Isnin, 27 April 2009

HINDARI FIKRAH PERKAUMAN


HINDARI FIKRAH PERKAUMAN

Perkauman merupakan satu semangat yang tidak seharusnya menjadi dasar kehidupan manusia. Mendakwa bahawa bangsa melayu lebih mulia berbanding bangsa-bangsa lain merupakan tindakan yang bercanggah dengan ajaran Nabi Muhammad SAW. Asas semangat perkauman inilah, melahirkan perpecahan antara rakyat Malaysia yang telah ditakdirkan oleh Allah berbilang kaum.

Merujuk kepada sirah Nabi SAW, Baginda berjaya mempersaudarakan antara Aus dan Khazraj yang bertelagah ekoran mempertahankan semangat perkauman masing-masing. Baginda tidak mempersaudarakan Aus dan Khazraj dengan mendesak agak Khazraj tunduk kepada Aus, mahupun juga sebaliknya. Bahkan, Baginda SAW bertindak meletakkan Islam dan ketaqwaan sebagai asas dalam menyatu padukan antara Aus dan Khazraj yang bertelagah.

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

Maksudnya;
“Wahai Manusia ! Sesungguhnya kami ciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan. Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berkabilah-kabilah; tujuannya agar kamu kenal mengenali sesame kamu. Sesungguhnya yang paling mulia disisi kamu adalah yang paling taqwa di kalangan kamu”

(Surah Al-Hujurat : 13)

Islam meletakkan ketaqwaan sebagai asas satu padu antara kaum. Bermakna, Islam melarang semangat perkauman sebagai asas dalam kehidupan, kerana ianya mampu melahirkan perpecahan.

Apabila lahir perpecahan, menunjukkan itu bukanlah kebenaran yang dikehendaki oleh Allah. Justeru, asas semangat perkauman sehingga menafikan kebenaran inilah yang disebut oleh nabi SAW sebagai semangat Asobiyyah yang diharamkan oleh Allah SWT.

Sabda Nabi SAW;

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ

Maksudnya;
“Bukan dari kalangan kami, mereka yang menyeru kepada Assobiyyah. Bukan dari kalangan kami, mereka yang berperang atas dasar Asobiyyah. Bukan dari kalangan kami, mereka yang mati atas dasar Asobiyyah
[1]

Dalam hadis yang lain, seorang sahabat bertanya kepada Nabi SAW;

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْعَصَبِيَّةُ قَالَ أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ


Maksudnya;
”Wahai Rasulullah SAW, apakah Asobiyyah itu?? bersabda Nabi : bahawa kamu membantu saudara kamu atas melakukan kezaliman
[2]

ASOBIYYAH MEMBINASAKAN

Jika diperhatikan kepada sirah-sirah, didapati kebinasaan umat-umat terdahulu, adalah disebabkan keingkaran dan keengganan mereka dalam mengabdikan diri kepada Allah. Antara sebab mereka ingkar terhadap Allah, apabila mereka meletakkan semangat perkauman mereka sebagai asas kehidupan.

Lihatlah bagaimana Allah membinasakan Kaum ‘Ad seperti dinyatakan oleh Allah dalam surah Al-Fajr;

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ * إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ * الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ * وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ

Maksudnya;
“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum 'Aad? * (yaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi * yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain * dan kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah”

(Surah Al-Fajr : 6-9)

Dalam ayat ini, Allah menyatakan, walaupun kaum ‘Ad yang mempunyai “putrajaya” lebih hebat daripada putrajaya yang kita miliki. Dalam keadaan sebegitu pun, memandangkan semangat asobiyyah mereka menebal, mereka telah ingkar ajaran Allah sehingga mereka dibinasakan oleh Allah sehingga tidak tertinggal lagi keturunan mereka di atas muka bumi Allah SWT.

Begitujuga kebinasaan yang Allah timpakan terhadap Firaun, yang meletakkan semangat Bani Israel yang menebal sehingga menafikan ajaran Allah yang dibawa oleh nabi Musa A.S. kebinasaan yang ditimpakan terhadap kaum Tsamud yang menentang Nabi Soleh, dan banyak lagi kebinasaan yang berlaku kepada kaum-kaum terdahulu. Semuanya bersebab, mereka meletakkan semangat asobiyyah mereka melebihi kebenaran yang terkandung dalam ajaran Islam.

ASOBIYYAH DI MALAYSIA

Semangat Asobiyyah perkauman ini semamangnya masih subur di negara kita Malaysia. Semenjak merdeka, negara kita tidak pernah terhindar dari perbezaan identiti kaum.

Kaum melayu yang merasa lebih hebat dari kaum cina dan india, menjadi igauan mimpi disiang hari yang tidak pernah luput dari benak rakyat Malaysia. Perasaan tersisih yang wujud dalam jiwa kaum cina dan india masih menjadi mimpi ngeri, lebih-lebih lagi tragedi perbalahan kaum yang dikenali sejarah ”13 mei” dibimbangi berulang kembali.

Semangat perkauman yang ditanam ini, menyebabkan rakyat malaysia sebenarnya dilihat seperti merdeka, tetapi hakikatnya belum lagi merdeka. Walaupun mereka dilihat merdeka dengan keluarnya penjajah inggeris, tetapi hakikatnya mereka dijajah dengan cara pemikiran perkauman yang diharamkan oleh Allah SWT.

Kita dapat melihat, bagaimana semangat perkauman ini amat subur di kalangan parti-parti kompunen BN. Bermula dari UMNO, MIC, MCA, Gerakan dan sebagainya.

Sejarah telah membuktikan, bagaimana tindakan seorang ketua bahagian UMNO dari Negeri Pulau Pinang, yang menyatakan bahawa kaum cina di negara ini adalah penumpang. Tindakan biadap itu menyebabkan sebilangan kaum cina, khususnya dari parti MCA telah bangun dan mendesak agar Perdana Menteri ketika itu, iaitu Abdullah Ahmad Badawi meminta maaf kepada seluruh rakyat berbangsa cina di Malaysia sebagai mewakili pimpinan UMNO yang celupar tersebut.

Keadaan ini berlaku bukan sekadar di Pulau Pinang sahaja, bahkan berlaku juga dalam DUN PERAK. Ianya berlaku, rentetan perlantikan YB Sivakumar sebagai Speaker Negeri perak yang berbangsa india, menyebabkan seorang ADUN UMNO mengeluarkan kenyataan biadap dengan menyatakan perumpanaan bahawa jika bertemu antara ular dan kaum india, maka bunuh kaum India dahulu.

Kenyataan berbentuk sebegini merupakan gambaran jelas bahawa semangat perkauman ini sememangnya masih lagi membelunggu dalam jiwa rata-rata rakyat malaysia.

Belenggu ini tidak berkesudahan disebabkan pemerintahan negara semenjak merdeka dengan tidak pernah menghayati ajaran yang dibawa Nabi Muhammad SAW; iaitu ajaran yang menghalang mewujudkan semangat perkauman.

Keadaan ini amat berbahaya kepada rakyat Malaysia, bahkan ianya mampu melahirkan huru hara dalam negara berasaskan perkauman.

ISLAM BERJAYA JADI PENYELAMAT

PAS sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan. Berfikir mahu melahirkan masyarakat yang harmoni dengan meletakkan asas Islam dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Perjuangan PAS tidak pernah meletakkan sesuatu kaum itu lebih mulia berbanding kaum yang lain. Justeru, kehadiran PAS merupakan penyelamat kepada pemikiran perkauman yang menghuru harakan negara selama ini.

Pun begitu, menggelikan hati apabila UMNO juga mendakwa bahawa mereka adalah pembela terhadap agama. Sedangkan, jika kita perhatikan, UMNO merupakan parti yang telah menghancurkan agama Islam di negara ini.

Ini dapat dibuktikan dengan terlenyapnya tulisan jawi dari minda-minda orang melayu beragama Islam di Malaysia, sedangkan suatu masa dahulu, tulisan jawi merupakan peradaban penting dalam masyarakat melayu Islam di negara ini.

Begitujuga dengan tindakan kerajaan UMNO/BN yang menahan bantuan perkapita di sekolah-sekolah agama rakyat di seluruh negara. Bahkan sebelum inipun, sudah ada usaha hendak menghapuskan penggunaan kalimah Islam dari mana-mana parti, tetapi tidak berjaya dilakukan ekoran wujudnya raja-raja melayu.

Kejahatan yang dilakukan oleh UMNO/BN ini amat terasa dalam jiwa rakyat Malaysia. Ini dibuktikan dengan 27 juta rakyat Malaysia yang hidup dalam keadaan merasa; hidup dalam keadaan berdendam antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Keadaan ini kurang dirasakan di negeri yang ramai orang melayu seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan. Tetapi di Perak, keadaan ini amat terasa, kerana bilangan orang melayu sebanyak 52 peratus sahaja.

Justeru, semenjak PR memerintah di Perak. Ketegangan ini semakin hari semakin kendur. Dengan berasaskan kepada konsep keadilan sejagat, di perak dapat dilihat bagaimana kejayaan menyatu padukan antara kaum ini berlaku.

Kejayaan ini dapat dirasakan dengan penerimaan exco-exco kerajaan negeri perak yang tidak berbangsa melayu; yang bukan beragama Islam terhadap keputusan sesuatu dasar kerajaan yang diluluskan. Sedangkan, sebarang keputusan kerajaan negeri perak yang diluluskan, berasaskan kepada firman Allah;

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ

Maksudnya;
” Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan”

(Surah An-Nahl : 90)

Inilah satu kejayaan yang baik dalam usaha kerajaan negeri Perak dibawah pemerintahan pakatan rakyat. Walaupun, ahli mesyuarat exco kerajaan adalah majorotinya beragama selain Islam, tetapi sebarang keputusan yang melibatkan Islam agak mudah diterima.

PENUTUP

Di zaman Rasulullah SAW, Baginda SAW berjaya menyatu padukan Aus dan Khazraj yang bertelagah dengan berasaskan kepada Islam. Dan sesungguhnya kejayaan ini agak sama berjaya dengan konsep Islam yang meletakkan asas keadilan sejagat menjadi dasar pemerintahan Pakatan rakyat di negeri perak.

Justeru, Islam memang sesuai menjadi asas pemerintahan, tetapi menyedihkan apabila Islam ini ditolak oleh mereka yang jahil tentang Islam. Menyedihkan lagi, apabila yang menolak Islam itu adalah parti yang didokong oleh orang Islam sendiri.

Sekian

p/s : ulasan dari ceramah Ir Nizar

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
28 april 2009 * 10:14 pagi


[1] Sunan Abi Daud : 4456.
[2] Sunan Abi Daud : 4454.

Tiada ulasan: