Khamis, 22 Julai 2010

EKONOMI 'BERLUMBA-LUMBA MELAKUKAN KEBAIKAN'

Setiap rakyat, hendak mendapat kecukupan dalam kehidupan mereka. Apa yang mereka mahu dapatkan adalah, murah dan berkualiti. Semua ini akan tercapai sekiranya disuburkan budaya saingan.

Dalam surah Mukminun, Allah SWT ada menyenaraikan ciri-ciri orang yang sebenar-benarnya beriman dengan Allah. Antara yang disebut oleh Allah adalah golongan yang sentiasa berada dalam saingan kebaikan.

Firman Allah;

أُولَئِكَ يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَهُمْ لَهَا سَابِقُونَ

Maksudnya;
"Mereka itu berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya"

(Surah Mukminun : 61)

Mengenangkan perkara inilah, tidak hairan kita akan berjumpa satu hadis. Diceritakan oleh abu hurairah bahawa, seorang lelaki datang berjumpa dengan Rasulullah SAW, lalu berkata, "tetapkan harga untuk kami".

Nabi SAW menjawab, "Yang berkuasa menetapkan harga adalah Allah, sama ada menaikkan dan menurunkan. sesungguhnya aku berharap bahawa berjumpa dengan Allah, tanpa kezaliman disisiku terhadap seorang pun".

Lalu, Baginda SAW berkata lagi, "sesungguhnya Allah adalah tuhan yang mencipta, tuhan Yang memegang dan meluaskan harga. Sesungguhnya aku berharap bahawa aku berjumpa dengan Allah tanpa aku dituntut oleh orang yang aku zaliminya, sama ada pada darah ataupun pada harta" [Sunan Abi Daud : 2993]

Sebagai rakyat bawahan yang membeli, mereka mahukan yang paling murah dan berkualiti. Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti pihak-pihak pengeluar, akan berlumba-lumba sesama mereka dalam menawarkan barangan jualan mereka yang paling murah dan berkualiti kepada rakyat. Apabila keadaan ini berlaku, rakyat secara melata mendapat keuntungan, disamping tidak ternafi hak dari pihak pengeluar dan penjual.

Pihak pemodal pula, tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga barang kepada rakyat, kerana mereka merupakan golongan yang terpaksa akur dengan kehendak golongan majoriti [rakyat].

keadaan ini tidak akan berlaku, jika pemodal dipayungi oleh pihak yang berkuasa dengan apa jua nama sekalipun, seperti kouta dan sebagainya. Keadaan ini memungkinkan berlakunya pemonopolian, sedangkan ia dilarang dalam syarak islam. Keadaan ini lebih parah, apabila ia dikuotakan atas nama bangsa, sudah pasti wujud penafian hak secara tidak langsung terhadap kaum yang lain, disamping memungkinkan berlaku pengelolaan terhadap sesuatu kelolaan terhadap orang yang tidak berkelayakkan, ekoran 'lobi', rasuah dan sebagianya.

Sabda Nabi SAW:

إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Maksudnya;
"Apabila disandarkan sesuatu urusan yang bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kebinasaan". [Al-bukhari : 57]

Dalam keadaan itu pula, saingan ini hendaklah dikawal oleh pemerintah, agar tidak berlaku penafian hak antara pihak penjual, pemodal dan pembeli. Justeru, tugas pemerintah adalah mengawal keadaan agar tidak wujud penafian hak yang boleh membawa kemudharatan kepada rakyat.

Kaedah fiqh menyebut;

تصرف الإمام على الراعية منوط بالمصلحة

Maksudnya;
"Tindakan penguasa harus sentiasa mengacu kepada kemaslahatan rakyat" [Fiqh muamalah : 187]

Contohnya, Seperti berlaku Monopoli atau disebut sebagai "ihtikar", iaitu yang didefinisikan oleh Imam Al-Ghazali sebagai, "penyimpanan barang niaga oleh penjual untuk menunggu melonjaknya harga pejualannya ketika harga melonjak" [ihya ulum ad din : 2/24]

Sabda Nabi SAW;

مَنْ احْتَكَرَ حُكْرَةً يُرِيدُ أَنْ يُغْلِيَ بِهَا عَلَى الْمُسْلِمِينَ فَهُوَ خَاطِئٌ

Maksudnya;
"barangsiapa yang melakukan ihtikar dengan tujuan merosakkan harga pasaran, sehingga harga naik secara tajam, maka perbuatan itu adalah salah" [Musnad Ahmad : 8263]

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] sg buloh
23 julai 2010 * 2:37 pagi

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

alhamdulillah.
kan bagus ada artikel ilmu yg macam ni.
jgn lah asyik cerita politik je.