Ahad, 1 Mac 2009

TADABBUR AL-QURAN : SIRI 9

MUNAFIQ TIPU ALLAH

Kewujudan munafiq adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Golongan munafiq atau Opportunis adalah golongan yang tidak ikhlas dengan agama, bahkan kewujudakan mereka adalah sesuatu yang telah diakui sendiri oleh Allah menerusi firman-firman Allah dalam Al-Quran.

Dari segi waqii pula, kewujudan munafiq ini adalah sesuatu tidak boleh dinafikan juga. Ini kerana, apabila disebut sebagai munafiq, pasti wujudnya manusia yang berkepentingan. Berkepentingan itulah yang menyebabkan ternafinya keikhlasan terhadap agama.

Keadaan ini boleh menimpa manusia adalah kerana manusia itu dikurniakan oleh Allah nafsu. Tidak ada manusia yang membuang nafsu, tetapi nafsu boleh di kawal. Mengawal nafsu hendaklah berasaskan kepada dokongan Al-Quran dan As-Sunnah yang merupakan wahyu Allah.

Dalam keadaan sedemikian, Allah mencatatkan kepada kita beberapa cirri-ciri orang munafiq yang boleh kita kenali menerusi Al-Quran. Iaitu;

Firman Allah;

يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلَّا أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

Maksudnya;
“Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sadar”

(Surah Al-Baqarah : 9)

****

Apabila Allah menyebut tentang mereka (orang munafiq) menipu Allah, pasti akan tertanya dalam pemikiran kita beberapa persoalan, antaranya adalah seperti, apakah yang dimaksudkan dengan mereka menipu Allah? mengapa mereka menipu Allah? bagaimana cara mereka menipu Allah?

Bagi menjawab semua persoalan ini, seharusnya kita menyebut terlebih dahulu tentang apa itu penipuan.

Dalam bahasa arab, kalimah “Mukhadaah” (melayu : tipu daya) bermakna menyembunyikan. Maksud dengan menyembunyikan adalah, menyembunyikan perkara yang sebenar.

Apabila menyebut mereka menyembunyikan kebenaran, adalah menyembunyikan keadaan sebenar yang wujud dalam hati mereka. iaitu, orang munafiq, mereka sebenarnya telah menymbunyikan kekufuran mereka terhadap Allah terhadap orang-orang yang beriman.

Ekoran dari itulah, kita akan dapati orang munafiq adalah mereka yang mengucap dua kalimah Shahadah, tetapi dalam masa yang sama, hati mereka tidak membenarkan kandungan shahadah yang mereka lafazkan.

Mengapa mereka bertindak menyembunyikan isi hati mereka yang sebenar??

Antaranya adalah kerana, mereka meletakkan kepentingan peribadi mereka dalam mengambil keuntungan disebalik mereka masuk islam.

Jika dilihat pada zaman nabi SAW, antara sebab manusia jadi munafiq adalah kerana

(a) mahu mendapat kemuliaan di zaman nabi SAW, ini kerana, pada zaman itu, mereka menyangka bahawa Nabi SAW tidak akan melayan mereka jika mereka tidak beriman.

(b) mereka mahu menyelamatkan diri mereka dari sebarang serangan yang dikenakan kepada mereka. Seperti sabda Nabi SAW;

أمرت أن أقاتل الناس حتى يقولوا لا إله إلا الله

Maksudnya;
“Aku disuruh menyerang manusia hinggakan mereka menyebut “tiada tuhan melainkan Allah””

(c) mereka mahu mendapat habuan harta ghanimah (baca : harta rampasan perang) sekiranya menang dalam peperangan.

Jika diperhatikan kepada ketiga-tiga perkara ini, kita akan mendapat satu kesimpulan bahawa, maqasid disebalik tujuan-tujuan mereka ini adalah kerana mereka mementingkan habuan dunia berbanding akhirat. Mereka tidak pernah memikirkan habuan mereka diakhirat, semuanya disebabkan krisis keyakinan mereka terhadap hari akhirat itu.

Keadaan yang sama juga berlaku pada manusia kini. Ini kerana, ada sebilangan manusia kini yang bersama-sama dengan gerakan islam, bukanlah dengan tujuan mahukan kepada mahu mencapai kejayaan dalam berdakwah dan menyeru manusia kepada Islam, tetapi kehadiran mereka dalam gerakan islam adalah kerana wujud unsur keduniaan, seperti mahu memegang jawatan, ekoran itu mereka akan mendapat pengaruh dan disanjung oleh masyarakat.

Memandangkan keadaan sedemikianlah, kita akan dapati mereka menggunakan segala kesempatan yang ada dalam mengaut keuntungan dunia, mencari pengaruh dunia, mengejar segala jawatan yang ada demi mahu melepaskan kehendak nafsu mereka yang buas.

****

Firman Allah:

يُخَادِعُونَ اللَّهَ

Maksudnya;
“mereka mahu menipu Allah”

Apa yang dimaksudkan dengan menipu Allah seperti yang dikehendaki pada ayat ini???

Hakikat ayat ini adalah, Allah ingin menggambarkan kepada kita bahawa penipuan yang dilakukan oleh orang munafiq terhadap Allah itu bermaksud mereka menipu segala arahan Allah yang telah Allah wahyukan kepada Nabi SAW.

Keadaan ini sama seperti firman Allah;

إِنَّ الذين يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ الله

Maksudnya;
”Sesungguhnya mereka yang membaiaah kamu (wahai Muhammad), hanyasanya mereka membaiaah Allah”

(Surah Al-Fath : 10)

Bermakna, nabi itu sebagai perantara antara Allah dengan manusia. Oleh itu, apabila manusia itu membaiaah Rasulullah dengan menyatakan taat setia mereka terhadap Rasulullah, menunjukkan mereka juga telah menyatakan taat setia mereka terhadap Allah SWT yang mengutuskan Rasulullah SAW.

Keadaan yang sama juga dalam ayat ini; yang menggambarkan penipuan munafiq terhadap Allah, bermaksud mereka melakukan melakukan tipu daya terhadap ajaran Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

****

Firman Allah;

يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آَمَنُوا

Maksudnya;
“mereka mahu menipu Allah dan orang-orang yang beriman”

Dalam mengulas ayat ini, Sayed Qutub telah menyatakan bahawa, inilah antara kelebihan orang-orang yang beriman. Ini kerana, dalam ayat ini, sengaja Allah menggabungkan penipuan munafiq lakukan terhadap Allah dan orang beriman.

Menunjukkan, segala perkara yang disukai oleh Allah, maka itulah yang disukai oleh orang-orang beriman. Jika itu adalah perkara yang dibenci Allah, maka itu juga adalah perkara yang dibenci oleh orang-orang beriman. Oleh yang demikian, jika itu adalah musuh Allah, maka itu juga adalah musuh orang-orang beriman.

Dalam erti kata lain, jika orang munafiq melakukan penipuan terhadap orang-orang beriman, menunjukkan mereka sebenarnya sedang menipu Allah SWT.

****

Firman Allah;

وَمَا يَخْدَعُونَ إِلَّا أَنْفُسَهُمْ

Maksudnya;
“tidaklah mereka menipu melainkan diri mereka sendiri”

Apabila disebut ”menipu”, tidak akan berlaku tipuan itu dari sebelah pihak sahaja. Pasti wujud, pihak yang kena tipu.

Dalam ayat ini, Allah menyebut tentang orang munafiq itu menipu diri mereka sendiri, sedangkan jika difaham sedemikian, seakan-akan tidak wujud manusia yang kena tipu, bahkan yang wujud hanya orang yang menipu sahaja.

Bagi menjawab persoalan ini, Imam Fakhru Razi dalam kitab At-tafsir Al-kabir berhujjah bahawa, selalunya orang yang menipu adalah dengan tujuan untuk mendapat habuan dan keuntungan. Tetapi, apabila orang munafiq melakukan penipuan, sebenarnya mereka telah melakukan tindakan yang tidak mendapat keuntungan, bahkan mendapat kerugian hidup di akhirat nanti.

Bermaksud, tindakan munafiq yang menipu itu sebenarnya mendapat pembalasan dari Allah diakhirat nanti dengan kerugian, bukan keuntungan seperti yang diharapkan oleh mereka.

***

Firman Allah;

وَمَا يَشْعُرُونَ

Maksudnya;
“mereka tidak sedar”

Maksud sedar adalah mengetahui sesuatu dengan cara kita merasainya sendiri. Bermaksud, tidak sedar adalah kita mengetahui sesuatu dengan tidak kita merasainya.

Ada perkara yang kita tahu tidak dengan cara merasainya, tetapi sekadar tahu yang terhasil melalui ilmu.

Orang melayu ada pepatah menyebut;

“berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”

Yang membawa maksud, orang yang melihat juga merasakan kesusahan yang ditanggung oleh kawannya, tetapi kesusahan yang ditanggung oleh kawannya itu lebih berat berbanding dirinya yang melihat.

Dengan erti kata lain, kesusahan orang yang melihat tidak sama dengan kesusahan orang yang menanggung.

Ayat ini, Allah menyebut orang munafiq menipu Allah dalam keadaan mereka tidak sedar bahawa mereka telah menipu diri mereka sendiri. Bermaksud, mudharat yang menimpa diri mereka sendiri lepas kiamat nanti tidak disedari oleh mereka ketika mereka melakukan penipuan semasa di dunia.

Mereka melakukan penipuan itu, bukan kerana mereka tidak tahu, tetapi sebenarnya mereka memang tahu bahawa mereka sedang menipu, tetapi disebalik penipuan mereka, mereka tidak sedar bahawa mereka sedang menepah tempat dalam neraka Allah SWT.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
2 mac 2009 * 1:06 pagi.



Tiada ulasan: