Sabtu, 12 September 2009

MAKAN MALAM BERSAMA USTAZ HARUN TAIB


MAKAN MALAM BERSAMA USTAZ HARUN TAIB

Hampir 6 bulan tidak berhubung, minggu lepas Ustaz Harun Taib menghubungiku; ajak bertemu untuk berbual-bual. Dirasakan malu juga ada, kerana guruku yang menghubungiku, yang sepatutnya murid yang menghubungi guru.

Pertemuan dijadualkan di Restoran Raushah, Ampang. Aku ke sana bersama Eddieputra, sedangkan Ustaz Harun bersama dengan anaknya, Ustaz Hamdi.

Seperti biasa, makanan pilihanku adalah Syaystauq bersama air Barbikan (sejenis minuman dari Lubnan), sedangkan Ustaz Harun, ustaz Hamdi dan Eddieputra memilih Mandi Laham (tidak ada kaitan langsung dengan Bait Al-laham).

Sambil makan, banyak perkara dan tajuk kami perbualkan, termasuk cara dan kaedah Ustaz Harun taib mengendalikan TDM, iaitu sebuah GLC kerajaan Negeri terengganu semasa PAS memerintah di Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004 sehingga mencapai keuntungan yang terlalu tinggi; sehingga kerajaan negeri ketika itu mampu untuk meletakkan pengharapan untuk membina lebuhraya Pantai Timur yang ketika itu dihentikan projeknya oleh Kerajaan Pusat.

Yang lebih menarik, kami berbual tentang isu politik terengganu yang kini sedang diperkatakan kebanyakkan pemerhati politik dalam negara.

Tidak diketahui, apa masa depan politik terengganu dalam jangka masa ini. Pun begitu, sedikit sebanyak apa yang kami bualkan dengan ustaz Harun pada malam ini, memberikan kamu satu gambaran rambang tentang politik di terengganu.

Kita tunggu dan lihat.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com





- Sri Indah (B), Sg Buloh
13 september 2009 * 2:34 pagi

KERTAS CADANGAN KAWALAN ARAK ??


KERTAS CADANGAN KAWALAN ARAK ??

Mstar melaporkan;

”KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat akan menyediakan kertas cadangan mengenai kawalan dan garis panduan penjualan arak di negeri-negeri yang ditadbir pakatan pembangkang, kata Timbalan Ketuanya Azman Shapawi Abd Rani pada Sabtu” (sila klik)

KOMEN:

Sudah lama aku menunggu berita sebegini. Ia satu berita yang mengembirakan, demi melihat kerajaan pakatan Rakyat berada dalam landasan yang betul.

Aku secara peribadi, mencadangkan kepada Pemuda PAS pusat, agar tidak sekadar menyediakan kertas cadangan kawalan arak sahaja, tetapi perlu juga diadakan kempen bahaya arak, judi dan banyak lagi.

Tidak ada gunanya, kita sekadar memberikan kertas cadangan kawalan arak, tetapi dalam masa yang sama kita tidak berusaha hendak memahamkan rakyat tentang bahaya arak itu sendiri.

Sesuatu kawalan agak kurang berjaya jika tidak disertakan kefahaman. Justeru, kefahaman terhadap rakyat tentang bahaya arak juga perlu dilakukan, disamping memberikan cadangan kepada kerajaan Pakatan Rakyat tentang kawalan arak.

Dulu sekejap, kedengaran dari Ketua Penerangan PAS Selangor nak buat kempen bahaya arak ini, tetapi nampaknya, ia sekadar kenyataan akhbar sahaja. Sampai hari ini, tidak kelihatan pun sebarang banner pun, atau wacana dan forum tentang bahaya arak yang dicadangkan untuk diadakan kempen. Mungkin kenyataan tempoh hari, sekadar memanaskan isu Ronnie Liu sahaja.

Tinggalkan mereka yang beretorik dengan politik, tetapi tindakan pemuda PAS mencadangkan kawalan arak ini wajib diberikan pujian.

Sekian

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
12 september 2009 * 7:48 malam

Jumaat, 11 September 2009

JURAIJ : “IBUKU, ATAU SOLAT SUNATKU”


JURAIJ : “IBUKU, ATAU SOLAT SUNATKU”

Dalam satu kisah yang dinukilkan oleh Imam Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari berkenaan seorang lelaki dari Bani Israel yang bernama Juraij.

Juraij seorang lelaki yang kuat melakukan ibadat kepada Allah sehinggakan beliau membina sebuah rumah ibadat. Sedang dia melakukan ibadat, ibunya datang memanggilnya, sedangkan ketika itu dia sedang menunaikan solat.

Semasa ibunya memanggilnya, hatinya berkata, “apakah aku harus menyahut panggilan ibuku atau aku terus dengan solat”. Juraij terus dengan solat sehingga ibunya menyebut;

اللَّهُمَّ لَا تُمِتْهُ حَتَّى تُرِيَهُ وُجُوه الْمُومِسَات

Maksudnya;
“Ya Allah, jangan kamu matikannya (Juriaj) hinggalah dia melihat wajah-wajah pelacur”

Hasil dari doa si ibu, menyebabkan juraij telah diuji oleh Allah dengan soerang perempuan yang telah berzina dengan seorang pengembala kambing sehingga melahirkan anak. Perempuan itu menuduh, bahawa anak itu adalah anak juraij.

Mendengar tuduhan itu, tanpa usul pereksa, orang-orang kampung telah bertindak meruntuhkan rumah ibadatnya, juga memukulnya sehingga luka. Bukan sekadar itu, orang kampung telah bertindak menghinanya dengan mengikat tengkok dan tangannya dan mengarak-araknya keseluruh kampung. Keadaan itu sehinggakan raja Bani Israel ketika itu berkata;

وَيْحك يَا جُرَيْج ، كُنَّا نَرَاك خَيْر النَّاس فَأَحْبَلْت هَذِهِ ، اِذْهَبُوا بِهِ فَاصْلُبُوهُ

Maksudnya;
“Celaka kamu wahai Juraij, kami menyangka kamu adalah sebaik-baik manusia. Ikat, dan salibkan Juraij”

Ketika orang kampung sedang mengarak-arak Juraij, kelihatan perempuan yang menuduh dengan bayi yang didakwa anaknya itu. Menyebabkan Juraij minta untuk menunaikan solat.

Permintaan Juraij diberi oleh orang kampung. Setelah berwudu’, solat dan berdoa. Juraij telah datang kepada anak itu lalu bertanya.

مَنْ أَبُوك يَا غُلَام ؟ فَقَالَ : الرَّاعِي

Maksudnya;
”Siapa bapa kamu wahai anak?

”pengembala kambing” jawab anak kecil itu ringkas

Melihat bayi itu berkata demikian, menyebabkan orang kampung merasa bersalah. Lalu mereka membina balik rumah ibadat Juraij yang telah diruntuhkan itu dengan rumah ibaadat yang baru, diperbuat daripada emas. Tetapi ditolak oleh Juraij, tetapi diminta supaya dibina balik rumah ibadat itu dengan tanah sahaja
[1].

WAJIB DAHULU BERBANDING SUNAT

Dalam islam, amalan wajib perlu didahulukan berbanding amalan sunat. Keadaan ini menyalahi dengan tindakan Juraij yang ketika itu menunaikan solat sunat, lalu tidak menyahut panggilan ibu, sedangkan menyahut panggilan ibu adalah wajib.

Dari kisah Juraij ini, kita dapati Juraij telah melakukan satu kesalahan yang besar, iaitu dia melebihkan amalan sunat berbanding amalan wajib.

Banyak perkara dalam Islam yang kurang diambil perhatian oleh umat Islam tentang pentingnya mendahulukan perkara wajib berbanding sunat. Seperti, ramai manusia yang mementingkan menunaikan solat tarawih, tetapi mereka tidak menunaikan puasa ataupun tidak menunaikan solat wajib.

Ada yang mementingkan penekanan sunnah, tetapi dalam masa mereka mengabaikan perkara yang wajib mereka lakukan. Dalam Islam, kita akan dapati wujudnya mementingkan perkara yang lebih penting berbanding perkara penting.

Justeru, adalah satu tindakan yang kurang bijak, apabila wujud dari kalangan umat islam yang pentingkan berbicara tentang isu qunut subuh, sedangkan dalam masa yang sama, mereka tidak pernah terfikir untuk berbicara tentang perlaksanaan islam dalam negara mereka.

Diceritakan berkenaan dengan para salaf dahulu, seorang lelaki telah bertanya kepada seorang mufti tentang hukum darah nyamuk yang terkena pada pakaian.

Mufti tersebut menjawab, ”di saat cucu Nabi ditumpahkan darah, kamu masih lagi berbicara tentang darah nyamuk?”

Keadaan yang sama juga berlaku kepada umat Islam kini, yang lebih suka berbicara tentang qunut subuh, sedangkan disana wujud ramai dari kalangan umat Islam yang tidak menunaikan solat subuh.

Bukan bermakna berbicara tentang qunut subuh itu tidak penting, tetapi mementingkan berbicara tentang orang yang tidak menunaikan solat subuh itu adalah teramat penting.

Begitujuga, ada sebilangan umat Islam, malah terdiri dari kalangan agamawan yang tidak mengerti tentang pentingnya mendapat keuntungan dakwah berbanding perlaksanaan islam yang bersifat sementara.

Apabila dakwah sudah berjaya, maka secara mudahnya Islam dilaksanakan. Apabila manusia sudah menerima Islam, perlaksanaan islam akan kekal memerintah, malah akan menjadi dokongan manusia.

Pun begitu, ada sebilangan manusia itu pentingkan kepada perlaksanaan islam, waimma ramai manusia lain yang tidak memahami lagi tentang Islam. apabila mereka melaksanakan Islam dikala majoriti rakyat tidak faham Islam lagi, tidak mustahil, rakyat itulah yang akan menolak mereka.

Keadaan ini dapat dilihat berlaku di Afghanistan di bawah pemerintahan taliban. Keikhlasan Taliban dalam perlaksanaan Islam tidak dinafikan, tetapi disebabkan tidak mengerti tentang keutamaan dalam memahamkan rakyat tentang Islam, menyebabkan undang-undang islam yang dilaksanakan oleh mereka ditolak sedemikian rupa. Menyebabkan, dikala Taliban diserang oleh Amerika, rakyat mereka tidak mendokong taliban, malah bergembira dengan kejatuhan taliban.

DOA IBU MEMBAWA BERKAT

Buat baik kepada ibu merupakan satu kewajipan yang besar. Memberi ketaatan kepadan ibu, dan tidak menyakiti hatinya merupakan satu tuntutan ilahi yang wajib dipatuhi oleh setiap manusia di atas muka bumi.

Ibu merupakan manusia yang melahirkan dan membesarkan kita. Justeru, jasa dan bakti yang dilakukan itu menyebabkan Allah meletakkan kewajipan terhadap anak-anak memberi ketaatan, juga melarang dari menyakiti hatinya.

Begitujuga, doa ibu untuk anak-anak merupakan doa yang diberkati. Justeru, jangan dianggap remeh dengan doa ibu.

Dari kisah Juraij, kita dapat melihat bagaimana Juraij telah melakukan satu kesalahan besar, iaitu mendahulukan solat sunatnya berbanding menjawab teguran ibu. Tindakannya itu menyebabkan ibunya tersentuh, yang melahirkan kesedihan ibu. Dengan kesedihan, Ibunya berdoa keburukan untuk Juraij, dan doa ibu tersebut dimakbulkan oleh Allah SWT.

IBADAT TANPA ILMU

Beribadat merupakan tuntutan. Pun begitu, beribadat tanpa cukup syarat adalah ibadat yang ditolak. Ibadat yang diterima apabila itu memenuhi syarat dan rukunnya.

Antara syarat penting bagi ibadat adalah, perlunya ibadat tersebut ditunaikan dalam keadaan berilmu. Beribadat tanpa ilmu adalah ibadat yang tertolak, kerana ia lebih memberi kemungkinan yang besar untuk orang yang beribadat itu melakukan kesalahan sehingga boleh membatalkan ibadat.

Tindakan mementingkan amalan sunat berbanding wajib merupakan kejahilan tentang ibadat. Justeru, tidak hairan ada orang yang disebut sebagai ’abid, tetapi mereka tidak ’alim. Pun begitu, wujud juga manusia yang disebut sebagai ’Alim, tetapi mereka tidak ’Abid.

Dalam keadaan sedemikian, kelebihan diberikan kepada ’Alim berbanding ’Abid, kerana seseorang ’Abid tidak semestinya dia berilmu. Berilmu diberikan kelebihan oleh Allah SWT berbanding dengan orang yang kuat beribadat.

Sabda Nabi SAW;

فَقِيهٌ أَشَدُّ عَلَى الشَّيْطَانِ مِنْ أَلْفِ عَابِدٍ

Maksudnya;
”Seorang lelaki yang faqih (’Alim) terlebih utama berbanding seribu orang ’Abid
[2]

KARAMAH PARA WALI

Seseorang yang soleh, tidak mustahil Allah akan memberikan kepada mereka kemuliaan. kemuliaan yang diberi, sehingga sampai satu tahap, mereka melakukan perkara yang luar dari adat kebiasaan manusia.

Ia bukan satu perkara yang pelik, kerana ia juga berlaku kepada mereka yang syirik kepada Allah, dengan keterlibatan mereka dengan sihir dan sebagainya.

Adapun kepada orang saleh, perkara pelik dan ajaib itu disebut sebagai karamah. Karamah sering terjadi kepada orang-orang soleh. Ia merupakan hadiah dari Allah SWT.

Juraij yang menunaikan solat sunat, kemudian berdoa, lalu memegang bayi yang didakwa anaknya itu, tiba-tiba bayi itu boleh berkata-kata, ia merupakan karamah yang Allah berikan kepada Juraij.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
12 september 2009 * 9:27 pagi






[1] Fath Al-Bari : 10/239.
[2] Sunan At-Tarmizi : 2605.

ORANG PEREMPUAN PAKAI WANGIAN


ORANG PEREMPUAN PAKAI WANGIAN

Imam An-Nasai ada meriwatkan satu hadis, daripada Al-Asya’ri berkata, bahawa Nabi SAW bersabda;

أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ

Maksudnya;
“mana-mana perempuan memakai wangian, kemudian lalu dihadapan satu kaum yang mereka boleh terhidu bauan tersebut, maka perempuan itu adalah penzina
[1]

Hadis ini menjelaskan kepada kita larangan terhadap perempuan yang memakai wangian sehingga dapat dihidu oleh lelaki ajnabi. Tindakan tersebut adalah haram kerana ia boleh melahirkan fitnah. keadaan ini berlaku, jika wangian yang dipakai itu mempunyai aroma bauan yang terlalu kuat.

Adapun wangian yang berbau nipis; tidak kuat yang dipakai oleh seseorang perempuan dengan tujuan menutup bau tubuhnya, maka itu tidak menjadi haram, tetapi dipandang makruh oleh As-Syaikh Dr Atiah Saqar.

Dipandang makruh oleh Dr Atiah Saqar kerana, wangian yang nipis itu boleh didapati apabila perempuan yang memakai wangian tersebut berada ditempat yang sesak. Pun begitu, wajib baginya menghindarkan diri dari terlahirnya sebarang fitnah dengan sebab memakai wangian, waimma aroma baunya nipis sekalipun.

Disamping itu juga, perlu diingatkan bahawa menghilangkan bau badan, tidak semestinya dengan memakai wangian, tetapi ia boleh hilang dengan mandi, atau basuh pada badan yang boleh melahirkan bau badan tersebut, seperti disebabkan peluh dan sebagainya.

Penjelasan ini dikhususkan kepada perempuan yang memakai wangian untuk lelaki selain dari suami mereka. Adapun untuk suami mereka, memakai wangian merupakan ibadat, kerana itu akan melahirkan bertambah kasih sayang antara suami dan isteri. Begitujuga, tidak menjadi haram atau makruh, malah dikira ibadat apabila seseorang perempuan itu memakai wangian untuk sesama mereka.

Sekian

p/s : article ini merujuk kepada kitab Fatawa min Ahsanil kalam, karangan Dr Atiah Saqar.

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
11 september 2009 * 5:40 petang




[1] Sunan An-nasai : 5036.

UMNO PARTI ISLAM : NAJIB BUAT LAWAK ANTARABANGSA


UMNO PARTI ISLAM : NAJIB BUAT LAWAK ANTARABANGSA

Gelak sampai rasa nak terpecah perut bila baca berita yang melaporkan kenyataan Najib bahawa UMNO adalah parti islam (Sila
klik). Taktik baru Najib nak pengaruhi, atau menjatuhkan PAS semakin hari semakin kelihatan.

Zaman Tun Dr Mahathir dulu, UMNO nak jatuhkan PAS dengan mendakwa bahawa kononnya Malaysia adalah sebuah negara islam. tetapi kini, Najib nak guna kaedah yang sama untuk jatuhkan PAS.

Kalau dasar masih kebangsaan, tidak perlu mendakwa UMNO parti Islam. takkan kita nak kata, kereta sorong itu kereta BMW, semata-mata kita bubuh lambang BMW kat kereta sorong itu?

Takkan kita nak kata orang hindu beragama Islam, semata-mata dia pakai baju melayu dan kopiah?

Ini semua kerja gila meroyan. Orang meroyan pun tak gila macam ni.

Sebagai ahli PAS, aku sedang menaruh harapan nak iktiraf UMNO sebagai parti Islam, tapi dengan syarat, UMNO wajib tukar dasar; dari kebangsaan kepada Islam.

Buang dasar kebangsaan, ambil dasar Islam. Islam diutamakan, kemanusian didahulukan. Islam diutamakan, keadilan diketengahkan. Islam diutamakan, Al-Quran dan As-Sunnah dijadikan panduan.

Jika tidak, mengiktiraf UMNO parti islam adalah kerja orang-orang gila sahaja.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani




- Sri Indah (B), Sg Buloh
11 september 2009 * 4:07 petang



ZUL NORDIN KENA BACA LAGI BUKU TENTANG KEADILAN ISLAM

ZUL NORDIN KENA BACA LAGI BUKU TENTANG KEADILAN ISLAM

Peguam Zulkifli Nordin, merangkap ahli Parlimen PKR Kulim menulis dalam blog beliau seperti berikut;

“Memang kita umat Islam disuruh berlaku 'adil, termasuk terhadap kafir dhimmi yang duduk tunduk dibawah pemerintahan Islam. Tetapi kita disuruh hanya berlaku 'adil dalam hal menjaga kebajikan mereka. Dalam soal ketuhanan, tidak timbul soal ke'adilan. Ini soal aqidah, bukan lagi soal wadah. Kita memelihara tempat 'ibadah mereka, bukan mengujudkan yang baru dicelah kediaman kita. Sultan Salahuddin Al Ayubi memelihara kesucian synagogue dan gereja yang sedia ada semasa membuka Kota Baitul Maqdis, bukan dengan membina kuil, tokong, gereja atau synagogue yang baru bersebelahan Masjidil Aqsa” (sila
klik)

KOMEN:

Jika dibaca sekali imbas perenggan ini, mungkin tidak dirasakan apa-apa, tetapi jika berulang kali membaca, maka terpancarlah kejahilan YB Zul terhadap keadilan yang diperjuangkan oleh Islam.

Konsep keadilan islam, tidak sekadar terhadap orang islam sahaja, malah terhadap orang bukan Islam; tidak sekadar kepada melayu sahaja, malah kepada seluruh manusia.

Keadilan yang Islam berikan kepada non Muslim, bukan sekadar pada sudut kebajikan sahaja, malah semua sudut kehidupan mereka, waimma terhadap peribadatan mereka.

Hak peribadatan agama lain, wajib diberikan oleh sesebuah kerajaan Islam. Memberikan hak rumah ibadat kepada mereka, merupakan konsep keadilan yang diperjuangkan oleh islam, bukan bermakna kita mengiktiraf agama mereka.

Jika dengan memberikan hak rumah ibadat kepada non Muslim sudah dianggap mengiktiraf agama lain, mengapa kita tidak mengatakan memberi keamanan kepada non Muslim beribadat juga sebagai mengiktiraf agama lain??

Jika ini pemahaman kita, bermakna salahlah tindakan Omar bin Al-Khattab yang menulis surat kepada Ahl Al-Quds yang kandungan surat itu menyebut;

اعطاهم أمانا لأنقسهم و أموالهم و كنائسهم

Maksudnya;
“Berikan kepada mereka keamanan pada diri mereka, harta-harta mereka dan gereja-gereja mereka
[1]

RUMAH IBADAT

Antara hak keadilan yang diberikan oleh islam adalah, hak rakyat dari kalangan non Muslim beribadat. bermaksud, apabila non Muslim memohon untuk membina rumah ibadat mereka, sebagai kerajaan islam, permohonan mereka perlu dilayan.

(ulasan lanjut, sila baca artikle ”
rumah ibadat non Muslim dalam penempatan Muslim”)

Cadangan kepada YB Zul dari PKR, agar mempelajari lagi islam dalam bentuk yang sebenar. Jangan merujuk Islam dari sentimen kemelayuan yang penuh dengan seribu satu kejahilan dan kejumudan.

Jangan disebababkan kejahilan kita dalam mengulas Islam, menyebabkan islam dilihat sebagai agama yang jumud, seterusnya dijadikan sebagai agama yang dibenci. Jika ini berlaku, Islam yang mahu dilaksanakan sampai kiamat tidak akan berjaya dilaksanakan.

Ingatlah, ini adalah Malaysia, bukan Afghanistan. Afghanistan yang terkenal dengan rakyatnya yang kasar pun, rakyatnya menolak taliban, inikan pula pemikiran taliban mahu diterjemah di Malaysia.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
11 september 2009 * 3:29 petang





[1] Tarikh Ar-Rasul wa Al-Muluk : 2/308.

Khamis, 10 September 2009

UBADAH BIN AS-SOMIT : ”DEMI KEBAIKAN, AKU MENGKRITIK”


UBADAH BIN AS-SOMIT : ”DEMI KEBAIKAN, AKU MENGKRITIK”

Orang yang tidak membaca sirah para sahabat, mungkin agak kurang mengenali seorang sahabat bernama Ubadah bin As-somit. Mengetahui kisah beliau tanpa mengetahui beliau adalah sahabat, pasti ada orang mendakwa beliau adalah seorang yang biadap, tidak beradap dan kurang ajar dengan pemimpin islam. Malah, tidak mustahil beliau akan mendapat tempelan seorang yang mempunyai hati yang busuk, tidak ikhlas dan takkabbur.

Ubbadah bin As-Somit adalah seorang sahabat ansor yang antara terawal memeluk Islam dari kalangan orang Madinah. Beliau berasal dari kalangan Khazraj, dan salah seorang naqib pada malam perjanjian Aqabah yang pertama.

Muhammad bin Kaab Al-Qurazi berkata;

جمع القرآن في زمن النبي صلى الله عليه وسلم خمسة من الانصار: معاذ، وعبادة، وأبي، وأبو أيوب، وأبو الدرداء

Maksudnya;
“lima orang Ansar yang menghimpunkan Al-Quran pada Zaman Nabi SAW, iaitu Muaz, Ubbadah, Ubai, Abu Ayub dan Abu Darda’[1]

Beliau antara manusia yang tidak suka pemerintah diampu-ampu. Pernah berlaku satu kejadian dalam satu masjid, yang ketika itu didalam masjid tersebut dihadiri Muawiyyah sebagai gabenor Islam di Syam.

Apabila khatib berkhutbah dalam masjid tersebut terlalu sangat memuji Muawiyyah, menyebabkan Ubbadah bin As-Somit bangun dalam keadaan tangannya memegang tanah, lalu dicampakkan ke muka si khatib tersebut.

Tindakan Ubbadah itu menyebabkan muawiyyah agak marah, menyebabkan Ubbadah terus menyebut;

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إذا رأيتم المداحين، فاحثوا في أفواههم التراب "

Maksudnya;
“Bersabda Rasulullah SAW, apabila kamu tengok pengampu, maka campakkan tanah pada mulut mereka[2]

Semasa hayat, beliau tidak pernah memegang apa-apa jawatan pun. Semuanya ekoran dari sumpahnya tidak mahu memegang sebarang jawatan ekoran mendengar pesanan nabi terhadap kesusahan di akhirat nanti apabila memegang jawatan.

Pernah di zaman Omar menjadi Khalifah, beliau dipujuk agar memegang jawatan, tetapi beliau tetap dengan pendirian beliau menyebabkan Omar akur.

Beliau amat mencontohi kehidupan Omar bin AlKhattab yang bersifat zuhud, menyebabkan beliau amat tidak suka dengan sikap Muawiyyah yang dilihat seakan-akan bermewah-mewah. Menyebab beliau menjadi pengkritik tegar terhadap pemerintahan Muawiyyah ketika berada di palestine.

Muawiyyah amat tertekan dengan kritikan tegar itu, menyebabkan menghantar balik Ubbadah agar berada di Madinah. Semasa berada di Madinah, menyebabkan Omar bin Al-Khattab pelik dan bertanya kepada beliau mengapa beliau berada di Madinah. Ubbadah menceritakan semuanya kepada Omar, menyebabkan Omar minta agar Ubbadah pergi juga ke Palestine sekali lagi dan memantau pergerakan Muawiyyah. Dan Omar pun mengirim sama surat kepada Muawiyyah tentang arahan beliau agar Ubbadah berada di Palestine untuk memantau pergerakan Muawiyyah itu.

Di zaman Nabi SAW, keluarga Ubbadah pernah melakukan perjanjian dengan orang Yahudi Bani Qainuqa’. Apabila berlaku peperangan Uhud, dilihat puak-puak yahudi qainuqa’ melampau, menyebabkan Ubbadah terus bertindak memutuskan perjanjian tersebut agar tidak menjadikan Ubbadah teragak-agak untuk menyerang yahudi tersebut.

Ekoran dari kejadian itu, Allah menurunkan ayat Al-Quran yang berbunyi:

وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آَمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ

Maksudnya;
“Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang”

(Surah Al-Maidah : 56)
[3].

Tubuh badan Ubbadah tinggi lampai, dan boleh dikategorikan sebagai lelaki yang hansome. Beliau tinggal di Baitul Muqaddis, dan meninggal dunia di Ramalah pada tahun 43 daripada hijrah, sewaktu umurnya 72 tahun. Dalam kitab Ar-Rijal Haul rasulillah SAW menyebut, Ubbadah meninggal dunia pada tahun 34 hijrah. Menurut riwayat lain, beliau meninggal dunia di zaman Muawiyyah jadi Khalifah[4].

Sekian

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com

[1] Siyar Al-‘Alam wa An-Nubala’ : 2/6.
[2] Siyar Al-‘Alam Wa An-Nubala’ : 2/7.
[3] Ar-Rijal Haul Rasulillah SAW : m/s : 270.
[4] Siyar Al-‘Alam Wa An-Nubala’ : 2/11.