Isnin, 13 April 2009

TADABBUR AL-QURAN : SIRI 16 : PELUANG PAHALA VS PELUANG DOSA

PELUANG PAHALA VS PELUANG DOSA

Firman Allah;

وَإِنْ كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَنْ تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ * وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Maksudnya;
“Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui * Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan)”

(Surah Al-Baqarah : 280-281)

Dalam ayat lepas, Allah menjelaskan bahawa Allah sendiri akan membinasakan riba dan akan menyuburkan sedekah. Ayat yang merupakan galakan kepada umat agar meninggalkan riba dan bersegera dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sedekah.

Adapun pada ayat ini, Allah SWT menjelaskan dua peluang yang selalu menjadi inspirasi manusia; peluang mendapat habuan akhirat dan peluang mendapat habuan dunia.

Apabila seseorang itu memberikan hutang, lalu didapati penerima hutang itu tidak mampu membayar hutangnya pada tarikh yang ditetapkan. Ketika itu, ada dua peluang yang mampu dikejar oleh pemberi hutang. Sama ada peluang akhirat, iaitu dengan memaafkan kepada penerima hutang, atau pun menyedekahkan terus hutang itu kepadanya, tanpa perlu membayar balik.

Ada satu lagi adalah manusia yang mencari peluang dunia, iaitu mengambil kesempatan terhadap penerima hutang tersebut dengan mensyaratkan keizinan membayar lambat, tetapi hendaklah diberikan penambahan daripada kadar hutang yang diberikan dahulu. inilah yang disebut sebagai riba.

***

Firman Allah;

وَإِنْ كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ

Maksudnya;
“Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan”

Sebab turun ayat ini adalah berikutan penurunan firman Allah;

فَأْذَنُواْ بِحَرْبٍ مّنَ الله وَرَسُولِهِ

Maksudnya;
“maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu”

Pertama:

Apabila turun ayat ini, menyebabkan ada sebilangan kaum yang sebelum ini bermuamalah secara riba terus berhenti dari mengamalkan riba. Pun begitu, mereka ada memberikan hutang kepada satu kaum lain, iaitu kaum Bani Mughirah. Semasa tarikh membayar hutang telah tiba, mereka berjumpa dengan kaum Bani Mughirah untuk menuntut hutang. Kaum Bani Mughirah menyatakan, mereka sekarang berada dalam kesempitan wang; tidak mampu untuk membayar hutang ketika itu. mereka tetap mendesak agar Bani Mughirah membayar hutang juga.

Ekoran dari itu, turunlah ayat ini yang menyebut bahawa berilah tangguh kepada mereka yang berada dalam kesempitan.

Kedua:

Dalam ayat ini, Allah menyatakan, apabila orang yang berhutang itu berada dalam kesukaran. Persoalannya, apa yang dimaksudkan dengan kesukaran itu?? dan kadar mana pula kesusahan tersebut??

Sukar yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kesukaran wang untuk membayar hutang. Kesukaran ini ada beberapa bentuk, iaitu (1) sememangnya tidak mempunyai wang langsung untuk membayar hutang, (2) mempunyai wang yang cukup untuk membayar hutang tersebut. Pun begitu, wang yang ada itu mahu digunakan untuk keperluan lain yang penting.

Adapun jika wujud wang untuk dibayar hutang, tetapi tidak membayar hutang kerana untuk digunakan kepada keperluan yang tidak penting, ataupun sengaja tidak mahu membayarkan hutang, maka tindakan itu dikira sebagai zalim disisi Allah SWT.

Sabda Nabi SAW;

مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ

Maksudnya;
”Berlengah-lengah orang kaya (ada wang untuk membayar hutang) adalah kezaliman
[1]

Ketiga:

Memahami dari ayat ini, jelas kepada kita bahawa Islam adalah agama yang sungguh indah. Keindahan Islam dalam menjaga fitrah manusia.

Tidak semua manusia berada dalam keadaan senang. Juga, ada dikalangan manusia yang senang di suatu ketika, tetapi di ketika yang lain dia ditimpa kesusahan.

Bak kata pepatah;

”langit tidak sentiasa cerah”

Justeru, walaupun ada sebilangan manusia itu berjanji untuk membayar hutang pada sesuatu tarikh, kadangkala Allah tidak memberi kemudahan kepadanya untuk membayar hutang pada tarikh tersebut.

Maka disebabkan itu, ayat ini menyatakan bahawa pihak yang memberi hutang tidak mendesak atau menekan penerima hutang dikala mereka berada dalam kesempitan kewangan.

Dengan ini, kita akan dapati Islam meletakkan asas yang cukup indah, iaitu Islam tidak akan memberatkan sesuatu itu terhadap manusia, melainkan mengikut kadar kemampuan mereka sahaja.

Firman Allah;

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya;
”Allah tidak akan memberatkan seseorang itu melainkan kadar kemampuan dia sahaja”

(Surah Al-Baqarah : 286)

***

Firman Allah;

وَأَنْ تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَكُمْ

Maksudnya;
”Dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu, lebih baik bagimu”

Pertama :

Di kala orang yang berhutang tidak mempunyai wang untuk membayar hutang, menunjukkan ketika itu ia berada dalam kesusahan. Apabila dia berada dalam kesusahan, lalu diminta agar dibayar hutang, sudah pasti keadaan ini merupakan beban yang sedang dipikul.

Bagi meringankan beban tersebut, Allah mencadangkan kepada pihak yang memberi hutang agar ”menghalalkan” hutang tersebut; dengan tidak perlu lagi dibayar hutang tersebut.

”menghalalkan” hutang itu, sama ada dengan menghalalkan semuanya atau sebahagian dari kadar hutang yang diberikan.

Inilah yang disebut sebagai peluang pahala dikala kita memberikan hutang kepada orang lain. Dari sudut sebaliknya pula, ada pihak mengambil kesempatan untuk menambahkan beban kepada pihak yang berhutang; iaitu dengan mendesak agar dibayar hutang itu disertai dengan penambahan. Perbuatan ini adalah haram disisi Islam, kerana penambahan itu adalah riba.

Kedua :

Suruhan agar bersedekah iaitu menghalalkan hutang adalah sunat, bukan wajib.

Tindakan menghalalkan ini mempunyai kelebihan besar disisi Allah SWT. Keuntungan dengan tindakan sebegitu kadangkala sudah terhasil semasa di dunia lagi; iaitu mendapat kepujian di kalangan manusia, lebih-lebih lagi dari orang yang berhutang. Dan akhirat nanti, pasti mereka akan mendapat ganjaran pahala yang besar disisi Allah SWT.

Sabda Nabi SAW;

من سره أن يظله الله يوم لا ظل إلا ظله، فَلْيُيَسِّر على معسر أو ليضع عنه

Maksudnya;
“Barangsiapa mahu mendapat baying-bayang Allah dihari tiada baying-bayang melainkan baying-bayang Allah, maka hendaklah dia mudahkan terhadap orang yang berada dalam kesukaran (wang) atau halalkan terus hutang itu”

***

Firman Allah;

إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya;
“jika kamu mengetahui”

Maksud tahu disini adalah, tahu tentang balasan pahala yang akan diberikan, juga tahu betapa gembiranya Allah atas tindakan sedemikian.

Pahala yang diberikan kepadanya itu disebabkan, (1) mereka bersedekah, (2) mereka yang menghilangkan masalah orang yang berada dalam kesukaran.

***

Firman Allah;

وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّه ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ ِ

Maksudnya;
“Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah”

Pertama;

Allah menyuruh manusia itu takut kepada hari pertemuan antara Allah dengan seluruh makhluk; iaitu hari akhirat nanti.

Hari akhirat adalah hari yang tidak ada sesiapa pun yang boleh membantu. Kehidupan akhirat amat dahsyat sehingga tidak termampu untuk dibandingkan dengan kehidupan di dunia kini.

Apabila seseorang itu mengambil kesempatan terhadap orang yang berada dalam kesempitan, seakan-akan mereka ini lupa bahawa selepas mereka mati nanti, mereka akan bertemu satu alam yang amat dahsyat. Iaitu di alam manusia diperhitungkan dihadapan Allah SWT terhadap segala apa yang telah dilakukan semasa hidup di dunia dahulu.

Justeru itulah, mereka selayaknya takut dengan pertemuan dengan Allah jika mereka dipenuhi dengan dosa-dosa menindas manusia itu.

Kedua :

Dengan ayat inilah menandakan, pembalasan akhirat itu sememangnya ada. Pembalasan azab bagi mereka yang berdosa. Pembalasan nikmat bagi mereka yang beriman dan beramal soleh.

Ketiga :

Menurut Imam Ibni Abbas, ayat ini adalah ayat yang terakhir sekali diturunkan kepada Nabi SAW. ayat ini diturunkan selepas penurunan ayat;

اليوم أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى

Maksudnya;
“Pada hari ini, aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku sempurnakan atas kamu nikmatku”

(Surah Al-Maidah : 3)

Menurut Imam Ibni Abbas, kewafatan Nabi SAW adalah selepas 81 hari penurunan ayat ini. Ada ulama lain kata, 21 hari. Ada ulama lain kata, 7 hari.

Sekian

p/s : ”Mencari peluang tidak salah jika kena gayanya. Bermakna, mencari peluang boleh menjadi salah apabila tidak kena atau tidak betul dengan gayanya”

Wallahu ’Alam

Al-bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg buloh
14 april 2009 * 1:59 petang





[1] Muwatta’ : 1181.

Tiada ulasan: