SAYANGILAH KEADILAN ISLAM
Islam perlu diterima secara menyeluruh. Tidak boleh diambil separuh-separuh.
Firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya;
“Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara penuh. Jangan kamu ikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya ia merupakan musuh yang nyata bagi kamu”
(Surah Al-Baqarah : 208)
Ayat ini, diturunkan berkenaan dengan beberapa orang ahli kitab (yahudi), antaranya Abdullah bin Salam yang memeluk Islam. Di kala mereka memeluk islam, mereka masih lagi membesarkan beberapa amalan-amalan di zaman yahudi terdahulu, seperti memuliakan hari sabtu, membenci daripada makan dan minum daging dan susu unta dan sebagainya.
“makan dan minum susu unta dan memuliakan hari sabtu merupakan perkara perkara yang makruh dalam islam, tetapi wajib dalam agama yahudi. Justeru, kami lakukannya kerana ambil sikap berhati-hati daripada jatuh kepada perkara haram” ujar mereka.
Tindakan mereka itu ditegur oleh Allah, menyebabkan Allah menurunkan ayat 208 dari surah Al-Baqarah, menyatakan bahawa Islam tidak boleh diterima separuh-separuh, bahkan hendaklah diterima seluruhnya[1].
Jika dalam agama yahudi mengatakan tidak boleh makan unta, tetapi setelah masuk Islam, wajib mereka makan unta sepertimana umat Islam yang lain.
Tindakan mengambil separuh-separuh kandungan ajaran islam ini, telah dilakukan oleh orang yahudi terdahulu. Mereka mendapat kecaman hebat dari Allah, dengan turun firman Allah;
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ
Maksudnya;
“Apakah kamu beriman sebahagian daripada kandungan kitab, dan kamu kufuri sebahagian yang lain. Tidak ada pembalasan terhadap apa yang mereka lakukan, melainkan kehinaan hidup di dunia. Di hari kiamat nanti, mereka akan ditolak ke dalam azab yang hebat”
(Surah Al-Baqarah : 85)
ISLAM HARAMKAN ZALIM
Islam mengharamkan kezaliman. Sebarang kezaliman, wajib diserang dan dilawan. Sama ada secara tersembunyi, mahupun secara terbuka.
Menafikan hak manusia, merupakan perkara yang disifatkan sebagai kezaliman. Justeru, memberikan hak merupakan keadilan yang diperjuangkan oleh Islam.
Sabda Nabi SAW;
إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ
Maksudnya;
”Sesungguhnya Allah memberikan hak kepada mereka yang berhak[2]”
Dalam Islam, hak wajib diberikan kepada mereka yang berhak. Apabila wujud manusia yang menafikan hak, manusia itu wajar diserang dan dilawan. Tidak kira, manusia itu beragama Islam, mahupun tidak beragama Islam.
Terlebih memberi fitnah kepada agama islam itu sendiri, sekiranya kezaliman itu dilakukan oleh orang Islam. ini kerana, di kala itu Islam akan dilihat seperti tidak adil di mata-mata non Muslim ekoran kezaliman yang dilakukan oleh orang islam tersebut.
Justeru, kezaliman yang dilakukan oleh orang islam tersebut; iaitu kezaliman yang boleh memberi gambaran buruk terhadap agama Islam itu sendiri, wajar diusahakan agar diberhentikan.
Sabda Nabi SAW;
انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا نَنْصُرُهُ مَظْلُومًا فَكَيْفَ نَنْصُرُهُ ظَالِمًا قَالَ تَأْخُذُ فَوْقَ يَدَيْهِ
Maksudnya;
”Tolonglah saudara kamu yang zalim atau yang kena zalim”. Sahabat bertanya, ” Wahai rasulullah, kami boleh menolong orang yang kena zalim. Bagaimana kami mahu menolong orang yang zalim?” jawab Nabi SAW, ”kau pegang atas kedua tangannya (berhentikannya dari kezaliman)[3]”
MULIAKAN ISLAM SEBELUM UMAT ISLAM
Orang islam yang wajib diberikan kemuliaan adalah orang Islam yang benar-benar mengikut ajaran islam, dengan tidak melakukan kezaliman. Mereka diberi kemuliaan, disebabkan mereka tidak merosakan imej Islam di mata-mata manusia, tidak kira beragama Islam, ataupun terhadap orang bukan Islam.
Adapun orang kafir yang perlu diberi kehinaan, adalah orang kafir yang sering menyerang umat Islam, berusaha hendak mengeluarkan umat Islam dari negara mereka dan menzahirkan permusuhan mereka terhadap islam.
Inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ
Maksudnya;
”Wahai orang yang beriman, barangsiapa daripada kalangan kamu yang murtad daripada agamanya, pasti Allah akan mendatangkan satu kaum yang Allah menyayangi mereka dan mereka menyayangi Allah. Mereka merendah diri terhadap orang beriman dan menunjuk kemegahan terhadap orang kafir”
(Surah Al-Maidah : 54)
Adapun terhadap orang yang beragama Islam, tetapi mereka tetap melakukan kezaliman. Tidak ada kemuliaan yang perlu diberikan kepada mereka ini. bahkan, hendaklah dilakukan serangan agar mereka berhenti dari melakukan kezaliman.
Adapun jika mereka kekal dengan kezaliman, waima ditegur dan diberi nasihat berkali-kali. Mereka termasuk dibawah maksud firman Allah;
وَلَا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَى قَبْرِهِ
Maksudnya;
“jangan kamu solat atas seorang pun dari kalangan mereka yang mati sampai bila-bila pun, dan jangan kamu berdiri atas kuburnya”
(Surah At-Taubah : 84)
Mengapa begitu dahsyat dikenakan tindakan terhadap mereka?
Semuanya bersebab, kezaliman yang dilakukan mereka itu telah memberi imej buruk terhadap Islam itu sendiri, yang memungkinkan Islam dibenci disebabkan tindakan kezaliman mereka.
Adapun bagi orang bukan Islam, yang tidak menyerang Islam, dan tidak berusaha mengeluarkan umat Islam dari negara mereka, wajib diberikan keadilan terhadap mereka.
Firman Allah;
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya;
”Allah tidak halang kamu melakukan kebaikan dan keadilan terhadap non Muslim yang tidak menyerang kamu dalam agama, dan tidak mengeluarkan kamu daripada negara kamu. Sesungguhnya Allah sayang kepada orang yang melakukan keadilan”
(Surah Mumtahanah : 8)
NABI HORMATI PERJANJIAN
Nabi SAW terlalu amat menepati perjanjian. Bahkan, ia merupakan imej Islam yang dijaga oleh Nabi SAW.
Dalam perjanjian Al-Hudaibiyyah, Nabi SAW ada menerima perjanjian bahawa orang Makkah yang masuk islam setelah perjanjian dimetrai, lalu menyorok di bawah kerajaan Madinah, maka wajib Nabi SAW menghantar orang Islam tersebut.
Waima perjanjian itu ditolak oleh sebilangan besar sahabat, tetapi diterima oleh Nabi SAW. kerana, Nabi SAW melihat keuntungan Islam di masa akan datang lebih menyerlah dengan perjanjian tersebut.
Didapati, ada seorang sahabat yang telah islam setelah perjanjian dimetrai. Sahabat tersebut bernama Abu Basir.
Abu Basir seorang warganegara Makkah yang telah memeluk islam, lalu menyembunyikan diri di Negara Madinah pimpinan Nabi SAW. berita Abu Basir duduk dalam kerajaan Nabi itu sampai kepada pengetahuan orang quraiah, menyebabkan Quraish telah menghantar dua orang wakil mereka, iaitu Al-Azhar dan Al-Akhnas bin Asy-Syariq As-saqafi untuk mengambil Abu Basir pulang, mengikut perjanjian seperti yang termetrai dalam perjanjian Al-Hudaibiyyah.
Mereka berdua berjumpa dengan Nabi SAW, dan menyatakan keadaan yang sebenar. Lalu, Nabi SAW memanggil Abu basir, dan menyuruh mengikuti kedua-dua wakil quraish tersebut. Waima ditentang oleh sebilangan sahabat besar, juga Abu Basir sendiri, tetapi dengan prinsip menjaga perjanjian, waima Abu basir yang beragama Islam dibimbangi dibunuh pun, Nabi SAW menyuruh Abu Basir mengekori dua wakil Quraish untuk ke Makkah.
Dari kisah ini kita dapat melihat, bagaimana Nabi SAW amat mementingkan kesayangan baginda terhadap imej islam berbanding nyawa seorang yang beragama Islam. ini kerana, apabila imej Islam baik, ia sedikit sebanyak akan memberi gambaran kepada seluruh manusia bahawa Islam adalah agama yang bersesuaian dengan fitrah, lantaran Islam pasti akan diterima di masa akan datang.
Justeru, konsep Islam bawaan Nabi SAW perlu dicontohi, agar Islam akan berjaya terlaksana sepertimana kejayaan Nabi SAW membina negara Madinah dan seterusnya berjaya menguasai Makkah dan satu pertiga dunia.
Sekian
Wallahu ’Alam
Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com
- Sri Indah (B), Sg Buloh
1 Rabiulawal 1431 – 15 febuari 2010 * 3:47 petang
[1] At-Tafsir Al-Kabir : 3/224.
[2] Abu Daud : 2486.
[3] Al-Bukhari.
2 ulasan:
kalau hang sayangkan islam!
1.hang bagitau sat!bagaimana nak tubuhkan sebuah kerajaan islam di malaysia!Dalam konteks sekarang!!
2.Hang tak payah keluaqkan dalil pun tak pa!hang bagi tau cara pelaksanaannya!langkah-langkahnya!mula dari A hingga Z!!
3.bukan teorinya!hang faham!
keadilan Islam memang bagus..
Tapi pemimpin Islam yg adil susah nak dapat...
Renung2 kan sekejap...
Catat Ulasan