Jumaat, 11 September 2009

JURAIJ : “IBUKU, ATAU SOLAT SUNATKU”


JURAIJ : “IBUKU, ATAU SOLAT SUNATKU”

Dalam satu kisah yang dinukilkan oleh Imam Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari berkenaan seorang lelaki dari Bani Israel yang bernama Juraij.

Juraij seorang lelaki yang kuat melakukan ibadat kepada Allah sehinggakan beliau membina sebuah rumah ibadat. Sedang dia melakukan ibadat, ibunya datang memanggilnya, sedangkan ketika itu dia sedang menunaikan solat.

Semasa ibunya memanggilnya, hatinya berkata, “apakah aku harus menyahut panggilan ibuku atau aku terus dengan solat”. Juraij terus dengan solat sehingga ibunya menyebut;

اللَّهُمَّ لَا تُمِتْهُ حَتَّى تُرِيَهُ وُجُوه الْمُومِسَات

Maksudnya;
“Ya Allah, jangan kamu matikannya (Juriaj) hinggalah dia melihat wajah-wajah pelacur”

Hasil dari doa si ibu, menyebabkan juraij telah diuji oleh Allah dengan soerang perempuan yang telah berzina dengan seorang pengembala kambing sehingga melahirkan anak. Perempuan itu menuduh, bahawa anak itu adalah anak juraij.

Mendengar tuduhan itu, tanpa usul pereksa, orang-orang kampung telah bertindak meruntuhkan rumah ibadatnya, juga memukulnya sehingga luka. Bukan sekadar itu, orang kampung telah bertindak menghinanya dengan mengikat tengkok dan tangannya dan mengarak-araknya keseluruh kampung. Keadaan itu sehinggakan raja Bani Israel ketika itu berkata;

وَيْحك يَا جُرَيْج ، كُنَّا نَرَاك خَيْر النَّاس فَأَحْبَلْت هَذِهِ ، اِذْهَبُوا بِهِ فَاصْلُبُوهُ

Maksudnya;
“Celaka kamu wahai Juraij, kami menyangka kamu adalah sebaik-baik manusia. Ikat, dan salibkan Juraij”

Ketika orang kampung sedang mengarak-arak Juraij, kelihatan perempuan yang menuduh dengan bayi yang didakwa anaknya itu. Menyebabkan Juraij minta untuk menunaikan solat.

Permintaan Juraij diberi oleh orang kampung. Setelah berwudu’, solat dan berdoa. Juraij telah datang kepada anak itu lalu bertanya.

مَنْ أَبُوك يَا غُلَام ؟ فَقَالَ : الرَّاعِي

Maksudnya;
”Siapa bapa kamu wahai anak?

”pengembala kambing” jawab anak kecil itu ringkas

Melihat bayi itu berkata demikian, menyebabkan orang kampung merasa bersalah. Lalu mereka membina balik rumah ibadat Juraij yang telah diruntuhkan itu dengan rumah ibaadat yang baru, diperbuat daripada emas. Tetapi ditolak oleh Juraij, tetapi diminta supaya dibina balik rumah ibadat itu dengan tanah sahaja
[1].

WAJIB DAHULU BERBANDING SUNAT

Dalam islam, amalan wajib perlu didahulukan berbanding amalan sunat. Keadaan ini menyalahi dengan tindakan Juraij yang ketika itu menunaikan solat sunat, lalu tidak menyahut panggilan ibu, sedangkan menyahut panggilan ibu adalah wajib.

Dari kisah Juraij ini, kita dapati Juraij telah melakukan satu kesalahan yang besar, iaitu dia melebihkan amalan sunat berbanding amalan wajib.

Banyak perkara dalam Islam yang kurang diambil perhatian oleh umat Islam tentang pentingnya mendahulukan perkara wajib berbanding sunat. Seperti, ramai manusia yang mementingkan menunaikan solat tarawih, tetapi mereka tidak menunaikan puasa ataupun tidak menunaikan solat wajib.

Ada yang mementingkan penekanan sunnah, tetapi dalam masa mereka mengabaikan perkara yang wajib mereka lakukan. Dalam Islam, kita akan dapati wujudnya mementingkan perkara yang lebih penting berbanding perkara penting.

Justeru, adalah satu tindakan yang kurang bijak, apabila wujud dari kalangan umat islam yang pentingkan berbicara tentang isu qunut subuh, sedangkan dalam masa yang sama, mereka tidak pernah terfikir untuk berbicara tentang perlaksanaan islam dalam negara mereka.

Diceritakan berkenaan dengan para salaf dahulu, seorang lelaki telah bertanya kepada seorang mufti tentang hukum darah nyamuk yang terkena pada pakaian.

Mufti tersebut menjawab, ”di saat cucu Nabi ditumpahkan darah, kamu masih lagi berbicara tentang darah nyamuk?”

Keadaan yang sama juga berlaku kepada umat Islam kini, yang lebih suka berbicara tentang qunut subuh, sedangkan disana wujud ramai dari kalangan umat Islam yang tidak menunaikan solat subuh.

Bukan bermakna berbicara tentang qunut subuh itu tidak penting, tetapi mementingkan berbicara tentang orang yang tidak menunaikan solat subuh itu adalah teramat penting.

Begitujuga, ada sebilangan umat Islam, malah terdiri dari kalangan agamawan yang tidak mengerti tentang pentingnya mendapat keuntungan dakwah berbanding perlaksanaan islam yang bersifat sementara.

Apabila dakwah sudah berjaya, maka secara mudahnya Islam dilaksanakan. Apabila manusia sudah menerima Islam, perlaksanaan islam akan kekal memerintah, malah akan menjadi dokongan manusia.

Pun begitu, ada sebilangan manusia itu pentingkan kepada perlaksanaan islam, waimma ramai manusia lain yang tidak memahami lagi tentang Islam. apabila mereka melaksanakan Islam dikala majoriti rakyat tidak faham Islam lagi, tidak mustahil, rakyat itulah yang akan menolak mereka.

Keadaan ini dapat dilihat berlaku di Afghanistan di bawah pemerintahan taliban. Keikhlasan Taliban dalam perlaksanaan Islam tidak dinafikan, tetapi disebabkan tidak mengerti tentang keutamaan dalam memahamkan rakyat tentang Islam, menyebabkan undang-undang islam yang dilaksanakan oleh mereka ditolak sedemikian rupa. Menyebabkan, dikala Taliban diserang oleh Amerika, rakyat mereka tidak mendokong taliban, malah bergembira dengan kejatuhan taliban.

DOA IBU MEMBAWA BERKAT

Buat baik kepada ibu merupakan satu kewajipan yang besar. Memberi ketaatan kepadan ibu, dan tidak menyakiti hatinya merupakan satu tuntutan ilahi yang wajib dipatuhi oleh setiap manusia di atas muka bumi.

Ibu merupakan manusia yang melahirkan dan membesarkan kita. Justeru, jasa dan bakti yang dilakukan itu menyebabkan Allah meletakkan kewajipan terhadap anak-anak memberi ketaatan, juga melarang dari menyakiti hatinya.

Begitujuga, doa ibu untuk anak-anak merupakan doa yang diberkati. Justeru, jangan dianggap remeh dengan doa ibu.

Dari kisah Juraij, kita dapat melihat bagaimana Juraij telah melakukan satu kesalahan besar, iaitu mendahulukan solat sunatnya berbanding menjawab teguran ibu. Tindakannya itu menyebabkan ibunya tersentuh, yang melahirkan kesedihan ibu. Dengan kesedihan, Ibunya berdoa keburukan untuk Juraij, dan doa ibu tersebut dimakbulkan oleh Allah SWT.

IBADAT TANPA ILMU

Beribadat merupakan tuntutan. Pun begitu, beribadat tanpa cukup syarat adalah ibadat yang ditolak. Ibadat yang diterima apabila itu memenuhi syarat dan rukunnya.

Antara syarat penting bagi ibadat adalah, perlunya ibadat tersebut ditunaikan dalam keadaan berilmu. Beribadat tanpa ilmu adalah ibadat yang tertolak, kerana ia lebih memberi kemungkinan yang besar untuk orang yang beribadat itu melakukan kesalahan sehingga boleh membatalkan ibadat.

Tindakan mementingkan amalan sunat berbanding wajib merupakan kejahilan tentang ibadat. Justeru, tidak hairan ada orang yang disebut sebagai ’abid, tetapi mereka tidak ’alim. Pun begitu, wujud juga manusia yang disebut sebagai ’Alim, tetapi mereka tidak ’Abid.

Dalam keadaan sedemikian, kelebihan diberikan kepada ’Alim berbanding ’Abid, kerana seseorang ’Abid tidak semestinya dia berilmu. Berilmu diberikan kelebihan oleh Allah SWT berbanding dengan orang yang kuat beribadat.

Sabda Nabi SAW;

فَقِيهٌ أَشَدُّ عَلَى الشَّيْطَانِ مِنْ أَلْفِ عَابِدٍ

Maksudnya;
”Seorang lelaki yang faqih (’Alim) terlebih utama berbanding seribu orang ’Abid
[2]

KARAMAH PARA WALI

Seseorang yang soleh, tidak mustahil Allah akan memberikan kepada mereka kemuliaan. kemuliaan yang diberi, sehingga sampai satu tahap, mereka melakukan perkara yang luar dari adat kebiasaan manusia.

Ia bukan satu perkara yang pelik, kerana ia juga berlaku kepada mereka yang syirik kepada Allah, dengan keterlibatan mereka dengan sihir dan sebagainya.

Adapun kepada orang saleh, perkara pelik dan ajaib itu disebut sebagai karamah. Karamah sering terjadi kepada orang-orang soleh. Ia merupakan hadiah dari Allah SWT.

Juraij yang menunaikan solat sunat, kemudian berdoa, lalu memegang bayi yang didakwa anaknya itu, tiba-tiba bayi itu boleh berkata-kata, ia merupakan karamah yang Allah berikan kepada Juraij.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
12 september 2009 * 9:27 pagi






[1] Fath Al-Bari : 10/239.
[2] Sunan At-Tarmizi : 2605.

1 ulasan:

pencari PDA(pahala di akhirat) berkata...

Namapaknyer kata2 seperti "rela kalah asal Islam dipertahankan" perlu sgt2 dikaji semula... Ustaz ramadhan ni tak datang surau al-amin ke?