Jumaat, 7 Januari 2011

KENAPA DI PUKUL? KENAPA DITANGKAP? KENAPA DISERET? KENAPA TIDAK JAWAB JE?

Hendak menenangkan hati pun dibenarkan bertanya. Inikan pula bertanya untuk menghilangkan keraguan. Apabila sebut hendak menenangkan hati, bermakna sudah ada keyakinan. Tetapi, bagi mendapat keyakinan yang mantap, lalu bertanya, maka itu dibenarkan.

Dalam keadaan begitu pun sudah dibenarkan, macam mana pula kalau hati berada dalam keadaan 50 – 50. Sudah pasti, bertanya itu adalah perkara yang cukup digalakkan.

Firman Allah;

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِنْ قَالَ بَلَى وَلَكِنْ لِيَطْمَئِنَّ قَلْبِي قَالَ فَخُذْ أَرْبَعَةً مِنَ الطَّيْرِ فَصُرْهُنَّ إِلَيْكَ ثُمَّ اجْعَلْ عَلَى كُلِّ جَبَلٍ مِنْهُنَّ جُزْءًا ثُمَّ ادْعُهُنَّ يَأْتِينَكَ سَعْيًا وَاعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya;
“dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaKu Bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk Yang mati?" Allah berfirman: "Adakah Engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon Yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu Dengan segera". dan ketahuilah Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”

[Surah Al-Baqarah : 260]

Ayat ini, Nabi Ibrahim bertanya kepada Allah. Baginda bertanya, bukan kerana keraguannya terhadap kekuasaan Allah, tetapi mahu memantapkan lagi keyakinan yang ada dalam hati Nabi Allah itu.

Menariknya, persoalan Nabi Allah Ibrahim dijawab oleh Allah SWT dengan mendatangkan bukti yang meyakinkan. Ia merupakan lambang kebenaran terhadap kekuasaan dan kebijaksanaan Allah dalam menghidupkan orang yang mati.

Tapi berbalik dengan cerita Aduka taruna, ia agak lain sedikit. Soalan tidak dijawab, tetapi dia seperti [ulang : seperti] diperangkap [ulang: diperangkap] oleh sebilangan yang tidak bertanggungjawab [kerana sebelum itu, ada pihak yang bersedia bekerjasama, malahan batuapi@suhaimi embong bersedia berdebat dengan Aduka], lalu berlaku perkara yang tidak diingini, seperti dikepung, diseret, dan tidak ketinggalan dipukul?

Cuba kita baca tulisan aduka yang dicopy paste dari blognya;

Kronologi gua setakat sebelum gua ke balai polis.

Kepada pembaca, bacalah dengan semua sumber. Anda mempunyai hak untuk menilai sendiri. Gua tak pernah paksa. Sokong gua ikut tajuk supaya gua tidak musnah kemudian hari.

Ini adalah kronologi alternatif dari rakan yang turut serta : C++

Dan ini pula kronologi dari pihak gua.

Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Demi Allah, gua bersumpah, apa yang gua tulis ini adalah benar, dari pemahaman gua sebagai manusia. Jika gua tidak benar dari pemahaman gua sebagai manusia, moga Allah jatuhkan laknat buat diri gua.

Sedikit asas permulaan cerita gua di Kelantan. Gua berhadapan masalah dengan handycam. Gua merayu di internet supaya ada yang memberi pinjam gua handycam. Semuanya kerana Allah.

Gua dihubungi Pink Turtle. Dia ada handycam. Tapi chargernya ada pada kawan. Masa semakin suntuk. Gua serahkan semuanya kepada Allah. Hujan lebat. Nak ambil charger, nak jemput bini, nak jemput adik ipar sekolah. Seorang dermawan drive dalam hujan lebat dari Kuala Krai, bertemu di Masjid Taman Uda, memberi pinjam handycam. Gua lulit dengan mengatakan gua bertolak paling lewat Isyak. Tapi sebenarnya plan bertolak pagi esok. 9.30pg.

9.20 sms dari rakan yang mengatakan dia dan rakan tidak dapat hadir. Tapi beri gua kereta. Gua pasrah dan menyerahkan kepada Allah. Semua orang jahat dan baik mempunyai hubungan peribadi dengan Penciptanya. Gua kol member lain. Sorang tak dapat, 2 lagi tak angkat. Jumaat. Tidur lagi mungkin. Kol sorang lagi. Angkat. Dan ajak dia ke Terengganu dengan bagitau serba sedikit. Member bukan jenis politik. Jadi gua faham keberanian dia adalah tahap biasa. Walaupun dia seronok akan dapat jumpa Tuan Guru Presiden PAS di Terengganu.

12.30 - Gua sampai. Gua jumpa C++ di Restoran Lempeng (seingat gua). Berdekatan dengan Masjid Rusila.

12.50 - Gua bersiap2 menunaikan solat Jumaat. Tukar selipar, etc. Dan masuk ke perkarangan masjid. Ambil wuduk dan terus ke saf beberapa di depan (tak ingat). Lepas solat sunat, gua sempat ambil gambar mimbar.

Tak ingat masa - Solat Jumaat habis. Gua solat sunat. Dan tunggu TGHA habis wirid dan solat sunat. Member gua (bukan C++) dah 'takut2' (pada tafsiran gua) dan berkata dia mahu ke tandas. Mungkin dia dapat agak situasi sebenar bukan seronok apabila bersembang sambil makan di Restoran Lempeng tadi (tafsiran gua). Pada hal dia ditugaskan sebagai kameraman 1, manakala C++ adalah kameraman lulit.

Tak ingat masa - TGHA beredar dari tempat solat menuju ke pintu keluar, bahagian depan, sebelah kanan jika kita mengadap kiblat. Terdapat ramai yang serbu berpusu-pusu bagi mencium tangan. Member gua tak tau mana. Gua turut bangun, bagi isyarat kepada C++, dan terus merapati TGHA. Gua telah berjanji, gua akan berbahasa dengan baik.

(Seingat gua, inilah dialog gua dengan TGHA)

"Assalamualaikum, Tuan Guru."

Melihatkan muka gua, muka TGHA terus berubah (tafsiran gua terhadap perubahan air muka).

"Saya AdukaTaruna dari Kelantan, ingin bertanya kepada Tuan Guru (selepas ini gua guna istilah TG), beberapa soalan."

"Saya sibuk. Saya ada program lain."

Ketika ini gua risau jika tiada rakaman. Gua keluarkan handphone China, dan on videocam. Setiap manusia mempunyai hubungan peribadi dengan Penciptanya (tafsiran gua).

Selesai on videocam, TGHA telah berada jauh sedikit. Gua terus mendapatkannya, tanpa memakai selipar. Seingat gua, inilah dialog gua :

"TG, saya mohon 5 minit sahaja untuk bertanya soalan."

Gua merayu sehingga berada di dalam dan di depan tangga rumah TGHA.

Seingat gua (tiada rakaman video pada gua), inilah dialog TG.

"Saya sibuk. Saya sibuk. Saya ada program lain."

Ketika inilah muncul Lelaki 1 dan merentap baju gua. Seingat gua, dia memarahi gua. Dan menggugut untuk mencederakan gua. Gua menjelaskan tujuan gua datang, untuk bertanya soalan. Dalam keadaan videocam masih ON.

Lelaki 1 minta rampas handphone gua. Dan muncul Lelaki 2 (budak kurus berkopiah) merampas handphone gua dengan bantuan Lelaki 1 dan beberapa lelaki yang gua tak sure berapa jumlahnya. Semua kejadian ini berlaku di hadapan THGA; dalam dan di hadapan rumah TGHA; malah seingat gua, gua dan lelaki 1 berada di atas simen rumah TGHA. Dianggarkan 50 lelaki berada di situ.

Mungkin isyarat TGHA (tafsiran gua), gua kemudiannya ditarik oleh beberapa lelaki, dibawa ke hadapan Masjid Rusila, kira2 semeter dari sempadan meletak selipar. Gua dikerumuni oleh lebih 100 orang. Mereka berkata inilah AdukaTaruna. Salah seorang dari mereka mengambil gambar gua, gua sempat buat aksi 'peace'. Mereka memaki, mengugut dan mencadangkan gua dicederakan.

Terdapat ramai dari mereka yang memiliki handycam dan kamera digital. Menandakan bahawa kehadiran gua sebenarnya memang diketahui. Mustahil datang solat Jumaat membawa handycam (tafsiran gua). Mereka merakamkan ucapan gua di situ, ketika gua pasrah kepada Allah kerana bimbang tiada rakaman bagi pihak gua. Setiap hamba mempunyai hubungan peribadi dengan Penciptanya.

Ketika gua bercakap hak-hak gua sebagai rakyat yang berada dalam kerangka demokrasi, gua dipukul sebanyak 2 kali, seingat gua. Semua ini, dirakam oleh jemaah Rusila. Gua tak sure sama ada mereka akan upload perkara itu demi Allah atau menyembunyikan perkara itu demi kasta ulama. Dan gua tak sure sama ada, ada rakaman video bagi pihak gua, atau tidak.

Berkali-kali gua menyatakan hak gua untuk beredar ke balai polis bagi membuat report rampasan handphone, tetapi tidak dibenarkan Lelaki 3. Gua cam lelaki 3 sampai sekarang. Insyallah. Ketika gua dikepung oleh lebih 100 orang, tiada satu pun pihak yang tampil memperkenalkan sebagai Batu Api atau Songkok Putih.

Kemudian, Lelaki 3 dan beberapa lelaki yang gua tak sure jumlahnya, menarik tangan dan baju gua ke tingkat 1. Gua merentap kembali tangan gua dan membuat bahasa tubuh supaya jangan 'seret' gua. Gua boleh jalan sendiri. Tak lari dan bersumpah atas hubungan peribadi setiap hamba dengan Penciptanya, sedikit pun gua tidak takut.

Gua ditahan dalam sebuah bilik di Tingkat 1. Pintu ditutup. Ada kira2 15 lelaki di dalam. Siap membuat rakaman video lagi. Di luar bilik terdapat ramai lagi lelaki dan anak-anak lelaki. Mereka meinjau2 dicelah2 tingkap. Gua diberikan hak buang air dan disuruh duduk.

Berkali-kali gua menjelaskan hak gua untuk beredar dan membuat laporan polis, tetapi ditahan. Seorang lelaki Melayu tua dipercayai bernama Wahab berkutbah kepada gua, TGHA adalah ulama yang diiktiraf antarabangsa. Melawan masuk neraka. Kita semua mati, etc. Kejadian dirakamkan oleh pihak mereka.

Sepanjang gua ditahan secara salah itu, tiada siapa pun memperkenalkan diri sebagai Batu Api atau Songkok Putih. Gua menjelaskan bahawa, gua difahamkan oleh Terengganukite, di bawah Lajnah IT PAS Dungun (seingat gua), dan laman blog Batu Api yang dipercayai di bawah Suhaimi Embong (seingat gua), telah memaklumkan kehadiran gua; dan pihak Rusila tahu kehadiran gua. Lelaki separuh tua yang gua percayai sebagai pengerusi Masjid Ruslia menafikan. Sehinggalah gua menjelaskan bahawa penahanan mereka ke atas saya adalah salah, dan boleh dianggap satu penculikan, barulah mereka 'cuak' (tafsiran gua).

Lelaki yang gua percaya sebagai Pengerusi Masjid Rusila mendakwa, dia boleh lepaskan gua. tetapi jika berlaku apa-apa, mereka tidak bertanggungjawab. Lelaki 3 membantah. Gua setuju dan bangun. Terus bersalaman dengan semua, termasuk lelaki yang merakamkan dengan handycam. Tiada rakaman bagi pihak gua. Kalaulah EdyesDotCom ada (tafsiran gua).

Gua keluar dan bersalam dengan ramai lelaki yang berada di luar pintu. Termasuk beberapa kanak-kanak. Gua turun tangga dengan diringi oleh beberapa lelaki yang gua tak sure jumlahnya. Gua menuju ke pintu besar. Kereta gua parking di depan HPA. Setengah sampai ke pintu besar, gua dikejar dan dipanggil oleh lelaki yang gua percaya bernama Wahab. Dia meminta kad pengenalan gua.

Gua menjelaskan pakcik tiada hak meminta kad pengenalan gua. Tapi gua sedia berikan butiran diri gua. Gua berikan kertas (sejenis kad). Dia tulis, tapi tak boleh sebab tangan dia gua lihat menggigil (tafsiran gua). Pakcik Wahab suruh gua tulis, on the way nak tulis, gua ambil keputusan, lu nak gua, bukan gua nak lu. Ini berkaitan dengan tindakan bodoh UG Selangor dulu. UMNO nak bagi tawaran, UMNO kena datang, bukan PAS yang datang. So, gua suruh kanak-kanak yang mengekori gua tu tulis. Diambil pakcik Wahab dan dia tulis butiran gua. Nama penuh, no KP, dan alamat Kelantan dalam keadaan tangan gigil.

Selesai dari tu, gua didatangi oleh lelaki yang memperkenalkan diri sebagai cybershot. Dia menjelaskan dia sedih dengan apa yang berlaku. Dia meminta gua menjelaskan dakwaan gua terdapat kenyataan Songkok Putih di bawah Bicara Webmaster. Gua mengajak dia minum di seberang jalan. Tapi tak boleh lama, kerana gua perlu membuat laporan polis. Gua bertanya dia jam supaya kelak gua boleh ingat (jam gua takda). cybershot menjawab sekarang pukul 2.45.

Lelaki yang mendakwa Cybershot menawarkan khidmat menghantar di mana-mana sahaja gua nak pergi. Gua menolak dengan baik, dan gua nak ke balai polis dengan kereta gua (yang dipinjam dari Man). Cybershot membantu dengan menunjukkan arah ke Balai Polis Marang.

Gua menuju ke Balai Polis Marang dalam keadaan semua nombor telefon yang gua boleh hubungi tiada. Gua tak ingat nombor, sebab gua berpandukan nama phonebook. Kalaulah gua mahir kaedah Mokhdar..

Sekian dulu, gua akan sambung lagi. Gua bersumpah atas hubungan peribadi setiap hamba dengan Penciptanya, gua akan datang untuk bertanya soalan kepada Presiden PAS sekali lagi. Mungkin selepas tarikh bicara gua. 15 Mac. Insyaallah. Dan wallahualam.

sumber : adukataruna

ada dua sms agak lawak dalam kes ini yang ingin berkongsi bersama;

SMS pertama :

"Bernama : National Union of Journalist [NUJ] memberi amaran agar semua wartawan/blogger yang menemuduga presiden PAS mesti memakai helmet & full body armour untuk keselamatan. kalau ada kemahiran silat, karate, teakwando dsbnya adalah satu persiapan yang baik"

sms kedua:

"Alo broo.. Ko berani ke debat dengan Zaharuddin menantu hadi. Aku takut ko kena belasah macam Aduka jerrr"

dua SMS ini aku tidak balas. aku tersenyum bila baca sms ini.

sekian

Khamis, 6 Januari 2011

PENGUMUMAN CERAMAH DI GOMBAK


BINA GENERASI BERANI BERFIKIR

[1]

Zaman kini, bukan zaman orang itu berkata, “Aku ustaz, maka korang kena ikut aku”, atau, “Aku ustaz, korang tak ikut aku maka korang berdosa”, atau, “aku ustaz, maka semua fatwa aku adalah benar” dan berbagai-bagai lagi.

Zaman dahulu, sebuah kampung, hendak mendapat seorang ustaz pun susah. Tetapi zaman kini, sebuah rumah kadangkala boleh dapat tiga orang ustaz. Dalam sebuah kampung, kadangkala ada 3 orang ustaz yang mempunyai kelulusan dari pelbagai negara. Setiap seorang ustaz, terpengaruh cara berfikir dengan negara yang dia mendalami ilmu, makanya lahir kepelbagaian pendapat.

Zaman kini, adalah zaman orang yang tidak belajar agama secara formal pun, kadangkala kefahaman agamanya lebih hebat dari golongan agamawan. Mereka terdedah dengan pembacaan, disamping golongan agamawan kadangkala malas membaca dan mendalami. Lebih hebat, ada golongan profesional yang mempunyai kepandaian dalam bidangnya, disamping bidang agama juga amat mengkagumkan. Tetapi, terlalu banyak golongan agamawan yang tidaklah mempunyai kemahiran agama yang hebat, disamping tidak mempunyai kemahiran langsung tentang bidang profesional yang lain.

[2]

“Ustaz” bukan penanda bahawa mereka adalah benar, tidak ada yang tidak benar melainkan benar belaka. Yang benar hanya Allah dan Rasul-Nya, tetapi selain itu, boleh jadi benar, dan boleh jadi tidak benar.

Ekoran itu, setiap pandangan dari “ustaz” tidak boleh ditaqlid buta, tetapi hendaklah diwala’kan [wala’ yang tidak dicandukan]. Dengan maksud, sekiranya pandangan seseorang ustaz itu bertepatan dengan ulasan Quran dan hadis, disamping tepat dalam pentatbiqkannya, maka ia wajar diikut. Tetapi, jika sebaliknya berlaku, seperti pandangan itu boleh melahirkan persepsi buruk kepada Islam, maka ia seharusnya ditolak.

Namun begitu, bagaimana hendak memastikan sesuatu pendapat “ustaz” itu benar atau tidak? Lebih-lebih lagi, apabila dilihat berlaku percanggahan atau perbedaan antara satu ustaz dengan ustaz yang lain?

[3]

Berdebat atau “jidal” dan “munazarah”, bukan bermakna bergaduh. Dalam kitab “Dhawabit Al-Ma’rifah, wa Usul Al-Istidlal wa Al-Munazarah” karangan As-Syaikh Abdur Rahman Hasan hanakah, didefinisikan Munazarah itu adalah, “berbincangan antara dua pihak berkenaan satu tajuk. Pada kedua-dua belah pihak, mempunyai pandangan pada tajuk tersebut yang menyanggahi satu dengan yang lain. Ia mengandungi maksud, berusaha mengisbatkan pandangannya, disamping membatalkan pendapat lawannya, beserta wujud keinginan yang tinggi dalam mencapai kebenaran dan mengi’tiraf kebenaran itu apabila terbukti akan kebenaran terbabit” [m.s : 371]

Berdebat adalah satu perkara terpuji, kerana ia memberi kesan yang baik dalam memastikan sesuatu kebenaran. Jika hanya mengeluarkan pendapat, maka semua boleh mengeluarkan pendapat. Tetapi, apakah pendapat itu benar atau tidak? Ia tidak boleh diselesaikan kecuali dengan perbincangan dengan pihak yang tidak sehaluan.

Kebiasaannya, debat dilihat seperti wujud perbalahan, malahan debat itu dilihat sebagai satu ungkapan angkuh. Mana mungkin dikira angkuh dan perbalahan, sedangkan Allah SWT menyuruh kita berdebat.

Firman Allah;

وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya;
“berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik”

[An-Nahl : 125]

[4]

Dalam sejarah ulama silam terdahulu, kita dapat lihat bagaimana perdebatan antara ulama itu wujud. Kita dapat lihat, pertembungan antara Al-Ghazali dengan Zamakhsyari; pertembungan antara Ibnu Taimiyyah dengan Ibnu Ataillah dan sebagainya.

Malahan, kita dapat lihat perdebatan antara dua tokoh falsafah terkemuka, iaitu Al-Ghazali dan Ibnu Rushd, iaitu apabila Al-Ghazali menulis kitab yang bertajuk “Tahafut Falasifah”, yang mengandungi unsur kritikan terhadap aliran falsafah yang didokong oleh Ibnu Sina dan seangkatan dengannya. Namun begitu, kitab Al-Ghazali tersebut dijawab balas oleh Ibnu Rushd dengan sebuah kitab yang bertajuk “Tahafut At-Tahafut”.

“Falsafah itu boleh menjadi racun” ujar Al-Ghazali dalam Tahafut Falasifah.

“Falafah yang menjadi racun, jika pemikiran falsafah itu rendah. Ini kerana, ada sesuatu itu dianggap racun, tetapi dinilai penawar bagi orang terpilih” lebih kurang begitu balasan Ibnu Rushd dalam kitab “Tahafut At-tahafut” terhadap kenyataan Al-Ghazali dalam Kitab “tahafut Falasifah”.

Melihat perdebatan ilmu itu, melahirkan kemajuan ilmu yang cukup hebat di kala itu. Tidak hairan, khazanah ilmu itu dijadikan bahan kajian pada hari ini.

[5]

Dalam budaya Malaysia, debat secara ilmiyyah masih tidak menyengat lagi. Yang berlaku kini hanyalah, antara satu parti dengan parti musuh. Antara satu aliran fahaman, dengan aliran fahaman yang lain, seperti Salafi dan Khalaf.

Perdebatan satu aliran yang mempunyai kefahaman yang berbeda, masih belum wujud lagi. Jika wujud, dipandang ramai sebagai perpecahan, walhal pertembungan antara Al-Ghazali dan Ibnu Rushd, tidak ada seorang pun ilmuan menganggap ia sebagai perpecahan.

Dipermulaan, mungkin berlaku sedikit kekecohan jika mahu dicadangkan perdebatan antara satu aliran, tetapi mempunyai kefahaman yang berbeda; Perdebatan dari satu parti, tetapi cara berfikir berbeda. Namun, ia perlu disuburkan.

Kekecohan diperingkat awal, adalah perkara biasa. Ini kerana, sudah menjadi lumrah, bahawa untuk melakukan satu perubahan kepada perubahan yang lain, sudah pasti berlaku sedikit kekecohan.

Dalam budaya politik Malaysia juga begitu. Kita dapati, bagaimana keadaan agak kecoh sedikit dikalangan dalaman PAS, apabila Allahyarham ustaz Fadzil Noor dahulu mengambil sikap menziarahi Anwar Ibrahim yang dipecat dari Jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Tetapi, akhirnya memberi kesan baik kepada perubahan politik PAS, iaitu PAS berjaya memerintah di terengganu pada PRU ketika itu.

Kita dapat lihat juga, bagaimana kekecohan pemecatan Anwar Ibrahim dari Timbalan perdana Menteri malaysia, melahirkan budaya politik baru di malaysia. Sehinggakan, UMNO mampu ternafi 2/3 dari parlimen.

Bersambung…..

Al-bakistani

- Sri Indah [b] Sg Buloh
6 Januari 2010 * 4:41 petang

Rabu, 5 Januari 2011

BERKAWAN, BUAT CARA BERKAWAN

[1]

Islam amat memetingkan kepada “patuh dengan perjanjian”. Setiap perjanjian yang telah dimetrai, maka hendaklah diakui dan hendaklah berpegang dengan janji tersebut.

Sabda Nabi SAW;

الْمُسْلِمُونَ عِنْدَ شُرُوطِهِمْ

Maksudnya;
“Orang islam [berpegang] disisi syarat-syarat [yang telah disepakati]”

[Al-Bukhari]

[2]

Dalam etika perundingan pun, tidak seharusnya sesuatu rundingan yang melahirkan perjanjian, yang penjanjian yang disepakati bersama itu dikhianati. Sebuah syarikat penerbitan telah melakukan perjanjian tentang satu skrip buku dengan seorang penulis berkenaan dengan sebuah buku bertajuk “A”. tiba-tiba, walau telah diadakan perjanjian, tetapi pihak penulis telah melakukan satu lagi perjanjian dengan syarikat penerbitan yang lain tentang buku yang sama juga. Sudah pasti, tindakan penulis itu disifatkan sebagai tidak bermaruah.

[3]

Seperti diketahui umum, kerajaan Madinah pimpinan Nabi SAW telah membentuk satu perjanjian bersama-sama kabilah-kabilah arab di Madinah. Tidak ketinggalan yang mengadakan perjanjian bersama adalah kabilah-kabilah yahudi.

Huyay yang merupakan salah seorang ketua kabilah Yahudi di madinah telah mengadakan hubungan sulit dengan Abu Sufyan [ketika itu belum beriman lagi] di Makkah, dalam misi untuk menyerang kerajaan madinah. Berbagai-bagai tawaran yang mahu diberikan oleh Abu Sufyan kepada Huyay, menyebakan Huyay bertekad akan bersama dengan Abu Sufyan, walhal huyay mempunyai perjanjian dengan Kerajaan Islam Madinah pimpinan Nabi SAW.

Mengetahui tindakan huyay itu, nabi SAW telah mengarahkan seorang sahabat agar berjumpa dengan Huyay. Tujuannya adalah, meminta kepada Huyay agar tidak melakukan perjanjian dengan Abu Sufyan, sebaliknya kekal dengan perjanjian yang dimetrai sejak sekian lama dengan kerajaan Islam madinah pimpinan nabi SAW.

Namun, Huyay tetap berkeras juga. Akhirnya tercetus peperangan Ahzab, atau dikenali juga sebagai peperangan Khandaq. Dalam peperangan tersebut, Allah SWT memberi kemenangan yang gemilang kepada tentera islam.

[4]

dalam piagam Madinah ada menyatakan seperti berikut;

"Pasal 12 : Tidak seorang pun dari orang-orang yang beriman dibolehkan membuat persekutuan dengan teman sekutu dari orang yang beriman lainnya, tanpa persetujuan terlebih dahulu dari padanya"

baca sama:
Pertemuan 24 Dis : PKR, DAP mahukan penjelasan

sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg Buloh
6 Januari 2010 * 2:01 petang

Selasa, 4 Januari 2011

Asri: Bunuh pengkritik Raja Melayu, cadangan hina

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata kepercayaan sesetengah pihak bahawa adalah haram untuk mengkritik atau mempunyai pendapat yang berbeza dengan Raja-Raja Melayu, seolah-olah menyamakan kedudukan mereka dengan para Nabi.

Sebaliknya, kata Dr Asri, Raja-Raja Melayu bukanlah Nabi yang maksum sehingga tidak boleh dikritik.

“Sedang para al-Khulafa al-Rasyidin iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali yang jauh lebih mulia daripada sultan-sultan pun dikritik dan dibantah oleh rakyat mereka.

“Namun mereka menjawab dengan penuh amanah, wibawa dan mereka tidak membunuh pengkritik mereka. Bahkan berterima kasih,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Dr Asri, ada beberapa kejadian yang sahabat tidak bersetuju dengan cadangan Nabi Muhammad SAW dan membantah keputusan baginda seperti yang berlaku ke atas Umar ketika perjanjian Hudaibiyyah. Namun, tambahnya, Nabi tidak membunuh beliau.

Justeru, katanya, cadangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin politik agar golongan yang mencadangkan pengkritik Raja-raja Melayu dihukum gantung, sebenarnya lebih hina dan besar dosanya daripada menggalakkan pemerintah berzina, atau berjudi atau minum arak atau semua maksiat yang lain.

Dosa besar

“Ini kerana, nyawa dalam Islam amat berharga dan haram ditumpahkan tanpa sebab yang sah. Cadangan ini bererti menggalakkan pemerintah membunuh orang tanpa sebab yang diizinkan oleh Allah dan Rasul. Dosa membunuh dalam Islam lebih besar dari dosa zina, arak, judi dan lain-lain,” katanya.

Menurut Dr Asri, baginya, pencadang hukuman tersebut adalah pengampu yang melebihi had.

“Jika dia Muslim, dia seorang yang 'kering perasaan' dan tidak takutkan Allah mengenai 'darah orang lain'. Mungkin dia berhujah dengan undang-undang yang dia fahami sehingga dia lupa syariat Allah yang Maha Tinggi yang mengharamkan ditumpah darah dan nyawa manusia tanpa sebab yang sah di sisi syarak.

"Wajib dia bertaubat dan menarik balik cadangan tersebut,” katanya.

Pada 3 Januari lalu, dua pertubuhan bukaan kerajaan - Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mahu ADUN Seri Muda dari PKR,Shuhaimi Shafiei dihukum gantung kerana didakwa cuba mencetuskan “peperangan ke atas Raja-raja Melayu”.

Shuhaimi antara lain, dalam blognya menulis - jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor tidak memerlukan perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah dan sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali.

Malah, Shuhaimi didakwa seolah-olah turut memberikan amaran kepada institusi beraja Selangor supaya tidak berterusan bertindak membelakangkan majlis mesyuarat berkenaan atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana.

sumber : malaysiakini

MEMBUKA KESALAHAN YANG DITAUBATI

Semua manusia pasti akan melakukan kesalahan dan kesilapan. Kesilapan tersebut, sama ada melibatkan kepada dosa, atau tidak. Kesilapan dalam meninggalkan amalan sunat, ia tidak melibatkan kepada dosa. Kesilapan sehingga melakukan perkara haram, ia adalah dosa.

Seseorang yang berdosa, diwajibkan oleh Allah SWT supaya bertaubat. Apabila dia sudah bertaubat, dia dikira sebagai orang terbaik disisi Allah SWT.

Sabda Nabi SAW;

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya;
“Setiap anak ada adalah melakukan kesalahan. Sebaik-baik orang yang bersalah adalah mereka bertaubat”

[At-Tarmizi : 2423]

Orang yang bertaubat juga, dia dikira bersih dari dosa disisi Allah SWT.

Sabda Nabi SAW;

التَّائِبُ مِنْ الذَّنْبِ كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ

Maksudnya;
“Orang yang bertaubat dari dosa, seperti mereka yang tiada dosa”

[Ibnu majah : 4240]

Orang yang sudah bertaubat, sering dianggap sebagai orang yang berdosa disisi manusia. Malahan, digembar-gemburkan tentang kesalahannya, walhal ia sudah bertaubat, dan kembali kepada Allah SWT.

Membangkitkan balik kesalahan yang telah ditaubatkannya itu adalah satu perkara yang menyebabkan tertimpa azab yang pedih. Ini kerana, kesediaannya dia bertaubat merupakan tanpa dia adalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya, seperti mana firman Allah;

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آَمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya;
“Sesungguhnya orang-orang Yang suka terhebah perkara buruk pada orang-orang Yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).


[An-Nur : 19]

Sabda Nabi SAW;

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya;
“setiap umatku adalah dimaafkan kecuali orang yang mujahirin. Sesungguhnya dari kalangan orang yang mujahirin adalah, seseorang lelaki yang mengamalkan sesuatu amalan pada waktu malam, kemudian paginya, Allah SWT telah menutup amalannya itu, lalu dia berkata, Wahai fulan, aku telah amalkan satu amalan semalam begian dan begian”

[Al-Bukhari : 5608]

Walau hadis ini mempunyai banyak tafsirannya. Tetapi, tafsiran yang paling masyhur adalah, orang yang melakukan sesuatu amalan jahat, lalu disembunyikan oleh Allah, tetapi dia telah membuka amalan jahatnya itu kepada orang lain, maka ia ini adalah orang yang tidak dimaafkan oleh Allah SWT.

Jika seseorang itu, membuka kesalahan dirinya pun telah dimurkai oleh Allah, bagaimana pula jika seseorang yang telah bertaubat, lalu kesalahannya yang telah ditaubatinya itu sengaja dibukakan balik oleh orang lain.

Nabi SAW ada bersabda;

يا معشر من آمن بلسانه ولم يدخل الإِيمان قلبه، لا تغتابوا المسلمين، ولا تتبعوا عوراتهم، فإِنه من اتبع عوراتهم يتبع الله عورته، ومن يتبع اللّه عورته يفضحه في بيته

Maksudnya;
““Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya namun belum masuk iman itu ke dalam hatinya ! Janganlah kalian mengghibah kaum muslimin. Jangan pula kalian mencari-cari aib/kesalahan mereka. Karena, sesungguhnya orang yang mencari-cari aib mereka, niscaya Allah akan cari-cari aib yang ada pada dirinya. Dan barangsiapa yang Allah cari-cari aibnya, maka Allah akan ungkap aibnya tersebut meskipun ada di dalam rumahnya” [Abu Daud : 4880; Albani kata : ‘Hasan shahih’].

Juga sabda Nabi SAW;

ومن ستر مسلما ستره الله يوم القيامة

Maksudnya;
“Barangsiapa yang menutupi kesalahan seorang muslim, niscaya Allah akan menutupi kesalahannya kelak di hari kiamat” [Al-Bukhari : 2442, Muslim : 2580]

Disebabkan itu, dosa orang yang sudah bertaubat tidak seharusnya dibangkitkan balik. Jika dibangkitkan balik, ia sama seperti tidak suka seseorang itu kembali kepada Allah, malahan amat redha dengan orang itu kekal dengan dosa yang dilakukan.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg buloh
5 Januari 2010 * 2:34 petang


PERSEPSI DALAM POLITIK

Dalam kamus dewan, persepsi ditafsirkan sebagai, “gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran (tentang sesuatu), pandangan (menerusi pancaindera), tanggapan” [Kamus dewan : 1025]. Ada pula dari kalangan ilmuan, mereka menafsirkan persepsi ini sebagai, “tanggapan awal”.

Dalam politik, persepsi dan peluang adalah dua perkara yang tidak boleh dilalaikan. Ia adalah perkara penting. Malahan, jika diperhatikan bahawa Nabi SAW amat mementingkan persepsi dan peluang itu. Ekoran itu, Nabi SAW berjaya dalam dakwahnya.

Pernah nabi SAW dikunjungi Umar bin Al-Khattab, meminta izin untuk memancung Abdullah bin Ubai bin Salul, kerana kejahatan bapa munafiq itu terhadap nabi SAW. Permintaan Umar itu tidak diizinkan oleh Nabi SAW dengan sabda baginda;

لَا يَتَحَدَّثُ النَّاسُ أَنَّهُ كَانَ يَقْتُلُ أَصْحَابَهُ

Maksudnya;
“Tidak, [bimbang] orang bercakap bahawa [Muhammad] membunuh sahabat-sahabatnya”

[Al-bukhari : 3257]

Dari hadis ini, kita dapat melihat bahawa kebimbangan melahirkan persepsi buruk terhadap diri nabi SAW, baginda SAW tidak menginzinkan Umar memancung Abdullah bin Ubai.

Dari sudut peluang pula, Nabi SAW melakukan perjanjian Hudaibiyyah. Mendapat peluang itu, digunakan nabi SAW sebaik mungkin untuk menyampaikan islam, seterusnya Islam terus berkuasa di atas muka bumi Allah SWT.

Di malaysia, bagaimana PAS bermain dengan persepsi? Bagaimana PAS mencari peluang?

Sekian

Wallahu ‘Alam


p/s : Apakah Suhaimi Embong akan mengatakan bodoh pada artikle ini?


Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg Buloh
5 Januari 2010 * 2:21 pagi