SAW perlu dicontohi, agar Islam akan berjaya terlaksana sepertimana kejayaan Nabi SAW membina negara Madinah dan seterusnya berjaya menguasai Makkah dan satu pertiga dunia.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
1 Rabiulawal 1431 – 15 febuari 2010 * 3:47 petang




[1] At-Tafsir Al-Kabir : 3/224.
[2] Abu Daud : 2486.
[3] Al-Bukhari.


YAHUDI ROSAK KERANA ORANG-ORANG ALIM MEREKA

YAHUDI ROSAK KERANA ORANG-ORANG ALIM MEREKA

Yahudi adalah satu fahaman kebangsaaan Nasionalis Bani Israel (macam perkauman melayu jika di malaysia) yang telah kufur kepada Allah. kekufuran mereka, bermula dengan penyelewengan kitab yang dilakukan oleh orang-orang alim dari kalangan mereka.

Firman Allah;

فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا فَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ وَوَيْلٌ لَهُمْ مِمَّا يَكْسِبُونَ

Maksudnya;
“Kecelakaan terhadap mereka yang menulis kitab dengan tangan-tangan mereka sendiri, kemudia mereka mendakwa “ini daripada sisi Allah”. tujuan mereka adalah untuk membelinya dengan harga yang murah. Kecelakaan terhadap mereka dengan apa yang mereka tuliskan dengan tangan-tangan mereka, dan kecelakaan terhadap mereka dengan apa yang mereka usahakan”

(Surah Al-Baqarah : 79)

Dalam kitab mereka, diceritakan tentang nabi Muhammad SAW secara terperinci. Sudah pasti, mereka amat mengenali Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah;

الَّذِينَ آَتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقًا مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya;
“Mereka yang diberikan al-Kitab (Taurat), mereka mengenali (nabi Muhammad) sepertimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. dan sesungguhnya satu puak daripada kalangan mereka menyembunyikan kebenaran dalam keadaan mereka mengetahui”

(Surah Al-Baqarah : 146)

Pun begitu, uruf dan umum masyarakat bani Israel mempunyai semangat perkauman terlalu menebal. Pada mereka, nabi akhir zaman bukan nabi dari bangsa arab, bahkan pada mereka nabi akhir zaman adalah nabi dari bangsa Bani Israel.

Ekoran itu, mereka selewengkan tentang kenabian Muhammad SAW, sehingga semua umat mereka tertipu dengan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang alim mereka sendiri.

Firman Allah;

وَغَرَّهُمْ فِي دِينِهِمْ مَا كَانُوا يَفْتَرُونَ

Maksudnya;
“Mereka tertipu dalam agama mereka sendiri, dengan apa yang mereka reka-ciptakan”

(Surah Al-Imran : 24)

Waima penyelewengan itu dilakukan oleh orang-orang alim mereka, tetapi memandangkan pengikut mereka tidak menggunakan akal yang sihat dalam menilai kebenaran, bahkan menyandarkan kepada sentiment dan semangat assobiyyah, menyebabkan mereka terus sahaja mengikut kesesatan orang-orang alim mereka sehingga mereka juga dikira sebagai golongan yang kufur kepada Allah SWT.

Firman Allah;

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

Maksudnya;
“mereka (Yahudi dan Nasrani) mengambil orang-orang alim dan para rahib mereka syirik selain dari Allah”

(Surah At-Taubah : 31)

Dalam menafsirkan ayat al-Quran ini, didatangkan satu hadis daripada seorang Kristian bernama Adi bin Hatim bahawa dia berjumpa dengan Nabi SAW dalam keadaan tengkoknya tergantung salib daripada emas.

Adi berkata kepada Nabi, “mereka (Yahudi dan Nasrani) tidak pernah menyembah orang-orang alim dan para rahib mereka”

Nabi SAW menjawab;

أطاعوهم فيما أمروهم به من تحريم حلال وتحليل حرام ، فعبدوهم بذلك

Maksudnya;
“mereka (pengikut) mentaati mereka (orang-orang alim dan para rahib) dengan apa yang mereka disuruh, daripada mengharamkan perkara halal dan menghalalkan perkara yang haram. Maka itu, sembahan mereka terhadap orang-orang alim dan para rahib mereka
[1]

Inilah penyelewengan agama yang berlaku pada yahudi dan nasrani. Semuanya berpunca daripada tidak amanahnya golongan ahli-ahli ilmu mereka terhadap kandungan kitab taurat dan injil. Mereka lebih mengikut kehendak sentimen berbanding amanah ilmu, menyebabkan kesesatan telah menimpa golongan ahli kitab sehingga tidak dapat diubatkan lagi sehingga hari ini.

Lebih parah, azab yang dijanjikan oleh Allah kepada ahli kitab ini, tidak dikenakan kepada para ilmuan mereka yang telah menyelewengkan kandungan Al-Kitab, bahkan pengikut-pengikut mereka juga dikenakan azab, disebabkan mereka menilai kebenaran bukan kepada hakikat kebenaran dan dengan akal yang sihat, tetapi menilai dengan sentimen yang wujud dalam diri mereka.

Ya Allah, kami Minta berlindung dengan-Mu daripada tertempias daripada kesesatan yahudi dan nasrani.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
1 rabiulawal 1431 – 15 Febuari 2010 * 12:48 petang



[1] Musannaf Ibni Abi Syaibah : 8/220.

RAYULAH... : PROJEK BODOHKAN MELAYU

Membaca berita dalam theMalaysiainsider hari ini yang menyatakan;

"Yang Dipertua PAS Shah Alam Khalid Samad tidak boleh berdiam diri, sebaliknya perlu menulis jika mahu jawatankuasa kerja pusat dan Majlis Syura mengkaji semula hukuman digantung jawatan parti selama enam bulan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata pihaknya akan menganggap Khalid tidak berhasrat jika enggan mengemukakan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan perlembagaan parti.

Khalid mempunyai masa 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa kerja pusat dan jika ia ditolak, boleh merayu kepada Majlis Syura.

Jawatankuasa kerja pusat sepatutnya bermesyuarat hari ini tetapi ditangguhkan kerana sambutan Tahun Baru Cina.

“Beliau (Khalid) kena merayu... beliau kena tulis, tidak boleh berdiam diri. Kalau beliau tidak menulis (mengemukakan rayuan) bagaimana kami tahu hasrat beliau... jika memberitahu kami, kami boleh putuskan tindakan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini"

Membaca berita ini, teringat babak pujuk memujuk dalam Filem 3 Abdul seperti dibawah;



yang pastinya, satu lagi projek membodohkan melayu yang dilakukan UMNO...

BIMBANG KEPUTUSAN PRU AKAN DATANG?

BIMBANG KEPUTUSAN PRU AKAN DATANG?

Jika mahu membeli ubat gigi colgate, boleh dikatakan semua kedai menjualnya. Tetapi, pembeli tetap memilih kedai kita untuk mendapatkan colgate, sudah pasti ada sebabnya tersendiri, mengapa pembeli tidak memilih membeli dari kedai yang lain.

Yang pastinya, setiap pembeli yang membeli, mereka memerlukan dua kepuasan, (1) kepuasan daripada produk dan barang yang dibeli, (2) kepuasan Psikologi dan emosi daripada interaksi dengan peniaga. (sila Klik).

Habiburrahman As-syirazi menyebut, “kalau orang haus, kita kena bagi minum, bukan bagi keropok. Macam mana sedap pun, dia tidak akan ambil kerana apa yang dia mahukan adalah minuman” (sila Klik)

Keadaan yang sama juga mungkin wajar difikirkan dalam berpolitik kini. Dalam PRU 2008, telah terbukti rakyat memberi undi protes terhadap UMNO, sama ada mereka telah memberi undi kepada PR, ataupun tidak keluar mengundi langsung. Pastinya, keputusan PRU ketika itu menyebabkan UMNO berada dalam nazak teramat sangat.

Bentuk Kerajaaan berkebajikan yang dicanang, ternyata rakyat terbuai. Berbagai-bagai tawaran dalam manifesto yang diberikan, menyebabkan rakyat telah merelakan untuk melihat PR memerintah.

Alhamdulillah, PR diberikan memerintah. Persoalannya, apakah segala janji-janji itu telah tertunai?

Kelihatan keadaan semakin kelam-kabut selepas PR menguasai. Jika kelam-kabut itu datang dari UMNO, seperti protes dalam isu kepala lembu, isu Kuil, dan sebagainya, ia tidaklah memenatkan untuk difikirkan. Ini kerana, memang dasar UMNO mengadakan protes sebegitu dikala mereka berada dalam keadaan tenat.

Masalahnya adalah, apabila kelam-kabut itu datang dari pihak parti-parti dalam PR sendiri, seperti isu Kerajaan Perpaduan, lompat parti, Muqabalah, kerjasama dengan musuh dan banyak lagi.

Onar yang sering dilakukan ini, menyebabkan meluat itu hadir dalam diri rakyat. Ia menyebabkan ramai dari kalangan rakyat mula berkata, ”PAS dan UMNO, semuanya sama. PR dan BN, semuanya sama”

Rakyat bukan menilai bahawa PAS itu perjuangkan Islam, PR itu perjuangkan keadilan. Pada rakyat, jika mahu Islam, ramai pimpinan UMNO juga beragama Islam. lebih-lebih lagi, jika ada pimpinan PAS sendiri sudah mengakui bahawa gabung dengan UMNO lebih syarie, dengan alasan islam Majoroti dalam parlimen. Dengan maksud, mengakui keislaman UMNO itu.

Yang rakyat mahukan adalah, kepuasan mereka menjadi rakyat setelah memberi undi kepada sesuatu parti. Jika mereka memberi undi kepada sesuatu parti, disebabkan janji-janji manis, sudah pasti mereka menagih janji tersebut. Tetapi, setelah memerintah, bukan janji manis berjaya ditunaikan, sebaliknya kekacauan politik yang berpunca dari pihak parti yang diberikan undi sendiri lakukan, sudah pasti ia melahirkan meluat yang teramat sangat.

Jika keadaan ini berlaku, sudah pasti keadaan dalam berhadapan dalam PRU akan datang menghasilkan natijah yang mungkin buruk.

”ana berpendapat, rakyat terlalu benci UMNO, sebab itu, kemungkinan besar UMNO akan kalah teruk dalam PRU akan datang” seorang ustaz memberi pandangan dalam satu wacana politik tertutup dalam membincangkan masa depan politik dalam PRU akan datang.

”dan ana juga berpendapat, PR akan menang dalam PRU akan datang. Cumanya, mungkin majoriti PAS akan berkurangan, disebabkan PAS banyak buat perangai. Malahan, sudah ada pimpinan PAS sendiri mengakui bahawa UMNO juga adalah Islam” sambung ustaz tersebut dengan serius sekali.

”terhadap PKR dan DAP bagaimana pula?” seorang Wakil dari Universiti tempatan menyampuk dengan soalan.

”Rakyat masih ramai percayakan Anwar Ibrahim.. PKR dan Anwar Ibrahim umpama isi dan kuku. Ia tidak boleh dipisahkan. Tanpa Anwar, PKR akan hancur” jawab seorang peguam.

”lagi pun, yang dok lompat parti, bukan Anwar, tetapi orang lain. Rakyat kenal PKR kerana Anwar, bukan kerana mereka yang lompat parti” sambung peguam itu lagi.

”DAP pula macam mana?” wakil Univerisiti itu bertanya lagi.

“Kaum Cina solid sokong PR.. kaum Cina telah meninggalkan BN” jawab peguam lagi.

Nampaknya, hujjah peguam tersebut, tidak ada seorang pun yang membantah. Kehadiran hampir 12 orang dalam wacana tertutup itu, kelihatan semuanya bersetuju dengan jawapan Peguam terbebut.

“aduh.. bimbang keadaan politik dalam PRU akan datang?” bisik hatiku.

”Nak Buat macam mana, pimpinan kita sendiri dok harap UMNO bagi makan sekarang ni; dok harap UMNO tolong dalam PRU akan datang” sindir seorang kawan. Dan aku hanya melemparkan senyuman sahaja mendengar sindiran itu.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
29 Safar 1431 – 14 Febuari 2010 * 7:30 malam.