Ahad, 7 Ogos 2011

TIDAK SETUJU HASAN ALI DIPECAT

APA ISUNYA?

Tindakan JAIS menyerbu sebuah gereja yang mengadakan majlis makan malam. Didakwa awalnya, penganjuran majlis berbuka puasa. Dikhabarkan tindakan JAIS itu untuk siasatan. Dikhabarkan juga, JAIS tidak mempunyai waran. Berbagai-bagai lagi khabar yang kedengaran.

Tindakan JAIS itu dinilai tidak professional oleh sebilangan pihak. Maka lahir beberapa kenyataan yang menegur tindakan JAIS itu. Tiba-tiba, Hasan Ali keluar kenyataan menyatakan sokongan terhadap tindakan JAIS.

Tidak lama kemudian, kedengaran berita pula bahawa tindakan gereja itu adalah salah satu usaha hendak memurtadkan umat Islam. Keluar pula article bahawa ada seseorang yang pernah mendapat bantuan dari gereja, dan mahu dimurtadkan.

Kemudiannya lagi, keluar berita bahawa majlis makan malam itu bertujuan untuk mengutip dana kewangan bagi membantu mangsa HIV yang selama ini dibiayai oleh pihak gereja terbabit. Tanpa kita nafikan, memang antara pesakit HIV itu adalah orang yang beragama Islam.

KENAPA IA TERJADI?

Ia dikupas dari beberapa sudut.

Sudut pertama:

Aku ada beberapa pengalaman tentang orang yang berkaitan dengan bantuan dari gereja. Pertamanya, seorang bapa kepada tiga orang anak yang terlibat dengan ah long. Setiap hari, Ah Long datang ke rumah untuk mendapatkan wang. Ah Long itu bukan sekadar mengganggu hidup sang bapa, malahan anak dan isterinya juga diganggu.

Keadaan itu menyebabkan sang bapa hidup tertekan, sehingga terpaksa “menagih simpati” dari jabatan agama Islam. Namun, dia tidak dapat yang dihajatinya. Seterusnya, dia menagih simpati dari teman-teman yang beragama Islam. Teman-temannya hanya boleh menolong sedikit sahaja, tidak dapat menyelesaikan masalahnya itu juga.

Dipendekkan cerita, dia telah bertemu dengan seorang teman beragama kristian dan menceritakan masalah peribadinya itu. Teman itu menawarkan bantuan, dengan mempertemukannya dengan pihak gereja untuk mendapatkan bantuan kewangan tersebut.

Dalam kes ini, apakah pihak jabatan agama Islam perlu dipersalahkan, atau pihak gereja yang perlu dipersalahkan?

Kedua, seorang ibu yang ditinggalkan suami yang tidak bertanggungjawab tanpa menyediakan kepada mereka nafkah. Keluarganya miskin. Dua orang dari lapan orang anaknya tidak bersekolah lagi disebabkan kesempitan hidup. Sudah puas dia meminta bantuan dari pihak Islam; sama ada individu muslim, ataupun dari pihak jabatan agama Islam. Memandangkan birokrasi yang amat menyukarkan, keluarga itu tidak semakin senang, malahan hidup mereka semakin susah.

Jirannya yang beragama kristian telah mengkhabarkan perkara ini kepada pihak gereja, menyebabkan pihak gereja telah menghantarkan wakil mereka untuk “follow up” perkara ini. Semenjak itu, segala makan minum keluarga mereka dibiayai oleh pihak gereja, sehinggakan di bulan Ramadhan, boleh dikatakan setiap minggu wakil gereja datang untuk berbuka puasa bersama dengan mereka.

Dalam kes sebegini, apakah perlu dipersalahkan kepada pihak gereja, atau pihak jabatan agama Islam?

Ketiganya pula adalah berkait dengan seorang kawan yang berhampiran dengan rumahku. Anaknya sejak dilahirkan lagi dihidap sakit jantung berlubang. Keadaan keluarganya miskin. Kawanku itu bekerja sebagia driver lori sahaja, yang mempunyai gaji tidak seberapa. Keluarga mereka hidup dalam keadaan berhutang semata-mata hendak menyelesaikan bayaran wang di IJN untuk anaknya.

Setelah kemenangan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor, aku bersama Eddie Putra telah berusaha untuk mendapatkan bantuan kewangan dari Lembaga Zakat Negeri Selangor. Semua dokumen yang berkaitan aku hantarkan menerusi Pejabat Exco agama Kerajaan negeri Selangor.

Sehingga hari ini, sebarang khabar berita tentang dokumen itu tidak diketahui statusnya. Walaubagaimana pun, pihak pejabat exco agama dan lembaga Zakat Selangor tidak perlu bimbang, kerana anak kawanku itu telah meninggal dunia disebabbkan penyakitnya itu.

Semasa hayat anak kawanku itu, dia pernah berkata, “sesiapa sahaja yang tawarkan kewangan kat aku, aku akan terima, tidak kira dari apa agama sekalipun”.

Cuba bayangkan kalau berita ini sampai kepada pihak gereja, lalu mereka hantar wakil untuk menawarkan biaya kewangan perubatan kepada anak kawanku itu. Apakah ia perlu disalahkan kepada pihak gereja, ataupun dari pihak pejabat exco agama negeri Selangor atau lembaga zakat?

Sudut kedua pula;

Padaku, semua agama itu ada agenda masing-masing. Amat bohong jika kita kata bahawa mereka tidak mempunyai niat untuk menyebar luaskan agama mereka.

Kebajikan yang mereka tawarkan sudah pasti mempunyai motif. Aku kira, ia bukan sekadar wujud dalam diri orang yang beragama kristian, tetapi wujud juga dalam diri orang yang beragama Islam. Malahan, setiap parti politik atau individu politikus pun, apabila menyampaikan sesuatu bantuan kewangan atau kebajikan, mesti mempunyai motif sebegitu. Jika mereka mengatakan tidak, ketahuilah itu satu penipuan.

Isunya sekarang, kenapa gereja boleh tawarkan kebajikan sebegitu, tetapi tidak mampu dilakukan oleh pihak jabatan agama Islam. Gereja tidak mendapat biaya dari pihak kerajaaan, malahan perlembagaan Malaysia sendiri menyatakan larangan tersebut. Lebih menarik lagi, dalam perlembagaan Malaysia sendiri mengakui bahawa kewangan Negara boleh disalurkan kepada badan-badan agama islam di Malaysia. Walaupun begitu manja sekali peruntukan perlembagaan Malaysia kepada pihak badan-badan agama Islam di Malaysia, tetapi mereka masih lagi tidak dapat menjadikan Islam sebagai agama yang menawarkan kebajikan, tetapi yang berjaya melakukan ini adalah pihak gereja.

BAGAIMANA?

Pihak jabatan agama Islam perlu diadakan transformasi dari sudut pengurusan zakat. Mereka tidak boleh tertumpu kepada usaha pengumpulan duit zakat, tetapi perlu juga melakukan pemerkasaan penyebaran zakat kepada mereka yang perlu.

Birokrasi dalam pemberian zakat perlu dihapuskan. Mudahkan urusan pemberian zakat. Jangan tunggu pihak yang susah sahaja yang menagih dari pihak pungutan zakat, tetapi pihak pengurusan zakat perlu menagih pahala dengan mencari orang-orang yang susah untuk diberikan zakat.

Adapun dari pihak hasan ali yang menyatakan bahawa beliau sedia dipecat dalam isu ini. Secara peribadi, aku tidak bersetuju beliau dipecat, tetapi yang paling tepat adalah beliau sendiri perlu meletakkan jawatan kerana beliau telah terbukti gagal ketika menjadi exco agama dalam kerajaan Negeri Selangor dalam memperkasakan perkara ini.

Sekian

Wallahu ‘Alam


Khamis, 4 Ogos 2011

AKU DESAK TV9 KEKALKAN IKLAN SAHUR



Pemuda PAS Selangor kata, iklan ini ada unsur hina Islam. Aku tengok berkali-kali klip video itu. Aku tidak merasakan, ia ada unsur menghina Islam. Tetapi yang aku nampak, video ini mengandungi unsur menyindir bagi mereka yang suka bersaing dalam perkara yang tidak ada faedah.

Bagi mereka yang mempelajari ilmu Balaghah, kaedah ini boleh disebut sebagai kaedah sindiran. Ataupun menggunakan kaedah "ta'ridh". Cara menggunakan kaedah ini memang wujud dalam al-Quran. Ia merupakan salah satu cara untuk Allah SWT menarik pandangan orang yang dikhitab oleh Allah SWT agar berubah.

antaranya adalah firman Allah;

فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

maksudnya;
"Berilah khabar gembira kepada mereka dengan azab yang pedih"

(Al-Imran : 29)

Maka begitujuga klip video iklan Ramadhan yang dikeluarkan oleh TV9. ia sekadar sindiran. Padaku, kenyataan ketua Pemuda PAS Selangor itu tidak berasas kepada ilmu terlebih dahulu.

Sekian

Wallahu 'Alam



Selasa, 2 Ogos 2011

WACANA MAQASID SYARIAH : PAKAIAN NON MUSLIM DIBEDAKAN DENGAN MUSLIM?

Jika kita membaca kitab Ahkam Ahl Az-Zimmah, karangan Imam Ibnu Qayyim, kita akan dapati bahawa Saidina Umar bin Al-Khattab dikatakan pernah melarang orang bukan Islam dari berpakaian sepertimana pakaian orang islam[1]. Lalu, ada sebilangan manusia menganggap bahawa ia merupakan cara Saidina Umar hendak melakukan penghinaan terhadap non Muslim dalam pemerintahan beliau.

Bagi menjawab persoalan ini, perkara yang perlu diambil tahu terlebih dahulu adalah seperti berikut;

PERTAMA : PERBEDAAN ANTARA WAHYU DAN IJTIHAD

Dalam perbincangan sesuatu keputusan yang dikeluarkan oleh pemerintahan islam, ataupun sesuatu keputugsan hukum yang dikeluarkan oleh seseorang mujtahid, mufti atau pemerintah, hendaklah dibedakan antara wahyu dan ijtihad. Wahyu tidak mungkin salah, sedangkan Ijtihad, memungkinkan berlaku kesalahan.


Dalil bagi kenyataan ini adalah seperti berikut;

Firman Allah;

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya;
“hari ini, aku sempurnakan bagi kamu akan agama kamu. Aku cukupkan atas kamu nikmat-Ku dan Aku redha bagi kamu Islam sebagai agama[2]

Juga firman Allah;

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى * إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى

Maksudnya;
“dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemauan hawa nafsunya * Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)[3]

Dua nas yang dikemukakan ini, menunjukkan bahawa wahyu itu tidak mungkin salah. Makanya, ia dijadikan sebagai sumber.

Adapun sesuatu pendapat dan keputusan yang dikeluarkan oleh seseorang pemerintah, mujtahid, mufti dan Qadhi, ia memungkinkan berlaku kesalahan. Ia dinamakan sebagai ijtihad.

Sabda Nabi SAW;

إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ فَأَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ فَأَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ

Maksudnya;
“Apabila seseorang hakim itu berhukum. Dia berijtihad, lalu benar ijtihadnya, maka baginya dua pahala. Apabila dia berhukum. Dia berijtihad, lalu salah ijtihadnya, maka baginya satu pahala sahaja[4]

Sesuatu ijtihad yang dikeluarkan, ia terpengaruh dengan konteks mujtahid; sama ada dari konteks masa atau tempat. Jika kita perhatikan ijtihad Imam As-Syafie dan Ijtihad Imam Hanafi dalam keputusan penetapan pemilikan tanah yang diteroka perlu mendapat keizinan dari pihak kerajaan, kita akan dapat memahami perkara ini.

Imam Hanafi mewajibkan keizinan pemilikan tanah itu kepada surat resmi dari kerajaan, tetapi ia tidak menjadi suatu yang wajib mengikut pendapat Imam As-Syafie. Apabila kita merungkai huraian nas dan dalil, didapati keputusan itu dikeluarkan berdasarkan satu hadis, iaitu sabda Nabi SAW;

مَنْ أَحْيَا أَرْضًا مَيِّتَةً فَهِيَ لَهُ

Maksudnya;
“Barangsiapa yang menghidupkan bumi yang mati (teroka), maka ia adalah miliknya[5]

Walau mereka merujuk kepada hadis yang satu, tetapi mereka mempunyai keputusan yang tidak sama. Semuanya ini berfaktorkan konteks tempat yang mereka berada. Ini kerana, ketika fatwa ini dikeluarkan, Imam Hanafi berada di Baghdad yang merupakan Bandar maju. Keperluan mendapat surat rasmi dari kerajaan dalam pemilikan tanah yang diteroka adalah satu perkara yang mesti. Jika tidak, ia dibimbangi diteroka terhadap tanah orang lain.

Adapun Imam As-Syafie, beliau berada dia Mesir yang merupakan negeri yang mempunyai padang pasir yang luar. Juga pada saat itu, negeri mesir adalah negeri yang tidak mempunyai kemajuan pembangunan sepertimana di Baghdad. Makanya tidak hairan Imam As-Syafie tidak menyatakan keperluan kepada surat rasmi kerajaan dalam menentukan status tanah yang diteroka. Kerana, kebimbangan terteroka tanah kepunyaan orang lain tidak mungkin berlaku.

KEDUA: FATWA ULAMA DAN PANDANGAN SAHABAT

Tidak dinafikan bahawa para sahabat adalah manusia yang terlalu memahami Sunnah. Ibnu Qayyim pernah berkata;

وَقَدْ كَانَتْ الصَّحَابَةُ أَفْهَمَ الْأَمَةِ لِمُرَادِ نَبِيِّهَا وَأَتْبَعَ لَهُ ، وَإِنَّمَا كَانُوا يُدَنْدِنُونَ حَوْلَ مَعْرِفَةِ مُرَادِهِ وَمَقْصُودِهِ ، وَلَمْ يَكُنْ أَحَدٌ مِنْهُمْ يَظْهَرُ لَهُ مُرَادُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ يَعْدِلُ عَنْهُ إلَى غَيْرِهِ أَلْبَتَّةَ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Sahabat adalah umat yang paling memahami maksud nabi SAW dan manusia yang paling mengikuti Baginda. Mereka adalah golongan yang ……. Sekitar pengetahuan maksud Baginda. Tidak ada seorang pun di kalangan mereka yang menzahirkan maksud Nabi SAW kemudian memalingkannya kepada maksud yang lain[6]

Namun begitu, kita akan dapati beberapa tindakan sebilangan sahabat yang kelihatan berbeda dengan apa yang dilakukan oleh Wahyu; sama ada dari Al-Quran, ataupun dari tindakan Nabi Muhammad SAW. Makanya, perlu diambil sedikit perhatian dalam menilai kerangka amalan sahabat dengan kandungan nas itu sendiri.

HUKUM TASYRIK DAN TANFIZ

Di sini perlu difahami bahawa hukum itu, apabila dilihat dari sudut tahapan, ia terbahagi kepada dua, iaitu dari sudut Tasyrik (pensyariatan) dan tanfiz (perlaksanaan). Tidak dinafikan bahawa semua hukum yang disyariatkan itu wajib dilaksanakan, tetapi dalam beberapa keadaan, perlaksanaan itu tidak kena dengan masa yang tepat, melahirkan kemudharatan yang besar, walhal Islam tidak mengiktiraf kemudharatan tersebut.

Ekoran itu, timbul perbahasan yang disebut sebagai Tasyrik, iaitu hukum yang disyariatkan. Ia wajib dilaksanakan tanpa khilaf. Tetapi, apabila dengan mahu dilaksanakan itu melahirkan kemudharatan, seperti di kala manusia di tempat yang dilaksanakan hukuman itu tidak memahami hukum sehingga memungkinkan mereka menolak hukum tersebut, makanya lahir satu perbahasan hukum yang disebut sebagia tanfiz.

Dari segi tasyrik atau pensyariatannya, semua kandungan syariah telah sempurna. Perkara ini, dijelas oleh Allah SWT dalam firman-Nya;

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya:
"hari ini, telah aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku cukupkan bagimu nikmatku, dan aku redha Islam sebagai agama[7]"

Tetapi tidak cukup sekadar itu, ada satu lagi yang perlu diperhatikan tentang hukum ini adalah dari sudut tanfiz, atau perlaksanaan. Antara bukti wujudnya dua perkara ini adalah seperti berikut;

Pertama :

Sabda Nabi SAW;

قَدْ كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَقَدْ أُذِنَ لِمُحَمَّدٍ فِي زِيَارَةِ قَبْرِ أُمِّهِ فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْآخِرَةَ

maksudnya;
"aku pernah menghalang kamu dari menziarahi kubur. Lalu sesungguhnya telah diizinkan kepada Muhammad untuk menziarahi kubur ibunya, maka ziarahilah, kerana ia boleh menyebabkan mengingati akhirat[8]"

Dari sudut tasyrik, harus ziarah kubur. Tetapi dari sudut tanfiz, di awal-awal Islam, Nabi SAW melarang ziarah kubur. Kerana, mengenangkan sahabat yang baru sahaja dengan keimanan, budaya jahiliyyah (niyahah atau meratap) akan dilakukan sesama di kubur.

Kedua :

Nabi SAW pernah maklumkan kepada Aisyah bahawa Kaabah tidak berada ditapaknya yang tepat. Baginda SAW ingin ubahnya, tetapi tidak dilakukan waima telah menguasai makkah. Itu menyebabkan Aisyah bertanya. Nabi SAW menjawab;

لَوْلَا حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ

Maksudnya;
"kalau la tidak umat kamu baru sahaja meninggalkan kekufuran, sudah pasti aku lakukannya[9]"

Dari sudut tasyrik adalah meletakkan tapak itu pada tapaknya yang tepat. Tetapi dari sudut tanfiz, nabi tangguhkan dahulu.

Ketiga:

Abdul Malik, iaitu anak Umar bin Abdul Aziz bertanya kepada ayahnya bahawa tindakan bapanya yang tidak terus menukarkan beberapa perkara dalam pemerintahan agar total sesuai dengan Islam. Mendengar pertanyaan anaknya itu, Umar bin Abdul Aziz berkata;

لَا تَعْجَلْ يَا بُنَيَّ، فَإِنَّ اللَّهَ ذَمَّ الْخَمْرَ فِي الْقُرْآنِ مَرَّتَيْنِ، وَحَرَّمَهَا فِي الثَّالِثَةِ، وَإِنَّى أَخَافُ أَنْ أَحْمِلَ الْحَقَّ عَلَى النَّاسِ جُمْلَةً، فَيَدْفَعُوهُ جملة، ويكون من ذا فتنة
Maksudnya:
"jangan kamu gopoh wahai anakku, sesungguhnya Allah haramkan arak dalam Quran sebanyak dua kali, dan haramkannya pada kali ketiga. Aku bimbang melaksanakan Islam secara total, maka akan ditolak oleh rakyat secara total. Maka itu adalah fitnah[10]"

Arak itu sendiri, pengharamannya wujud semenjak awal lagi, iaitu dalam taurat dan injil. Tetapi, diharamkan secara bertahap-tahap kerana tanfiz.

FATWA ULAMA BERSIFAT TANFIZ

Di sini dipaparkan beberapa fatwa ulama-ulama muktabar yang memperlihatkan kepada kita bahawa hukum itu ada yang disebut sebagai tasyrik dan satu lagi disebut sebagai tanfiz. Antaranya adalah seperti berikut;

IMAM HANAFI

Beliau pernah mengizinkan orang farsi membaca fatihah dalam bahasa farsi ketika awal mereka memeluk Islam[11], walhal hukum membaca fatihah dalam bahasa arab ketika
solat adalah perkara yang wajib.

IMAM MALIK

Dalam salah satu fatwa beliau, boleh bunuh kambing yang telah merosakkan tumbuh-tumbuhan kepunyaan orang awam tanpa wajib diganti balik. Fatwa ini dilihat bercanggah dengan hukum asal yang menyatakan wajib ganti balik binatang yang dibunuh orang tanpa izin[12].

IMAM AL-IZZ BIN ABDIS SALAM

Pada beliau, perlu dilantik orang kurang fasiq daripada dua orang fasiq untuk jawatan pemerintah dikala tiada orang adil sebagai pemerintah. Walhal, dlm nas tidak membenarkan melantik pemerintah fasiq[13].[14]

UMAR BIN AL-KHATTAB

Dalam pemerintahan, beliau pernah melarang berkahwin dengan ahli kitab, walhal nas mengizinkan perkara ini[15].

Firman Allah:

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَهُمْ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ إِذَا آَتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ

Maksudnya;
“Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka. (Dan dihalalkan mangawini) wanita yang menjaga kehormatan[402] diantara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik[16]

IMAM HANBALI

Ibnu rajab Hanbali berpendapat bahawa boleh sembelih kambing yang hampir mati kerana hendak menjaga harta dari membazir, walhal sembelih kambing kepunyaan orang lain adalah haram[17].

Begitujuga, Ibnu qayyim menyatakan larangan melaksanakan hudud kepada pemaksiat ketika sedang berlaku peperangan[18]

PERBAHASAN KES

Apabila difahami perbahasan diatas, kita akan faham tindakan Umar bin Al-Khattab yang melarang non Muslim pada zaman beliau memakai beberapa jenis pakaian. Perlu dinyatakan, tindakan Umar boleh disifatkan dibawah maksud “tanfiz”, iaitu sekadar perlaksanaan, yang tidak termaktub pun di dalam nas tasyrik.
Disamping itu lagi, jika kita lihat pada tindakan Umar itu, kita dapati ia bukan bertujuan untuk menjatuhkan martabat atau merendah-rendahkan non Muslim dalam pemerintahan islam di kala itu, tetapi ia sekadar untuk membedakan antara pakaian ilmuan-ilmuan Islam yang menjadi rujukan hukum masyarakat pada masa itu. Lebih-lebih lagi, pakaian seperti serban dan kopiah merupakan pakaian keagamaan bagi umat Islam. Ia sama seperti larangan Islam terhadap umat Islam berpakaian dengan pakaian keagamaan non Muslim. dengan erti kata yang lain, larangan memakai pakaian keagamaan ini, bukan sekadar dilarang kepada non Muslim sahaja, tetapi dilarang juga terhadap Muslim juga.

Ini dapat dilihat dengan perkataan Ibnu Qayyim dalam kitab beliau yang bertajuk “ahkam Ahl Az-Zimmah”[19].

Sekian
Wallahu ‘Alam


[1] ahkam ahl az-zimmah : 1/240
[2] Al-Maidah : 3
[3] An-Najm : 3-4
[4] Abu Daud : 3103.
[5] Muwatta’ : 1229.
[6] ‘ilam Al-Muwaqi’in : 300
[7] Al-Maidah : 3
[8] at-Tirmizi : 974
[9] muwatta' : 710
[10] al-muwafaqat : 2/148
[11] as-siyasah syariiyyah: 293
[12] al-mudawwinah : 5/440
[13] Imam Al-Qurtubi menyatakan;

لأنه لا خلاف بين الأمة أنه لا يجوز أن تعقد الإمامة لفاسق

Maksudnya;
“Tiada khilaf dikalangan umat bahawa tidak harus melantik pemimpin yang fasiq” [al-jami’ al quran : 1/101]

Ini kerana, antara faktor asasi melantik pemerintah adalah untuk menghapuskan kezaliman dari tersebar. Pemerintah yang fasiq, tidak mungkin mampu menghapuskan kezaliman.

Firman Allah SWT;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا

Maksudnya;
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq dengan berita, maka hendaklah kamu siasat”
[Al-Hujurat : 6]

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Quddamah menyatakan dalam kitab Al-Mughni;

وَلَا يَجُوزُ أَنْ يَكُونَ الْحَاكِمُ مِمَّنْ لَا يُقْبَلُ قَوْلُهُ ، وَيَجِبُ التَّبَيُّنُ عِنْدَ حُكْمِهِ ؛ وَلِأَنَّ الْفَاسِقَ لَا يَجُوزُ أَنْ يَكُونَ شَاهِدًا ، فَلِئَلَّا يَكُونَ قَاضِيًا أَوْلَى

Maksudnya;
“tidak harus bahawa seseorang hakim itu dilantik dari kalangan orang yang perkataannya tidak didengari. Wajib mendapat pembuktian dari perkataannya. Ini kerana, orang yang fasiq itu tidak harus menjadi saksi. Maka terlebih utama tidak boleh menjadi qadhi” [Al-Mughni : 22/454]
[14] qawaid al-ahkam fi masalih al-anam : 1/9
[15] ta'lil maqasidi : 141
[16] Al-Maidah : 5
[17] al-qawaid : 227
[18] ilam al-muwaqqiin : 3/155
[19] Ahkam Ahl Az-Zimmah : 1/240.