Isnin, 18 Oktober 2010

JANGAN DIKHIANATI RUANG DAKWAH DALAM PR [1]

[1]

Nabi SAW tidak kekal berada di Makkah, walhal nabi SAW anak kelahiran Makkah. Apabila didapati, sokongan terhadap Islam terbukti berlaku di madinah [ketika itu bernama Yasrib], nabi SAW mengambil keputusan berhijrah bersama para sahabat ke sana. keputusan Nabi SAW itu, bukan kerana tidak tahan melihat penyeksaan yang dilakukan oleh kaum Quraish terhadap para sahabat semata-mata, sebaliknya yang paling penting adalah ruangan dakwah terbuka luas.

Jika dikatakan kerana tidak tahan dengan penyeksaan yang dilakukan oleh Quraish terhadap para sahabat penyebab hijrah berlaku, adalah lebih utama Nabi SAW tidak berpindah ke Yasrib, tetapi menuju ke Habsyah yang terbukti bahawa di sana ada seorang raja yang beragama kristian yang tidak melakukan pengkhianatan kepada rakyatnya dan rakyat dari negara luar. Menariknya, raja tersebut akhirnya memeluk Islam, waima tidak diketahui rakyatnya sendiri. Ini dibuktikan, dengan tindakan Nabi SAW manunaikan solat ghaib terhadap jenazah Raja Habsyah apabila dikhabarkan kematian beliau. [Al-Bukhari : 1168]

[2]

Apabila dihayati pada keputusan nabi SAW untuk berhijrah ke Madinah, ia tidak mungkin sengaja dilakukan oleh Baginda SAW tanpa mempunyai tujuan dan motif. Justeru, semua tindakan Nabi SAW itu mempunyai tujuannya tersendiri. Lebih-lebih lagi, didapati Madinah ketika itu mempunyai faktor-faktor berikut;

Pertama;

Rakyat madinah sedang berhadapan dengan dilema perang saudara; iaitu melibatkan antara Aus dan Khazraj. Peperangan yang berlanjutan ratusan tahun [ada riwayat kata 400 tahun, dan ada riwayat lain pula kata 140 tahun], menyebabkan rakyat Madinah sudah muak dengan keadaan yang berlaku. Keadaan ini menyebabkan rakyat mahukan alternatif.

Apabila As’ad bin Zurarah sebagai ketua kabilah Khazraj ketika itu telah ke Makkah untuk meminta bantuan kewangan dan ketenteraan dari kerajaan makkah dalam misi menyerang Kabilah Aus, ternyata hatinya terbuka untuk menerima Islam sebagai agama pegangan hidup, apabila terlihat sebatang tubuh yang bernama Muhammad SAW, dan mendengar ulasan nabi SAW dari firman Allah dari surah Al-An’am ayat 151 dan 152 sejurus melakukan tawaf Wida’ di Kaabah, iaitu setelah ‘frust’ tidak dapat bantuan dari Makkah menerusi lidah wakilnya yang bernama ‘Utbah bin Rabi’ah.

Firman Allah dari Surah Al-‘An’am itu adalah;

قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ * وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya;
“Katakanlah: "Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut kemiskinan, Kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar." Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya) * Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai ia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban kepada sesorang melainkan sekedar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, kendatipun ia adalah kerabat(mu), dan penuhilah janji Allah. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat”

[Al-An’am : 151-152]

Ucapan syahadah terus terpancul dari lidah As’ad bin Zurarah sejurus mendengar firman Allah ini, menandakan keislaman beliau. Ungkapan sastera yang maha indah disamping ajaran kehidupan menerusi Firman Allah SWT itu, ternyata melunakkan hatinya, malahan memujuk-mujuk dirinya agar mencadangkan kepada Nabi SAW supaya ke yasrib untuk menyelesaikan perbalahan antara Aus dan Khazraj dengan ajaran yang maha indah ini.

Nabi SAW menolak untuk hadir ke Yasrib pada tahun itu, tetapi bersedia ke sana di masa akan datang. Ternyata Nabi SAW dan para sahabat dari warganegara Makkah telah bertolak ke yasrib dalam peristiwa sejarah hijrah yang cukup bermakna, sehinggakan nama Yasrib yang dikenali, sudah berubah kepada Madinah Al-Munawwarah yang dicintai.

Dengan pulangnya As’ad ke Yasrib pada tahun itu, menyebabkan 12 orang telah memeluk islam. 12 orang ini telah mengadakan pertemuan bersama dengan Nabi SAW di musim haji dalam sejarah Perjanjian Aqabah, seterusnya berlaku pula perjanjian aqabah yang kedua yang sudah mencecah ratusan orang, lantaran terbukti penerimaan terhadap ajaran Nabi SAW itu amat memberansangkan. Ia tidak lain dan tidak bukan, kerana rakyat Yasrib sudah benci dengan kekacauan dalam negara, sehinggakan kehadiran ajaran islam yang membawa kehidupan ini mudah diterima.

Kedua;

Antara faktor yang terkuat juga menyebabkan rakyat madinah mudah menerima nabi SAW adalah kerana Madinah terdedah dengan kepelbagaian agama, termasuk agama samawi yang diselewengkan, iaitu yahudi dan nasrani.

Di Madinah, terdapat tiga kaum yahudi terbesar, iaitu bani Nadhir, Bani Qainuqa’ dan Bani Quraizah, disamping terdapat juga sebilangan kecil yang beragama nasrani.

Orang yahudi dan nasrani sering bercerita tentang kedatangan Nabi SAW menerusi kitab mereka. Semua ini didengari oleh rakyat Madinah yang berbangsa arab. Ekoran itu, apabila mereka terbukti melihat Nabi SAW, menyebabkan mereka beriman dan menerima Nabi SAW.

Adapun orang yahudi, mereka tidak beriman dengan Nabi SAW, bukan kerana mereka tidak mengakui kebenaran Nabi SAW. Tetapi, penolakan mereka terhadap Nabi SAW adalah berfaktorkan dengki yang wujud dalam hati mereka.

Firman Allah;

وَدَّ كَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya;
“Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, karena dengki yang (timbul) dari diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka ma'afkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”

[Al-Baqarah : 109]

Ketiga;

Madinah adalah negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum. Keadaan ini, penyebabkan Madinah mempunyai pemikiran yang agak ‘open minded’ berbanding rakyat Makkah yang rakyatnya terdiri dari kalangan orang arab sahaja. Di Makkah, jika wujud bangsa lain pun, mereka adalah golongan kelas ke-2 dan ke-3, sepertimana wujudnya orang-orang afrika yang berkulit hitam yang menjadi hamba.

Semangat perkauman di kalangan arab Madinah agak nipis jika mahu dibandingkan dengan rakyat makkah. Semuanya berpunca dari pergaulan mereka dalam negara. Perkara seperti ini tidak wujud di Makkah.

Memandangkan pemikiran yang agak ‘open minded’, tidak hairan Nabi SAW mudah di terima di madinah, walhal Nabi SAW ketika itu belum menjejakkan kakinya lagi di madinah, dan Nabi SAW juga bukan anak bangsa Madinah.

Keempat;

Apabila keadaan rakyat yang berbilang kaum dan berbilang agama, ditambahi pula dengan pertelingkahan dan perang saudara yang menyebabkan rakyat Madinah sering berharap alternatif, makanya ruang dakwah di madinah agak terbuka jika mahu dibandingkan di Makkah. Disedari keadaan ini, tidak hairan nabi SAW memilih Madinah sebagai destinasi untuk menubuhkan kerajaan islam, tidak di negara lain, termasuk Habsyah.

[3]

Juga jika diselidiki, mengapa Nabi SAW tidak memilih Habsyah sebagai destinasi tertubuhkan kerajaan Islam. Dari ini, dinyatakan sebabnya adalah seperti berikut;

Pertama;

Raja kerajaan Habsyah adalah raja yang disifatkan oleh Nabi SAW sebagai raja yang tidak melakukan kezaliman kepada rakyatnya, malahan nabi SAW memuji rajanya itu sebagai orang yang cerdik, berilmu dan adil, walhal An-najasyi tidak beragama islam.

Nabi SAW pernah berkata;

إن بأرض الحبشة ملكا لا يظلم أحد عنده ، فالحقوا ببلاده حتى يجعل الله لكم فرجا ومخرجا مما أنتم فيه

Maksudnya;
“Sesungguhnya di bumi Habsyah ada seorang raja yang tidak menzalimi seorang pun. Hubungkanlah dirimu di negaranya hingga Allah menjadikan bagi kamu kebebasan dan ruang keluar daripada keadaan [kesusahan] yang kamu sedang hadapi ini”

[Dalail An-Nubuwwah : 596]

Namun begitu, dari sudut sejarah didapati rakyat Habsyah mempunyai semangat dan pegangan agama kristian yang cukup kuat, yang sukar untuk menghapuskan doktrin keagamaan tersebut. Rakyat Habsyah tidak sepertimana rakyat madinah dari sudut keterbukaan atau ‘open minded’. Keadaan ini menyukarkan usaha penubuhan kerajaan Islam, disamping kesukaran hubungan bahasa percakapan antara Nabi SAW dengan rakyat Habsyah.

Kedua;

Dari sudut nas ilahi, sesebuah negara yang tidak berlaku kezaliman dan penindasan, negara itu tidak akan diturunkan azab oleh Allah SWT, waima rakyat-rakyatnya tidak beriman dengan Allah SWT.

Ini disandarkan kepada firman Allah;

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

Maksudnya;
“Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan”

[Hud : 117]

Dalam menafsirkan ayat ini, Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan;

“Allah SWT tidak akan membinasakan ahli sesebuah negeri dengan semata-mata rakyatnya adalah musyrikin, iaitu sekiranya mereka melakukan islah [berbuat baik] dalam hubungan sesama mereka”

[Daur Al-Qiyam Wa Al-Akhlak fi Al-Iqtisad Al-Islami : 355]

Malahan, menurut Ibnu Asyur dalam kitab Maqasid Syariah Islamiah, beliau ada berkata;

“Sesungguhnya Allah SWT menghantar Musa AS kepada kaum Bani Israel, kerana untuk menyelamatkan Bani Israel dari kefasadan Firaun. Lantaran kami ketahui, bahawa maksud daripada kefasadan [firuan] itu bukan kerana kekufurannya, tetapi kerana kefasadan amal yang dilakukan firaun atas muka bumi. [jika mahu dilihat dari sudut agama] bani Israel tidak mengikut firuan pada sudut kekufurannya”

[Maqasid As-Syariah Al-Islamiyyah : 63]

Hujjah dari Ibnu Asyur adalah banyak, antaranya adalah dia berdalilkan kepada firman Allah;

وَقَالَ مُوسَى لِأَخِيهِ هَارُونَ اخْلُفْنِي فِي قَوْمِي وَأَصْلِحْ وَلَا تَتَّبِعْ سَبِيلَ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya;
“Dan berkata Musa kepada saudaranya yaitu Harun: "Gantikanlah aku dalam (memimpin) kaumku, dan perbaikilah, dan janganlah kamu mengikuti jalan orang-orang yang membuat kerusakan”

[Al-A’raf : 142]

Dan lagi firman Allah;

إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلَا فِي الْأَرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًا يَسْتَضْعِفُ طَائِفَةً مِنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَاءَهُمْ وَيَسْتَحْيِي نِسَاءَهُمْ إِنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Fir'aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir'aun termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan”

[Al-Qasas : 4]

Jadi, dari segi ini difahami mengapa Nabi SAW memilih madinah berbanding Habsyah untuk memulakan gerakan pembinaan kerajaan islam, seterusnya islam memerintah separuh dunia selepas kewafatan nabi SAW.

Bersambung…………

Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg buloh
19 Oktober 2010 * 2:53 Pagi

Ahad, 17 Oktober 2010

CATITAN : SEHARIAN DI KEDAI KOPI

Semasa belajar di Al-Azhar dahulu, mata pelajaran yang paling aku minat adalah Usul Fiqh. Faktor pemikiran aliran mazhab-mazhab islam, mungkin penyebab utama mata pelajaran itu aku minati.

Di Pakistan, aku pernah belajar di Jamiah Abu bakar As-Siddiq, Gulshan-e-Iqbal, Karachi. Jamiah itu adalah sebuah universiti Islam [Cawangan Madinah Munawwarah] beraliran salafiyyah, yang ramai melebelkannya sebagai ‘sekolah wahabi’. Jiwaku tidak sealiran dengan cara berfikir aliran ini, kerana padaku, cara mereka mengistinbatkan hukum, agar tidak cermat sepertimana aliran mazhab-mazhab islam yang lain. Lantaran, aku merubah haluan, dengan mendaftarkan diri ke Univerisiti islam yang bermazhab hanafi aliran deobandi di pakistan, iaitu Jamiah Farooqiyyah. Padaku, Imam Hanafi adalah unik, lantaran aku sanggup meninggalkan jamiah Abu Bakar As-Siddiq, dan menghubungkan dengan Jamiah Farooqiyyah yang beraliran Mazhab Hanafi.

Namun, sikapku menukar jamiah itu mendapat sedikit tidak puas hati dari sebilangan kawan-kawan yang berbangsa pakistan dan Afghanistan. Sehinggakan, ketika aku hadir dalam majlis Khatam Bukhari di Jamiah Salafiyyah itu, atau dalam budaya Pakistan disebut sebagai ‘dastarbandi’, aku didatangi kawan-kawan lama di jamiah Abu bakar berbangsa Afghanistan.

“apakah kamu tidak menyanyangi Salaf?” soal seorang kawan berbangsa Afghanistan dalam bahasa arab yang fasih.

Soalan itu, menyebabkan aku tersenyum. Aku tahu, soalan itu merupakan sindirannya terhadapku yang meninggalkan jamiah salafiyyah, dan menggabungkan diri dengan jamiah Ahnaf, yang mereka melihat seperti kurang pengamalan sunnah.

Sambil tersenyum, aku menjawab dalam bahasa arab, “Demi Allah, aku mengetahui Imam Hanafi adalah ulama salaf. Justeru, aku belajar di Jamiah aliran Mazhab Hanafi”

Kawanku berbangsa afghan itu tersenyum mendengar jawapanku, dan beliau tidak mampu menjawab lagi. Jawapanku itu, menyebabkan seorang lagi teman berbangsa afghan ketawa kuat.

USUL FIQH

Semasa di Mesir, kitab usul fiqh adalah kitab wajib bagi diriku. Ia menjadi kitab bacaan harian. Walau aku dikenali sebagai kaki tidur semasa di mesir, tetapi kitab usul fiqh, pasti aku sentuh pada setiap hari, walau kitab lain tidak disentuh. Minatku kepada mata pelajaran itu, sehingga selesai pengajianku di mesir. Malahan sehingga kini, kitab usul fiqh masih menjadi bacaan harianku.

Hari ini, aku dengan jadual harianku ke sebuah kopitiam di Sungai Buloh untuk menelaah kitab usul Fiqh, dan membaca dua buah buku lagi, iaitu buku yang berbicara tentang konsep Hisbah dalam islam, dan buku karya Abuya Hamka, Falsafah hidup.

Semasa sedang menulis nota usul fiqh, aku ditelefon oleh Saudara Eekmal, seorang yang aku sifatkan sebagai ‘perpustakaan bergerak’, dan ‘klon ilmu pak Khalid Jaafar’ . Diajak ke Jalan telawi, untuk berwacana bersama-sama sahabat-sahabat di sana. Aku menerima ajakan itu. Setelah menunaikan solat asar, aku terus ke sana.

Sesampai di sana, banyak perkara yang diwacanakan kami sambil menyantap makanan. Watak Tan malaka dibicarakan, cerita PAS dan PKR juga disentuh, tidak ketinggalan juga cerita-cerita lawak bagi memeriahkan ‘lepak ilmiyyah’ kami.

Berhenti sekejap menunaikan solat, dan disambung balik. Lepak kami itu berlanjutan sehingga jam di tangan menunjukkan jarum hampir 9 malam, dan kemudian kami bersurai. Lepak malam ini di Telawi, agak kurang meriah berbanding biasa. Mungkin kerana tidak dihadiri Pak Khalid, tokoh yang aku sifatkan sebagai ‘filosofi yang mempunyai pengetahuan tentang aliran islam, juga aliran tidak islam. diberitakan bahawa beliau demam, setelah pulang dari Indonesia baru-baru ini.

Kemudian, aku terus memandu kereta menuju pulang. Dalam perjalanan, aku menerima SMS oleh seseorang yang tidak dikenali untuk ajak lepak di salah sebuah kedai di kawasan Sungai Buloh. Aku menyatakan, tidak bersedia, kerana agak keletihan. Namun, aku membalas SMSnya, dengan bertanya tentang topik apa mahu berbual denganku, sehingga kelihatan agak bersungguh-sungguh untuk bertemu.

Dinyatakan, mahu minta nasihat untuk membina surau. Aku nyatakan, aku tidak ada pengalaman, lalu diberikan nombor telefon Saudara Khairuddin, orang yang mempunyai hubungan rapat dengan Dato’ Hasan Ali [Setiausaha Perhubungan PAS Selangor] , yang sudah pasti mempunyai pandangan yang bernas tentang pembinaan Surau kerana Dato’ Hasan Ali adalah exco agama di Negeri Selangor. Di balas lagi SMS, untuk tetap mahu berjumpa denganku di salah sebuah kedai mamak di sekitar Sungai Buloh, kerana mahu berbincang tentang usaha hendak mengadakan majlis Solat Hajat dan ceramah agama.

Aku keletihan, dan aku nyatakan bahawa esok sahaja bertemu. Dan ternyata dia bersetuju. Sudah seharianku berada di kedai kopi, dan esok episod hidupku di kedai kopi akan berulang kembali.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg buloh
18 Oktober 2010 * 12:32 pagi

Jumaat, 15 Oktober 2010

BAJET 2011 : NAJIB YAKIN UMNO/BN KALAH PRU?

Ini gula-gula UMNO/BN

membaca berita yang berbicara tentang bajet 2011, hati kecilku terus bertutur, "malam tadi, mungkin rosmah 'racun' kepala najib pasal projek dia kot. tu yg tak pasal2 ucapan akhir bajet najib tadi, disebut secara khusus projek rosmah itu tanpa disebut nama isterinya yang disayangi".

antara yang menarik tentang bajet ini adalah;

pertama,

Elaun untuk JKKK, JKKKP dinaikkan kepada RM800 sebulan

komen,

ini adalah galakkan kepada Ketua UMNO cawangan agar bekerja keras untuk PRU akan datang.

kedua,

dalam bajet, dinyatakan bahawa RM6.9 bilion pula diperuntuk untuk bina infrastruktur seperti membina jalan luar bandar dan untuk membina jalan luar bandar

komen,

ini adalah usaha pertama untuk menaikkan semangat Kontraktor UMNO melabur untuk UMNO dalam berhadapan dengan PRU akan datang.

pun begitu, walau 6.9 b diperuntuk untuk Infra, ia tidak bermakna kontraktor UMNO mesti menaruh keyakinan untuk melabur kepada UMNO untuk PRU akan datng. ini kerana, gambaran umum bajet 2011 ini membuktikan bahawa najib tidak yakin lagi bhw dia akan kekal sbgi PM selepas PRU...

ketiga,

Duti import kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan di antara 3 dan 5 peratus dimansuhkan bagi menjadikan Malaysia syurga beli belah.

komen,

Ini mengembirakan para penshoping. apa khabar Rosmah. Apa agaknya rosmah goreng kat najib sebelum bajet ini dibuat yer??

antara kesimpulanku adalah seperti berikut;

pertama;

bajet 2011 membuktikan Najib sudah hilang keyakinan untuk merampas 4 buah kerajaan Negeri PR, malahan ia juga terpaksa menipu dirinya bahawa UMNO/BN akan jatuh pada PRU akan datang....

kedua:

kelihatan orang yg terlibat dalam menyiapkan bajet mendapat keuntungan dalam bajet 2011.... cuba siasat, siapa yg siapkan bajet najib ini...

ketiga:

bajet tok batin naik dari RM 450 kepada RM 800... wah ini usaha menarik pengaruh di sabah dan serawak... Batu Sapi apa khabar??

keempat;

dapat sms kata, "seluar dalam telah dimansuhkan cukai"... bajet ini tidak adil, kerana memberi keuntungan kepada mereka yang pakai seluar dalam sahaja.... apakah kerajaan tidak memikirkan hak mereka yang tidak pakai seluar dalam??? hahahahaha...

kelima:

bajet 2011 bukan bajet PRU, kata Muhyiddin. apa motif Muhyiddin kata macam tu?? jeng jeng...jeng

sekian

Wallahu 'Alam


Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg buloh
16 Oktober 2010 * 1:38 pagi

Rabu, 13 Oktober 2010

TARBIAH UNTUK KEMENANGAN ISLAM DI GALAS

[1]

Kemangkatan Ayahanda, Sultan Morad ternyata menyedihkan Sultan Muhammad yang kemudiannya mendapat gelaran Al-Fateh. Walau berumur 19 tahun, tidak dapat tidak jawatan sultan terpaksa ditanggungnya.

Berbekalkan ilmu Islam yang diajar oleh Syaikh Al-Bairam dan As-Syaikh Syamsuddin Al-Wali, disamping ilmu peperangan ajaran Panglima tarhan, ternyata ia membangkitkan semangat Sultan Muhammad untuk berusaha untuk memerdekakan Kota Konstentinopel yang masih berada di bawah kekuasaan kerajaan zalim yang bertopengkan agama Kristian.

Setiap malam, setelah bertahajjud dan membaca Al-Quran, dia merenung dan bertadabbur dengan maksud Sabda Nabi SAW menerusi hadis riwayat Ahmad yang bermaksud, “kota Konstentinopel akan dibuka. Rajanya baik, dan tenteranya juga baik”. Renungan dan tenungan yang mendalam mengingatkannya kepada pesanan ayahandanya yang sering memberi semangat kepadanya agar selamatkan kota konstentinopel dari kezaliman berwajah agama.

Azamnya semakin kuat, apabila di awal permasyhurannya sebagai Sultan bahawa dia didatangi oleh beberapa menteri-menteri dari kerajaan kristian Kota Konstentinopel dengan mahu memberi hadiah perempuan dan kemewahan harta. Ternyata, kemegahan dan keseronokkan dunia ini, berjaya ditolak Sultan Muhammad dengan mentah.

Semua kenangan-kenangan yang merupakan mimpi ngeri bagi Sultan yang berjiwa Islam ini, melahirkan ingat-ingatan dan mimpi-mimpian agar segera merancangan untuk menguasai Kota Konstentinopel. Jika lambat bertindak, masakan menang, kekalahan di pihak islam adalah tersangat hampir.

Dia mula mentarbiah dirinya agar menjadi orang bertaqwa. Kemewahan dunia dihadiahkan kepada rakyat, kesenangan hidup digadaikan dengan beribadat, kekenyangan perut disedekahkan dengan berpuasa, kesedapan tidur dinyenyakkan dengan kekusyukan bertahajjud.

Tidak sekadar itu, Sultan Muhammad Al-Fateh mula menggerakkan tentera-tenteranya dengan tarbiah kerohanian dan jasmani. Malam ditarbiah dengan tahajud, bacaan dan tadabbur Al-Quran, tazkirah hadis-hadis Nabi SAW atas bimbingan Syaikh Syamsuddin Al-Wali disamping baginda Sultan turut sama dalam program tarbiah tersebut. Di siang harinya pula, baginda sendiri mencemar duli memeriksa latihan ketenteraan pimpinan Panglima Tarhan.

Hampir setengah tahun latihan ketenteraan yang menekankan dua asas utama, iaitu rohani dan jasmani, baginda Sultan mula tertanya-tanya, betapa tinggi neraca ketaatan tentera-tenteranya yang melayakkan mereka mendapat gelaran ‘tentera yang baik’, yang melayakkan kejayaan menguasai Kota Konstentinopel.

Satu malam, Sultan Muhammad Al-Fateh mula tidak makan dan minum. Dia mempamerkan kemurungan teramat sangat. Keadaan ini membimbangkan ramai tentera, sehingga semua tentera mula memperkatakan tentang kesihatan Tuanku Sultan.

Sultan mengarahkan dua orang tentera yang dilihat agak nakal berbanding yang lainnya; watak yang agak kurang ‘wara’’ agar datang mengadap. Dititahkan agar mendapatkan buah delima pada malam itu juga sebagai santapan baginda Sultan.

Sebelum itu, Sultan telah berpakat dengan seorang tuan kebun Delima yang berada berhampiran, agar menyorokkan diri dari diketahui dua tentera tersebut.

Pada malam itu juga, dua orang tentera latihan Sultan Muhammad Al-Fateh telah ke kebun Delima berhampiran untuk mendapatkan buah delima untuk menjadi santapan Sultan yang dianggap sebagai sedang kegeringan. Mereka berjumpa kebun delima, tetapi sudah puas mereka mencari, ternyata mereka tidak bertemu dengan tuan kebun delima terbabit.

“kita ambil sahaja buah delima ini, walau tidak mendapat keizinan dari tuan kebunnya” salah seorang tentera itu mula bercakap nakal.

“Ish.. Aku tidak mahu curi, kerana ia terkutuk dalam Islam”, seorang lagi menyatakan bangkangan.

“alah… lagi pun, ini negeri sultan Muhammad, dan buah delima yang mahu kita ambil ini pun untuk santapan sultan Muhammad”

“Eh… aku tidak redha Sultanku makan makanan haram. Aku tidak rela semua ini berlaku sebagai rakyat dan tentera”

Ungkapan tentera terbabit, menyebabkan seorang tentera lagi menundukkan kepalanya. Dia tersedar bahawa dia tersilap memberi cadangan yang agak nakal itu.

Memandangkan usaha mereka hampir setengah malam untuk mendapatkan tuan kebun Delima tidak berhasil, menyebabkan mereka pasrah untuk menyatakan keadaan sebenar berlaku kepada Tuanku Sultan.

“Ampun tuanku, kami tidak berjumpa dengan tuan kebun Delima, waima kami berjumpa dengan kebun delima” salah seorang dari dua orang tentera itu mengungkapkan keampuan.

“kalau sudah ada kebun delima, mengapa tidak diambil sahaja buah delima yang ada. Inikan kerajaan beta” Sultan Muhammad Al-Fateh agak mengangkat suara.

Mereka berpandangan sesama mereka. Lalu, seorang lagi berkata, “ampun tuanku, sebagai tentera kepada kerajaan Tuanku, kami tidak rela Sultan kami makan makanan yang haram. Justeru, kami tidak bersedia mencuri buah delima itu”

Jawapan itu, menyebabkan mata Sultan Muhammad Al-Fateh menitiskan air. Dia menangis gembira dengan jawapan ringkas dari tenteranya itu. Baginda Sultan terus meletakkan tanggapan bahawa tentera-tenteranya adalah tentera yang baik. Sudah mempunyai kelayakkan mencapai kemenangan dalam medan perang dalam memerdekakan kota Konstentinopel dari kezaliman bertopeng agama kristian.

Apabila peperangan terjadi, ternyata Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya adalah pembenar apa yang terkandung dalam hadis Nabi SAW riwayat Imam Ahmad yang menyatakan bahawa “Kota Konstentinopel akan dibuka. Rajanya baik, dan tenteranya juga baik”.

[2]

Tarbiah yang diamalkan Sultan Muhammad Al-Fateh, bukan bermula dari tenteranya, tetapi bermula dari dirinya. Apabila Sultan sudah mempunyai kesanggupan yang amat tinggi dalam mendekatkan dirinya kepada Allah, tidak hairan tenteranya turut sama mencontohi.

Sebagai raja, Sultan Muhammad Al-Fateh sedar bahawa tindakannya adalah ikutan. Lantaran, dia mengambil azimah berbanding rukhsah dalam pembentukan dirinya dan juga tentera-tenteranya.

Sultan Muhammad Al-Fateh turut sama berada dalam kesusahan ketika latihan ketenteraan dan peperangan tercetus. Gandingan raja yang bertaqwa dengan tentera yang meletakkan kecintaan kepada Allah dan Rasul melebihi segala-galanya, menyebabkan Islam berjaya menguasai peperangan.

Ketika tentera berada dalam latihan, Sultan Muhammad Al-Fateh tidak berada dalam hotel mewah setara hotel Mayang Sari di Bagan Pinang, tidak mengharapkan kesenangan sehingga menuntut wang sebanyak lebih RM 65 ribu, malahan hampir RM 100 ribu seperti yang berlaku dalam PRK di Ulu Selangor.

Perbelanjaan Wang benar-benar digunakan untuk mencapai hasrat untuk menjatuhkan musuh-musuh islam, lantaran dalam 8 siri peperangan, kewangan tidak sampai RM 10 ribu sahaja digunakan, berbanding pemimpin kebendaan yang berwajah [kononnya] beragama, tetapi dalam satu peperangan sahaja sudah menuntut hampir Rm 65 ribu.

Keadaan ini tidak wujud pada Sultan Muhammad Al-fateh, lantaran tidak hairan dalam misi peperangan yang berlaku, Islam mencapai kejayaan yang gemilang, sehingga Kota Konstentinopel berjaya dikuasai oleh tentera islam sehingga kini dikenali dengan nama Istanbul.

Inilah rahsia kemenangan tentera islam di zaman Sultan Muhammad Al-Fateh, yang wajar diambil perhatian oleh pemimpin dalam mana-mana parti yang memperjuangkan islam, khususnya hampir dengan PRK DUN Galas. Sebelum menilai tarbiah ahli, pemimpin hendaklah mengambil azimah berbanding rukhsah; mengambil jalan susah berbanding kemewahan. Semuanya untuk memastikan keredhaan Allah bersama dengan tentera-tentera Islam dalam melawan musuh-musuh Allah SWT.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg buloh
14 Oktober 2010 * 4:37 Pagi

Rabu, 6 Oktober 2010

PAS BERSAMA PR, PENYEBAB KETARA ISLAMPHOBIA TERHAPUS DI MALAYSIA

Seseorang yang menaiki motosikal, lalu terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan kecederaaan parah, seperti cacat. Setelah dimasukkan ke dalam hospital, dan mendapat rawatan, ternyata dia sihat kembali.

Namun, dia sudah tidak lagi menunggang motosikal, ekoran fobia. Apabila dihulur kunci motorsikal, mimpi ngeri tentang kemalangan lalu mula terbayang dalam fikirannya. Perkara ini, sering menghantui perasaannya, malahan memberi kesan yang cukup besar pada kehidupannya.

Keadaan yang sama juga menimpa Islam selepas kejadian pelanggaran dua buah kapal terbang terhadap dua buah bangunan mercu negara amerika, WTC. Agama Islam dianggap sebagai agama ganas, dan Umat Islam pula dituduh sebagai pengganas. Semuanya berpunca tuduhan melulu Bush yang merupakan Presiden Amerika ketika itu mengatakan bahawa tindakan itu merupakan serangan jahat dari Osama bin Laden.

Selepas kejadian itu, banyak penyelidikan yang dilakukan. Sehinggakan, ramai berpendapat bahawa serangan itu sebenarnya adalah satu konspirasi jahat yang sedang dilakukan oleh orang-orang yahudi.

MALAYSIA

Dengan kejadian 11 september, di negara barat, tekanan yang tertimpa terhadap orang bukan islam amat ketara kelihatan. Keadaan semakin rumit, sehinggakan Istilah fiqh Al-Aqalliyat [fiqh minoriti] yang dilontarkan oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi mula mendapat tempat yang cukup meluas.

Namun, pemikiran orang barat tidak seperti orang disebelah timur. Mungkin terkesan dengan budaya pencerahan yang bermula dari serangan beberapa tokoh-tokoh pencerahan terhadap zaman kegelapan Eropah yang didokong oleh agamawan paderi, sepertimana yang dilakukan Ammanual kant, William Harvey, René Descartes, Spinoza dan banyak lagi, menyebabkan orang barat tidak melihat perkara ini dengan pandangan selapis, sebaliknya dilihat dari sudut rasional berbanding emosional.

Keadaan itu menyebabkan ramai dari kalangan orang barat mula ‘bertanya’ dan mengkaji islam. ternyata, keadaan itu menyebabkan perubahan di kalangan masyarakat barat terhadap Islam semakin lama semakin positif, malahan ternyata sudah ramai dari kalangan orang barat yang sudah memeluk islam.

Ia benar-benar meyakinkan kita kepada firman Allah SWT;

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

Maksudnya;
“Mereka telah melakukan perancangan, dan Allah SWT juga telah merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancangan”

[Surah Al-Imran : 54]

keadaan ini, bukan sekadar berlaku di barat, malahan berlaku juga di Malaysia. Di malaysia, Islamphobia ini, boleh disifatkan berlaku dari dua faktor, [1] dari pihak orang bukan islam, dan [2] dari pihak orang islam sendiri.

FAKTOR DAN PUNCA

Tidak dinafikan, orang bukan islam di Malaysia mempunyai pergaulan dengan orang-orang islam. keadaan ini sepatutnya, perlu dijadikan sebagai ruang mereka dalam bertanya tentang islam.

Mungkin faktor tidak tercetus sebarang isu Islam yang mempunyai kaitan dengan mereka, menyebabkan mereka tidak pernah ingin mengambil tahu tentang islam, ataupun mungkin faktor ketaassuban kepada agama masing-masing, tanpa mempunyai keinginan untuk ‘skaptikal’ dengan agama mereka dalam mencari kebenaran, menyebabkan mereka kekal dalam keadaan tidak melayan agama Islam.

Ini dipanaskan lagi, apabila isu-isu yang melibatkan umat islam, boleh dikatakan kelihatan umat islam dilihat seperti ganas, yang menyebabkan sifat mahu menjauhkan diri dengan islam semakin hari semakin kelihatan. Ekoran itu, Islam tidak berjaya disebarkan secara meluas kepada orang bukan islam, malahan ia juga melahirkan persepsi atau gambaran awal bahawa mereka gerun dan takut dengan Islam.

Namun, adalah tidak tepat sekadar dilihat kesalahan ini kepada orang bukan islam sahaja, malahan kesilapan dari pihak orang islam juga perlu diselidiki dan dimuhasabah sama. Apabila direnung, didapati orang yang beragama islam juga ada menyumbang ke arah Islamphobia. Antaranya adalah seperti berikut;

Pertama: Islam dilihat seperti agama kaum tertentu

Sikap segelintir umat Islam yang mempamerkan Islam sebagai agama kaum tertentu, merupakan satu tindakan yang cukup jahat terhadap islam. ini kerana, islam ajaran nabi muhammad SAW tidak pernah dibataskan kepada kaum tertentu sahaja, malahan islam ajaran nabi SAW bersifat ‘for All’.

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Maksudnya;
“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu”

[An-Nisa’ : 1]

Juga firman Allah;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya;
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”

[Hujurat : 13]

Kedua : salah faham terhadap islam

salah faham terhadap islam yang membeku dalam diri umat Islam juga merupakan antara faktor Islam difobiakan. Seperti contoh, sesuatu tindakan yang bersifat keganasan, dilebelkan ia sebagai tindakan islam atas nama jihad dan sebagainya. Keadaan ini mengakibatkan, orang bukan islam menganggap bahawa islam adalah agama keganasan, walhal islam tidaklah begitu.

Islam adalah agama kedamaian, dan memberi keamanan kepada semua manusia, tidak kira terhadap mereka yang beragama Islam, mahupun terhadap orang yang tidak beragama Islam.

Firman Allah;

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya;
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”

[Mumtahanah : 8]

Dalam firman Allah ini, amat nyata bahawa Allah SWT menyuruh dilakukan keadilan dan berlaku kebaikan terhadap orang bukan islam. malahan, dalam hadis dinyatakan bahawa Nabi SAW akan berbelah pihak kepada orang bukan islam, sekiranya mereka dizalimi oleh orang islam.

Sabda Nabi SAW;

مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya;
“Barangsiapa yang menzalimi orang bukan islam, atau mengurangkan haknya, atau membebankannya luar dari kemampuannya, atau mengambil daripadanya sesuatu tanpa jalan yang baik, maka aku akan penhujjahnya pada hari akhirat kelak”

[Abu daud : 2654]

Ketiga : provokasi atas nama agama

Sebilangan orang islam, menjadikan agama sebagai alat provokasi dalam mengambil keuntungan politik. Di Malaysia, antara isu yang dimainkan adalah seperti isu orang bukan islam tidak dibenarkan berada di masjid, larangan berdoa terhadap orang bukan islam dan banyak lagi.

Mereka memainkan isu ini, adalah bertujuan untuk mencari pengaruh politik murahan mereka, tanpa mereka sedar bahawa mereka telah memberi gambaran buruk terhadap islam yang diturunkan oleh Allah SWT itu sendiri.

SELEPAS ERA PAKATAN RAKYAT

Jika mahu dinukilkan semua punca dan faktor penyebab islamphobia berlaku di malaysia, memang terlalu banyak. Tetapi, sekadar tiga perkara yang dikemukakan sudah cukup untuk difikirkan oleh umat Islam dalam memuhasabahkan diri mereka balik dalam memastikan islam ini tidak lagi difobiakan.

Namun, hakikat perubahan ke arah terhakisnya islamphobia ini semakin hari semakin kelihatan. Sejarah 8 Mac 2008 merupakan sejarah besar dalam era politik di malaysia, namun dari sudut agama, ia memberi banyak perubahan pemikiran rakyat terhadap islam itu sendiri.

Atas asas mempertahankan demokrasi disamping bersama-sama bersatu mempertahankan keadilan rakyat, menyebabkan PAS, PKR dan DAP telah bersatu dibawah satu bumbung yang bernama Pakatan Rakyat [PR]. Perkembangan ini, menyebabkan orang bukan islam dapat melihat betapa PAS yang memperjuangkan islam, mampu bersama-sama dengan orang bukan islam, malahan sanggup mempertahankan bangsa selain melayu dan selain beragama Islam dalam perkara yang melibatkan keadilan sejagat.

Keadaan ini, melahirkan satu gambaran baru orang bukan islam terhadap islam itu sendiri. Mereka mula berdekat-dekat dengan islam, seperti mengungkap firman-firman Allah dari Al-Quran tentang konsep keadilan, konsep ‘berbuat baik’ dan banyak lagi. Begitujuga, mereka sudah berani mendekatkan diri mereka dengan islam, seperti berpakaian seperti uruf orang islam di Malaysia [walau tidak sempurna], mendekati masjid, mula menghafal beberapa istilah-istilah yang menjadi kebiasaan bagi umat Islam dan sebagainya.

Keadaan ini merupakan satu perkembangan baik yang berlaku di malaysia. Gambaran islam ganas, sudah mula terhakis sedikit demi sedikit. Gambaran islam adalah agama diskriminasi, sudah semakin terhapus dari minda-minda orang bukan islam.

ia lebih bertambah melegakan, apabila usaha pergabungan antara PAS – UMNO tidak berjaya dilaksanakan, sebarang provokasi agama tidak dilayan dengan sentimen kemelayuan, sebaliknya diperjelaskan dari sudut Islam yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah, isu hak penggunaan kalimah Allah berjaya diselesaikan dengan perdebatan ilmiyyah, dan banyak lagi.

Walau lahir Perkasa yang dilihat seperti golongan ultra-melayu bersama-sama dengan UMNO, disamping mengungkapkan kalimah islam, ternyata semua itu dipandang remeh, malahan tidak memberi impak yang kuat dalam menggoyahkan persepsi orang bukan islam terhadap islam itu sendiri.

Keadaan ini merupakan kejayaan yang cukup besar dalam menghakiskan “islamphobia” di malaysia, dan ia tidak mustahil bahawa ia menjadi titik permulaan dalam melihat kejayaan terlaksananya keadilan islam di malaysia untuk masa hadapan – Insya Allah.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani


Sri Indah [b] Sg Buloh
7 Oktober 2010 * 4:46 Pagi

Gagal faham Islam, punca Islamphobia Najib gagal - Mahfuz Omar

tokoh yang berjaya mempamerkan politik Islam dalam wajah segar


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan supaya menggalakkan penyebaran faham Islam yang sebenar sekiranya Malaysia mahu menangani Islamphobia di peringkat antarabangsa dan setempat.

Faham Islam yang Umno serta Perkasa popularkan di tanah air adalah faham Islam yang salah serta mengundang Melayuphobia.

"Ajaran Islam yang sebenar (ialah) ikut cara Rasulullah s.a.w sebenarnya mampu tangani Islamphobia, bukannya faham salah yang Umno (dan) Perkasa bawa (iaitu) galak api perkauman serta guna agama untuk takutkan orang bukan Islam."

"Kalau lihat fahaman ekstrem mereka ini (Umno dan Perkasa), Najib bukan saja susah nak tangani Islamphobia, (malah) Melayuphobia pun belum tentu lagi (boleh ditangani),"

Melayuphobia, adalah faham pelampau yang mengajak rakyat tidak kira Melayu atau bukan Melayu supaya takut mempersoal sesuatu yang dianggap menggugat kepentingan politik Umno dalam negara.

Islamphobia dalam konteks Malaysia, menurutnya seperti politik perkauman dan manipulasi agama (Islam) sehingga orang bukan Islam percaya bahawa Islam adalah agama eksklusif untuk orang-orang Melayu sahaja.

Akibat dari salah fahaman tersebut, menurut beliau mengakibatkan lahirnya aksi ekstrem seperti mengarak kepala lembu berdarah di Shah Alam, Ogos tahun lalu.

Fahaman yang salah itu, mengakibatkan orang bukan Islam jauh dari Islam serta takut untuk menyebut kalimah 'Allah', walhal tidak ada nas yang sahih lagi jelas yang mengharamkan orang bukan Islam dari menyebut kalimah suci itu.

Fahaman yang salah itu, turut mengakibatkan beberapa kes vandalisme yang mencemarkan beberapa surau serta rumah ibadat penganut bukan Islam.

Sedangkan, Rasulullah s.a.w mengajar umat Islam erti keadilan, kedamaian, kehormatan, kejujuran, kepelbagaian, kasih sayang serta kesederhanaan.

"Islam yang Rasullah ajar adalah keadilan, kedamaian, kejujuran dan saling berkasih sayang sesama umat Islam (dan) saling menghormati dengan yang bukan Islam, bukan arak kepala lembu, bakar sana dan bakar sini,"

Islam yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w turut tidak mengajar penganutnya supaya menjadi pelampau agama serta taasub pada api perkauman satu-satu kaum.

"Islam yang Rasulullah ajar adalah manusia semuanya bersaudara dan dituntut saling mengenali antara satu-satu bangsa."

"Bukan tindas rakyat tak kiralah Melayu, Cina atau India disebabkan mereka ini tidak sokong faham pelampau parti atau pertubuhan tertentu,"

muafakat politik dalam antara PAS, DAP dan PKR melalui wadah Pakatan Rakyat sebenarnya memecahkan belenggu Islamphobia.

"Siapa boleh percaya bahawa PAS hari ini turut disertai oleh masyarakat India, Cina, Kadasan, Iban, Murut yang dalam pengetahuan saya mereka ini kebanyakannya bukan (beragama) Islam."

"Siapa boleh jangka bahawa seorang Ketua Menteri (Lim Guan Eng) hari ini boleh beri jaminan keamanan dan hak menyebarkan (agama) Islam kepada rakyat PulaU Pinang, jauh lebih baik dari diperintah oleh pemimpin-pemimpin Umno."

"Siapa boleh percaya bahawa Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan) serta Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) turut menyampaikan tazkirah di semua rumah ibadat, yang dalam masa yang sama pemimpin DAP dan PKR yang bukan Islam diajak kenal tentang keadilan Islam di surau dan masjid-masjid,"

Saya yakin bahawa inisaitif Najib, Presiden Umno merangkap Pengerusi BN sekadar suatu sandiwara politik.

"Yang saya nampak, ada rakyat ditangkap tanpa bicara, Najib ikut telunjuk Apco, dilihat pro Amerika dan Yahudi."

"Janji tangani Islamphobia seperti satu sandiwara adalah,"

Bernama hari ini melaporkan Najib mengajak dunia, khususnya Eropah supaya tidak menganggap Islam sebagai suatu ancaman atau suatu masalah.

Difahamkan, usaha itu sebagai tanggungjawab bersama dalam membantu Amerika Syarikat menangani keganasan global sebagaimana yang pernah berlaku di dunia umat Islam Palestin, Iraq, Afghanistan dan Selatan Thai sebelum ini.

sumber : gemasuara

Isnin, 4 Oktober 2010

[ANEH] ANJING BOLEH BACA SURAT KHABAR

Satu hari, dua orang sahabat sedang berbual. seorang dari mereka berkata, "ko tau tak, anjing aku yang bernama UMNO tu, boleh bacakan surat Khabar utusan meroyan dan berita hairan kepada aku tau. senang aku, tak payah baca surat khabar dah. Cukup sekadar dengar ulasan anjing aku yang bernama UMNO tu jer"

"aku tau dah" kata kawannya sambil membelek surat khabar Sinar Harian.

"eh.. mana ko dapat tau ni?" soalnya.

"anjing Aku yang bernama PERKASA yang bagitau" jawabnya ringkas.

sekian.